Tag: Tuan Ibrahim Tuan Man

  • Dakwaan PN mahu tukar ketua pembangkang tak betul, kata Tuan Ibrahim

    Dakwaan PN mahu tukar ketua pembangkang tak betul, kata Tuan Ibrahim

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan laporan sebuah portal kononnya Perikatan Nasional (PN) akan menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang gabungan itu di Dewan Rakyat.

    “Tak betul,” kata ahli Majlis Tertinggi PN itu ringkas dalam mesej WhatsApp kepada Free Malaysia Today, merujuk laporan Malaysia Gazette bahawa Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor disebut-sebut sebagai pengganti Hamzah.

    Terdahulu, portal itu melaporkan PN dijangka membuat penggantian itu atas kegagalan Hamzah memainkan peranannya sebagai ketua pembangkang yang aktif sepanjang sidang Dewan Rakyat dari 3 Feb hingga 4 April lalu.

    Dalam pada itu, Khlir berkata, sebagai ketua pembangkang, Hamzah perlu hadir ke Dewan Rakyat untuk berdepan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bagi membahaskan isu rakyat.

    “Kita nak bahas. ‘By right’ ketua pembangkang (kena ada), tapi kebanyakan masa perdana menteri ada, ketua pembangkang tiada,” katanya yang mengakui tidak tahu khabar angin dirinya disebut-sebut sebagai pengganti Hamzah.

    Beliau berkata, ketiadaan Hamzah di Dewan Rakyat kerana menjalani rawatan sakit mata.

    “Hamzah mata dia sakit sebab itu dia tak masuk dewan banyak kali, sebab dia tak sihat…dia bukan sengaja tak nak datang. Saya ingat dah dua kali pembedahan mata.”

    Khlir tidak menolak kemungkinan namanya disebut-sebut disebabkan pengalamannya, selain beliau terkenal dengan jolokan “kaki balun orang” di Dewan Rakyat.

    “Mungkin mereka dah kaji perkara ini. Pasal apa? Saya sudah 40 tahun dalam (Angkatan Tentera bahagian) perisikan, saya pencen mejar jeneral, jadi dia tengok pengalaman saya banyak, itulah mungkin nama saya terselit. Agak-agak saja, tapi tak ada orang pun cakap dengan saya.

    “Dia tengok saya selalu pergi seminar, ke luar negara, sebab saya ketua perisikan, agaknya dia tengok sesuai nak berbahas, tapi saya baru sertai parti politik, saya sudah lama berada dalam perkhidmatan awam.”

    Ditanya jika ada keperluan untuk melantik ketua pembangkang baharu, Khlir berkata, Hamzah masih sesuai memegang jawatan itu berdasarkan pengalamannya.

    “Hamzah bagus, dia sesuai jadi ketua pembangkang, dia orang lama. Lagipun, dia ada latar belakang perundangan,” katanya.

  • Bersatu bukan liabiliti kepada PN, kata Tuan Ibrahim

    Bersatu bukan liabiliti kepada PN, kata Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pendakwaan terpilih bermotifkan politik terhadap pemimpin Bersatu hanya bertujuan merosakkan integriti Perikatan Nasional (PN) yang kekal mendapat sokongan rakyat.

    Beliau menegaskan, Pas sehubungan itu tidak melihat sekutunya di dalam gabungan PN sebagai liabiliti, walaupun pemimpin utamanya, termasuk Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan kes mahkamah

    Beliau menjelaskan, imej ‘Bersih dan Stabil’ yang dipegang Pas dan PN cuba dirosakkan dan pihaknya akan terus mempertahankan soal integriti supaya terus mendapat kepercayaan rakyat.

    “Apa yang berlaku adalah usaha musuh politik untuk cuba merosakkan integriti PN, namun Pas dan Bersatu serta rakan komponen lain masih lagi sebagai satu pasukan.

    “Bahkan kita juga tetap mengadakan mesyuarat secara bersama dalam beberapa hal, termasuk persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), pembahagian kerusi dan sebagainya,” katanya menurut laporan Utusan.

    Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan membabitkan dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

    Dua hari kemudian, Muhyiddin sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta, awal tahun lalu.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, beliau percaya semua parti politik tidak terkecuali menerima dana atau sumbangan politik daripada pihak tertentu.

    Bagaimanapun tegas beliau, perkara tersebut tidak merencatkan setia kawan Pas dengan Bersatu serta komponen lain dalam PN serta mengganggu persiapan pilihan raya.

    “Gerak kerja di akar umbi tetap berjalan bahkan kita percaya rakyat masih lagi bersama PN,’’ katanya.

  • Pemimpin utama PN tak hadir sesi PMQ bukan isu – Tuan Ibrahim

    Pemimpin utama PN tak hadir sesi PMQ bukan isu – Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketiadaan kelibat tiga pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) tidak perlu dijadikan isu.

