Tag: Tuan Ibrahim Tuan Man

  • PRU-15: Muslimat PAS usul kuota 30 peratus calon wanita bertanding

    PRU-15: Muslimat PAS usul kuota 30 peratus calon wanita bertanding

    DEWAN Muslimat PAS Pusat hari ini mahu lebih ramai calon wanita diketengahkan parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

    Mengusulkan perkara itu, ketuanya Senator Nuridah Mohd Salleh berkata sayap berkenaan mencadangkan supaya diberikan kuota sebanyak 30 peratus untuk wanita bertanding mewakili parti di setiap negeri pada PRU15.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Muslimat PAS ke-62, sempena Muktamar Tahunan PAS ke-68, yang dirasmikan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, di sini.

    Nuridah berkata pada PRU14 yang lepas, seramai 39 calon wanita telah diketengahkan parti membabitkan 10 kerusi Parlimen dan 29 kerusi Dewan Undangan Negeri.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim yang mengulas usul Muslimat itu berkata pucuk pimpinan sedia menilainya dan perbincangan lanjut akan diadakan.

    “Secara asasnya PAS bersetuju supaya peranan Muslimat diangkat selari dengan cabaran dihadapi golongan itu pada masa kini sekali gus memberi peluang lebih ramai wanita bertanding pada pilihan raya akan datang.

    “Kita juga menyedari bahawa separuh daripada pengundi kita adalah dalam kalangan Muslimat, sehubungan itu saya menyokong apa yang disebut Ketua Dewan Muslimat untuk meletakkan lebih ramai calon wanita dalam PRU ke-15,” katanya.- BERNAMA 

  • Tuan Ibrahim garis tiga strategi semasa Konvensyen PN

    Tuan Ibrahim garis tiga strategi semasa Konvensyen PN

    KONVENSYEN Perikatan Nasional (PN) 2022 perlu memantapkan sekurang-kurangnya tiga strategi dalam membentuk kekuatan gabungan itu.

    Memetik laporan Harakahdaily, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pertama ialah konvensyen itu adalah sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Kedua kata beliau, setiap perkara yang dibicarakan dalam konvensyen itu memerlukan tindakan susulan, iaitu memperkasakan agenda bertindak di peringkat negeri, bahagian dan kawasan.

    “Kita perlu menggarapkan kekuatan semua organisasi dan ketiga yang juga paling penting ialah kepatuhan kepada keputusan parti dalam menghadapi PRU15.

    “Bagi menghadapi cabaran ini, kita perlu menyedari bahawa PN mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.

    “Namun, kita yakin kekuatan yang ada dan rakan kita memerlukan suatu garapan bagi membentuk satu kekuatan,” katanya pada Konvensyen PN 2022 di MAEPS Serdang, hari ini.

    Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, PN juga perlu membicarakan persamaan sesama parti, sama ada di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

    Katanya, ini memerlukan keikhlasan dalam perjuangan dan pada masa sama, ahli perlu patuh dan mendukung keputusan parti, bukan merajuk dalam PRU15.

    “Pas bersama rakan dalam kerajaan mendukung Rang Undang-Undang Antilompat yang dibentangkan di Parlimen dan kita juga ke arah mewujudkan pendanaan politik supaya negara menuju ke arah berintegriti dan bebas rasuah,” katanya.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, PN yang berusia dua tahun, suatu tempoh yang singkat dalam konteks muafakat politik berdepan pelbagai cabaran.

    Menurutnya, dua tahun adalah tempoh bagi meletakkan asas bagi pengukuhan muafakat politik dan cabaran yang dihadapi kali ini tentu jauh berbeza berbanding situasi sebelum ini.

    “Saya suka berkongsi sedikit pengalaman PAS dalam pembentukan Muafakat Nasional (MN) bersama Barisan Nasional (BN) pada awalnya dan kemudian kita menjemput Bersatu untuk bersama dalam MN.

    “Pada waktu itu, BN bersama PAS dalam MN membuat keputusan mengekalkan Tan Sri Muhyidddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Ini bermakna sebenarnya, mereka (BN) juga menerima kepimpinan Muhyiddin. Dalam pengukuhan ini, kita perlu menggarapkan semua kekuatan yang ada,” katanya.

