‘’Kerajaan interim, kerajaan campuran, kerajaan perpaduan, Kabinet perang’ – Entah apa-apa istilah yang muncul sejak peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebenarnya belum Ahli Parlimen Pagoh itu berundurpun sudah ada kalangan pemimpin UMNO yang mencanangkan ‘kerajaan interim’.

Alasan diberikan bagi menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi. Berkali-kali cadangan itu dikemukakan sampai ‘nak muntah’ kita dengar.

Selepas itu terpancul pula idea kerajaan campuran yang menggabungkan semua parti atau boleh juga dipanggil kerajaan perpaduan kemudiannya Kabinet Perang.

Penulis hairan kenapa kelam kabut sangat sedangkan proses mencalonkan Perdana Menteri Ke-9 sudahpun selesai.

Isyarat sudah ada Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai sokongan 114 ahli Parlimen bagi melayakkan beliau menduduki jawatan tersebut. Tetapi apapun kita perlu menunggu pengumuman rasmi daripada Istana Negara.

Justeru tunggu sahajalah pembentukan kerajaan baharu, kenapa tergesa-gesa sangat mahu kerajaan itu, kerajaan ini ditubuhkan.

Sabarlah…kalau benar Ismail Sabri mendapat sokongan itu, berilah laluan kepada beliau dan kawan-kawan dalam Perikatan Nasional (BN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bebas membentuk kerajaan sendiri. Tidak perlu berhujah soal majoriti mudah, majoriti tipis dan dikaitkan pula dengan kerajaan tidak stabil atau kerajaan rapuh, semua hanyalah hujah politik yang masing-masing ada agenda sendiri.

Hakikatnya, semua terpulang kepada sikap parti dan ahli politik. Kalau sebuah kerajaan itu ada kelebihan satu kerusi sekalipun, ia tidak ada masalah, asalkan semua ahli politik pembangkang atau kerajaan bekerjasama serta bersatu untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat dan  negara. Tetapi masalahnya di Malaysia ini, ahli politiknya ‘unik sikit’.

Yang ada dalam kerajaan pun berperangai seperti pembangkang. Apa sahaja yang kerajaan lakukan semua tak betul. Lepas itu dalam parti yang bergabung dalam kerajaan pula ada kelompok pemimpin ‘batu api’, sudah kalah dalam pilihan raya pun bercakap macam mereka sahaja yang bagus.

Perangai pembangkang jangan ceritalah. Masuk Dewan Rakyat bukan nak bincang soal rakyat dan negara tetapi asyik nak ‘serang’ kerajaan sahaja. Yang bertaraf Negarawan bukan nak jadi pendamai, dia sendiripun perangai sama sahaja!

Ketika kerajaan bertungkus lumus memerangi Covid-19, mereka nak asyik berpolitik. Jadi macam mana keadaan politik negara stabil. Sepatutnya ketika pandemik ini semua ahli politik bersatu cuba selesai bersama-sama dengan kerajaan.

Kemukakan cadangan, kalau ada cadangan yang ditolak, jangan dok ‘mengamuk’ dalam media sosial, perlekehkan pula usaha kerajaan seolah-olah mereka sahaja bijak untuk menguruskan negara, kononnya idea mereka yang paling bernas. Ditambah pula ada yang asyik dok buru angka ‘kukuh dan meyakinkan’ .

Apabila umum pakej rangsangan yang bertujuan memulihkan ekonomi dan membantu rakyat, mereka persoal pula wang datang daripada mana, kenapa dah belanja beratus bilion, masalah Covid-19 tak juga selesai-selesai.

Selain itu ada pula yang tak habis-habis dok bercakap soal ‘10 tuntutan rakyat’ – soalnya betul ke tuntutan rakyat atau tuntutan ahli politik?

Baguslah nak memperjuangkan hak rakyat tetapi rakyat pun lebih cerdik daripada ahli-ahli politik, mereka pun tahu sejauh manakah kekangan kerajaan untuk melaksanakan semua tuntutan yang diminta.

Kalau macam inilah perangai ahli-ahli politik kita macam mana kerajaan mahu menangani krisis kesihatan dan ekonomi. Lepas tu mulalah terpekik terlolong tuduh kerajaan gagal, sedang yang gagal itu mereka sebab tak tahu bila masa mahu berhenti berpolitik.

Penulis nak nasihat ahli-ahli politik tidak payahlah hendak beri idea bukan-bukan pasal macam mana bentuk kerajaan yang patut wujud.

Insha-Allah, dalam sehari dua lagi kerajaan baharu akan terbentuk,serah sahaja kepada mereka yang telah dipilih tersebut.

Kalau betullah, puak-puak yang dok cakap soal kerajaan interim, kerajaan campuran, kerajaan perpaduan dan entah apa-apa lagi kerajaan, ikhlas berjuang untuk rakyat dan mencanangkan apa yang mereka katakan demi negara, pastikan semua ahli-ahli politik berdisiplin dalam berpolitik khususnya apabila Dewan Rakyat bersidang.

Yang bukan ahli Parlimen dok diam-diam, tidak payah nak jadi ‘batu api’ dengan membuat kenyataan yang boleh memanaskan politik negara. Kalau nak bagi idea yang baik-baik, silakan sahaja, kalau setakat nak buat kenyataan politik…tak payah!

Bersabarlah sekejap, kita selesaikan masalah Covid-19 dulu, lepas tu bila keadaan sesuai, bubar Parlimen dan serahkan kembali mandat kepada rakyat.

Masa itu kita boleh tahu siapa yang mereka pilih. Sama ada yang dok membebel dalam Facebook ke, yang dok memekak dalam Dewan Rakyat ke atau mereka yang bertungkus lumus menguruskan rakyat serta negara.

Jadi sementara menanti PRU-15, sama-sama lagi elak kemelut politik berlaku lagi, simpan sahaja idea-idea pasal apa bentuk kerajaan itu..tak kiralah kerajaan campur ke, kerajaan tolak ke atau apa sahaja istilah…rakyat bosan kerana tahu semua itu hanya bermotifkan politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here