    Menurut bekas menteri alam sekitar dan air itu, ramai yang tersilap faham keperluan hadir semasa sesi PMQ yang ditetapkan pada setiap Selasa itu.

    “Semasa sesi PMQ bukan semua orang boleh tanya soalan (kepada perdana menteri), kalau Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir pun bukan boleh tanya soalan pun.

    “Orang yang tanya soalan bertulis saja, apabila perdana menteri jawab, orang yang sama saja boleh bertanyakan soalan tambahan, bukannya sesuka hati orang lain boleh mencelah,” katanya.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, perjalanan sidang Dewan Rakyat mempunyai peraturan tersendiri dan sebarang pertanyaan tertakluk kepadanya.

    Pada masa sama beliau berkata isu pemimpin utama pembangkang tidak hadir sepatutnya tidak berbangkit.

    Bahkan katanya ketidakhadiran ahli parlimen kerajaan adalah lebih “dahsyat” lagi terutama apabila perdana menteri tiada dalam dewan berkenaan.

    “Kita (PN) ada lebih 70 ahli parlimen dan perkara itu (ketidakhadiran) hanya sekadar isu yang dibangkitan seolah-olah nak burukkan pembangkang.

    “Tak perlu berbangkit pun, kalau nak kira ketidakhadiran mereka (wakil rakyat kerajaan) lagi dasyat, masa perdana menteri ada saja penuh” katanya, menurut laporan Malaysiakini.

    Tuan Ibrahim berkata begitu pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf di Kota Bharu, semalam.

    Terdahulu Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menzahirkan rasa kecewanya dengan membayangkan pembangkang tidak mengambil peluang dalam waktu PMQ untuk bertanya sebarang soalan kepada Anwar Ibrahim.

    Antara yang tidak hadir semasa sesi berkenaan kelmarin ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin; Pengerusi PN merangkap Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Tunggu keputusan akhir

    Abdul Hadi juga merupakan timbalan pengerusi PN.

    “Pagi ini YAB Anwar Ibrahim menjawab soalan mengenai hasil lawatan rasmi ke China; isu vape; dan isu doktor kontrak.

    “YAB Zahid Hamidi dan YAB Fadillah Yusof hadir sekali.

    “Malangnya, sekali lagi Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang tidak hadir dan tidak menanyakan soalan,” tulis Fahmi di media sosial.

    Katanya, PMQ pada setiap Selasa adalah peluang terbaik pembangkang untuk membangkitkan soalan, berdepan, dan bersemuka dengan Anwar.

    Analisis terhadap rekod kedatangan Dewan Rakyat pada tahun lalu menunjukkan tiga pemimpin terbabit antara yang mencatatkan kehadiran paling buruk dalam pemantauan antara 26 Julai 2021 hingga 23 Mac 2022.

    Itu bukan kali pertama Fahmi membangkitkan perkara tersebut dan berkongsi gambar tempat duduk kosong tiga pemimpin kanan PN itu.

    Sementara itu dalam perkembangan lain Tuan Ibrahim berkata PN sudah mengadakan perbincangan berhubung agihan kerusi bagi berdepan pilihan raya negeri tidak lama lagi.

    Bagaimanapun katanya perkara itu belum muktamad dan prosesnya berjalan dengan lancar.

    “Setakat ini semua negeri sudah mengadakan perbincangan dan tidak berdepan sebarang masalah berbangkit. Cuma tunggu untuk buat keputusan akhir,” katanya.

  • Peruntukan pembangkang: PN akan runding dengan TPM – Tuan Ibrahim

    Peruntukan pembangkang: PN akan runding dengan TPM – Tuan Ibrahim

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam masa terdekat berhubung status peruntukan pembangkang.

    Menurut Timbalan Presiden Pas itu, PN sudah melantik tiga Ahli Parlimen untuk membuat rundingan itu, iaitu Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.

    “Rundingan akan dilakukan dalam tempoh terdekat, kita tidak tahu berapa jumlah peruntukan sebenar, namun perdana menteri memaklumkan akan memberi jumlah yang sama dengan Ahli Parlimen kerajaan.

    “Kita nak tengok bukti nanti dan apa syarat yang dikenakan,” katanya di Kota Bharu semalam, lapor Berita Harian.

    Tuan Ibrahim turut berharap peruntukan itu dapat disalurkan dengan kadar segera bagi membantu rakyat terutama ketika Ramadan.

    “Saya jangkakan rundingan hanya berlaku sekali saja sebelum selesai,” katanya.

    Perdana menteri sebelum ini menegaskan beliau tidak menolak prinsip memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sepertimana yang diberikan kepada wakil rakyat pemerintah.

