MENTERI Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membidas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli apabila membuat dakwaan terdapat pihak tertentu cuba meminta beliau meluluskan projek tebatan banjir berjumlah RM2 bilion semasa tempoh pentadbiran kerajaan sementara.

Timbalan Presiden Pas itu yang menyifatkan dakwaan Rafizi sebagai fitnah berkata, tidak ada mana-mana pihak berjumpa beliau memintanya meluluskan projek berjumlah RM2 bilion yang bukan sedikit jumlahnya.

Beliau berkata, jika Timbalan Presiden PKR itu mempunyai bukti, beliau boleh membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya membuat fitnah khasnya pada musim Pilihan Raya Umum (PRU).

“Dia (Rafizi) kata ada pihak-pihak tertentu minta menteri KASA lulus RM2 bilion dalam tempoh kerajaan peralihan.

“Eh kamu ingat aku tak reti peraturan ke? Mana boleh lulus mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara, tak boleh dan saya nak tegaskan saya tak pernah meluluskan sebarang peruntukan mana-mana projek setelah Parlimen dibubarkan,” katanya malam tadi.

Beliau berkata demikian dalam ceramah Perikatan Nasional (PN) Parlimen Lipis di Bilik Operasi PN DUN Cheka Taman Cahaya, Cheka.

Media melaporkan, Rafizi mendakwa KASA dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat dimiliki individu dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.

Rafizi berkata, beliau dimaklumkan sumber dalam kerajaan yang usaha meluluskan segera projek itu di bawah pentadbiran kerajaan sementara adalah sebagai timbal balas selepas menerima dana untuk digunakan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sehubungan itu, beliau menggesa Tuan Ibrahim menjawab dakwaan berkenaan dan memberi jaminan tidak akan meluluskan sebarang projek dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara, kerana ia bertentangan dengan pekeliling Perbendaharaan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga calon PN bagi DUN Cheka menegaskan, beliau juga tidak pernah campur tangan dalam sebarang tender di bawah KASA.

“Bukan macam masa zaman Pakatan Harapan (PH), bagi saya urusan jawatankuasa tender urus, saya tidak mahu terlibat.

“Ikut prosedur ikut peraturan siapa yang layak siapa yang dapat teruskan,” katanya.

Jelas Tuan Ibrahim, apabila Parlimen dibubarkan, pekeliling dikeluarkan oleh ketua setiausaha negara yang akan mengingatkan semua pihak bahawa tidak boleh bagi apa-apa komitmen kewangan, tidak boleh janji projek melibatkan kewangan bagi tanggungan kerajaan akan datang dan tidak boleh membuat mana-mana dasar semasa proses kerajaan sementara.

Katanya, semasa Parlimen dibubarkan, beliau menghadiri tiga program KASA iaitu sambutan Hari Alam Sekitar Negara di Kuantan; Hadir dan rasmikan Karnival KASA di Kubang Kerian dan meraikan kakitangan KASA berpencen dan tukar kementerian.

“Ini tiga program saya hadir dan tidak ada tandatangan mana-mana surat mana-mana projek sebagaimana didakwa,” tambahnya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, beliau sedang melihat aspek-aspek lain yang bersesuaian jika boleh tindakan undang-undang diambil ke atas Rafizi.

Katanya, penggunaan ayat-ayat seperti, ‘saya difahamkan’, ‘saya dimaklumkan’ dan ‘ada pihak yang beritahu’ oleh Rafizi menyukarkan usaha tindakan perundangan diambil ke atas Rafizi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here