Bukan masanya seret Ismail, rakan dalam percaturan politik

Empat menteri UMNO main peranan penting ‘perangi’  Covid-19

DALAM ‘peperangan’ Covid-19, terdapat empat Ahli Parlimen UMNO memainkan peranan cukup penting iaitu Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Dr.Adham Baba dan Ahli Parlimen Rembau  Khairy Jamaluddin.

Sejak pandemik melanda negara pada awal tahun lalu, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) telah diberi tanggungjawab berkaitan penguatkuasaan SOP dan Perintah Kawalan Pergerakan.

Setiap hari beliau muncul pada sidang media bagi memaklumkan apa yang diputuskan oleh mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Walaupun dari semasa ke semasa, tekanan tugas semakin hebat berikutan pelaksanaan PKP, PKPD dan PKPB – namun Ismail Sabri sentiasa tenang berhadapan dengan cabaran.  Beliau juga kerap turun padang pada menemui rakyat. Bertanya khabar mereka.

Pandangan, komen dan kritikan yang diterima rakyat, beliau kemukakan dalam mesyuarat MKN dengan tegas dan berani, walaupun ada kalanya terpaksa ‘bertegang leher’ apabila menyentuh isu tertentu terutama berkaitan kelonggaran ketika pelaksanaan PKP.

Dan kini Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri yang akan membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

Tempat beliau sebagai Menteri Kanan Kluster Keselamatan diambil alih oleh Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Sebelum melaksanakan tugas menggantikan Ismail Sabri, Hishammmuddin memainkan peranan penting dalam hubungan antara bangsa bagi menangani Covid-19.

Melalui hubungan akrab beliau dengan rakan-rakan sejawatan di seluruh dunia, beberapa negara besar telah memberi sumbangan vaksin dan peralatan perubatan. Antara termasuklah Jepun, China, Amerika Syarikat dan Arab Saudi.

Malah beliau juga bertanggungjawab memulihkan atau menjernihkan hubungan dengan beberapa negara yang sebelum ini agak dingin ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

Dr.Adham Baba pula menerajui Kementerian Kesihatan – kementerian paling penting dalam ‘peperangan’ melawan pandemik tersebut.

Walaupun satu ketika menerima pelbagai kritikan namun ia sama sekali tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk terus melaksanakan tanggungjawab memerangi penularan Covid-19.

Dr.Adham bergabung dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah bagi memastikan segala keperluan dan peralatan perubatan mencukupi.

Turut memainkan utama ialah Khairy yang merupakan Menteri Sains Teknologi dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Kewibawaan dan kemampuan beliau menguruskan program itu bukan sahaja mendapat pujian rakan-rakan dalam kerajaan malah juga pembangkang.

Sikap Khairy yang gigih  dan telus dalam menjawab setiap isu berkaitan dengan program vaksinasi memungkinkan beliau sentiasa dihormati. Dalam media-media sosial netizen turut memuji Ahli Parlimen UMNO.

Hakikatnya banyak lagi peranan penting keempat-empat menteri itu dalam membantu negara dalam memerangi penularan Covid-19.Sepanjang menjalankan tugas mereka, amat jarang malah boleh dikatakan tidak ada kita mendengar mereka bercakap soal politik.

Walaupun sering mendapat serangan daripada bekas bos mereka – yang mungkin merasakan hanya beliau sahaja bijak menguruskan negara – namun keempat-empat menteri itu tidak pernah bertindak balas.

Sebaliknya jika teguran itu benar, mereka akan melakukan perbaikan, kalau teguran itu sekadar hendak menyindir, mereka hanya membiarkan sahaja. Apa yang penting bagi mereka ialah memulihkan negara daripada Covid-19.

Mereka tidak pernah terlibat dalam pertarungan politik pucuk pimpinan parti dengan kerajaan sebab seperti mana kata Ismail Sabri,’’ sekarang bukan masa untuk berpecah belah.’

