SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang hari ini memohon agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwanya mengeluarkan kenyataan mengelirukan dewan.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, Anwar memberikan kenyataan tersebut semasa menjelaskan isu percukaian Yayasan Albukhary.
Menurut Ketua Armada Bersatu itu, surat permohonan tersebut dihantarnya ke pejabat Speaker Dewan Rakyat semalam.
“Beliau (Anwar) jawab tempoh hari di Dewan Rakyat yang mulia ini ‘kuasa mutlak.’
“Istilah mutlak yang digunakan dalam hansard ada buktinya, bahawa kuasa memberi pengampunan cukai adalah mutlak milik ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ini tidak benar.
“Saya dah jelaskan dalam surat ini bahawa ia (kuasa) juga ada pada menteri kewangan dan inilah yang kami ingin Tambun (Anwar) minta maaf dan betulkan di Dewan Rakyat bahawa dia telah mengelirukan dewan, berprasangka buruk ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini, lapor Malaysiakini.
USUL berhubung dakwaan kegagalan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi di Dewan Rakyat telah ditolak, kata Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Beliau yang juga Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkata, walaupun soalan yang sepatutnya ditanya ketika sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQT) ditolak, pembangkang telah menyediakan usul tergempar.
“Seperti yang telah dicabar Pengarah JKOM (Jabatan Komunikasi Komuniti, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff), saya hadir ke sesi PMQT pagi ini.
“Malangnya soalan saya berkenaan lawatan rasmi Tambun ke Arab Saudi telah ditolak. Sayang peluang yang patut diterangkan dilepaskan begitu saja.
“Tetapi saya sudah sediakan ‘backup plan’ semalam iaitu Usul Tergempar dalam Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2). Maka tiada alasan tidak munasabah untuk Menteri Luar Negeri jelaskan kepada Dewan Rakyat,” katanya, lapor Sinar Harian.
Sebelum ini media melaporkan, pembangkang akan mengemukakan usul berkenaan bagi meminta penjelasan tujuan lawatan Anwar yang didakwa satu tamparan hebat ke atas Malaysia.
Dalam pada itu Wan Ahmad Fayhsal berkata, rakyat perlu tahu perkara hasil lawatan itu.
“Pembayar cukai berhak tahu apa berlaku di Arab Saudi, siapakah yang wajar bertanggungjawab dan berapa kos perbelanjaan lawatan tersebut,” katanya.
SEORANG Ahli Parlimen pembangkang mempertikaikan Pejabat Perdana Menteri (PMO) kerana tergesa-gesa merancang lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, lawatan rasmi itu disifatkan memalukan Malaysia dan Arab Saudi kerana kegagalan Anwar bertemu dengan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman dan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz.
“Mengapa PMO boleh membuat lawatan tergesa-gesa, yang mengatakan seolah-olah ada lawatan rasmi, tetapi sebenarnya tidak ada?
“Kami menuntut penjelasan tuntas daripada perdana menteri dan menteri luar negeri. Jangan kita ulangi kesilapan diplomatik yang merugikan negara,” katanya pada satu sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini, lapor MalaysiaNow.
Anwar mengakhiri lawatan ke Arab Saudi baru-baru ini tanpa bertemu rakan sejawatnya Mohammed Bin Salman.
“Sebelum berangkat pulang, kerajaan Arab Saudi juga memohon agar saya melanjutkan lawatan ini bagi membolehkan beberapa pertemuan dengan pimpinan lain dilakukan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi, namun atas kekangan waktu dan jadual mendatang yang agak padat saya harus pulang ke ibu negara,” menurut satu kenyataan oleh Anwar.
Mengulas lanjut, Wan Fayshal berkata, berbanding lawatan Anwar, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa beberapa kejayaan hasil lawatan dengan negara Arab itu antaranya tambahan kuota haji selepas Covid-19 selain minat menggandakan pembelian minyak sawit Malaysia yang mencecah RM1 bilion.
Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu berkata, Wisma Putra tidak menunjukkan butiran hasil lawatan Anwar.
