Tag: SPRM

  • Salah guna kuasa: YDP pertubuhan kebajikan direman 5 hari

    Salah guna kuasa: YDP pertubuhan kebajikan direman 5 hari

    DUA lelaki termasuk seorang Yang Dipertua (YDP) sebuah pertubuhan kebajikan di Terengganu direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan penyalahgunaan kuasa pelantikan pengarah urusan sebuah syarikat usaha sama, empat tahun lepas.

    Perintah reman sehingga Isnin (4 Julai) di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah itu dikeluarkan oleh Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu terhadap kedua-dua suspek berusia 80-an dan 50-an itu.

    Ia bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dijalankan.

    Menurut sumber SPRM pada sekitar 2018, YDP pertubuhan kebajikan yang berusia 80-an tersebut disyaki telah menggunakan jawatannya untuk melantik sekutunya sebagai pengarah urusan sebuah syarikat usaha sama dengan beliau mempunyai kepentingan ke atas syarikat itu.

    Kedua-dua suspek ditahan semalam di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di Kuala Terengganu. – BERNAMA

  • Tuntutan palsu projek RM300 juta: 4 individu dibebaskan

    Tuntutan palsu projek RM300 juta: 4 individu dibebaskan

    EMPAT individu yang sebelum ini ditahan kerana disyaki bersubahat dalam membuat tuntutan palsu berkaitan projek pembangunan di Pantai Timur yang bernilai lebih RM300 juta, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

    Peguam Vivek Sukumaran yang mewakili keempat-empat suspek berkata, selepas mendengar bantahan serta hujahan beliau, perintah tersebut dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu berikutan tempoh reman selama enam hari ke atas kesemua mereka yang berusia 28 hingga 48 tahun berakhir hari ini.

    “Sekarang status kes ini masih lagi dalam siasatan, jadi tidak ada pertuduhan berlaku lagi. Tiada permohonan sambung reman dibuat kerana semua pihak memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.

    “Saya harap semua pihak jangan buat sebarang spekulasi lagi. Beri ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Mahkamah Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

    Walau bagaimanapun, Vivek enggan mendedahkan jumlah wang jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.

    Menurut laporan sebelum ini, seorang pengarah urusan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam bidang hartanah adalah antara empat individu ditahan kerana disyaki bersubahat dalam membuat tuntutan palsu berkaitan projek pembangunan di Pantai Timur yang bernilai lebih RM300 juta.

    Tiga lagi yang ditahan adalah pengarah syarikat, pengurus projek dan arkitek daripada syarikat kontraktor dan juruperunding. – BERNAMA

  • 4 anggota polis direman bekal bahan terlarang kepada tahanan

    4 anggota polis direman bekal bahan terlarang kepada tahanan

    EMPAT anggota polis direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menerima upah sebagai orang tengah membekalkan bahan terlarang kepada tahanan lokap.

    Perintah reman ke atas kesemua tertuduh berumur antara 35 dan 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin di Mahkamah Ayer Keroh hari ini.

    Siasatan ke atas kesemua anggota yang berpangkat Lans Koperal dan Koperal yang bertugas di sebuah balai di Alor Gajah itu dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

    Kesemua anggota tersebut didakwa membawa masuk bekalan bahan terlarang seperti dadah, tembakau dan makanan kepada tahanan lokap di balai mereka bertugas dan dikatakan menerima upah antara RM600 hingga RM9,000 menerusi kira-kira 20 transaksi sepanjang 2019 hingga 2020 sama ada secara dalam talian atau tunai.

    Kesemua suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka petang semalam.

    Terdahulu mereka tiba di perkarangan mahkamah pada kira-kira pukul 9.30 pagi dengan memakai baju tahanan lokap SPRM berwarna jingga.

    Dalam pada itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan siasatan lanjut sedang dilakukan. – BERNAMA

  • 99.67% aset RM5.1 bilion dilucuthak berkaitan 1MDB

    99.67% aset RM5.1 bilion dilucuthak berkaitan 1MDB

    JUMLAH aset yang dilucuthak dan dipulangkan kepada kerajaan Malaysia pada tahun lepas adalah kira-kira RM5.1 bilion, dengan 99.57 peratus daripadanya berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

    Beliau berkata, siasatan SPRM juga telah membawa 152 kes pelucuthakan aset dikendalikan di mahkamah dengan 121 daripadanya telah selesai.

    “117 kes atau 96.7 peratus memihak kepada pendakwa raya dan empat kes, atau 2.2 peratus tidak memihak kepada pendakwa raya,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Media SPRM 2021 di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

    Azam berkata, SPRM bertanggungjawab meneliti dan menyiasat sebarang aduan, meskipun dakwaan rasuah hanya membabitkan jumlah yang kecil.