Tetapi secara tiba-tiba Majlis Tertinggi UMNO menyeret mereka ke dalam pertarungan politik apabila membuat keputusan menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional dan sekaligus memungkinkan kedudukan mereka dalam Kabinet tergugat.

Lebih dahsyat lagi, walaupun pucuk pimpinan parti mengetahui sekarang bukan masa amat sesuai dan tidak masuk akal untuk mengarahkan ahli-ahli Parlimen UMNO meletakkan jawatan dalam kerajaan tetapi desakan serta tekanan dilakukan. Mereka diberi pilihan sama ada kekal dalam kerajaan atau meletakkan jawatan.

Sudah pastilah keempat-empat menteri itu serta ahli Parlimen UMNO lain dalam kerajaan tidak akan berbuat demikian. Ia memandangkan amat tidak munasabah ketika rakyat tengah susah, negara ‘tengah berperang’ ,mereka dipaksa melakukan tindakan yang akan meruntuhkan kerajaan.

Atas sebab itulah Ismail Sabri dan rakan-rakan lain kekal berada dalam Kabinet, biarpun berhadapan dengan risiko akan dipecat. Ini bukan soal kedudukan dan kuasa malah ia juga bukan soal memperkukuhkan kedudukan Perdana Menteri mahupun Kerajaan PN tetapi soal amanah dan lafaz sumpah sebagai anggota Kabinet.

Tambahan pula, kita sedang ‘bertarung’ dengan Covid-19. Tak kan mahu meninggalkan ‘medan peperangan’ yang akhirnya akan mengakibatkan rakyat dan negara sengsara?

Soal pucuk pimpinan parti mahu bermain politik dengan membentangkan pelbagai hujah, itu soal pimpinan parti tetapi kalau sampai mahu menyeret keempat-empat menteri itu yang memainkan peranan cukup penting dalam kerajaan sekarang, ia boleh dianggap sikap tidak bertanggungjawab.

Justeru ahli-ahli UMNO di semua peringkat, janganlah terpengaruh apatah lagi terperdaya dengan dakyah-dakyah yang disebarkan termasuk oleh pemimpin parti itu sendiri bahawa mereka yang tidak mahu meletakkan jawatan dalam kerajaan sebagai pengkhianat kepada parti.

Kalau mahu mengkaji kesemua mereka itulah paling sayang dan setia kepada parti dan mereka kini melaksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh kerana mahu menjaga nama baik parti.

Sayangkan parti bukan sekadar bercakap tetapi juga memastikan kita tidak melakukan tindakan yang boleh mencemarkan imej parti termasuk sehingga diseret ke mahkamah. Ia memandangkan apabila itu berlaku, nama baik UMNO akan tercemar bukan sahaja di negara malah di seluruh dunia. Bukankah UMNO sudah melaluinya?

Oleh itu janganlah mudah menganggap ahli-ahli Parlimen UMNO yang masih bersama kerajaan sebagai pengkhianat, mementingkan kedudukan dan gelaran buruk lain hanya kerana mereka tidak mahu mengikut percaturan politik kepemimpinan parti.

Biarlah mereka bekerja dengan tenang kerana itulah amanah yang diberikan kepada mereka. Penulis yakin majoriti ahli-ahli UMNO bersama keempat-empat menteri itu.

Kelompok yang membuat bising mempersoalkan kesetiaan mereka ialah golongan ‘batu api’ dan ‘penghasut’! Justeru biarkan sahaja. Apatah lagi kalau yang berdegar-degar bercakap itu, dalam kalah pilihan raya pun kalah atau tidak dicalonkan semula sehingga merajuk.

Kesimpulannya, keempat-empat menteri itu tidak harus terkorban atau dikorbankan dalam percaturan politik orang atasan mereka, apatah lagi jika percaturan tersebut lebih kepada mahu melunaskan dendam politik!

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *