Tag: Tuan Ibrahim Tuan Man

  • Perikatan Nasional penyelamat ketika rakyat susah – Tuan Ibrahim

    Perikatan Nasional penyelamat ketika rakyat susah – Tuan Ibrahim

    RAKYAT perlu memberi peluang semula kepada Perikatan Nasional (PN) pula untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bagi meneruskan segala dasar yang tertangguh setelah 17 bulan mentadbir sebelum ini.

    Sambil melihat kepada jasa besar Bersatu apabila keluar dari ‘khemah besar’ Pakatan Harapan (PH), Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Allah mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, tatkala Covid-19 melanda negara.

    “Bila kita (Perikatan Nasional) ambil alih kerajaan daripada PH, Covid tengah melanda negara dengan hebat. Jika kita lihat macam mana mentadbir waktu itu rakyat pun terkejut… bila Tan Sri Muhyiddin bersama Kabinet mengeluarkan puluhan bilion ringgit.

    “Siapa ada datang tanya, mari mana duit ni? Sebab (ketika) zaman PH kata duit tak ada… negara digambarkan hampir bankrap. (Tapi) bila Covid melanda, kerajaan (Perikatan Nasional) bagi semua pada rakyat… semua pesakit Covid-19 dapat rawatan percuma… tak bayar satu sen pun.

    “Kerajaan tanggung semua di hospital… penuh. Akhir kita buka dewan, dewan penuh. Kita guna hotel semua kerajaan tanggung. Waktu itu rakyat susah. Sebab tak boleh keluar bekerja, takut Covid… macam mana rakyat tak boleh kerja… hutang bank kena bayar… sewa rumah kena bayar… makan kena sedia.

    “Kerajaan hantar bakul makanan kepada semua seluruh negara. Hantar bakul makanan, percuma. Kerajaan tanggung bertahun tuan-tuan. Saya tak tahulah macam mana kalau zaman itu PH memerintah negara,” katanya pada ceramah umum Perikatan Nasional di Kampung Kuala Lanar, Lipis, Pahang, malam tadi lapor Agendadaily.

    Bagi PRU-15 pada 19 November ini, Tuan Ibrahim akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka di dalam Parlimen Lipis. Hadir sama pada majlis itu ialah calon Perikatan Nasional Parlimen Lipis, Datuk Dr Mohamad Shahrom Osman.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim meminta semua pihak, termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN), sedar dan ingat jasa besar Bersatu apabila parti itu keluar daripada PH untuk menyelamatkan negara, sehingga terbentuknya Kerajaan Perikatan Nasional.

    Menteri Sumber Asli dan Air itu berkata jika tidak kerana Bersatu keluar daripada gabungan – khemah besar – itu, entah apa yang akan berlaku kepada rakyat dan negara sekarang di bawah pentadbiran PH.

    Malah, katanya jika Bersatu tidak keluar daripada PH, walaupun sesetengah pemimpinnya telah menjadi menteri, UMNO, Barisan Nasional dan PAS sekarang ini kekal menjadi pembangkang.

    “Sebab itu bagi PAS kita fikir pada waktu mengundi… tiga tahun PAS berusaha supaya tiga parti (PAS, Bersatu, UMNO) duduk bersama. Cukuplah orang Melayu berpecah. Kalau kita bersama membentuk gabungan tiga-tiga parti negara akan stabil, politik akan lebih baik.

    “Ramai yang minta demikian… PAS berusaha tiga tahun supaya tiga-tiga dapat duduk bersama. Tapi UMNO ni tak boleh terima Bersatu. Mula-mula okey. Lepas itu KO. Dia tak boleh terima. Dia kata Bersatu ni pengkhianat… macam-macamlah.

    “UMNO menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan bila Bersatu keluar daripada PH. Jasa Bersatu besar. Ada orang tuduh (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) sebagai pengkhianat.

    “Dia (Muhyiddin) bukan pengkhianat, dia penyelamat. Kalau dia tak keluar daripada PH… satu penggal PH perintah, hancur negara. Itu pun 22 bulan macam-macam berlaku.

    “Tapi Allah takdirkan Tan Sri Muhyiddin jadi Perdana Menteri. Kabinet berjalan, alhamdulillah. Masa itu hubungan tiga-tiga parti (PAS, Bersatu, UMNO) sangat baik. Sampai dalam mesyuarat Muafakat Nasional setuju mengekalkan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15. Ini keputusan waktu itu.