  • Tuan Ibrahim nafi PAS bergerak solo PRU-15, kenyataannya disalah petik

    Tuan Ibrahim nafi PAS bergerak solo PRU-15, kenyataannya disalah petik

    PAS menafikan laporan media yang mengatakan parti itu mahu bergerak solo pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataannya sebelum ini telah disalah petik dan beliau menegaskan PAS akan bersama Perikatan Nasional (PN).

    “Salah petik itu. PAS komponen PN. Kita akan bersama PN dalam pilihan raya umum (PRU),” katanya kepada FMT.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengesahkan sama ada PAS mahu bergerak solo pada PRU15 seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

    Sabtu lalu, memetik laporan media, PAS dilaporkan bersiap sedia dengan pelbagai kemungkinan, termasuk bergerak solo pada PRU15.

    Tetapi, Tuan Ibrahim berkata, parti itu tetap akan memperkukuhkan PN dalam persiapan menghadapi PRU15.

    Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris yakin kenyataan Tuan Ibrahim itu disalah petik berikut PAS masih bersama PN untuk PRU15.

    Beliau berkata kenyataan rasmi yang boleh dipercayai hanyalah daripada keputusan tertinggi parti masing-masing dan selain itu hanyalah provokasi yang mahu melaga-lagakan parti-parti dalam PN.

    “Saya baca tulisan itu, kefahaman saya, PN bergerak solo, bukan PAS.

    “Kenyataan boleh pakai dalam PN adalah keputusan peringkat tertinggi. Contoh Bersatu melalui Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. Kalau PAS, PAS Pusat. Gerakan melalui Majlis Tertinggi Gerakan,” katanya kepada FMT.

    Beliau berpandangan selain kenyataan tertinggi parti itu hanyalah dianggap sebagai provokasi.

    Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman berkata secara peribadi beliau melihat tiada masalah hubungan PAS dengan Bersatu dalam PN setakat ini.

    Katanya, semua perkara biasanya dirunding dan disepakati secara musyawarah dalam kepimpinan tertinggi PN.

    “Kenyataan Timbalan Presiden PAS bahawa partinya mahu bergerak solo pada PRU15 hanya sekadar andaian dari pihak media saja,” katanya.

  • Keputusan bubar Parlimen mesti dibuat semua parti kerajaan – PAS

    Keputusan bubar Parlimen mesti dibuat semua parti kerajaan – PAS

    TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan sebarang keputusan membubarkan Parlimen mesti diputuskan bersama oleh parti yang membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional (BN), termasuk komponen Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Menteri Alam Sekitar dan Air itu mengingatkan pentadbiran semasa di bawah teraju Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob “bukan didominasi oleh BN” dan UMNO.

    “Ia adalah dokongan daripada PN serta rakan GPS. Maka, apa sahaja keputusan untuk membubarkan parlimen mesti diputuskan bersama anggota kabinet serta parti yang mendokong kerajaan.

    “Dalam situasi kini, keutamaan bukan hanya kepada menyegerakan pilihan raya sahaja; sebaliknya aspek kepentingan kebajikan rakyat dan isu kedudukan ekonomi negara turut perlu dilihat juga.

    “Bukan soal takut atau tidak bersedia parti politik menghadapi pilihan raya umum, tetapi tindakan beberapa pihak yang menekan perdana menteri secara sepihak perlu menyedari realiti kerajaan hari ini,” katanya sebagaimana lapor Malaysiakini hari ini.

    Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yakin pihak berkepentingan yang tidak dinamakannya itu akan terus menekan perdana menteri tanpa melihat keadaan parti yang mendokong kerajaan sekarang.

    “PAS serta komponan PN telah bersedia dalam semua keadaan, bahkan telah melancar jentera pilihan raya negeri-negeri dan pada 3 Sept ini pelancaran jentera pilihan raya peringkat kebangsaan akan dilancarkan di Kedah sempena Muktamar PAS Pusat.

    “Manakala, PN dalam merayakan sambutan dua tahunnya, akan turut melancarkan jentera pilihan raya PN pada 27hb ini,” jelasnya.

    Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kebimbangan terhadap Parlimen yang digantung tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menangguhkan PRU15.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memetik pandangan penganalisis politik Wong Chin Huat yang menjadi penceramah pada Simposium Keluarga Malaysia yang dihadiri Ismail Sabri semalam.

