Tag: tembakan

  • Polis siasat 2 lelaki lepaskan tembakan di hadapan rumah di Sitiawan

    Polis siasat 2 lelaki lepaskan tembakan di hadapan rumah di Sitiawan

    POLIS sedang menyiasat kes dua lelaki yang dipercayai melepaskan tembakan di hadapan sebuah rumah di Sitiawan, Manjung semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 1.07 tengah hari semalam daripada seorang lelaki mengenai kejadian di hadapan rumah rakannya, disyaki dilakukan oleh dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal.

    Beliau berkata hasil siasatan, polis mendapati pemilik rumah terbabit tinggal bersama isteri dan dua anak.

    “Mangsa memaklumkan bahawa isterinya telah terdengar bunyi letupan di luar rumah pada pagi semalam namun tidak mengendahkan perkara tersebut.

    “Pada kira-kira 12.45 tengah hari, pengadu keluar dari rumah untuk mengambil barang lalu menyedari terdapat kerosakan pada cermin belakang kereta mangsa dan menjumpai kelongsong peluru di bawah kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Yusri berkata pemeriksaan oleh Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak mendapati terdapat kesan lubang pada cermin belakang kereta mangsa dipercayai akibat tembakan dan menemukan kelongsong peluru di bawah kenderaan selain kepala peluru di kawasan but kenderaan itu.

    Beliau berkata siasatan rakaman kamera litar tertutup mendapati terdapat dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 tanpa nombor pendaftaran dan melepaskan sedas tembakan lalu terkena kenderaan mangsa.

    “Suspek kemudiannya cuba melepaskan tembakan ke arah hadapan rumah namun dipercayai pistol suspek gagal berfungsi sebelum melarikan diri,” katanya.

    Beliau berkata kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung ASP Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.- BERNAMA

  • Tidur dengan mayat komunis kenangan tak dapat dilupakan veteran tentera Wok

    Tidur dengan mayat komunis kenangan tak dapat dilupakan veteran tentera Wok

    TERPAKSA tidur bersama dua mayat pengganas komunis semalaman, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Pegawai Waran I Wok Muhammad, 85, sepanjang berkhidmat selama 25 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Mengimbau kembali peristiwa itu, Wok berkata kejadian berlaku ketika beliau serta kira-kira 50 anggota platun lain mengikuti satu operasi bagi menjejaki pengganas komunis di kawasan hutan di Batu Gajah, Perak sekitar 1957.

    Beliau serta mereka perlu berjalan kaki dengan berhati-hati selama lebih tiga jam seawal 5 pagi untuk ke kawasan yang dikatakan terdapat komunis selepas pihak risikan memberikan maklumat.

    “Ketika menelusuri kawasan hutan untuk menjejaki komunis kami perlu berhati-hati kerana dikhuatiri terdapat jerangkap samar atau perangkap mahupun diserang hendap oleh pengganas komunis secara tiba-tiba.

    “Malah, sebagai langkah keselamatan, anggota platun kami ada yang membawa senjata berat dan saya pula ditugaskan membawa senjata ringan untuk berdepan dengan sebarang serangan komunis,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Bunut Susu, di Pasir Mas baru-baru ini.

    Bercerita lanjut, bapa kepada dua anak itu berkata selepas beberapa jam berjalan untuk menjejaki komunis, akhirnya ketua operasi berjaya mengesan kira-kira tujuh pengganas komunis berada di sebalik bukit sekitar kawasan hutan itu.

    Katanya sebaik sahaja berjaya menjejaki sekumpulan penggans komunis itu, anggota platun terus melepaskan tembakan, dengan dua daripada mereka terbunuh manakala saki-baki kumpulan itu berjaya meloloskan diri.

    “Selepas dua daripada pengganas mereka tumpas disebabkan terkena tembakan, kami tidak terburu-buru menuju ke mayat itu kerana bimbang terdapat bom ataupun perangkap pada mayat berkenaan.

