Tag: Wan Ahmad Fayhsal

  • Hilang sepuluh, 1,000 yang datang

    Hilang sepuluh, 1,000 yang datang

    LEBIH ramai golongan muda menyertai Armada Bersatu di Sabah walaupun parti itu kini menjadi pembangkang di negeri berkenaan.

    Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, mereka masih setia kerana yakin dengan perjuangan Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Hilang 10, 1,000 yang datang. Rupanya lebih ramai bakat-bakat hebat dalam Armada Sabah! Kali ini kesetiaan dan iltizam mereka diuji!

    “Biarpun kami kini adalah pembangkang, mereka tetap setia bersama parti kerana yakin dengan perjuangan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN),” katanya di Facebook miliknya.

    Tambah Wan Ahmad Fayhsal, kekuatan Bersatu di Sabah tidak dapat disangkal kerana biarpun Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee disabotaj, beliau tetap menang di Beluran dengan logo PN.

    Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua kepimpinan baharu Armada Bersatu di Sabah.

    “Kita teraju Sabah dalam Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya, lapor Berita Bersatu.

  • PKR, DAP dicabar dedah perbelanjaan mewah kempen PRU-15 – Armada

    PKR, DAP dicabar dedah perbelanjaan mewah kempen PRU-15 – Armada

    ARMADA Bersatu mencabar PKR dan DAP untuk mendedahkan butiran perbelanjaan dan sumber kewangan mereka semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu jika mereka berpegang kepada imej bersih dan berintegriti.

    Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kedua-dua parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) itu juga mewah berbelanja semasa kempen PRU-15 lalu, malah banyak mengadakan program hiburan, poster besar dan juga sewa helikopter digunakan pemimpin mereka.

    “Adakah PKR dan DAP berani mendedahkan pendapatan dan perbelanjaan mereka khususnya semasa kempen PRU-15?

    “Kita lihat tidak kurang juga bahan kempen yang digunakan termasuklah mengadakan program hiburan, penggunaan helikopter mewah persendirian oleh pimpinan tertinggi Pakatan Harapan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Machang itu berkata, rakyat dapat meihat dengan jelas sekali bahawa kerajaan PH-BN terdesak untuk membunuh karakter ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ yang sinonim dengan Perikatan Nasional (PN).

    Menurutnya, ini dilakukan dengan langsung menggunakan jentera kerajaan yang terkuat untuk menekan dan menindas parti lawan.

    “Bermula dengan tuduhan bahawa kononnya PN menerima dana dari tauke judi, kepada tuduhan penyelewengan RM600 billion, ternyata bahawa kesemua tuduhan ini tidak pun dapat dibuktikan sehingga ke hari ini.

    “Sebaliknya semua ini bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan demi kegagalan kerajaan ini yang saban hari semakin menampakkan ketidakupayaan mereka mentadbir sebuah kerajaan yang berkesan,” katanya.

    Malah Wan Ahmad Fayhsal menegaskan, ia juga dibuat untuk menutup amalan keji nepotisme di dalam pentadbiran pada hari ini, disamping terus dihantui oleh kes-kes mahkamah yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri.

    “Armada Bersatu percaya bahawa rakyat dapat menilai dan membuat pemerhatian yang sewajarnya.

    “Armada Bersatu juga menyeru semua penyokong Perikatan Nasional agar tabah dan bersabar serta tidak tunduk kepada desakan dan tekanan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

    Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun Bersatu bagi membantu siasatan berhubung siasatan melibatkan kempen pada PRU-15 lalu.

  • Armada Bersatu desak Wisma Putra panggil Duta Besar Sweden, Denmark

    Armada Bersatu desak Wisma Putra panggil Duta Besar Sweden, Denmark

    ARMADA Bersatu mendesak Wisma Putra memanggil kedua-dua Duta Besar Denmark dan Sweden ke Malaysia bagi menyatakan bantahan keras negara ini terhadap jenayah keji ahli politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan di Stockholm baru-baru ini.

    Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan memanggil duta berkenaan adalah penting untuk menunjukkan bahawa Malaysia memandang serius perkara itu.