    Beliau berkata, sekiranya didapati ada sebab yang munasabah menunjukkan berlakunya kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM, kertas siasatan akan dibuka dan setelah selesai siasatan, ia akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

    “Meskipun pemberian izin untuk mendakwa adalah bergantung kepada budi bicara mutlak Peguam Negara, kekuatan bukti hasil siasatan SPRM membantu dalam keputusan tersebut,” katanya.

    Azam berkata, SPRM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalankan siasatan dan tidak boleh membuka kertas siasatan hanya daripada maklumat seorang blogger atau pengguna media sosial, terutama sekali mereka yang disyaki mempunyai agenda politik tertentu.

    “Jika siasatan kami atas tuduhan atau dakwaan yang sedemikian, kertas siasatan kami tidak akan berjaya berdiri di atas landasan bukti yang teguh.

    “Nescaya ia akan dibuang sebelum ia mendapat izin untuk mendakwa oleh Pejabat Peguam Negara dan sudah tentu ia tidak akan sampai ke ruang perbicaraan mahkamah sekalipun,” katanya.

    Beliau berkata, SPRM sentiasa mengikuti SOP yang diperuntukkan berhubung siasatan kes dan akan meneliti mana-mana dakwaan dan aduan sebelum membuka sesuatu kertas siasatan.

    “Sekiranya, tidak ada atau tidak cukup bukti kertas siasatan akan ditutup. Amalan ini adalah untuk memastikan seseorang yang tidak bersalah tidak dianiayai dan yang tertuduh mendapat ruang dan peluang pembelaannya di mahkamah,” katanya.

    Dalam pada itu, Azam berkata, bermula tahun 2000, SPRM mula bergerak ke arah kaedah risikan dan penyiasatan proaktif iaitu kaedah ‘Penyiasatan Bedasarkan Risikan ke atas Kes Berprofil Tinggi’ dalam siasatan.

    “Proses ini memerlukan analisis mendalam terhadap suspek-suspek tertentu, sebelum kita membuat penyiasatan sebenar. Walaupun kaedah ini memakan masa, namun impaknya adalah tinggi,” katanya.

    Antara kes yang berjaya didedahkan SPRM hasil kaedah risikan dan penyiasatan proaktif itu adalah kes terjumpanya wang dalam sekitar RM53 juta tunai daripada seorang pegawai kerajaan, dalam satu operasi dikenali ‘OPS Water’ pada 2016. – BERNAMA

  • SPRM tak gugur kes salah guna kuasa pegawai Mara Corp

    SPRM tak gugur kes salah guna kuasa pegawai Mara Corp

    DAKWAAN sebuah portal kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menggugurkan kes salah guna kuasa melibatkan tiga pegawai Mara Corp adalah tidak benar.

    Memetik laporan Astro Awani, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan, siasatan telah dijalankan oleh pihaknya dan beberapa individu dicadangkan untuk dituduh.

    “Kita telah hantar ke Jabatan Peguam Negara untuk dikaji dan seperti yang lepas kita mencadangkan untuk dituduh beberapa pihak dalam kes ini.

    “Jadi setakat ini tidak ada sebarang maklumat dari Jabatan Peguam Negara mengenai tiada pihak dituduh, jadi saya tiada komen mengenai kes ini tidak dituduh,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Anugerah SPRM 2021 di Putrajaya hari ini.

    Beliau menambah, siasatan yang dijalankan sebelum ini mendapati terdapat keterangan yang memadai untuk pertuduhan dibuat terhadap beberapa individu.

    “Dari pihak kami telah menyiasat dan pada pandangan kami ada keterangan memadai dan mencukupi untuk pertuduhan terdahadap beberapa pihak,” katanya lagi.

    Pada 5 Februari lalu, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu sebelum menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada Mara, Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada 7 Februari.

  • Pengarah syarikat mengaku tidak bersalah tipu Alliance Steel RM7.38 juta

    Pengarah syarikat mengaku tidak bersalah tipu Alliance Steel RM7.38 juta

    SEORANG pengarah syarikat hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan menipu pelabur pertama di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB), membabitkan jumlah RM7.38 juta, tiga tahun lepas.

    Teh Teng Cheng, 52, yang beralamat di Puchong, Selangor didakwa melakukan kesalahan itu pada 28 Jun 2019 di pejabat ASSB di MCKIP, Gebeng di sini dengan mengemukakan Manual Perubahan Akaun Penerimaan Pembayaran Projek, yang mendorong ASSB membuat bayaran RM7.38 juta kepada Sureland Industrial Fire Safety (M) Sdn Bhd, yang tidak akan dilakukan jika tidak diperdayakan.

    Pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin menawarkan jaminan RM2 juta dengan dua penjamin warga Malaysia.

    Bagaimanapun, peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan merayu jumlah itu dikurangkan, atas alasan isteri tertuduh selaku penjamin hanya berkemampuan membayar RM30,000, dengan anak guamnya bersedia dikenakan syarat tambahan daripada mahkamah.

