Tag: UMNO

  • Terikut-ikut rentak kluster mahkamah, Tok Mat mengecewakan akar umbi

    Terikut-ikut rentak kluster mahkamah, Tok Mat mengecewakan akar umbi

    RAMAI ahli akar umbi UMNO mengharapkan Datuk Seri Mohamad Hasan yang lebih popular dengan gelaran Tok Mat akan menjadi ejen perubahan dalam UMNO yang kini dicengkam kuat oleh kluster mahkamah.

    Timbalan Presiden UMNO itu dilihat mempunyai karisma dan daya kepimpinan yang diperlukan untuk membersihkan imej parti yang membusuk selepas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meletup.

    Beliau diyakini berupaya menarik semula sokongan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan parti dipimpin oleh seorang Presiden dan Pengerusi yang sedang berdepan 87 pertuduhan berkaitan rasuah di mahkamah.

    Rekod Mohamad selaku Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau memang bersih. Tidak pernah terpalit dengan sebarang skandal penyelewengan atau salah guna kuasa.

    Dengan berbekalkan pengalaman yang panjang dalam sektor korporat, Tok Mat berjaya mentransformasikan Negeri Sembilan dari sebuah negeri yang jauh ketinggalan dari segi kemajuan kepada negeri yang pesat membangun.

    Atas dasar itu, majoriti ahli akar umbi UMNO percaya beliau mampu mengembalikan kegemilangan parti setelah jatuh tersungkur pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) angkara skandal 1MDB yang memalukan negara di seluruh dunia.

    Mohamad telah membuktikan kemampuan beliau selaku panglima yang berwibawa dengan menghadiahkan kemenangan kepada parti dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU-14 serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

    Pernah juga timbul desakan halus daripada akar umbi yang mahu Tok Mat diberi kepercayaan mengemudi kepimpinan UMNO dan BN manakala Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disarankan supaya bercuti sehingga kes mahkamahnya selesai.

    Namun, sejak kebelakangan ini, ramai akar umbi UMNO yang kecewa apabila Mohamad mula terikut-ikut rentak kluster mahkamah lebih-lebih lagi dalam mendesak agar Parlimen dibubarkan lebih awal.

    Mereka berpandangan, peluang Tok Mat untuk pergi lebih jauh dalam UMNO akan terbantut apabila pemilihan parti diadakan selepas PRU-15.

    Ramai yang bimbang cengkaman kluster mahkamah dalam parti akan lebih kuat sekiranya mereka berjaya memegang jawatan penting dalam kerajaan termasuk Perdana Menteri.

    Andainya senario itu berlaku, memang amat malang sekali bagi UMNO. Lebih malang lagi, Tok Mat yang diharapkan untuk mentransformasikan UMNO akhirnya terpaksa akur dengan kehendak kluster mahkamah.

    Masih belum terlambat untuk memperbetulkan keadaan. Kem yang masih waras dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO boleh menghalang kluster mahkamah daripada terus bertindak sewenang-wenangnya dengan memperalatkan akar umbi khususnya perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung.

    Besar harapan akar umbi agar Tok Mat kekal menjadi seorang pemimpin yang teguh berpegang pada prinsip dan berani menegakkan kebenaran walaupun berdepan tekanan yang amat hebat daripada kluster mahkamah dalam parti.

  • ‘Saya lebih senior daripada Presiden UMNO’ – Annuar Musa

    ‘Saya lebih senior daripada Presiden UMNO’ – Annuar Musa

    TAN SRI Annuar Musa hari ini menegaskan beliau memiliki track record atau rekod baik dan sentiasa setia kepada UMNO walaupun pernah dikritik pelbagai pihak kerana lantang bersuara selain dilabel sebagai duri dalam daging dalam parti itu.

    Bagi beliau, 34 tahun menjadi Ketua UMNO Bahagian Ketereh serta lebih 40 tahun menjadi ahli parti dengan nombor keahlian 124, bukanlah suatu tempoh singkat meskipun mengakui mempunyai pendapat berbeza dengan pimpinan parti dan pandangan tersendiri dalam beberapa perkara tertentu sejak dahulu lagi.

    Menekankan bahawa kesemua perbezaan itu bukan sesuatu bersifat peribadi, Annuar berkata, beliau amat menghormati institusi parti serta jawatan, dan bukannya untuk menjadi ‘pak turut’ semata-mata.

    “Krisis UMNO berulang kali saya tidak tinggal UMNO, ada jawatan saya kerja tak ada jawatan pun saya kerja, bertanding kalah pun saya sokong UMNO. Stail politik saya memang begitu saya tak suka bodek orang, saya jenis setia.

    “Saya bukan jadi ahli UMNO 10 tahun, saya ahli UMNO seumur hidup yang sudah jadi ahli lebih 40 tahun, sebenarnya saya lebih senior daripada Presiden UMNO, saya jadi menteri lebih awal, saya jadi ahli Majlis Tertinggi lebih awal, saya jadi Ketua UMNO Bahagian lebih lama,” katanya.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata demikian dalam wawancara khas “UMNO: Masa Hadapan Yang Lebih Baik” dalam program Ruang Bicara dihoskan Sherkawi Jirim terbitan Bernama TV malam ini.

    Annuar berkata, sebelum ini beliau pernah menyuarakan teguran kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau berusia 27 tahun, namun selepas itu tetap dipilih menjadi ahli kabinet Dr Mahathir – tanpa beliau membodek dan meminta-minta jawatan.

    “Ada perkara saya tak setuju saya cakap,” kata Annuar yang pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Pembangunan Luar Bandar semasa pentadbiran Dr Mahathir.

    Berhubung soal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO itu berkata, parti tidak boleh bertindak tergesa-gesa untuk mengadakannya dan perlu mengambil kira sentimen rakyat terlebih dahulu, misalnya yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19.

    “Jangan lupa baca juga sentimen rakyat, jangan ambil formula salah. Jika nak buat PRU boleh tapi pastikan semak sumber, organisasi, logistik, strategi dan partner (rakan parti politik),” katanya.

    Mengambil kira strategi pengundi muda berikutan Undi18, jelasnya UMNO perlu memperagakan imejnya sebagai parti yang membela golongan muda yang mempunyai idealisme tinggi memandangkan mereka tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti politik.

    Mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang akan berakhir esok, Annuar memuji ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkannya disampaikan dengan penuh berhemah dan berlapik, di saat bekas Timbalan Perdana Menteri itu sendiri berdepan pelbagai cabaran menguruskan parti selepas kekalahan pada PRU14.

    “Rapatkan saf, perbaiki parti kita, jangan semberono dalam tindakan, pada saya masa hadapan UMNO cerah,” katanya. – BERNAMA

  • Pulihkan ekonomi negara dahulu, baru buat PRU-15

    Pulihkan ekonomi negara dahulu, baru buat PRU-15

    UMNO dan Barisan Nasional (BN) sepatutnya menunggu sehingga ekonomi negara yang terjejas akibat krisis pandemik COVID-19 pulih dahulu sebelum mendesak kerajaan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata, prestasi UMNO dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka tidak seharusnya dijadikan sandaran untuk membuat desakan tersebut.

    Beliau mengingatkan para pemimpin dan ahli UMNO bahawa purata jumlah pengundi pada dua PRN terbabit adalah sekitar 55 peratus sahaja.

    “Ini satu isu serius, jangan kita ambil mudah dengan melihat 55 peratus jumlah keluar mengundi di Johor satu penanda aras untuk kemenangan melalui PRU15 akan datang.

    “Lebih baik baiki dahulu, pulihkan dahulu ekonomi, pelaburan langsung asing (FDI), hubungan luar dan sebagainya, bagi ada sesuatu, bagi ada asas untuk kita jual kepada rakyat.

    “Bukan jual dalam keadaan tidak baik, kita kempen kepada rakyat, produk kita, kita berjaya buat, kita berjaya ubah walaupun kita dalam keadaan tidak dominan.

    “Lepas itu baru kita boleh pergi kepada pilihan raya, orang kenal, mereka fikir soal makan, atas meja ini cukup makan atau tidak, ini soal impak ekonomi,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette.

    Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob membubarkan Parlimen.

    Gesaan serupa turut disuarakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Desakan agar Parlimen dibubarkan lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah mencetuskan polemik dalam UMNO.

  • Kalau Kabinet tak setuju, tak boleh bubar Parlimen juga

    Kalau Kabinet tak setuju, tak boleh bubar Parlimen juga

    PERDANA Menteri hanya boleh mempersembahkan cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selepas keputusan dibuat oleh Kabinet.

    Bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pembubaran Parlimen adalah tidak semudah yang disangka setengah pihak.

    “Dari segi perlembagaan yang menasihatkan Agong bukan Perdana Menteri seorang, (tapi) itu keputusan Kabinet.

    “Perdana Menteri bawa (cadangan) ke Kabinet, kalau Kabinet setuju barulah Perdana Menteri boleh bawa menghadap Agong.

    “Kalau Kabinet tak setuju tak ada apa yang boleh dibawa Perdana Menteri kepada Agong,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata demikian pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

    Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen.

    Gesaan serupa turut disuarakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Desakan agar Parlimen dibubarkan lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah mencetuskan polemik dalam UMNO.

    Tajuddin juga menjangkakan akan ada perbezaan pandangan dalam kalangan perwakilan UMNO yang menghadiri perhimpunan agung kali ini terhadap cadangan tersebut.

    Menurut beliau, ada ahli yang berpendapat sekarang adalah masa untuk UMNO menumpukan khidmat mereka kepada rakyat yang sedang berdepan dengan pelbagai masalah.

    “Itulah juga nasihat Agong dalam titah baginda semasa merasmikan Parlimen baru-baru ni,” jelasnya lagi.

    Dalam pada itu, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, segala langkah untuk membubarkan Parlimen seharusnya tidak melebihi kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Beliau memberitahu, segala keputusan itu akan datang dengan nasihat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Jangan kita melebihi dan terlanjur dalam kita nak pastikan sesuatu kita semua kena tahu kedudukan masing-masing, kedudukan parti, kedudukan PM dan juga tanggungjawab dan kuasa untuk menentukan kuasa di bawah Seri Paduka,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette.

  • Bincang dulu dengan Muhyiddin, Hadi kalau mahu bubar Parlimen

    Bincang dulu dengan Muhyiddin, Hadi kalau mahu bubar Parlimen

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu berbincang dengan parti-parti lain yang membentuk kerajaan terlebih dahulu sekiranya beliau mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

    Memetik laporan Astro Awani, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, perbincangan itu perlu dilakukan kerana UMNO bukan lagi parti dominan dalam kerajaan.

    “Sebelum ini UMNO adalah parti dominan jadi Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri boleh buat keputusan untuk bubar Parlimen tanpa bincang dengan parti lain.

    “Sekarang sudah berbeza, UMNO bukan parti dominan dan kerajaan yang ada hari ini dibentuk hasil kerjasama dan persefahaman dengan parti-parti lain yang di luar Barisan Nasional (BN).

    “Jadi kalau Zahid nak sangat Parlimen dibubarkan, beliau perlu pergi bincang dengan Muhyiddin, Hadi dan yang lain-lain.

    “Selesaikan di peringkat parti-parti yang membentuk kerajaan, dapatkan persetujuan barulah mintak Perdana Menteri bubar,” katanya.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu Parlimen dibubarkan segera bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Desakan agar Parlimen dibubarkan lebih awal telah mencetuskan polemik dalam UMNO.

    Dalam pada itu, memetik laporan Malaysiakini, Mohamed Nazri meminta pemimpin-pemimpin menggunakan otak sebelum mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen.

    “Kalau kita sekarang ni nampak sebagai parti, ada peluang nak menang besar, siapa yang nak kita dahulukan? Kepentingan parti ke atau kepentingan rakyat?

    “Rakyat masih belum sedia lagi… pandemik. Pakailah otak sikit.

    “Jangan hanya cogan kata sekadar cogan kata sahaja. Tapi apabila (bab) tindakan, sebenarnya kita oportunis. Kononnya kita menang di Melaka, di Johor, maka kita rasa ini peluang untuk kita menang, maknanya kita oportunistik.

    “Makna parti ini hanya memikirkan parti saja, tidak memikirkan rakyat. Tanyalah rakyat dulu. Rakyat susah yob,” katanya.

    Sementara itu, memetik laporan BN, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berpandangan, UMNO tidak boleh membuat keputusan secara bersendiri mengenai PRU-15 kerana berada dalam kerajaan yang mempunyai gabungan dengan parti lain.