    Menurutnya, ia juga bagi menunjukkan negara ini tidak akan bertolak ansur dengan jenayah yang telah berulang kali dilakukan oleh ahli politik itu.

    “Armada mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keji membakar Al-Quran oleh Paludan di Stockholm.

    “Ia dengan malangnya dibenarkan oleh kerajaan Sweden di atas nama kebebasan bersuara; yang mana Armada membantah sekeras-kerasnya pendirian yang diambil oleh kerajaan Sweden kerana kami percaya bahawa kebebasan bersuara bukanlah termasuk kebebasan untuk menghina agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, ahli politik berhaluan kanan parti Stram Kurs itu membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden dengan kawalan polis yang ketat lapor Berita Bersatu.

  • Usah tunduk tekanan Jiao Zong isu Bahasa Melayu, gesa Armada

    Usah tunduk tekanan Jiao Zong isu Bahasa Melayu, gesa Armada

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) digesa agar tidak tunduk dengan beberapa tekanan oleh Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), khususnya berhubung bank soalan Bahasa Melayu (BM) untuk Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

    Ketua Armada Bersatu Malaysia Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan, KPM perlu kekal teguh dengan dasar yang menggunakan hanya satu kurikulum dan sukatan pelajaran untuk apa-apa subjek, khususnya yang berunsur pembentukan negara bangsa.

    Kata ahli Parlimen Machang itu, KPM juga perlu bersedia membantu dalam apa jua cara dalam memudahkan dan memperkasakan pengajaran dan pembelajaran BM di semua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan.

    “Saya agak terkejut membaca keluhan Jiao Zong berhubung bank soalan Bahasa Melayu untuk Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA). Alasan pertama ialah ianya bertentangan dengan prinsip pendidikan.

    “Alasan kedua pula waktu belajar subjek BM di Sekolah Kebangsaan (SK) dan SRJK berbeza. Masa pengajaran dan pembelajaran untuk kedua-dua tahap pertama dan tahap kedua BM di SK lebih 32 jam berbanding pengajaran dan pembelajaran BM di SRJK.

    “Namun, persoalannya ialah mengapa perlu beza-bezakan soalan BM untuk SK dan SRJK walhal kurikulum pengajian bahasa di peringkat asas menuntut kepada silibus yang sama seperti yang telah diputuskan oleh Kementerian Pendidikan?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Ahmad Fayhsal turut membangkitkan persoalan apakah Jiao Zong mempunyai matlamat tertentu sehingga menuntut pelbagai perkara, termasuk penggunaan buku teks.

    “Apakah ada perbezaan prinsip dan matlamat pendidikan yang Jiao Zong perjuangkan sehingga menuntut kepada bukan saja perbezaan bank soalan malah buku teks yang berlainan?

    “Bukankah pengajaran dan pembelajaran BM di peringkat asas adalah sama untuk semua pelajar di peringkat itu tidak kira di SK ataupun SRJK?
    Mengapa waktu pengajaran dan pembelajaran BM di SRJK 32 jam lebih pendek berbanding SK?

    “Bukankah patut digandakan masa pengajaran dan pembelajaran BM agar penguasaan BM di kalangan pelajar SRJK menjadi lebih baik dan fasih?”, katanya.

    Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayshal mengingatkan Jiao Zong supaya akur dengan dasar KPM bahawa proses pendidikan di Malaysia turut merangkumi usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum, dan agama melalui penggunaan BM yang betul dan meluas.

    “Kita tidak boleh membeza-bezakan silibus yang ada kerana kita ingin melahirkan warganegara Malaysia yang punya kefahaman yang sama tentang negara bangsa Malaysia.

    “Keluhan Jiao Zong ini tidak membantu dalam usaha memupuk perpaduan nasional di peringkat paling asas iaitu peringkat persekolahan anak-anak kita.

    “Kita mahu lebih ramai pelajar-pelajar SRJK menguasai Bahasa Melayu dengan baik dan fasih kerana ianya akan membantu keboleh pasaran para pelajar SRJK dan juga mengukuhkan usaha SRJK menjayakan perpaduan nasional,” tambahnya.