    “Profesor sains politik dan demokrasi tersebut menjelaskan bahawa tiada apa-apa yang perlu ditakuti atau dibimbangkan jika berlaku hung parlimen atau parlimen tergantung.

    “Keadaan ini bukanlah situasi yang teruk seperti digambarkan pihak tertentu malah tidaklah menyebabkan kemusnahan sesebuah negara atau ekonomi terjejas teruk,” kata Zahid.

    Pun begitu, Ismail Sabri semalam telah membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan parlimen yang digantung atau situasi tiada satu parti pun akan dapat memperoleh kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan tanpa sebarang rakan gabungan.

    Selepas pilihan raya umum ke-14, PAS menjadi sebahagian pakatan Muafakat Nasional bersama Umno, dengan kerjasama dalam beberapa pilihan raya kecil sehingga pilihan raya negeri Johor lalu apabila parti itu mengisytiharkan sokongan kepada parti Bersatu dan PN.

    Menteri PAS dan Bersatu kekal dalam kerajaan di bawah Ismail Sabri dan BN, walaupun selepas Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meletak jawatan perdana menteri.

  • Keputusan henti salur air kepada P Pinang bidang kuasa Perak

    Keputusan henti salur air kepada P Pinang bidang kuasa Perak

    KEPUTUSAN kerajaan Perak untuk tidak meneruskan bekalan air mentah kepada Pulau Pinang dibuat atas kapasiti bidang kuasa negeri berkenaan.

    Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hal itu disebabkan sumber air terletak di bawah urusan kerajaan negeri masing-masing, selain Perak juga telah menjelaskan berhubung keputusan itu.

    “Menjelang 2035 dijangka dia (Perak) akan dapat lebih kurang tiga juta rakyat dan oleh itu dia melihat keperluan dalam negeri yang perlu diutamakan dulu,” katanya selepas kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram malam tadi.

    Menurut Tuan Ibrahim, rundingan telah dibuat dan kerajaan Perak memaklumkan yang negeri itu memerlukan Loji Rawatan Air (LRA) yang besar di utara Perak.

    Beliau berkata, perjumpaan bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow telah diadakan bagi membincangkan tentang sumber bekalan air.

    Beliau berkata, Pulau Pinang mempunyai rizab simpanan air tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 30 peratus rizab margin berbanding negeri lain.

    Tuan Ibrahim berkata, terdapat alternatif lain yang boleh dilaksanakan Pulau Pinang, antaranya melakukan penerokaan baharu termasuk sumber air bawah tanah.

    Semalam, Perak memuktamadkan tidak mampu membekalkan air mentah dari Sungai Perak seperti yang dicadangkan di bawah Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) kepada Pulau Pinang, kerana kajian menunjukkan kegunaan air bagi negeri itu tidak mencukupi sepenuhnya. – BERNAMA

  • Gugur Khairuddin, PAS tiada konflik dalaman

    Gugur Khairuddin, PAS tiada konflik dalaman

    KONFLIK dalaman tidak akan timbul dalam PAS ekoran pengguguran Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dari Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

    Memetik laporan BH, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penyokong parti di peringkat akar umbi perlu akur keputusan yang dibuat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Menurut beliau, Mohd Khairuddin bukan calon yang menang dalam pemilihan parti dan dicalonkan untuk mengisi kekosongan jawatankuasa yang dilantik.

    “Dalam mesyuarat kedua yang dipengerusikan Presiden (Abdul Hadi) namanya digugurkan digantikan nama lain yang dipersetujui jawatankuasa.

    “Oleh itu tiada isu besar yang berbangkit yang boleh menyebabkan perpecahan dalaman dalam parti,” katanya selepas lawatan kerja kelima projek wakaf air di Felda Sungai Retang, Jerantut hari ini.

    Tuan Ibrahim menambah, walaupun Khairuddin mempunyai prestasi yang cemerlang ketiga menjawat menteri, disiplin tetap menjadi prioriti utama parti.

    Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air memberitahu, pengguguran mana-mana tokoh parti dan pemimpin adalah perkara biasa dalam PAS berdasarkan pelbagai faktor.

    “PAS sangat tegas dalam pematuhan disiplin di mana siapa yang tidak ikut disiplin boleh ditukarkan jawatan dan bertugas di tempat lain, digantung keahlian serta boleh dipecat.