    “Apa yang penting, soal pembubaran Parlimen ini adalah satu daripada tiga perkara yang menjadi kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong. Jadi, apa juga yang mahu dibincangkan tidak boleh mendahului kuasa baginda. Ada sesetengah orang tidak faham, ingat semuanya kuasa Perdana Menteri.

    “Soal pembubaran Parlimen perlu dibincang secara tertib dan saya nampak, Presiden cukup cermat dalam ucapannya tadi, yang mengatakan perkara itu diserahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukannya,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh.

  • BN menang PRN kerana prestasi baik menteri UMNO – Hishammuddin

    BN menang PRN kerana prestasi baik menteri UMNO – Hishammuddin

    KEJAYAAN Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka adalah kerana prestasi baik yang ditunjukkan oleh menteri-menteri UMNO dalam kerajaan.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata demikian kepada pemberita pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

    “Kalau menteri kita tak ‘perform’ (tunjuk prestasi baik), saya rasa parti tak akan mencapai keputusan yang membanggakan pada PRN kerana prestasi kita pada PRN juga bersandarkan kejayaan dan prestasi kita dalam kerajaan,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan perasmian perhimpunan sayap UMNO berkata, prestasi wakil UMNO dalam kerajaan ketika ini tidak meyakinkan.

    Beliau mengakui, wakil parti dalam kerajaan telah cuba melakukan sehabis baik, namun hasilnya tidak menyerlah.

    Mengulas perkara itu, Hishammuddin berkata, sebagai wakil UMNO dalam kerajaan, beliau turut mempersoalkan prestasi dirinya seperti dimaksudkan Mohamad.

    “Apa bezanya Menteri Pertahanan (saya) sekarang dengan prestasi Menteri-menteri Pertahanan sebelum saya yang kebetulan, Presiden parti sendiri dan Datuk Seri Najib Razak? Jadi apa bezanya, orang tuduh menteri-menteri UMNO tak perform?” soalnya.

    Bekas Naib Presiden UMNO itu menambah, kenyataan sedemikian tidak seharusnya dilontarkan.

  • Buat pemilihan UMNO sebelum PRU-15, ada berani?

    Buat pemilihan UMNO sebelum PRU-15, ada berani?

    KETIKA ini UMNO dalam keadaan cacamarba dan bercelaru. Terlalu banyak puak dalam parti itu sehingga menyebabkan akar umbi keliru mana satu yang mereka perlu ikut.

    Ada team Zahid, team Tok Mat, team Bossku Najib Razak, team Pak Long Mail dan tidak kurang juga team H20.

    Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai pengaruh sebagai Presiden dan begitu juga dengan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Walaupun hanya memegang jawatan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memiliki kekuatan selaku Perdana Menteri yang mengepalai jentera pentadbiran kerajaan.

    Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula tidak menyandang sebarang jawatan dalam Majlis Tertinggi UMNO. Kedua-duanya tidak bertanding untuk sebarang jawatan dalam pemilihan parti yang lalu.

    Namun, mereka ada pengikut setia yang bersedia untuk digerakkan bila-bila masa jika diperlukan.

    Situasi berpuak-puak ini menunjukkan pengaruh Ahmad Zahid selaku pemimpin nombor satu UMNO adalah lemah. Beliau gagal memastikan hanya satu team yang wujud dalam parti itu.

    Sehubungan itu, memang amat wajar UMNO mengadakan pemilihan segera sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memperbetulkan keadaan dan menyatupadukan ahli-ahli parti di bawah satu pasukan.

    Tetapi Wak Jahid memang pandai bermain taichi. Nampaknya Ahmad Zahid mahu UMNO bertanding pada PRU-15 dengan beliau masih bergelar Presidennya.

    Maka, dijajanya alasan sebanyak 186 bahagian UMNO yang telah mengadakan mesyuarat bersetuju agar pemilihan parti diadakan selepas PRU-15. Cuma empat bahagian yang mengambil pendirian berbeza.

    “Ini bukan keputusan saya. Ini keputusan saudara-saudari sewaktu Mesyuarat Perwakilan di Bahagian masing-masing. Sudah menjadi kelaziman sebelum ini bahawa pemilihan parti diadakan selepas PRU. Bertahun-tahun ia diamalkan.