    “Malah, kami juga turut dilatih agar memastikan musuh benar-benar terbunuh sebelum memeriksa keadaan mayat bagi mengelak sebarang bahaya,” katanya yang berusia 20 tahun ketika kejadian itu.

    Wok berkata memandangkan kejadian itu berlaku lewat petang dan keadaan sudah gelap, beliau serta beberapa anggota terpaksa bergilir-gilir memikul mayat anggota pengganas komunis itu untuk dibawa keluar keesokan hari.

    Katanya, ketika gilirannya membawa mayat komunis itu beliau berasa agak gerun selain turut berbau hanyir disebabkan darah yang mengalir sehingga turut menyebabkan uniformnya terkena kesan darah.

    “Sepanjang malam, kami juga terpaksa berjaga dan hanya tidur secara ala kadar sahaja berhampiran dua mayat komunis itu kerana dikhuatiri bau darah itu akan menarik perhatian binatang buas termasuk harimau.

    “Malah, pasukan kami juga turut bimbang sekiranya ahli komunis lain akan menyerang setelah dua anggotanya terbunuh, namun mujurlah ia tidak berlaku selain operasi itu juga ditamatkan pada keesokan hari,” katanya.

    Wok berkata beliau berasa bangga dapat berbakti kepada negara ketika usia mudanya untuk mempertahankan negara daripada penjajah komunis, malah hasil perkhidmatan dan jasanya beliau turut dianugerahkan beberapa pingat.

    “Antara pingat yang diterima termasuklah, Ahli Mangku Negara, Pingat Seri Mahkota Kelantan, Pingat Perkhidmatan Setia, Pingat Khidmat Berbakti selain saya juga pernah ditugaskan untuk bertugas di Congo selama setahun pada 1962,” katanya yang menamatkan perkhidmatan pada 1981.- BERNAMA

  • [VIDEO] Tembakan di taman: 2 maut, 5 cedera

    [VIDEO] Tembakan di taman: 2 maut, 5 cedera

    DUA maut manakala lima lagi cedera dalam kejadian tembakan di sebuah taman di Los Angeles pada petang Ahad, lapor Xinhua, memetik pihak berkuasa.

    Anggota polis menerima laporan mengenai kejadian tembakan berhampiran padang besbol di Peck Park, pada pukul 3.45 petang waktu tempatan, lapor Jabatan Polis Los Angeles.

    Tujuh mangsa dikejarkan ke hospital tempatan, dan dua daripadanya disahkan meninggal dunia, menurut Jabatan Bomba Los Angeles.

    Polis memaklumkan beberapa senjata api dijumpai di lokasi berkenaan dan dikategori sebagai bahan bukti.

    Bilangan suspek yang terlibat masih belum diketahui, atau insiden itu membabitkan pertempuran antara kumpulan masih disiasat, menurut polis.

    Jabatan Polis Los Angeles telah mengisytiharkan amaran taktikal seluruh bandar selepas kejadian itu.

    Saksi berkata, ratusan orang menghadiri pameran kereta dan melakukan pelbagai aktiviti lain di taman itu sebelum insiden tembakan tercetus, menyebabkan mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri. – BERNAMA

  • [VIDEO] Tembakan di kampus, 3 mangsa maut, 2 cedera

    [VIDEO] Tembakan di kampus, 3 mangsa maut, 2 cedera

    INSIDEN tembakan di sebuah kampus universiti di Metro Manila pada Ahad, mengorbankan tiga individu, manakala dua lagi cedera, menurut polis Filipina.

    Pihak Berkuasa Pembangunan Metro Manila mengesahkan kejadian berlaku pada 14.55 tengah hari waktu tempatan di pintu masuk Universiti Ateneo de Manila di Quezon City, lapor Agensi Berita Xinhua.

    “Seorang pengawal keselamatan turut terbunuh,” kata Pengarah daerah Polis Quezon City, Remus Medina.

    Dalam kejadian itu, suspek cuba melarikan diri menggunakan kereta tetapi berjaya ditahan pihak polis.

    Ejen Biro Penyiasatan Kebangsaan juga telah dikerah ke lokasi kejadian “untuk menyiasat dan menghulurkan bantuan kepada mangsa dan pihak universiti.”

