Tag: Warisan

  • Peter Anthony bakal keluar Warisan, tubuh parti baharu?

    Peter Anthony bakal keluar Warisan, tubuh parti baharu?

    NAIB Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony yang sedang berdepan tuduhan rasuah di mahkamah bakal mengumumkan hala tujunya dalam politik, esok.

    Memetik laporan FMT, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu telah menjemput wartawan semalam untuk menghadiri sidang media khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), tengah hari esok.

    Walau bagaimanapun, tiada maklumat tentang mengapa beliau mengadakan sidang media pada pukul 12.30 tengah hari itu.

    Timbul desas-desus mengatakan Peter mungkin akan keluar dari Warisan untuk menubuhkan sebuah parti baharu serta menjadi ADUN bebas yang menyokong kerajaan.

    Sumber yang rapat dengan Peter ketika dihubungi FMT enggan mengulas lanjut mengenai sidang media berkenaan, namun berkata pemimpin berusia 50 tahun itu mungkin akan ‘beralih arah’.

    Selain Naib Presiden Warisan, Peter juga adalah Presiden sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia.

    Khabar angin turut mengatakan beliau akan menggunakan KDM Malaysia sebagai platform baharu politiknya.

    Sebelum ini, Warisan kehilangan tiga ADUN selepas Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama) keluar parti.

    Semua mereka pada mulanya mengumumkan keluar daripada Warisan untuk menjadi ADUN bebas mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Hassan dan Mohamaddin kemudian mengumumkan menyertai Bersatu namun Yusof sehingga kini kekal sebagai ADUN bebas menyokong kerajaan.

  • Lantaran kritik Saifuddin, PH Sabah mahu ‘tendang’ Warisan?

    Lantaran kritik Saifuddin, PH Sabah mahu ‘tendang’ Warisan?

    PAKATAN Harapan (PH) Sabah mungkin terpaksa menyingkirkan Parti Warisan Sabah (Warisan) dari gabungan politik tersebut sekiranya parti itu berterusan memecahbelahkan perpaduan dalam blok pembangkang,

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Setiausaha PH Sabah, Mustapha Sakmud berkata demikian ekoran kenyataan pemimpin Warisan baru-baru ini yang mengkritik memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan Persekutuan.

    Menurut beliau, kenyataan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking mengenai MoU itu dan serangan berikutnya oleh Ketua Penerangan parti, Awang Ahmad Sah Sahari terhadap Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail adalah satu bentuk ‘provokasi’.

    Mustapha menambah, ucapan Leiking seperti yang dilaporkan dalam media dan kenyataan Awang yang mengkritik Saifuddin hanya membuka ruang kepada polemik politik yang akan melemahkan kerjasama parti pembangkang pimpinan PH.

    “Kenyataan ini hanya mahu menjejaskan usaha PH yang menjadi harapan rakyat dalam memastikan kestabilan politik negara.

    “Kami ingin mengingatkan Warisan bahawa kerjasama politik di peringkat negeri dan nasional adalah kunci untuk meneruskan agenda reformasi dan perubahan,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, kepimpinan PH telah memberi ruang yang cukup kepada Warisan untuk menterjemah idealisme perjuangan rakyat Sabah di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

    Beliau berkata, selama ini PH berdiam diri bagi memastikan perpaduan dan kerjasama strategik yang dipelopori dapat dikekalkan demi kebaikan rakyat.

    “Sekiranya Warisan meneruskan usaha memecahbelahkan perpaduan, maka PH perlu menilai semula kerjasama ini dengan merancang dan melaksanakan strategi baharu dalam menghadapi PRU15,” katanya.

    Dalam mesyuarat agung tahunan Warisan minggu lalu, Leiking berkata, PH mengalah kepada Putrajaya selepas menandatangani MoU selain mengatakan pembangkang juga membenarkan kerajaan mewujudkan ‘isu perkauman yang antagonis’.

    Ahli Parlimen Penampang itu juga mendakwa ramai Ahli Parlimen PH tidak berpuas hati dengan MoU itu.

    Ini mencetuskan respons daripada Saifuddin yang menyuruh Leiking membaca perjanjian itu terlebih dahulu dan bukannya bermain isu perkauman.

    Awang kemudian membidas dan mendakwa teguran Saifuddin terhadap Leiking sama seperti tidak menghormati pendirian Warisan dalam MoU sambil menambah PH sentiasa menghormati keputusan Warisan dan Ahli Parlimen lain yang tidak mahu terlibat secara langsung dalam MoU itu.