“Ia memberi kesan kepada hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi.
“Apakah benar kerajaan Arab Saudi tidak mahu bertemu dengan perdana menteri,” soalnya.
Menurut beliau, PN berharap agar soalan-soalan berhubung lawatan itu akan dijawab oleh Anwar esok semasa sesi pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat esok.
LAWATAN rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi dari 22 hingga 24 Mac lalu dianggap satu “blunder” atau kesilapan besar diplomasi antara Malaysia dan Arab Saudi, sekutu utama Kuala Lumpur dalam politik antarabangsa.
Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, penjelasan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mengenai perkara itu tandanya ada krisis politik yang melatari lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi adalah benar.
“Macam mana Pejabat Perdana Menteri (PMO) boleh suruh Wisma Putra buat pemakluman media yang ini adalah lawatan rasmi kalau tidak dapat bertemu dengan Putera Raja merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, YM Putera Mohamed Bin Salman (MBS)?
“Ini jelas adalah satu “blunder” diplomasi antara Malaysia dan Arab Saudi, sekutu utama kita dalam politik antarabangsa.
“Ianya tetap satu tamparan hebat ke atas Malaysia dan kami akan usulkan dalam Dewan Rakyat jawapan sebenar berhubung kegagalan lawatan rasmi ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal meminta penyokong kerajaan belajar daripada lawatan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau melawat Arab Saudi pada 2021.
Menurutnya, terdapat protokolnya yang perlu ada iaitu:
Disambut oleh Putera Raja MBS sendiri di lapangan terbang dengan karpet merah.
Pertemuan empat mata bersama Putera Raja MBS di Istana al-Yamamah, Riyadh.
Pengumuman besar dan utama berhubung hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi, di mana ketika PM-8 Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu dengan kerajaan Arab Saudi yang diwakili oleh YM Putera Raja MBS kita mendapat 10,000 kuota haji tambahan dan kemudahan urusan imigresen buat rakyat kita menunaikan ibadah Umrah dan Haji. Manakala Arab Saudi bersetuju di masa hadapan untuk tingkatkan import minyak kelapa sawit Malaysia daripada 318,000 tonnes berjumlah RM900 juta ke 500,000 tonnes.
Lupa satu lagi – diberi penghormatan untuk masuk ke dalam Ka’bah sepertimana Perdana Menteri Malaysia sebelum-sebelum ini. Apa yang YB Pagoh lakukan sewaktu PM8 itulah namanya Lawatan Rasmi Negara. Mengeratkan lagi hubungan dan menambahkan manfaat antara kedua-dua buah negara.
“Dan bukan tak pernah YAB PMX dapat layanan rasmi seperti mana beliau ke Turki, Filipina, Indonesia sebelum ini. Tetapi di Arab Saudi lain pula jadinya. Mengapa jadi begini?,” soal beliau.
Terdahulu dalam penjelasannya, Dr Mohammad Agus yang memetik kenyataan Anwar berkata, sebenarnya, pimpinan Arab Saudi telah memohon supaya kunjungannya dipanjangkan selama dua hari lagi untuk meneruskan pertemuan dengan pimpinan negara itu.
Ini kerana Raja Arab Saudi dan Putera Mahkotanya telah menukar jadual mereka menjelang Ramadan.
Namun, Anwar terpaksa menolak dan berjanji akan datang lagi. Menolak kerana pada 25 Mac beliau dan Kabinet ada majlis berbuka puasa dengan Yang di-Pertuan Agong, 27 Mac lawatan sehari ke Kemboja, dan 29 Mac lawatan ke China bertemu dengan dua pemimpin besar China Xi Jinping & Li Qiang.
KETIKA Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) pada 1 Mac 2023 yang lalu, saya telah membangkitkan suatu isu, iaitu Deindustrialisasi Pramatang (Premature Deindustralization) yang berlaku di Malaysia.
Deindustrialisasi Pramatang ialah satu proses perubahan sosial dan ekonomi yang disebabkan oleh penyingkiran atau pengurangan keupayaan atau kegiatan industri di sesebuah negara.
