BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keluarga melahirkan perasaan dukacita dengan pemergian tokoh korporat terkenal, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar hari ini.

Menurut beliau, Allahyarham ialah nama besar yang cukup dikenali dan antara anak Melayu yang berjaya dalam dunia korporat tanah air.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, selaku pengasas syarikat hartanah MK Land, Mustapha Kamal banyak menyumbang dalam pembangunan sektor hartanah negara terutama yang melibatkan pembinaan rumah untuk rakyat.

“Allahyarham juga antara ahli perniagaan terawal yang merintis konsep pembinaan rumah mampu milik bagi memberi peluang kepada orang ramai memiliki rumah pertama.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang soleh.

“Saya juga berdoa moga ahli keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi saat-saat yang mendukacitakan ini. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Bernama melaporkan, Mustapha Kamal, 73, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.45 pagi tadi kerana sakit tua.

Dilahirkan di Kampung Changkat, Pusing, Perak, Allahyarham Mustapha Kamal pernah mendapat jolokan sebagai ‘Raja Perumahan Mampu Milik’ kerana bertanggungjawab membangunkan lebih 12,000 rumah kos rendah di sekitar Selangor dan Perak.

Mustapha Kamal merupakan pengasas Kumpulan Syarikat EMKAY yang menawarkan rumah mampu milik.

Syarikat hartanah miliknya itu telah ditukar nama kepada MK Land Holdings Berhad selepas ia disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada Ogos 1999.

Pada awal kerjayanya, Allahyarham yang juga siswazah Universiti Malaya (UM) dan penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Hartanah Lestari) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Kehormat Doktor Perniagaan dan Keusahawanan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), antara lain pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah di Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Petaling antara 1971 hingga 1976.

Allahyarham juga pernah berkhidmat dalam sektor awam dengan memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Tanah dan Galian, Selangor pada 1978 sebelum menyertai sektor swasta dalam bidang hartanah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here