TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengucapkan tahniah kepada  jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang kerana menghadiahkan pingat perak buat Malaysia menerusi acara Keirin basikal trek, Sukan Olimpik Tokyo, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kejayaan ini tentunya menambahkan keceriaan buat kontinjen negara sebelum temasya sukan tersohor ini melabuhkan tirainya.

‘’Biar apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip di pentas sukan terbesar ini tentunya memberi makna cukup signifikan buat anda dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan,’’ katanya melalui Facebook.

Beliau berkata, seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang pelumba itu tunjukkan.

‘’Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi. Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini. Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara,’’ katanya.

Muhyiddin turut mengucapkan syabas juga kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican, barisan kejurulatihan dan seluruh kontinjen Malaysia atas kejayaan ini.

Kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Perdana Menteri berkata, kegagalan mengiringi Azizulhasni ke peringkat akhir tidak seharusnya mematahkan semangat pelumba itu..

‘’Iltizam dan semangat ‘Demi Malaysia’ yang dipamerkan apabila sanggup mengetepikan kesakitan yang dialami semasa di peringkat saringan dan suku akhir dengan sendirinya membuktikan anda adalah wira yang perlu disanjungi. Terima kasih Shah Firdaus,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here