    “Tapi dah jadi sejarahlah ya. Sebab itu bila kita runding, kita bincang kita perlu suara besar, Perikatan Nasional perlu menang banyak kerusi supaya politik negara kita stabil,” katanya.

  • ‘Kamu ingat aku tak reti peraturanke’ – Tuan Ibrahim bidas Rafizi

    ‘Kamu ingat aku tak reti peraturanke’ – Tuan Ibrahim bidas Rafizi

    MENTERI Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membidas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli apabila membuat dakwaan terdapat pihak tertentu cuba meminta beliau meluluskan projek tebatan banjir berjumlah RM2 bilion semasa tempoh pentadbiran kerajaan sementara.

    Timbalan Presiden Pas itu yang menyifatkan dakwaan Rafizi sebagai fitnah berkata, tidak ada mana-mana pihak berjumpa beliau memintanya meluluskan projek berjumlah RM2 bilion yang bukan sedikit jumlahnya.

    Beliau berkata, jika Timbalan Presiden PKR itu mempunyai bukti, beliau boleh membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya membuat fitnah khasnya pada musim Pilihan Raya Umum (PRU).

    “Dia (Rafizi) kata ada pihak-pihak tertentu minta menteri KASA lulus RM2 bilion dalam tempoh kerajaan peralihan.

    “Eh kamu ingat aku tak reti peraturan ke? Mana boleh lulus mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara, tak boleh dan saya nak tegaskan saya tak pernah meluluskan sebarang peruntukan mana-mana projek setelah Parlimen dibubarkan,” katanya malam tadi.

    Beliau berkata demikian dalam ceramah Perikatan Nasional (PN) Parlimen Lipis di Bilik Operasi PN DUN Cheka Taman Cahaya, Cheka.

    Media melaporkan, Rafizi mendakwa KASA dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat dimiliki individu dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.

    Rafizi berkata, beliau dimaklumkan sumber dalam kerajaan yang usaha meluluskan segera projek itu di bawah pentadbiran kerajaan sementara adalah sebagai timbal balas selepas menerima dana untuk digunakan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Sehubungan itu, beliau menggesa Tuan Ibrahim menjawab dakwaan berkenaan dan memberi jaminan tidak akan meluluskan sebarang projek dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara, kerana ia bertentangan dengan pekeliling Perbendaharaan.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga calon PN bagi DUN Cheka menegaskan, beliau juga tidak pernah campur tangan dalam sebarang tender di bawah KASA.

    “Bukan macam masa zaman Pakatan Harapan (PH), bagi saya urusan jawatankuasa tender urus, saya tidak mahu terlibat.

    “Ikut prosedur ikut peraturan siapa yang layak siapa yang dapat teruskan,” katanya.

    Jelas Tuan Ibrahim, apabila Parlimen dibubarkan, pekeliling dikeluarkan oleh ketua setiausaha negara yang akan mengingatkan semua pihak bahawa tidak boleh bagi apa-apa komitmen kewangan, tidak boleh janji projek melibatkan kewangan bagi tanggungan kerajaan akan datang dan tidak boleh membuat mana-mana dasar semasa proses kerajaan sementara.

    Katanya, semasa Parlimen dibubarkan, beliau menghadiri tiga program KASA iaitu sambutan Hari Alam Sekitar Negara di Kuantan; Hadir dan rasmikan Karnival KASA di Kubang Kerian dan meraikan kakitangan KASA berpencen dan tukar kementerian.

    “Ini tiga program saya hadir dan tidak ada tandatangan mana-mana surat mana-mana projek sebagaimana didakwa,” tambahnya.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, beliau sedang melihat aspek-aspek lain yang bersesuaian jika boleh tindakan undang-undang diambil ke atas Rafizi.

    Katanya, penggunaan ayat-ayat seperti, ‘saya difahamkan’, ‘saya dimaklumkan’ dan ‘ada pihak yang beritahu’ oleh Rafizi menyukarkan usaha tindakan perundangan diambil ke atas Rafizi.