    Kampus “ditutup buat masa ini,” menurut universiti itu.

    Ketua Hakim Negara Mahkamah Tinggi, Alexander Gesmundo dijadual menghadiri majlis graduasi lulusan undang-undang pada petang Ahad.

    Jurucakap Mahkamah Agung, Brian Hosaka berkata, Gesmundo “yang dalam perjalanan ke lokasi itu dinasihatkan untuk berpatah balik”. – BERNAMA

  • [VIDEO] 2 pegawai polis ditembak ketika sambutan kemerdekaan

    [VIDEO] 2 pegawai polis ditembak ketika sambutan kemerdekaan

    DUA anggota polis di Philadelphia, Pennsylvania dilaporkan ditembak, ketika pertunjukan bunga api sempena Sambutan Hari Kemerdekaan pada Isnin malam, lapor Xinhua.

    Terdapat “insiden keselamatan” di Benjamin Franklin Parkway, menurut pejabat pengurusan kecemasan bandar itu.

    Suspek masih gagal dikesan.

    Rakaman di media sosial memaparkan orang ramai bertempiaran lari dari tempat kejadian ketika pertunjukan bunga api masih berlangsung.

    Insiden berlaku hanya beberapa jam selepas enam orang terbunuh dalam serangan di pusat bandar Highland Park, Illinois, pada 4 Julai (Ahad), dengan berpuluh-puluh yang lain cedera.

    Suspek dalam kejadian di Highland Park dikenali sebagai Robert Crimo III, 22, berjaya ditahan berhampiran Lake Forest, Illinois.

    Presiden AS Joe Biden pada Isnin berkata beliau ” amat terkejut dengan keganasan senjata api yang tidak masuk akal, sekali lagi mengecewakan masyarakat Amerika pada sambutan Hari Kemerdekaan ini”.

    Menurut data Arkib Keganasan Senjata, lebih 22,300 kematian direkodkan akibat keganasan senjata api dan 311 kejadian tembakan rambang di seluruh Amerika Syarikat sejak enam bulan lalu. – BERNAMA

  • [VIDEO] 6 maut tembakan rambang perarakan Hari Kemerdekaan AS

    [VIDEO] 6 maut tembakan rambang perarakan Hari Kemerdekaan AS

    SEORANG suspek yang melepaskan tembakan ke atas pengunjung semasa perarakan sempena Hari Kemerdekaan di Chicago, Amerika Syarikat (AS) telah berjaya ditahan.

    Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 22 tahun, Robert E Crimo III, ketika dia cuba melarikan diri dalam sebuah kereta di kawasan berdekatan dengan tempat kejadian.

    Menurut laporan Astro AWANI, polis dilihat mengepung sebuah kereta sebelum Crimo ditahan.

    Dalam pada itu, punca kejadian dan motif suspek belum didedahkan.

    Dalam kejadian pada 4 Julai lalu, sekurang-kurangnya enam terkorban manakala 36 lagi cedera dalam kejadian tembakan rambang semasa perarakan sempena hari kemerdekaan AS di Highland Park.

    Siasatan awal mendapati suspek melepaskan tembakan dari bumbung sebuah bangunan.

    Polis turut menemui sepucuk senapang patah di bumbung sebuah bangunan di Highland Park.

  • [VIDEO] Tembakan festival muzik Moechella: Seorang maut, tiga cedera

    [VIDEO] Tembakan festival muzik Moechella: Seorang maut, tiga cedera

    SEORANG remaja maut manakala tiga lagi cedera dalam kejadian tembakan di Washington D.C., menurut polis.

    Insiden berlaku pada malam Ahad ketika festival muzik Moechella berlangsung, lapor Sputnik.

    “Jabatan Polis Metropolitan (MPD) telah dikerah ke lokasi kejadian di kawasan 14 dan U Street, susulan beberapa orang telah ditembak termasuk seorang pegawai MPD,” kata jabatan polis DC di media sosial.