    Timbalan Ketua PKR Sabah itu berkata, kepimpinan PH tidak pernah menekan atau mempersendakan pemimpin Warisan kerana tidak menandatangani MOU itu.

  • Shafie tak restu ADUN Sindumin keluar Warisan

    Shafie tak restu ADUN Sindumin keluar Warisan

    PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menafikan dakwaan beliau membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob untuk keluar daripada parti itu.

    Malah, Mohd Shafie berkata, beliau tidak pernah memberi “restu” kepada mana-mana wakil rakyat atau ahli parti untuk meninggalkan Warisan, dan parti itu melihat tindakan Yusof sebagai keputusan peribadinya.

    Beliau berkata, Yusof hanya memaklumkan tentang hasrat untuk keluar parti secara lisan, namun sehingga kini Warisan tidak menerima sebarang surat mengenai tindakan ADUN Sindumin itu.

    “Tiada presiden parti meredakan ahli Yang Berhormatnya keluar daripada parti dia…kalau ada (wakil rakyat keluar Warisan) kita bawa untuk tindakan undang-undang, kita heret ke mahkamah, ini kita lakukan supaya perjuangan kita bukan bermusim.

    “Masa jadi pembangkang ahli parti kita bertungkus lumus untuk jayakan kita, bukan sahaja bantu rakyat tetapi jadikan kita Yang Berhormat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemimpin parti itu di Kolombong, Kota Kinabalu hari ini.

    Semalam, Yusof yang juga bekas Ketua Penerangan Warisan ketika mengumumkan keluar parti mendakwa beliau telah berbincang serta menyatakan hasrat keluar parti dengan Mohd Shafie dan Ahli Parlimen Semporna itu tiada halangan untuk beliau berbuat demikian.

    Pada Pilihan Raya Umum 2018, Yusof, 66, memenangi kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 760 undi dalam saingan tiga penjuru, dan terus mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, tahun lepas dengan majoriti 424 undi dalam saingan enam penjuru.

    Dengan perkembangan terbaru itu, Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN pada pilihan raya negeri itu, kini tinggal 20 kerusi setelah ADUN Bugaya Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia pada November 2020 dan ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir keluar parti pada Februari lepas.

    Mohd Shafie turut menafikan dakwaan Yusof bahawa terdapat ADUN Warisan lain akan bertindak keluar parti.

    “Beliau juga tidak wajar menggunakan alasan keputusan ini (keluar parti) dibuat demi meneruskan khidmat kepada rakyat setempat…walaupun kita tidak jadi kerajaan kita juga boleh berkhidmat, kita boleh beri pendapat, pandangan walaupun mungkin bantuan kita terbatas,” katanya.

  • Warisan tolak MoU, sudah kenapa dengan Shafie?

    Warisan tolak MoU, sudah kenapa dengan Shafie?

    PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak berpuas hati apabila sekutu-sekutunya dalam blok pembangkang memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama kerajaan.

    Bertubi-tubi beliau membidas DAP, PKR dan Amanah ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.

    Mungkin Ahli Parlimen Semporna itu masih terperangkap dalam sindrom penafian yang teruk kerana terlepas Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dicetuskan oleh tindakannya terburu-buru membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tahun lalu.

    Ironinya, Mohd Shafie menolak untuk menjalinkan kerjasama dengan kerajaan semata-mata kerana tidak mahu dianggap sebagai seorang yang gagal.

    Masalahnya, beliau memang seorang yang gagal ketika mengetuai jentera pentadbiran kerajaan negeri Sabah selama 26 bulan.

    Pertumbuhan ekonomi di Sabah jatuh merudum selepas Warisan mengambil alih negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) pada Mei 2013.

    Sebelum itu, Sabah menyaksikan kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.2 peratus.

    Mohd Shafie juga gagal memastikan kestabilan politik dalam Warisan Plus berkekalan selepas lebih dua tahun gabungan politik itu berkuasa di Sabah.

    Akhirnya, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau beroleh majoriti mudah apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari blok kerajaan menarik sokongan terhadap Mohd Shafie.

    Mungkin Mohd Shafie berharap rakyat Sabah akan kembali memberi mandat kepada Warisan Plus dalam PRN, sama seperti yang berlaku semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Namun, majoriti pengundi di Negeri Di Bawah Bayu itu memberi isyarat yang jelas bahawa mereka tidak mahu lagi hidup di bawah cengkaman Warisan dan sekutu-sekutunya.