Sejak awal tahun 2000, ekonomi Malaysia tertumpu kepada pelbagai sektor perkhidmatan seperti kewangan dan pelancongan bersamaan dengan 55% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sektor pengeluaran pula menguncup daripada 30% ke 22% dari KDNK Malaysia.
Hal ini menunjukkan bahawa Malaysia telah mengalami Deindustrialisasi Pramatang (Premature Deindustralization). Kita perlu perbetulkan struktur ekonomi Malaysia melalui:
(a) Menambah jumlah produk akhir (end-product), bukan hanya menambah jumlah pekerjaan.
(b) Membina kluster atau jaringan Ekonomi bagi produk akhir (end-product) tersebut.
(c) Menjadikan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebagai tunjang dengan menyemak semula mandat dan peranan asal penubuhan.
Namun begitu, saya tekankan sekali lagi, kerajaan perlu menetapkan hala tuju, sektor tumpuan, strategi, dan seterusnya pembinaan kapasiti.
SEORANG ahli Parlimen pembangkang mendakwa Kelantan mampu membangun seperti Selangor jika ia diberi peluang untuk membina pelabuhan laut dalam untuk sektor perdagangan di Pantai Timur.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) semasa perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat berkata, ini memandangkan negeri yang dipimpin PAS sejak 1990 itu mempunyai kedudukan yang strategik untuk menjana pendapatan negara.
“Dengan adanya ECRL (Laluan Rel Pantai Timur), dengan adanya pelabuhan dan dengan siapnya Lebuhraya Central Spine Road, Kelantan juga boleh membangun seperti Selangor dan negeri-negeri lain,” katanya, hari ini lapor Malaysiakini.
Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Bersatu turut menyentuh mengenai projek ECRL dengan mengingatkan agar ia tidak dijadikan projek “gajah putih”.
Tegasnya, projek itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan perancangan ekonomi yang menyeluruh agar kargo yang dibawa dari Pantai Barat merentasi Banjaran Titiwangsa sampai ke Pantai Timur untuk ke pasaran di Indochina.
Menyifatkan Kelantan sebagai “pintu masuk” Laluan Sutera Moden, beliau berkata jarak antara Tumpat ke negara-negara Indochina lebih dekat berbanding jarak antara rantau itu dengan Singapura.
“Jadi apakah salahnya kalau Kelantan diberi peluang untuk membangunkan sebuah pelabuhan laut dalam yang mampu menampung perdagangan yang ada di Pantai Timur dan Semananjung,” katanya lagi.
Sambil merujuk kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan, beliau memberitahu sekiranya Kelantan tidak mendapat royalti, sekurang-kurangnya biarlah negeri itu diberikan lesen pelabuhan laut dalam.
“Biar kami cari pendana-pendana swasta untuk bangunkan infrastruktur yang kritikal ini dan kita (Kelantan) akan bantu untuk menambah KDNK (keluaran dalam negara kasar) negara melalui gerbang timur ekonomi Malaysia,” katanya.
Pada 24 Feb, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus kerana menurut Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.
Perjanjian Pembayaran Wang Tunai yang ditandatangani antara Petronas dan kerajaan Kelantan dan Terengganu memperuntukkan dua negeri itu boleh diberi pembayaran tunai sebanyak lima peratus untuk petroleum yang didapati dan diperolehi dalam jarak tiga batu nautika dari garis air surut.
HAMBAR, dan mengecewakan! Itulah rumusan saya mendengar pembentangan daripada Menteri Kewangan tadi. Di sebalik bunga-bunga bahasa segala janji kononnya Belanjawan 2023 ini akan menghasilkan lonjakan ekonomi tidaklah seperti yang dicitrakan.