    Beliau menyeru pihak pembangkang agar berunding dengan pemerintah agar isu peruntukan Ahli Parlimen boleh diselesaikan secepat mungkin, namun setakat ini, menurutnya, beliau hanya berdepan permusuhan.

  • Selaraskan tugas agensi penguat kuasa jalan raya – Tuan Ibrahim

    Selaraskan tugas agensi penguat kuasa jalan raya – Tuan Ibrahim

    SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang menggesa kerajaan menyelaras tugas agensi penguatkuasaan jalan raya supaya tidak berlaku pertindihan tugas di kalangan agensi berkenaan.

    Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, ketika ini terdapat pelbagai agensi penguatkuasa berkaitan jalan raya.

    “Kita dapati terdapat banyak agensi, daripada pihak polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar di jalan raya.

    “Kita perlu ada penyelarasan supaya tidak banyak sangat agensi yang bertindan hingga akhirnya seorang pengguna jalan raya merasakan bahawa dia terpaksa berdepan lima atau enam buah agensi,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau menyatakannya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

    Justeru, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas mencadangkan agar penyelarasan perlu dibuat supaya tidak banyak agensi yang melibatkan pihak penguatkuasa.

  • Pembangkang Pahang setuju RUU Antilompat Parti dibentang di DUN

    Pembangkang Pahang setuju RUU Antilompat Parti dibentang di DUN

    PEMBANGKANG di Pahang bersetuju agar Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pada Mei ini.

    Ketua Pembangkang DUN Pahang Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga mencadangkan sesi taklimat dan perbincangan antara kedua-dua pihak dapat diadakan sebelum persidangan berlangsung, supaya mereka dapat meneliti RUU itu.

    “Saya ingin tegaskan keperluan RUU ini dibentang dalam persidangan (DUN Pahang) akan datang walaupun setakat ini ada beberapa negeri yang masih belum membentangkannya.

    “Saya bagi jaminan bahawa mana-mana RUU yang mendatangkan kebaikan kepada kestabilan politik, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri akan disokong sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Tuan Ibrahim berkata mereka juga bersetuju dengan pandangan bahawa kerajaan negeri perlu selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan, iaitu dengan Akta Antilompat Parti telah berkuat kuasa pada 5 Okt lepas.

    Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang juga Ahli DUN Cheka mendakwa setakat ini, pihaknya belum menerima notis persidangan.

    Pada Isnin, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada sidang media berkata kerajaan negeri sedia membentangkan RUU Anti Lompat Parti pada Persidangan DUN terdekat, jika mendapat sokongan dua pertiga wakil rakyat iaitu 28 kerusi.

    Ia berikutan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak mencukupi jumlah itu, menyebabkan mereka perlu mendapatkan sokongan pembangkang terlebih dahulu, bagi memastikan RUU itu diluluskan.

    Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 ialah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh 17 kerusi manakala lapan kerusi lagi dimenangi Pakatan Harapan (PH). – BERNAMA

  • Pas seru pemimpin UMNO digantung, dipecat buat pendirian – Tuan Ibrahim

    Pas seru pemimpin UMNO digantung, dipecat buat pendirian – Tuan Ibrahim

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan pemimpin UMNO yang sudah dipecat atau sedang menjalani hukuman gantung keahlian selama enam tahun supaya tidak menunggu untuk ditendang parti itu baru lah hendak menyambung perjuangan mereka.

    Jelas Timbalan Presiden Pas itu, kekuatan mereka selaku ‘orang lama politik’ sia-sia apabila bersendirian, sebaliknya Perikatan Nasional (PN) mengiktiraf masing-masing cukup berpengaruh dalam masyarakat.

    “Kita perlu kekuatan untuk bergabung bagi masa depan negara.

    “Orang dah dibuang dan digantung enam tahun harus buat pendirian, takkan hendak tunggu orang tendang keluar … sedar-sedarlah diri,” katanya menurut laporan Free Malaysia Today.

    Beberapa nama terkenal dalam UMNO dipecat keahlian sebelum atau selepas perhimpunan agung UMNO pada Januari lalu, antaranya bekas setiausaha agung Tan Sri Annuar Musa, bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, bekas ketua UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, dan bekas ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar atas kesalahan berkait PRU15.

    Beberapa lagi digantung keahlian selama enam tahun, antaranya bekas naib presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas naib ketua Pemuda, Shahril Hamdan, dan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. Ketiga-tiga mereka mendakwa tidak tahu atau tidak jelas sebab digantung.

    Shahidan bertanding PRU15 atas tiket Perikatan Nasional selepas BN tidak menamakan beliau sebagai calon.

    Tuan Ibrahim mengambil contoh situasi Annuar yang dilihat tidak puas hati kerana hanya bergerak bawah NGO Muafakat Nasional.