    Cukuplah sudah mereka menderita ekoran kegagalan rejim Pakatan Harapan (PH) di peringkat Pusat dan kegagalan Warisan Plus di peringkat negeri.

    Mohd Shafie terpaksa berputih mata menyaksikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyaksikan kerjasama strategik antara Perikatan Nasional (PN) dan BN.

    Beliau juga dikatakan gagal menarik sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usahanya melobi menjadi calon Perdana Menteri PH selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

    Namun, bekas Ketua Menteri Sabah itu masih boleh menebus kegagalannya dengan mengikut jejak langkah sekutu-sekutunya dalam PKR, DAP dan Amanah.

    Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng boleh mengetepikan ego masing-masing dengan memeterai MoU, takkanlah Mohd Shafie tidak boleh melakukan perkara yang sama.

    Lagipun yang kelak mendapat untung secara langsung dan tidak langsung adalah rakyat di kawasan masing-masing.

    Biarlah rakyat benar-benar dapat mengecapi kemakmuran hasil kestabilan politik yang dicapai antara semua parti politik.

    Harap Mohd Shafie mempertimbangkan perkara ini semasak-masaknya dan sedar bahawa rakyat sudah muak dengan krisis politik yang tidak berkesudahan.

    Malah, beliau pasti dikenang sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar apabila memilih jalan perdamaian. Pokok-pangkalnya terpulang kepada beliau sendiri.

  • Sudikah Pejuang, Warisan masuk khemah besar PH?

    Sudikah Pejuang, Warisan masuk khemah besar PH?

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama kesemua parti dalam blok pembangkang dalam masa terdekat.

    Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan media yang dikeluarkan secara bersama oleh Anwar serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu hari ini menjelaskan bahawa pertemuan itu bertujuan menjemput mereka untuk menyertai atau bekerjasama dengan PH.

    “Ini selaras dengan ketetapan Pemukiman Kepimpinan PH di Port Dickson pada bulan April yang menyatakan keterbukaan PH berunding dan bekerjasama serta menggembleng seluruh tenaga di bawah konsep ‘Khemah Besar’ demi memantapkan blok pembangkang merangkumi 105 Ahli Parlimen.

    “Pertemuan tersebut antara lain akan membincangkan isu-isu politik semasa serta persiapan bagi menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula 6 September,” kata mereka.

    Walau bagaimanapun, tidak diketahui sama ada parti-parti pembangkang yang di luar kerangka rasmi PH bersetuju untuk bernaung di bawah Anwar dalam khemah besar yang ingin didirikan.

    Bukan rahsia lagi bahawa Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad kurang berkenan untuk berada di bawah telunjuk Anwar.

    Begitu juga dengan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang hubungannya dengan Anwar pernah menjadi dingin semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabah tahun lalu.

    Sekiranya mereka boleh menerima kepimpinan Anwar, sudah lama Pejuang dan Warisan menyertai gabungan PH.

    Namun, sehingga kini, perkara itu masih belum berlaku dan ikatan kerjasama antara PH serta Pejuang dan Warisan masih longgar.

    Pendirian pucuk pimpinan Pejuang dan Warisan terhadap keanggotaan dalam PH mungkin berubah sekiranya gabungan pembangkang itu tidak lagi diterajui oleh Anwar.

    Memandangkan Guan Eng dan Mat Sabu tidak mempunyai karisma yang mencukupi untuk menjadi ketua khemah pembangkang, pilihan yang tinggal hanyalah Dr Mahathir dan Mohd Shafie.

    Dr Mahathir telah membuktikan keupayaannya menerajui PH dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan begitu juga dengan Mohd Shafie yang berjaya merampas Sabah.

    Setakat ini, Anwar masih belum menunjukkan prestasi yang sama walaupun pernah beberapa kali mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen yang mencukupi sejak 2008 sehingga baru-baru ini.

    Maka, tidak hairanlah pemimpin-pemimpin muda dalam PH menggesa agar diwujudkan semula PH Plus bagi menarik minat parti-parti pembangkang yang lain bersama mereka.

    Mungkin mereka juga kurang yakin dengan kewibawaan pucuk pimpinan PH untuk menarik minat sekutu-sekutu pembangkang untuk masuk ke dalam khemah besar secara rasmi.