    “Adakah wajar kita mengubah tradisi ini? Janganlah kita memakai kasut sebelum menyarung stokin!” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

    Tidak dapat dipastikan sama ada majoriti cawangan UMNO dan akar umbi juga berpendirian serupa. Ada ahli-ahli UMNO secara terang-terangan bersuara dalam media sosial mahu parti dibebaskan daripada cengkaman kluster mahkamah sebelum PRU-15.

    Pucuk pimpinan UMNO sepatutnya menyantuni pandangan ahli-ahli biasa dan bukannya percaya bulat-bulat para ‘warlord’ yang hanya tahu membodek untuk menyelamatkan punggung sendiri.

    Jika tidak, kekecewaan akar umbi akan dilampiaskan pada PRU-15 dan tidak mustahil mereka enggan mengundi kerana kecewa dengan sikap pucuk pimpinan parti itu yang masih angkuh dan sombong selepas ‘diajar’ oleh rakyat pada PRU-14.

  • Tangguh PRU-15 hingga kesihatan awam stabil – Khairy

    Tangguh PRU-15 hingga kesihatan awam stabil – Khairy

    TANGGUHKAN dahulu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sehingga kesihatan awam di negara ini benar-benar dalam keadaan stabil, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Beliau juga percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempertimbangkan banyak faktor ekoran desakan UMNO agar Parlimen dibubarkan lebih awal.

    “Sebagai Menteri Kesihatan, wajar kita tunggu dulu, sehingga keadaan kesihatan awam stabil dan saya lihat semangat Presiden parti,betul, walaupun dari segi akar umbi UMNO mengkehendaki pilihan raya awal, tapi akhirnya dia kata serahkan kepada Perdana Menteri.

    “Perdana Menteri akan mengambil kira pandangan bukan saja dari soal pemulihan pemulihan negara, perjanjian pembangkang untuk reformasi institusi, tetapi juga saya percaya dia akan mendengar pandangan Kementerian Kesihatan berkenaan kesihatan awam kita.

    “Kita akan masuk fasa peralihan endemik, tapi lebih baik kita tangguh dahulu perkara yang merumitkan ini. PRU adalah perkara yang boleh kita tangguhkan dahulu sehingga keadaan kesihatan awam lebih stabil,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu berkata demikian ketika sidang media dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa Parlimen dibubarkan segera bagi memberi laluan kepada PRU-15.

    Desakan agar Parlimen dibubarkan lebih awal telah mencetuskan polemik dalam UMNO.

    Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan, parti perlu mengambil kira perjanjian yang dimeterai dengan pembangkang sebelum ini.

    Selain itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa kelihatan keberatan untuk parti itu membincangkan hal tersebut secara terbuka.

    Khairy pernah menyuarakan pandangan sama, juga atas sebab yang sama, sebelum ini.

    Disoal bila anggaran masa yang diperlukan untuk tahap kesihatan awam negara mencapai kestabilan, Khairy memberi anggaran ia mengambil masa beberapa bulan.

    Beliau mahu melihat dahulu kesan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April ini, selain daripada kelonggaran prosedur operasi standard yang telah dijalankan seperti kelonggaran solat tarawih pada bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

  • Persoal MoU kerajaan & pembangkang, apa motif Zahid?

    Persoal MoU kerajaan & pembangkang, apa motif Zahid?

    PADA 13 September tahun lalu, kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melakar sejarah dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Pakatan Harapan di bangunan Parlimen.

    MoU yang bertujuan membentuk satu kerjasama dwipartisan yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 hari yang sama.

    MoU yang terhasil dari beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang itu ditandatangani secara bersama oleh Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Turut menandatangani MoU itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

    Semua pihak khususnya rakyat menyambut baik inisiatif berkenaan bagi meredakan keadaan akibat gejala berpolitik tidak berkesudahan walaupun ketika negara dilanda krisis COVID-19.

    Mereka berharap kestabilan politik yang dihasilkan ekoran MoU tersebut akan menyumbang kepada proses pemulihan ekonomi dan mengembalikan kesejahteraan hidup rakyat yang terjejas.

    Malangnya, usaha murni itu dipandang serong oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Ahmad Zahid Hamidi yang menimbulkan keraguan terhadap MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

    Dalam ucapan dasarnya yang disampaikan pada Perhimpunan Agong UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini, beliau mendakwa, pihak lawan mempunyai ‘muslihat tertentu’.