    “Syarikat tertuduh kini dalam proses penggulungan dan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap sejak dua tahun lepas. Isteri tertuduh merupakan seorang peniaga namun perniagaannya juga terjejas akibat pandemik COVID-19, menyebabkan mereka tidak dapat mengumpulkan wang yang banyak.

    “Tertuduh juga menghidap ‘sleep apnea’ dan memerlukan bantuan mesin pernafasan setiap malam. Selain itu, tertuduh turut menanggung tiga anak berusia antara lapan hingga 19 tahun serta seorang ibu berusia 74 tahun,” katanya.

    Mohd Shahrullah Khan juga memaklumkan sejak ditangkap pada 15 Nov 2021, tertuduh telah memberikan kerjasama sepenuhnya, termasuk tidak pernah gagal melaporkan diri di pejabat SPRM di Putrajaya setiap bulan, menunjukkan dia tidak berisiko melarikan diri.

    Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM750,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia, bersama syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Jun ini bagi serahan dokumen. – BERNAMA

  • Pemborong getah didenda RM250,000 rasuah pegawai SPRM

    Pemborong getah didenda RM250,000 rasuah pegawai SPRM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MAHKAMAH Sesyen 2 di Alor Setar, hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM250,000 terhadap seorang pemborong getah kerana memberi rasuah berjumlah RM589,450 kepada seorang Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyamar sebagai ejen provokasi antara Ogos 2021 hingga Februari 2022.

    Hakim, Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh, Th’ng Kean Kai, 33, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Sekiranya gagal membayar denda ditetapkan itu, tertuduh turut diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama 12 bulan.

    Mengikut kertas pertuduhan, Kean Kai didakwa memberi rasuah tersebut sebagai balasan bagi pegawai SPRM tersebut untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang melakukan kesalahan mencuri arus elektrik.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 26 Ogos 2021 hingga 28 Februari 2022 di Bandar Sungai Petani, dalam daerah Kuala Muda di Kedah.

    Berdasarkan fakta kes pula, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama SPRM telah mengesan kegiatan mencuri arus elektrik bagi tujuan melombong mata wang kripto dan maklumat diterima menyatakan, ada dalam kalangan individu terlibat cuba memberi suapan kepada pegawai-pegawai TNB untuk kegiatan mereka itu tidak diganggu.

    Susulan itu seorang pegawai SPRM telah menyamar telah bertindak sebagai ejen provokasi dengan menyamar sebagai pegawai TNB. Beberapa pertemuan telah diadakan antara tertuduh dengan pegawai SPRM yang menyamar itu termasuk di sebuah hotel di Sungai Petani.

    Menerusi pertemuan-pertemuan yang diadakan itu, tertuduh didakwa telah menyerahkan wang tunai bernilai antara RM28,000 hingga RM215,000 dengan jumlah keseluruhan RM589,450.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan manakala tertuduh diwakili peguam, Tengku Hezrul Anuar Tengku Abdul Samad.

    Tertuduh difahamkan membayar denda tersebut dengan Hakim turut memerintahkan supaya wang rasuah yang diserahkan kepada pegawai SPRM tersebut diserahkan kepada Perbendaharaan Negara.

  • Shafee sembunyi ‘identiti’ wang RM9.5 juta diterima daripada Najib

    Shafee sembunyi ‘identiti’ wang RM9.5 juta diterima daripada Najib

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah cuba menyembunyikan ‘identiti’ wang berjumlah RM9.5 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pinjaman, sedangkan wang tersebut adalah bayaran khidmat guaman kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

    Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Farid Jabar, 37, berkata, berdasarkan kepada dua rakaman percakapan yang diambil oleh SPRM pada 2017 dan 2018, Muhammad Shafee menyatakan bahawa wang RM9.5 juta itu adalah bayaran khidmat guaman, namun dalam satu rekod percakapan dan kenyataan media, peguam itu memberitahu wang tersebut adalah pinjaman.

    “Pada awalnya, Tan Sri Shafee dirakam percakapan (dua rakaman pada 2017 dan 2018) sebagai saksi berkaitan penerimaan wang RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib yang mana Tan Sri Shafee adalah salah seorang yang menerima wang daripada Datuk Seri Najib yang ketika itu Datuk Seri Najib disiasat oleh SPRM.

    “Penjelasan Tan Sri Shafee menerusi dua rekod percakapan yang saya peroleh, jelas membuktikan bahawa penerimaan RM9.5 juta itu merupakan bayaran yuran guaman bagi kes-kes petisyen pilihan raya tahun 2004 dan 2006 yang telah selesai,” katanya dan menambah dua rekod percakapan itu diambil oleh dua pegawai SPRM.