    Beliau mengulas kenyataan Jiao Zong berpendapat penggunaan bank soalan yang sama untuk subjek BM bagi semua aliran sekolah adalah tidak sesuai.

    Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee dilaporkan berkata jumlah masa pengajaran BM adalah berlainan antara sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK) dan sekolah kebangsaan (SK) dan bahasa itu juga merupakan bahasa ibunda murid Melayu.

    Beliau berkata, penggunaan soalan dari bank soalan yang sama untuk UASA bagi semua aliran sekolah adalah bertentangan dengan prinsip pendidikan.

  • Piala AFF: Rakyat nak tengok Harimau Malaya bukan Jay Chou

    Piala AFF: Rakyat nak tengok Harimau Malaya bukan Jay Chou

    ARMADA Bersatu Malaysia kecewa kerana Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak digunakan secara penuh untuk perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF.

    Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pada separuh akhir Piala AFF 2018, 87,545 penyokong hadir namun pada tahun ini, 21,000 tempat duduk terpaksa dikorbankan oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang dalam proses pemasangan.

    “Kenapa konsert hiburan oleh penyanyi Taiwan ini begitu penting berbanding maruah sukan negara dan kemahuan penyokong Harimau Malaya? Di saat kita ingin pupuk perpaduan dan patriotisme negara melalui sukan khususnya bola sepak, boleh pula diberi alasan sebegitu.

    “Ini masalah bila Stadium Nasional yang sepatutnya mengutamakan sukan negara digunakan untuk acara lain yang sepatutnya boleh saja dibuat di tempat lain contohnya di Axiata Arena,” katanya di Facebook hari ini.

    Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli Parlimen Machang pada masa sama mengingatkan kerajaan khasnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bahawa, hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih!.

    Tegasnya, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh perlu gunakan segala kuasa yang beliau ada untuk perbetulkan keadaan ini.

    “Korbankan konsert artis Taiwan ini untuk membolehkan majoriti rakyat yang mahu menonton Harimau Malaya beraksi dalam sukan no. 1 negara!

    “Jangan khianati perjuangan para perwira negara kami! Ini MALAYSIA FIRST!,” katanya.

    Semalam, Yeoh dalam kenyataannya berkata, SNBJ sudah ditempah terlebih dahulu oleh Penganjur Jelajah Dunia Jay Chou pada 2019 sebelum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berbuat demikian pada 18 Ogos lalu.

    “Booking (tempahan) stadium konsert Jay Chou World Tour dibuat 13 Mac 2019 manakala AFF 2022 oleh FAM dibuat 18 Ogos 2022.

    “Konsert perlu 14 hari pasang pentas oleh 500 krew+185 krew antarabangsa, 45 jentera berat, 200 speaker & 800 lampu. Mereka dah delay 2.5hari bagi ruang AFF,” katanya.

  • Bendang rosak, pesawah terkesan punca rezeki terjejas akibat banjir

    Bendang rosak, pesawah terkesan punca rezeki terjejas akibat banjir

    AHLI Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berharap kerajaan gabungan PH-BN yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membantu golongan pesawah di Sungai Hala, di Machang, yang terkesan akibat banjir besar minggu lalu.

    Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu berkata, kerosakan infra sekitar sawah padi dan perkampungan pesawah itu juga cukup teruk di mana jalan yang rosak akibat hentaman air banjir yang deras menyukarkan para pesawah dan keluarga mereka untuk keluar masuk kawasan.

    “Musnah. Itulah keadaan kawasan bendang yang terdapat di Sg. Hala, Machang angkara banjir besar yang berlaku minggu lalu. Berekar-ekar bendang rosak dan langsung tidak boleh diselamatkan lagi. Kerugian beribu-ribu ringgit buat setiap pesawah yang terkesan dan ini menjejaskan punca rezeki mereka untuk 6 bulan akan datang.