    “Khairuddin akan diberi tugas lain dalam parti khususnya dalam portfolio ekonomi sesuai dengan kepakaran dalam bidang itu,” katanya.

  • Tuan Ibrahim sahkan dijangkiti COVID-19 bersama anak, cucu

    Tuan Ibrahim sahkan dijangkiti COVID-19 bersama anak, cucu

    MENTERI Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mengesahkan dirinya dijangkiti COVID-19.

    Dalam catatan di Facebooknya, beliau berkata empat anak dan seorang cucu beliau turut dijangkiti wabak tersebut dan telah menjalani kuarantin.

    “Mohon doa semua. Saya, empat orang anak dan seorang cucu telah disahkan positif COVID-19.

    “Kami telah menjalani kuarantin beberapa hari lalu. Seorang cucu selamat dilahirkan semalam dan disahkan negatif tetapi ibunya masih ditahan di Hospital Sungai Buloh. Doakan,” menurut catatan itu. – BERNAMA

  • Tiada ‘ribut’ melanda pentadbiran Ismail Sabri – Tuan Ibrahim

    Tiada ‘ribut’ melanda pentadbiran Ismail Sabri – Tuan Ibrahim

    TIADA gangguan atau ‘ribut’ yang melanda pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Beliau menyifatkan kenyataan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) semalam yang menggesa Ismail Sabri diberi ruang untuk mentadbir negara sehingga tamat penggal adalah berlandaskan faktor Ahli Parlimen Bera itu mencapai beberapa kejayaan awal dalam tempoh 100 hari.

    Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air menambah, waktunya masih belum sesuai untuk membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Sebaliknya beliau berkata, tumpuan perlu diberikan kepada proses untuk memulihkan ekonomi dan krisis kesihatan.

    “Gangguan (untuk jatuhkan kerajaan) tidak ada… tidak ada rebut, cuma kita melihat di waktu ini bukan waktu sesuai untuk bicara soal PRU.

    “Rakyat masih perlu pembangunan ekonomi, aspirasi 100 hari (yang) diumum oleh Perdana Menteri (baru sahaja berlalu) dan COVID-19 masih belum selesai.

    “(Atas) sebab itu BBC buat keputusan untuk nyatakan dokongan sehingga tamat penggal kepada Perdana Menteri yang ada… saya fikir itu terbaik kerana perlu untuk kita sampai ke tahap itu (mencapai tahap pemulihan) Insya-Allah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Empangan Sabo kepada kontraktor di Titi Hayun, Yan, hari ini.

    Semalam, Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia menggesa Ismail Sabri diberi ruang sehingga tamat penggal pada 2023 untuk terus menerajui pentadbiran negara.

    Pengerusinya, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman berkata, keperluan itu berlandaskan faktor Ahli Parlimen Bera itu mencapai beberapa kejayaan awal dalam tempoh 100 hari selepas mula memegang jawatan itu pada 21 Ogos tahun ini.

    Sementara itu, memetik laporan Bernama, Tuan Ibrahim berkata, pembinaan dua empangan sabo bagi menampan pergerakan kayu dan batuan bersaiz besar semasa aliran air deras di kaki Gunung Jerai di sini, dijangka siap menjelang Jun 2023.

    Beliau berkata pembinaan dua empangan sabo di Kawasan Rekreasi Titi Hayun di Yan dan Kawasan Rekreasi Tupah di Kuala Muda itu, melibatkan kos RM22.8 juta.

    “Pembinaan empangan itu akan bermula pada pertengahan Januari tahun depan. Empangan sabo ini merupakan yang pertama dibina di Malaysia (mempunyai struktur binaan empangan yang lengkap),” katanya.

    Beliau berkata bagi memastikan keselamatan dan kelancaran projek berkenaan, kawasan-kawasan rekreasi terlibat akan terus ditutup sepenuhnya kepada orang awam.

    “Projek pembinaan empangan sabo ini akan dijalankan di bahagian atas kawasan rekreasi, jadi tidak sesuailah jika tempat ini dibuka kepada orang ramai,” katanya.