    “Dalam legenda Helen of Troy, seorang wanita telah menghancurkan sebuah negara daripada dalam. Kita seharusnya sedar bahawa lawan-lawan kita itu tidak pernah berhenti daripada berusaha untuk menghancurkan kita.

    “Apabila mereka bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman, ia bererti mereka ada muslihat tertentu. Saya percaya, mereka menerima kita, kerana mereka tahu itulah cara mereka boleh membunuh kita.

    “They never love us! Bacalah perlembagaan setiap parti lawan kita. Sedarlah! You are sleeping with your enemies. Mereka menyimpan belati dalam selimut kita. Apakah kita mahu menyambung MOU itu lagi?” katanya.

    Mungkin Ahmad Zahid terlupa bahawa UMNO yang sebenarnya telah mengkhianati MoU Transformasi dan Kestabilan Politik apabila mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor tanpa alasan yang kukuh.

    Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan Johor tetap dibubarkan walaupun wakil-wakil rakyat dari Bersatu dan PAS telah memberi jaminan tidak akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang diketuai oleh pemimpin UMNO.

    Situasi sama juga dijangka berulang di peringkat kerajaan Persekutuan apabila pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO termasuk Ahmad Zahid sendiri mendesak agar Parlimen dibubarkan lebih awal dalam keadaan pembangkang masih menghormati MoU berkenaan.

  • Zahid tetap berkeras mahu Parlimen bubar awal

    Zahid tetap berkeras mahu Parlimen bubar awal

    WALAUPUN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengingatkan bahawa kuasa membubarkan Parlimen adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong, UMNO tetap berkeras mahu perkara itu dilakukan segera.

    Desakan itu diulangi lagi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini.

    “Jadi hendak tunggu apa lagi? Bubarkan Parlimen,” katanya.

    Pada masa yang sama, beliau berkata, UMNO faham bahawa kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah keputusan Kabinet, di mana Perdana Menteri yang akan berurusan dengan memohon perkenan kepada DYMM Yang DiPertuan Agong.

    “Kita tidak mahu mengganggu urusan itu. Tetapi, UMNO sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, kita ada kuasa untuk menentukan arah tuju parti kita sendiri,” ujarnya.

    Semalam, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, adalah tidak wajar UMNO dilihat mahu mengambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong apabila mengambil pendirian mendesak agar parlimen dibubarkan segera.

    Menurut beliau, pembubaran Parlimen serta pelaksanaan pilihan raya umum (PRU) merupakan kuasa Seri Paduka.

    Ismail Sabri turut mengesahkan bahawa setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi dibuat oleh badan dalam UMNO mengenai pembubaran Parlimen.

    “Ini semua perlu dibincangkan dengan Agong. (Kalau) kita tetapkan tarikh kita sendiri, nanti Agong kata kita ambil alih kuasa dia. Jadi, jangan ambil alih kuasa Agong… kita tunggu. Apa-apa pun, kita akan bincang. Tapi saya dah kata, mula-mula kita bincang dalam parti dahulu.

    “(Setakat ini) Parti pun tak bincang lagi. Tunggu, bincang dalam partilah,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Desakan agar Parlimen dibubarkan lebih awal yang sebelum ini disuarakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mencetuskan polemik dalam UMNO.

    Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan, parti perlu mengambil kira perjanjian yang dimeterai dengan pembangkang sebelum ini.

    Selain itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa kelihatan keberatan untuk parti itu membincangkan hal tersebut secara terbuka.

    Sebahagian besar akar umbi UMNO bimbang tragedi hitam yang menimpa parti pada PRU-14 akan berulang sekiranya Parlimen dibubarkan sebelum parti sempat mengadakan pemilihan.

    Sekiranya senario itu berlaku, UMNO terpaksa bertanding pada PRU-15 di bawah telunjuk kluster mahkamah sekali gus boleh menjejaskan sokongan rakyat khususnya golongan atas pagar yang mahu negara dipimpin oleh tokoh-tokoh yang bersih dan berintegriti.

    Walau bagaimanapun, dalam ucapan dasarnya, Ahmad Zahid mengingatkan, “adat ahli adalah menghormati keputusan parti”.

    Dalam hal ini, ahli-ahli UMNO terpaksa menekan hakikat yang pahit iaitu Ahmad Zahid yang sedang berdepan 87 tuduhan berkaitan rasuah di mahkamah akan menjadi panglima perang mereka pada PRU-15.