    Mereka yang cedera telah dikejarkan ke hospital.

    https://youtu.be/v7xSuJU8qrg

    Motif di sebalik kejadian masih dalam siasatan. – BERNAMA

  • Lelaki dikehendaki polis mati ditembak dari jarak dekat

    Lelaki dikehendaki polis mati ditembak dari jarak dekat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG individu dikehendaki polis, maut setelah ditembak dari jarak dekat di tempat meletak kereta, berhampiran sebuah restoran di Jalan Kampung Baru dekat Sungai Petani, Kedah, tengah hari tadi.

    Mangsa, S. Murali, 36, maut di lokasi kejadian akibat ditembak berdas-das di muka serta badan.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, pihaknya menemukan sekurang-kurangnya lapan kelongsong peluru di lokasi kejadian.

    “Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari dengan mangsa dikatakan datang ke sebuah restoran di sini bersama isteri, anak angkat serta rakannya untuk membungkus makanan. Selepas membeli makanan, mangsa kemudiannya dikatakan kembali ke kenderaan ketika isteri serta anak angkatnya masih berada dalam restoran tersebut.

    “Ketika membuka pintu untuk masuk ke dalam kereta, mangsa tiba-tiba didatangi empat lelaki menaiki dua motosikal yang berjaket dan mengenakan topi keledar berpelitup penuh. Tembakan kemudian dilepaskan terhadapnya dalam jarak kira-kira satu meter menyebabkannya maut di sebelah kenderaan jenis Toyota Vellfire dinaikinya,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.

    Wan Hassan menambah, semakan mendapati mangsa merupakan individu dikehendaki polis mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selain dipercayai terlibat dengan kegiatan kongsi gelap.

    Selain itu mangsa juga dipercayai turut terlibat dengan kes berkaitan gengsterisme serta dadah.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan dengan pihak kami turut meneliti rakaman kamera litar tertutup dari kedai-kedai berhampiran.

    Tambahnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • [VIDEO] Tembakan gereja: Seorang maut, 5 lagi cedera

    [VIDEO] Tembakan gereja: Seorang maut, 5 lagi cedera

    SEORANG maut dan lima lagi cedera dalam kejadian tembakan di sebuah gereja di California barat, Amerika Syarikat (AS), lapor Xinhua.

    Insiden berlaku di Bandar Laguna Woods di Orange County di California pada petang Ahad, menurut Jabatan Syerif Orange County.

    “Pihak polis menerima panggilan kecemasan pada 1.26 petang. Empat mangsa cedera parah, seorang cedera ringan. Seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” menurut jabatan itu.

    Suspek melepaskan tembakan ke arah pengunjung yang menghadiri jamuan tengah hari di gereja Geneva Presbyterian.

    Motif kejadian masih dalam siasatan.

    Terdapat berpuluh-puluh orang di dalam gereja ketika kejadian berlaku.

    Beberapa pengunjung berjaya menangkap penembak itu, lapor akhbar tempatan The Orange County Register.

    Penyerang seorang lelaki Asia berusia 60-an dan bukan penduduk di kawasan itu. – BERNAMA

  • [VIDEO] Tembakan pasar karat: 2 maut, 3 lagi cedera

    [VIDEO] Tembakan pasar karat: 2 maut, 3 lagi cedera

    DUA maut di tempat kejadian dan tiga lagi parah dalam insiden tembakan di pasar karat di Houston, Texas Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, lapor Xinhua.

    Kejadian dipercayai akibat pertengkaran membabitkan lima lelaki, menurut Pejabat Syerif Harris County.

    Kesemua mangsa berusia awal dan pertengahan 20-an, berkemungkinan mengenali antara satu sama lain.

    Syerif Harris County, Ed Gonzalez berkata dianggarkan terdapat “ribuan” orang awam di pasarkarat itu ketika tembakan dilepaskan.

    Dua suspek telah ditahan dan suspek ketiga menerima rawatan di hospital, menurut ABC News.

    Sekurang-kurangnya dua pucuk pistol turut dijumpai. – BERNAMA