Lebih menyedihkan amat-amat sedikit disinggung peranan kerajaan untuk membantu ekonomi Melayu dan Bumiputera: negeri-negeri majoriti Melayu dan Bumiputera di Semenanjung seperti Kedah, Kelantan, Terengganu tidak langsung diberi insentif dan peruntukan pembangunan yang dapat mengubah nasib rakyat di sana. Tiada projek pemangkin ekonomi yang mahu disebut walhal keutamaan dari segi keadilan ekonomi adalah di sana seperti yang dilaporkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.
Dendam politik juga belum surut: Peruntukan untuk semua ahli parlimen pembangkang dinafikan terus. Walhal kami mendapat mandat yang besar dan jelas daripada rakyat! Manifesto Pakatan Harapan jelas berjanji memberi peruntukan sama adil buat semua wakil rakyat. Nampaknya seperti janji PTPTN dan AUKU dalam manifesto – semua itu DUSTA belaka.
Lebih malang, tiada belas ihsan untuk peneroka FELDA yang mana hutangnya telah Tan Sri Muhyiddin Yassin langsaikan tapi kini dibatalkan semula. Benda baik teruskan saja, mengapa dibuat begini? Adakah kerana majoriti pengundi FELDA memilih Perikatan Nasional tempoh hari?
Lain pula nikmatnya untuk negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP: lapangan terbang dibesarkan tapi untuk Kedah, dibatalkan projek lapangan terbang untuk Kulim yang mampu mengangkat taraf sosio ekonomi dan industri orang Melayu di sana.
Banyak lagi perkara tempang yang kami akan angkat dan bahaskan minggu hadapan. Bak kata pepatah: “the devils are in the details”!
Oh lupa nak tanya: syarikat swasta mana nak bangunkan pelabuhan di Pulau Carey yang diumumkan tadi? Khabar angin bertiup kencang dari kalangan orang-orang pelabuhan: jangan harus digadaikan kedaulatan negara dalam perang proksi kuasa besar!
Kami akan semak dan imbang nanti semua butiran yang tempang ini dalam perbahasan minggu hadapan.
CADANGAN daripada ahli parlimen Pakatan Harapan dan PKR ini jelas berisiko tinggi untuk membantu PETRONAS menjadi lebih maju dan berdaya saing.
PETRONAS adalah “Ayam Tambatan” negara untuk menjana kekayaan dalam dan luar Malaysia. Hak milik 100% ke atasnya melalui kerajaan Malaysia WAJIB DIPERTAHANKAN seperti termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974.
Kalaupun mahu “cungkil” potensi PETRONAS di pasaran saham – gunakanlah anak-anak syarikat yang telah sedia tersenarai di Bursa seperti PETRONAS Gas Berhad, PETRONAS Dagangan Berhad dan lain-lain.
Seperti ulasan Tan Sri Ramon Ravaratnam, cadangan ini membuka ruang untuk PETRONAS dimiliki pihak asing yang memungkinkan syarikat minyak negara ini hilang daripada kawalan kita satu masa nanti (Rujuk: https://www.freemalaysiatoday.com/…/privatising…/).
Cukuplah pengajaran menyenaraikan aset FELDA melalui FGV oleh DS Najib Razak dahulu dengan menjualnya kepada kroni beliau Peter Sondakh daripada Eagle High sehingga jatuh rugi teruk saham, juga meninggalkan hutang yang perlu ditanggung oleh para peneroka FELDA yang kemudiannya ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri telah bantu hapuskan hutang tersebut.
Ini cara berniaga Neoliberalisme – semua perkara nak dijarah melalui Penswastaan yang tidak cermat. Kita tidak anti Penswastaan tapi biarlah niat dan cara itu betul.
Saya akan bahas bagaimana kita dapat bantu PETRONAS menjadi lebih hebat dan berdaya saing dalam sesi Perbahasan Peringkat Dasar Belanjawan 2023 pada awal Mac nanti.
PENULIS adalah Ahli Parlimen Machang dan Ketua Portfolio Antarabangsa Perikatan Nasional
AHLI Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan beliau mengelirukan Dewan Rakyat berhubung janji Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara bersasar.
Tegas beliau, PH memang ada meletakkan janji tersebut dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15.