    “Saya bersama YB Ustaz Roseli, ADUN Kemuning mendapat taklimat dan pandangan daripada beberapa pesawah-pesawah di sana. Karenah birokrasi melambatkan bantuan yang dipohon melalui borang yang diberikan Jabatan Pertanian. Saya akan bertemu dengan mereka untuk dapatkan penjelasan lanjut nanti.

    “Harapnya RM60 juta yang YAB Perdana Menteri perolehi daripada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary boleh disalurkan kepada golongan pesawah yang terkesan sebegini cuma kita masih tidak tahu ke mana wang itu akan disalurkan dan bagaimana pesawah dapat memohonnya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Bersatu.

    Wan Ahmad Fayhsal juga turut menyuarakan mengenai jambatan yang baru dibina belum siap dan sempurna untuk menampung kenderaan berat.

    “Semua ini di bawah tanggungjawab JPS Machang. Saya akan berurusan dengan mereka nanti.

    “Saya budak baru belajar. Dan saya akan terus belajar memahami denyut nadi para petani dan pesawah di Machang agar suara, harapan mereka dan penyelesaian memajukan sektor ini dapat saya utarakan dalam parlimen sewaktu perbahasan titah diraja dan Belanjawan 2023 nanti,” katanya.

  • Kubu PKR satu lagi gugur, isyarat yang jelas

    Kubu PKR satu lagi gugur, isyarat yang jelas

    KETUA Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, adalah isyarat yang jelas bahawa rakyat menolak kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) memerintah negara.

    Beliau berkata, keputusan rakyat Padang Serai mengundi PN menyaksikan satu lagi kubu kuat PKR berjaya dirampas.

    “Rakyat Padang Serai tak ambil peduli kerajaan campuran Pakatan Harapan memerintah negara, mereka tetap undi Perikatan Nasional.

    “Kubu PKR satu lagi gugur. Isyarat yang jelas,” kata Ahli Parlimen Machang itu dalam kenyataan ringkas, lapor BeritaBersatu.

    Terdahulu, Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas diumumkan memenangi kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi, sekali gus merampas kerusi itu daripada PH.

    Beliau memperoleh 51,637 undi, jauh meninggalkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi, serta calon BN, Datuk C Sivaraajh (2,983 undi).

    Dengan kemenangan Azman, PN kini memiliki 74 kerusi di Dewan Rakyat.

  • Wan Fayhsal ucap selamat pengantin baharu kepada Najib

    Wan Fayhsal ucap selamat pengantin baharu kepada Najib

    “SELAMAT pengantin baru, Dato’ Seri,” demikian ucapan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Memetik laporan Malaysiakini, ucapan itu dibuat dalam komen Facebook Najib di bawah hantaran yang memaparkan Ahli Parlimen Pekan itu bersama Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.

    Ucapan Wan Ahmad Fayhsal itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen.

    Ramai yang terkejut dengan ucapan yang ditujukan terhadap suami Datin Seri Rosmah Mansor itu.

    Ada juga yang mengaitkannya dengan gambar yang tular memaparkan seorang lelaki mirip Najib dengan beberapa individu.

  • Hei UMNO! Letaklah poster Zahid Hamidi tepi jalan… berani?

    Hei UMNO! Letaklah poster Zahid Hamidi tepi jalan… berani?

    BERANIKAH Barisan Nasional (BN) dan UMNO meletakkan poster Pengerusi dan Presiden mereka, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor?

    Cabaran itu diutarakan oleh Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, malam tadi.

    “Hei UMNO! Kita tak halanglah kamu letak poster Zahid Hamidi tepi jalan tu. Letaklah. Berani?” soalnya.

    BN dan UMNO mungkin terpaksa berfikir berjuta kali untuk menyahut cabaran itu memandangkan Ahmad Zahid sedang berdepan 87 pertuduhan berkaitan kes rasuah di mahkamah.

    Seperti yang didakwa oleh Wan Ahmad Fayhsal, UMNO kini tidak berani menegur pimpinannya yang melakukan kesalahan.

    Walau bagaimanapun, situasi adalah berbeza ketika Muhyiddin menjadi Timbalan Presiden UMNO dahulu di mana beliau berani ‘berkata benar meskipun pahit’.