  • Audio tular berkaitan Hadi hanya komentar biasa- Tuan Ibrahim

    Audio tular berkaitan Hadi hanya komentar biasa- Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan audio mirip suara seorang pemimpin Pas yang menyuarakan kerisauan terhadap kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan komentar biasa dan bukannya agenda baharu.

    Tuan Ibrahim berkata, Pas sentiasa terbuka dan menghormati perbezaan pandangan yang disuarakan ahli parti.

    Katanya, Pas terbuka dan proses demokrasi dalam parti berjalan selain pemilihan pada tahun ini akan diteruskan.

    “Malah sekarang ini telah ada mesyuarat berlangsung di peringkat cawangan sehingga bulan depan mengikut kawasan. November nanti kita adakan mesyuarat di peringkat pemilihan.

    “Jadi tidak ada isu. Dalam Pas, kalau sesiapa (guna) kempen (dengan cara begitu), akan kalah,” katanya.

    Beliau yang juga
    Menteri Alam Sekitar dan Air berkata demikian dalam sidang akhbar majlis pemeteraian kerjasama bagi pengambilalihan sistem pembentungan awam di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) di Eastin Hotel, Petaling Jaya, hari ini.

    Sabtu lalu, tular audio mirip suara seorang pemimpin Pas yang didakwa mempertikai kepimpinan Abdul Hadi.

    Rakaman audio itu didedahkan seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Ahmad Rizqi Khairuddin.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, petugas dan jentera Pas diminta untuk mengekalkan undi kepada parti yang memenangi kerusi tersebut sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijalankan.

    Beliau berkata, cadangan tersebut dibuat demi mencari keharmonian dalam kerjasama politik dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Kita akan minta jentera parti, petugas Pas dan pengundi untuk kekalkan undi kepada parti yang memenangi kerusi tersebut.

    “Dengan cara ini, kita akan mengharmonikan situasi itu. Kerusi-kerusi lompat dan kerusi yang belum kita menang, sepatutnya itu jadi fokus.

    “Bukan kepada kerusi yang kita menang, sepatutnya gerak kerja sepatutnya pergi kepada kerusi yang belum dimenangi,” ujarnya.

  • Lebih baik tumpu kerusi yang belum menang – Tuan Ibrahim

    Lebih baik tumpu kerusi yang belum menang – Tuan Ibrahim

    PAS mengajak parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) supaya menumpukan untuk menawan kerusi yang kini dimiliki pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selain dapat mengukuhkan PN dan MN, langkah tersebut juga perlu dilakukan bagi mengelakkan pertembungan penjuru sesama parti komponen tersebut pada kerusi yang telah dimenangi sebelum ini terutama antara PAS, Barisan Nasional atau UMNO dan Bersatu.

    “Daripada kita bertembung pada kerusi yang kita telah menang, baik kita fokus pada kerusi yang kita tak menang dan masih di tangan PH (Pakatan Harapan) supaya kita elakkan pertembungan sesama kita dan menambah jumlah kerusi yang boleh kita menangi dalam PRU15,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dana Fasa Dua Pasaraya Wakaf Ummah di tapak Pasaraya Wakaf Ummah di Dungun, hari ini.

    Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata, PAS tetap berpegang teguh pada prinsip Penyatuan Ummah yang menjadi teras parti selama ini, serta akan terus berunding bersama parti-parti PN dan MN iaitu UMNO bagi mengelakkan pertembungan kerusi.

    Namun katanya, sekiranya masih berlaku pertembungan kerusi antara parti komponen PN, PAS akan menzahirkan sokongannya kepada parti penyandang kerusi tersebut.

    “Kita akan pastikan seluruh penyokong dan jentera PAS memberi sokongan kepada calon daripada parti penyandang. Kalau kerusi itu disandang Bersatu tetapi kalau UMNO masuk (bertanding), PAS tidak akan menyokong UMNO. Begitu juga kalau kerusi itu UMNO punya, kalau Bersatu masuk maka PAS tidak akan sokong Bersatu. Kita hendak elak pertembungan tiga penjuru. Itu asas kita,” katanya.

    Baru-baru ini parti-parti komponen PN telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dalam PRU15 dengan segera.

    Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN akan meneruskan rundingan pembahagian kerusi dan mengadakan mesyuarat mulai minggu hadapan, walaupun masih tidak mendapat sebarang gambaran daripada UMNO atau Barisan Nasional (BN). – BERNAMA