Manfesto pendidikan PH PRU-15
Beliau mengulas usul yang dibuat oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya Dewan Rakyat mengambil tindakan terhadap dirinya kerana membuat kenyataan mengelirukan berhubung janji tersebut.
“Saya nak tunjuk kepada media ini manifesto PH pengampunan hutang PTPTN bersasar ada. Ada kenyataan dibuat. Saya tidak menyalahi Dewan Rakyat. Saya tidak kata hutang PTPTN ini dihapuskan secara total tetapi saya kata memang ada.
“Saya tanya apa iltizam kerajaan. Apakah polisi kerajaan hari ini berhubung hutang PTPTN,” kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Bersatu Malaysia berkata, anak muda ingin tahu mengenai polisi tersebut.
Menurut beliau, berdasarkan jawapan Rafizi, beliau yakin PH tidak ingin menunaikan janji berkenaan.
“Manifesto ini nampaknya tidak ingin dijadikan rujukan oleh mereka untuk dilunaskan janji-janji selepas menjadi kerajaan. Kalau kita imbau, banyak pihak berjanji dan orang yang paling banyak janji dengan formula adalah YB Pandan.
“Jangan kata, ini bukan kita suci lagi. Saya rasa kita sudah melepasi fasa tersebut. Apakah pendirian sebenar kerajaan. Itu saya tidak nampak,” katanya.
Rafizi hari ini berkata, beliau akan mengusulkan supaya Dewan Rakyat mengambil tindakan terhadap Wan Ahmad Fayhsal.
Menteri Ekonomi itu berkata, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa manifesto ada menjanjikan untuk menghapuskan pinjaman PTPTN.
“Mengikut peraturan 36(12) mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan adalah disifatkan menghina majlis, dan ahli tu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.
“YB Machang sebelum ini menyatakan bahawa dalam manifesto PH sebelum ni (ada janji) menghapuskan PTPTN. Itu satu pembohongan kerana tak ada janji tu dalam manifesto PH baru-baru ini.
“Perkara itu suatu pembohongan yang jatuh (merujuk) kepada Perkara 36 (12). Saya minta dewan ambil tindakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini, lapor BeritaBersatu.
Rafizi berkata demikian ketika mencelah sewaktu sesi soalan tambahan dari Wan Ahmad Fayhsal berhubung usaha kerajaan untuk membantu golongan miskin dan isi rumah B40 dalam pembayaran pinjaman PTPTN.
Usul tersebut mendapat keizinan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Noor yang kemudian meminta Rafizi membuat usul tersebut secara bertulis.
AHLI Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli dilapor akan mengusulkan supaya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) dirujuk kepada Jawatankusa Hak dan Kebebasan kerana membuat kenyataan mengelirukan Dewan.
Memetik laporan Astro AWANI, Mohd Rafizi berkata, dakwaan Wan Ahmad Fayhsal manifesto Pakatan Harapan (PH) Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ada menjanjikan untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah tidak benar.
Menurutnya, janji seperti mana yang didakwa Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu merupakan satu pembohongan.
“Mengikut peraturan 36(12) mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis, dan ahli tu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.
“YB Machang sebelum ini menyatakan bahawa dalam manifesto PH sebelum ini (ada janji) menghapuskan PTPTN.
“Itu satu pembohongan kerana tak ada janji tu dalam manifesto PH baru-baru ini.
“Perkara itu suatu pembohongan yang jatuh (merujuk) kepada Perkara 36 (12). Saya minta Dewan ambil tindakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Usul tersebut mendapat keizinan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Noor yang kemudian meminta Rafizi membuat usul tersebut secara bertulis.
Rafizi berkata demikian ketika mencelah sewaktu sesi soalan tambahan dari Wan Ahmad Fayhsal berhubung usaha kerajaan untuk membantu golongan miskin dan isi rumah B40 dalam pembayaran pinjaman PTPTN.
Terdahulu sewaktu sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan, Wan Ahmad Fayhsal meminta Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin menyatakan bila program pemansuhan hutang PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan B40 akan mula diperkenalkan.