    “Orang politik tidak begitu dan orang lama mesti ada parti. Kalau tiada dia berjuang rasa tawar dan hambar,” katanya.

    Beliau turut menyentuh situasi Tajuddin, yang masih menaruh harapan UMNO menarik balik penggantungannya.

    Tajuddin memberitahu FMT baru-baru ini bahawa dalam rayuannya beliau memohon maaf atas kelantangan mengkritik Presiden Zahid Hamidi.

    “Kalau tak puas hati tetapi hanya bagi tahu sendiri-sendiri, mana ada kekuatan,” kata Tuan Ibrahim.

  • Pindah lapangan sasar ke kawasan selamat, kata Tuan Ibrahim

    Pindah lapangan sasar ke kawasan selamat, kata Tuan Ibrahim

    KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) dicadang memindahkan lapangan sasar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kampung Penor, Kuantan, ke kawasan yang lebih strategik dan selamat.

    Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, pemindahan lapangan sasar tersebut bertujuan mengelakkan menjadi ancaman kepada penduduk.

    “Isu yang saya nak bangkitkan berhubung satu lapangan sasar TUDM di Kampung Penor, Kuantan.

    “Saya fikir banyak kali sudah perkara ini dibangkitkan, kawasan ini sangat tidak sesuai kerana berada di tengah-tengah perkampungan.

    “Beberapa kali insiden yang menyebabkan lembu penduduk terkena bedilan dari udara ke bumi kerana ia berada berhampiran pantai, ia mendatangkan risiko kepada nelayan pantai yang sentiasa berada di kawasan tersebut,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, walaupun kawasan itu dipagari tetapi sebahagian besar pagar telah rosak.

  • Muafakat Nasional belum mati lagi, cuma ‘pengsan’ – Tuan Ibrahim

    Muafakat Nasional belum mati lagi, cuma ‘pengsan’ – Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan parti itu dan UMNO masih bernyawa sungguhpun dalam keadaan “pengsan” ketika ini.

    Beliau berkata, walaupun dua parti itu dalam kerangka politik berbeza, mereka perlu bersama “menyatukan umat Islam”.

    Memetik wawancara Free Malaysia Today, Tuan Ibrahim berkata MN tidak patut dilihat sebagai terkubur.

    “MN belum mati lagi, (cuma) sedang ‘pengsan’,” katanya ringkas mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 15 Mac lalu yang partinya akan terus bersikap “husnuzon” (bersangka baik) terhadap MN.

    “Saya lihat atas asas penyatuan ummah, agenda kita tak pernah berhenti dan jangan lihat bila parti itu tak bergabung maka umat ini berpecah, tidak,” kata Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

    Pas dan UMNO sebelum ini saling menuduh mengabaikan piagam MN yang diasaskan mereka empat tahun lalu.

    Hubungan dua parti itu tegang apabila Pas menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu sekali gus mahukan parti serpihan UMNO itu turut menyertai MN.

    UMNO membantah keras tindakan Pas itu kerana melihat Bersatu sebagai pengkhianat yang berusaha “membunuhnya”.

    Zahid turut memberi gambaran hala tuju gagasan itu mungkin akan berubah sekiranya pemimpin parti bertukar.

    MN digagaskan UMNO dan Pas ketika dalam blok pembangkang sebagai usaha penyatuan ummah pasca PRU14 yang dimenangi Pakatan Harapan (PH).

  • Kes Muhyiddin tuduhan terpilih tutup isu UMNO dan RoS, kata Tuan Ibrahim

    Kes Muhyiddin tuduhan terpilih tutup isu UMNO dan RoS, kata Tuan Ibrahim

    PENDAKWAAN terbaharu terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah ‘tuduhan terpilih’, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Dakwa beliau, tindakan terhadap bekas Perdana Menteri itu juga adalah bagi menutup isu berlaku dalam UMNO yang melibatkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

    “Jadi isu ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menutup isu sebenar dan kita yakin bahawa tuduhan ini adalah pertuduhan terpilih.

    “Kita harap Tan Sri Muhyiddin akan selamat dan dipelihara oleh Allah. Kita akan adalah solat hajat malam ini di markas Pas Taman Melewar (Gombak).

    “Ia sebagai kenyataan sokongan kita dan satu lagi himpunan akan diadakan di Rusila, Terengganu malam ini,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu hadir memberi keterangan kepada suruhanjaya itu pada hari ini.

    Kenderaan yang membawa Muhyiddin tiba di luar ibu pejabat SPRM, di sini, sekitar pukul 11.15 pagi.

    Ketibaan Muhyiddin diiringi ratusan penyokong beliau serta beberapa Ahli Parlimen dan pemimpin PN.

    Antara pemimpin PN yang turut hadir memberi sokongan kepada Muhyiddin ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung Bersatu dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Yang turut hadir ialah Naib Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin; Ahli Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.