KONVENSYEN Perikatan Nasional (PN) 2022 perlu memantapkan sekurang-kurangnya tiga strategi dalam membentuk kekuatan gabungan itu.

Memetik laporan Harakahdaily, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pertama ialah konvensyen itu adalah sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Kedua kata beliau, setiap perkara yang dibicarakan dalam konvensyen itu memerlukan tindakan susulan, iaitu memperkasakan agenda bertindak di peringkat negeri, bahagian dan kawasan.

“Kita perlu menggarapkan kekuatan semua organisasi dan ketiga yang juga paling penting ialah kepatuhan kepada keputusan parti dalam menghadapi PRU15.

“Bagi menghadapi cabaran ini, kita perlu menyedari bahawa PN mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.

“Namun, kita yakin kekuatan yang ada dan rakan kita memerlukan suatu garapan bagi membentuk satu kekuatan,” katanya pada Konvensyen PN 2022 di MAEPS Serdang, hari ini.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, PN juga perlu membicarakan persamaan sesama parti, sama ada di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Katanya, ini memerlukan keikhlasan dalam perjuangan dan pada masa sama, ahli perlu patuh dan mendukung keputusan parti, bukan merajuk dalam PRU15.

“Pas bersama rakan dalam kerajaan mendukung Rang Undang-Undang Antilompat yang dibentangkan di Parlimen dan kita juga ke arah mewujudkan pendanaan politik supaya negara menuju ke arah berintegriti dan bebas rasuah,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, PN yang berusia dua tahun, suatu tempoh yang singkat dalam konteks muafakat politik berdepan pelbagai cabaran.

Menurutnya, dua tahun adalah tempoh bagi meletakkan asas bagi pengukuhan muafakat politik dan cabaran yang dihadapi kali ini tentu jauh berbeza berbanding situasi sebelum ini.

“Saya suka berkongsi sedikit pengalaman PAS dalam pembentukan Muafakat Nasional (MN) bersama Barisan Nasional (BN) pada awalnya dan kemudian kita menjemput Bersatu untuk bersama dalam MN.

“Pada waktu itu, BN bersama PAS dalam MN membuat keputusan mengekalkan Tan Sri Muhyidddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Ini bermakna sebenarnya, mereka (BN) juga menerima kepimpinan Muhyiddin. Dalam pengukuhan ini, kita perlu menggarapkan semua kekuatan yang ada,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here