    Muhyiddin juga tidak gentar dengan tekanan yang dihadapi sehingga akhirnya beliau dipecat dari UMNO kerana lantang bersuara menegur Datuk Seri Najib Tun Razak yang terpalit dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    “Pimpinan-pimpinan UMNO dan BN, saya cukup pelik. Dulu masa Tan Sri dalam UMNO, apa dia buat? Apakah mereka mempertahankan Tan Sri?

    “UMNO dan pimpinannya tidak berani menegur orang yang salah kecuali orang seperti Tan Sri. Kerana apa?

    “Kerana mereka sudah biasa dengan kepimpinan yang membodek. Ini benih-benih kehancuran orang Melayu,” jelasnya.

    Tambah beliau, keputusan mahkamah yang mendapati Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah dalam kes membabitkan SRC International membuktikan Muhyiddin berada di pihak yang benar.

    “UMNO yang salah kerana bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin yang rosak dan mengajar anak-anak kita bahawa rasuah itu tidak apa,” ujarnya.

    Wan Ahmad Fayhsal percaya anak muda zaman sekarang tidak terikut-ikut dengan budaya buruk UMNO itu kerana mereka lebih bijak menilai dan membuat pilihan.

  • Rentas negeri hasil keberkesanan perancangan Muhyiddin

    Rentas negeri hasil keberkesanan perancangan Muhyiddin

    PENCAPAIAN memberangsangkan dalam usaha kerajaan memerangi COVID-19 sehingga membolehkan rakyat melakukan perjalanan rentas negeri hari ini adalah hasil keberkesanan perancangan yang dilakukan semasa era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

    Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, jelas dilihat apa yang telah dirancang oleh kerajaan kini benar-benar berkesan.

    Menurut beliau, bukan mudah menguruskan pandemik yang tidak pernah berlaku di seluruh dunia hampir 100 tahun lamanya.

    Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu menambah, biarpun ditohmah, diganggu gugat dari musuh luar dan dalam, Muhyiddin tetap utamakan rakyat.

    “Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam dengan nikmat yang diberikan-Nya untuk kita diberi keizinan untuk rentas negeri, berjumpa dengan sanak saudara dan keluarga yang lama terpisah.

    “Kehidupan rakyat kembali pulih walaupun tidak lagi seperti dahulu. Tiada lagi kedengaran ‘kerajaan gagal’.

    “Tiada lagi tuduhan biadab daripada penghasad yang mahu gagalkan usaha pemulihan negara yang dirancang beliau,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Pada masa yang sama, Wan Ahmad Fayhsal sedar bahawa Muhyiddin tidak sempurna namun beliau tidak sesekali lari dari medan perjuangan.

    “Malah beliau berjiwa besar dengan mendirikan semula kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dijatuhkan agar agenda pemulihan negara tetap berjalan walaupun bukan beliau lagi yang mengemudi kerajaan.

    “Syabas dan tahniah kepada semua ahli jemaah menteri, barisan penjawat awam, golongan barisan hadapan yang menjayakan misi Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK).

    “Marilah kita sama-sama beri tumpuan kepada fasa pemulihan negara yang seterusnya agar keamanan dan kemakmuran dapat dikecapi bersama sebagai sebuah #KeluargaMalaysia,” jelasnya.

    Apa yang dikatakan oleh Wan Ahmad Fayhsal itu memang benar kerana pelbagai langkah memerangi COVID-19 yang dimulakan oleh pentadbiran Muhyiddin dahulu telah menunjukkan keberkesanan.

    Hasil keberkesanan PICK dan sekatan pergerakan, jumlah kes baharu COVID-19 berjaya diturunkan dan pada masa yang sama, sasaran vaksinasi lengkap 90 peratus populasi dewasa dapat dicapai dalam masa yang singkat.

    Walaupun Muhyiddin kini tidak lagi menganggotai Kabinet, beliau tetap aktif menyumbang dalam usaha memerangi COVID-19 sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

    Hakikat bahawa beliau berkhidmat secara sukarela membuktikan keikhlasannya dalam membantu pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan usaha menangani pandemik COVID-19 dan kesannya.