  • Perjuangan akan sentiasa diuji – Tuan Ibrahim

    Perjuangan akan sentiasa diuji – Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahli parti itu bahawa perjuangan mereka akan sentiasa diuji dan menuntut mereka bersikap rasional dan berjiwa besar.

    Berikut kenyataan penuh Tuan Ibrahim yang disiarkan dalam akaun Facebook rasmi beliau hari ini:

    Masa ini kita semua sedang diuji dalam perjuangan. Waktu ribut tengah kuat, ikat tali keledar, duduk di tempat masing-masing, dengar dan ikut arahan.

    Jangan ada yang buka tali keledar kerana merasa selamat dan kuat. Jangan ada yang cuba membantah arahan dan merasa lebih tahu. Jangan tinggal tempat duduk masing-masing kerana merasa kuat untuk melawan gelombang ribut ini.

    Telah banyak kapal yang karam,
    telah ramai yang terhumban,
    telah ramai yang menderita penyesalan,
    telah ramai yang dilaknat Tuhan.

    Berada dalam bahtera besar perjuangan akan sering diuji. Menuntut kesabaran tinggi. Kekuatan rohani, ketabahan jasmani dan aqli. Rasional dalam tindakan, jiwa besar sebagai anggota haraki.

    Tiada kebahagiaan selain merasa aman dan tenteram bilamana ribut berlalu, badai menghilang sedang kita terus berada dalam medan perjuangan untuk bertemu Tuhan sekalian alam.

    Nasihat buat diri dan anggota jamaah.

  • Kerjasama UMNO-Pas-Bersatu PRU-15 tidak kesampaian – Tuan Ibrahim

    Kerjasama UMNO-Pas-Bersatu PRU-15 tidak kesampaian – Tuan Ibrahim

    PAS beri bayangan kerjasama dengan UMNO tidak akan berlaku menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ini kerana UMNO mendakwa parti itu tidak ada pendirian tetap.

    Kata Tuan Ibrahim, parti itu sebaliknya tetap dengan pendirian tidak akan tinggalkan Bersatu demi untuk bekerjasama dengan UMNO.

    UMNO, tegas beliau, sepatutnya melihat kerjasama itu dalam kerangka yang lebih besar.

    Kata beliau, hampir tiga tahun Pas berusaha supaya berlaku penyatuan antara UMNO, Pas dan Bersatu bagi membentuk sebuah gagasan yang kuat bagi menghadapi PRU15 namun kini tidak kesampaian.

    “Pas ni kita setia dengan rakan kita walaupun UMNO letak syarat macam tu.

    “Bagi kami tak boleh letak syarat demikian. Kalau kita nak penyatuan, kita melihat pada kerangka besar.

    “Sebagaimana yang kita tahu, Pas tegas bersama Bersatu, bersama dengan gerakan untuk menghadapi Pilihan Raya ke-15 atas slogan Perikatan Nasional,” kata Tuan Ibrahim dalam laporan Astro Awani.

    Tuan Ibrahim juga tidak menolak untuk bekerjasama dengan UMNO pascakeputusan pilihan raya umum itu nanti.

  • Asyraf Wajdi merapu, mungkir janji – Tuan Ibrahim

    Asyraf Wajdi merapu, mungkir janji – Tuan Ibrahim

    PAS menafikan dakwaan kononnya Bersatu menawarkan 47 kerusi boleh menang jika parti itu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebaliknya menegaskan, isu itu tidak pernah dibincangkan pada pertemuan tertutup dengan dua pemimpin UMNO pada 12 Oktober lalu.

    Malah, beliau menjelaskan, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendedahkan perkara itu kelmarin tidak terlibat dalam mesyuarat tersebut.

    “Tak betul, dia merapu! Dia (Asyraf Wajdi) tak terlibat pun dalam mesyuarat itu. Bahkan kita sudah diingatkan agar tidak keluarkan gambar yang beliau ambil sebab pertemuan tertutup,” katanya di Facebook beliau, hari ini.

    Kenyataan Tuan Ibrahim yang dimuat naik dalam akaun media sosial beliau.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menegaskan, Asyraf Wajdi telah mungkir janji apabila menyiarkan gambar pertemuan itu dan hanya empat orang yang tahu apa perincian perbincangan.

    “Dia (Asyraf Wajdi) mungkir janji. Hanya empat orang yang tahu perincian perbincangan.

