SIDANG Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju membenarkan individu yang menerima dos vaksin lengkap di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk makan di dalam premis menjual makanan.

Kebenaran itu adalah salah satu kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi berkuat kuasa mulai esok yang diumumkan oleh Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada masa yang sama, beliau menyarankan kepada pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.

“Risiko penyebaran virus COVID-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria-kriteria berikut:


a) Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Contohnya Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua; dan


b) Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Contohnya Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

Muhyiddin Yassin mempengerusikan Sidang Khas MKN secara maya, hari ini. – Gambar: Facebook

Muhyiddin menambah, pemilik premis kedai makan termasuk restoran atau kafe di rumah kelab perlu memastikan mereka yang memasuki premis untuk makan mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 yang membuktikan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

Beliau memberitahu, bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk makan di premis kedai makan, pastikan anak-anak mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Selain itu, Muhyiddin berkata, Sidang Khas MKN turut membenarkan operasi pasar malam dan pasar minggu adalah dibenarkan.

“Pihak penguatkuasa yang berkenaan serta pemilik premis perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,” jelasnya.

Menurut beliau, aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan di kawasan terbuka juga dibenarkan bagi negeri-negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya serta terpakai di dalam daerah yang sama sahaja.

“Aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka termasuk separa terbuka bermula pukul 6 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Walau bagaimanapun, operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah tidak dibenarkan bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan.

“Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti joging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya.

“Aktiviti yang dibenarkan juga termasuklah perkelahan dan perkhemahan. Penyertaan anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan-kemudahan tersebut, termasuk pemilik premis, mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat.

“Jika berlakunya jangkitan di premis yang menikmati kemudahan-kemudahan ini, Kementerian Kesihatan terutamanya akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko serta tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenalpasti melanggar SOP,” katanya.

Perincian bagi kemudahan-kemudahan yang baru diumumkan Muhyiddin itu akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here