    “(Tawaran) 47 kerusi tidak pernah disebut dalam perbincangan itu,” katanya.

    Asyraf Wajdi baru-baru ini, berkongsi gambar pertemuan melibatkan pemimpin utama kedua-dua parti iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Tuan Ibrahim.

    Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata, pertemuan itu berlangsung sehari sebelum Pas membuat keputusan kekal bersama BERSATU-PN dengan parti itu turut memaklumkan ditawarkan 47 kerusi boleh menang oleh Bersatu jika menyertai PN.

    Pada 13 Oktober lalu, Abdul Hadi memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN atas prinsip penyatuan ummah dengan keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat

  • Pas nafi Bersatu tawar 47 kerusi, dakwaan Asyraf Wajdi merapu

    Pas nafi Bersatu tawar 47 kerusi, dakwaan Asyraf Wajdi merapu

    PAS menafikan terdapat tawaran 47 kerusi daripada Bersatu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, sehingga menjadi sebab parti Islam itu kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu 47 kerusi itu tidak disebut dalam perbincangan antara pemimpin UMNO dan Pas sewaktu pertemuan yang didedahkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, pada Jumaat.

    “Tak betul, dia merapu. Dia (Asyraf) tak terlibat pun dalam mesyuarat tu.

    “Hanya empat orang yang tahu apa perincian perbincangan… 47 kerusi tidak pernah disebut dalam perbincangan.

    “Masalah utama bukan jumlah kerusi, kerana ia tiada perincian dalam perbincangan tersebut,” katanya menurut Sinar.

    Menerusi hantaran di Facebooknya Jumaat lalu, Asyraf berkongsi satu gambar pertemuan di antara Presiden dan Timbalan Presiden kedua-dua parti, UMNO dan Pas pada Rabu iaitu sehari sebelum parti Islam itu membuat keputusan kekal bersama PN.

    Gambar itu memaparkan pertemuan lapan mata antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim.

    Asyraf mendakwa Pas menegaskan jika bersama PN, Bersatu menjanjikan 47 kerusi boleh menang kepada parti itu.

    Jumaat lalu, Abdul Hadi berkata Pas memilih untuk tidak bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjelang PRU-15 akan datang disebabkan pemimpin parti itu terlibat dengan perbuatan rasuah.

    Katanya meskipun laluan kerjasama dengan PN lebih sukar namun pihaknya memilih untuk menjernihkan kekeruhan yang berlaku antara mereka.

    “Kerana ada keruh ini kita tangguh dahulu jadi kita ambil pendekatan jernihkan keadaan dulu dengan gabungan PN. Tolak yang beri dan terima rasuah (BN). Walaupun ini (PN) lebih payah,” katanya.

  • PAS minta semua pihak terima keputusan mahkamah bebas Ahmad Zahid

    PAS minta semua pihak terima keputusan mahkamah bebas Ahmad Zahid

    PAS meminta semua pihak menerima keputusan mahkamah yang membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk menyambung kontrak berkaitan sistem visa luar negara (VLN).

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dipetik Free Malaysia Today sebagai berkata, parti itu juga menghormati setiap keputusan dan sudah tentu hakim mempunyai asas dalam membuat pertimbangan beliau.

    “Kita menghormati keputusan mahkamah. Setiap keputusan akan ada yang gembira dan akan ada yang dukacita, namun negara ini ada sistem dan menjadi ikrar bersama untuk menjunjung kedaulatan undang-undang.

    “PAS menggesa agar masyarakat perlu dididik menghormati keputusan mahkamah, dalam apa jua keputusan, jangan bila kita setuju kita sokong keputusan (mahkamah), bila kita tak setuju kita bantah.

    “Hakim mempunyai asas dalam membuat sesuatu keputusan dan dia bertanggungjawab dunia akhirat dengan keputusannya,” katanya kepada FMT.

    Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap presiden UMNO itu.

    Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

    Dia juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Zahid masih berdepan 35 tuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkait pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.

  • Pas nafi mahu bersama UMNO sebab BERSATU hilang pengaruh

    Pas nafi mahu bersama UMNO sebab BERSATU hilang pengaruh

    PAS menyangkal dakwaan bahawa parti itu mahu kembali bersama UMNO kerana BERSATU sudah hilang pengaruh.

    Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menyifatkan parti BERSATU mempunyai kekuatan dan pengaruh mereka yang tersendiri.

    “Saya rasa tidak (hilang pengaruh kerana) keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka, kita tengok pengaruh BERSATU masih kuat dan ada sokongan.

    “Malah, hasil soal selidik yang kita buat pun mereka ada sokongan dan menang di Melaka dan di Johor. Saya fikir BERSATU ada pengaruh walaupun mungkin cawangan jentera tidak sekuat PAS yang lama, tetapi secara realiti kita ada kira-kira 43 peratus pengundi atas pagar yang baru kali pertama mengundi.

    “Kita lihat ada kecenderungan mereka (mengundi) rakan kita daripada BERSATU,” katanya selepas Ceramah 3 Menteri Besar PAS dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Pra Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini, malam tadi.

    Laporan itu turut menyatakan penegasan Tuan Ibrahim yang menafikan dakwaan BERSATU hanya mahu menumpang jentera PAS dalam menghadapi PRU-15.

    Katanya, PAS bersama BERSATU serta gabungan parti politik yang ada di dalam Perikatan Nasional (PN) saling membantu antara satu sama lain bagi memastikan kemenangan bersama di dalam PRU-15.

    “Kita bersama (dan) apabila kita dalam muafakat politik, tidak timbul soal jentera (dan) kita bersama-sama ke arah kemenangan bersama.

    “(Jadi) tak timbul soal tumpang-menumpang kerana bagi kita setiap parti ada kelebihan dan ada kekurangan yang kita saling tampung-menampung,” katanya.

  • Tidak perlu tergesa-gesa adakan PRU-15 – Tuan Ibrahim

    Tidak perlu tergesa-gesa adakan PRU-15 – Tuan Ibrahim

    PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak perlu dibuat secara tergesa-gesa terutama ketika musim tengkujuh kerana kerajaan perlu memberi keutamaan kepada persiapan menghadapi bencana banjir.

    Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata justeru itu, beliau berpendapat PRU15 lebih sesuai diadakan pada tahun hadapan.

    “PRU ini, saya berpendapat kita kena ambil kira juga (aspek) seperti sekolah yang dijadikan pusat pemindahan banjir jadi ia sudah tidak sesuai dijadikan pusat pengundian.

    “Keduanya mengenai anggota keselamatan yang saya lihat kalau musim tengkujuh, mereka terpaksa turun ke lapangan membantu mangsa banjir. Kalau waktu itu pilihan raya, mereka juga kena jaga peti undi dan mengiring pengundi.

    “Jadi saya fikir kita tidak perlu tergesa-gesa (membuat keputusan) mengenai tarikh ini (PRU15). Saya rasa rakyat pun tidak setuju PRU (diadakan pada) musim banjir,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun di Dewan Sivik Bijangga di sini hari ini.

    Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata bagaimanapun, tarikh pembubaran Parlimen bergantung kepada keputusan Jemaah Menteri serta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – BERNAMA

  • PRU-15: PAS belum muktamad jumlah kerusi ditandingi

    PRU-15: PAS belum muktamad jumlah kerusi ditandingi

    PAS masih belum memuktamadkan jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Beliau berkata segala keputusan berkenaan jumlah kerusi yang bakal ditandingi PAS akan dibincangkan terlebih dahulu di peringkat parti itu.

    “Itu bukan jumlah kerusi kami bertanding, itu kerusi yang kami pantau (80 kerusi). Jumlah kerusi kami akan bincang di peringkat parti. Perikatan Nasional (PN) belum putuskan (kawasan parti bertanding), bagaimanapun setiap parti akan buat pemantauan kerusi-kerusi yang kami rasa boleh menang,” katanya.

    Tuan Ibrahim berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas sama ada sasaran PAS bertanding 80 kerusi Parlimen pada PRU15 sudah dibincangkan dengan PN ataupun tidak.

    Semalam, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan PAS menyasarkan untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen pada PRU15.

    Menteri Besar Kedah itu berkata jumlah tersebut sekali ganda berbanding 40 kerusi ditandingi pada PRU14 dan pihaknya sedang menganalisa kawasan yang mencapai indeks pencapaian utama (KPI) untuk berada dalam senarai 80 kerusi Parlimen yang disasarkan.- BERNAMA