    Saksi pendakwaan kelapan itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pada perbicaraan kes peguam itu yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Mohamad Farid berkata, beliau telah mengemukakan aduan pada 4 Sept 2018, yang menjurus kepada kesalahan penerimaan wang RM9.5 juta oleh Muhammad Shafee yang peguam kanan itu merupakan suspek dalam kertas siasatannya.

    “Siasatan yang dibuat oleh saya adalah menjurus kepada sama ada penerimaan dua cek berjumlah RM9.5 juta telah diisytiharkan di dalam Borang B Tahun Taksiran (LHDN) 2013 dan 2014, daripada situ siasatan saya mendapati bahawa tiada laporan yang dibuat.

    “Siasatan saya juga mendapati, berdasarkan rakaman percakapan dan kenyataan media, beliau (Muhammad Shafee) cuba menyembunyikan identiti sebenar penerimaan RM9.5 juta yang diterima olehnya sebagai pinjaman, sedangkan duit RM9.5 juta itu merupakan bayaran bagi khidmat guaman yang telah diberikan oleh Tan Sri Shafee kepada UMNO dan BN,” katanya.

    Kepada soalan Afzainizam mengapa saksi terakhir itu tidak mengeluarkan notis kepada Muhammad Shafee dan firma Shafee & Co, supaya mengemukakan invois berhubung bayaran khidmat guaman kepada UMNO dan BN, Mohamad Farid berkata, Muhammad Shafee sendiri mengesahkan bahawa beliau tidak meminta sebarang invois daripada Najib kerana ‘segan’.

    “Selain itu, cek (RM9.5 juta) itu dibuat sendiri oleh Datuk Seri Najib kepada Tan Sri Shafee kerana kes-kes petisten pilihan raya 2004 dan 2006 telah selesai dilaksanakan,” jelasnya.

    Selepas saksi pendakwaan terakhir itu selesai memberi keterangan, Afzainizam kemudian memaklumkan kepada Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bahawa pihak pendakwaan telah menutup kes.

    “Pihak pendakwaan menutup kes pada hari ini setelah memanggil lapan saksi. Pendakwaan tidak menawarkan saksi kepada pihak pembelaan,” katanya.

    Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee mengucapkan terima kasih kepada pihak pendakwaan dan Hakim Muhammad Jamil kerana mendengar kes itu.

    Hakim Muhammad Jamil kemudian memerintahkan kedua-dua pihak menyerahkan nota prosiding pada 12 Jun ini untuk mahkamah meneliti nota tersebut dan dibandingkan dengan transkrip rakaman mahkamah (CRT) bagi menentukan ketepatannya.

    “Kedua-dua pihak juga perlu memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 26 Julai dan hujahan lisan ditetapkan pada 15 Sept,” katanya.

    Antara saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula 21 Mei 2021 ialah Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan R.Uma Devi, Pengurus Cawangan CIMB Bank Bukit Tunku Rosnita Ahmad dan bekas pegawai LHDN Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad.

    Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya, iaitu cek RM4.3 juta diterima pada 13 Sept 2013 manakala RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.

    Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram. – BERNAMA

  • Siasatan Hakim Nazlan: Permohonan rujuk persoalan undang-undang didengar 23 Jun

    Siasatan Hakim Nazlan: Permohonan rujuk persoalan undang-undang didengar 23 Jun

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 23 Jun ini untuk mendengar permohonan dua peguam dan seorang aktivis bagi merujuk dua persoalan undang-undang berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, ke Mahkamah Persekutuan.

    Hakim Datuk Noorin Badaruddin menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes hari ini yang dihadiri peguam A. Surendra Ananth dan Wong Ming Yen yang mewakili ketiga-tiga individu itu dan Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob, yang mewakili Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

    Persoalan undang-undang itu dinyatakan dalam permohonan dua peguam, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai serta aktivis Haris Fathillah Mohamed Ibrahim selaku plaintif berkaitan saman pemula mereka terhadap ketiga-tiga defendan bagi menuntut perisytiharan bahawa siasatan yang dijalankan oleh SPRM terhadap Mohd Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

    Dua persoalan itu ialah sama ada badan penyiasatan jenayah termasuk SPRM hanya dibenarkan secara sah untuk menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang telah digantung tugas menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan, dan sama ada pendakwa raya mempunyai kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim yang berkhidmat menurut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

    Sementara itu, Mazlifah Ayob ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan membantah permohonan berkenaan selain memaklumkan mahkamah turut mengarahkan pihaknya memfailkan afidavit jawapan pada atau sebelum 2 Jun.

    Surendra pula berkata, mahkamah mengarahkan pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 22 Jun.

    Menerusi saman pemula yang difailkan pada 6 Mei lepas, ketiga-tiga plaintif menuntut deklarasi bahawa defendan kedua (SPRM) tidak berhak atau dihalang daripada menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang berkhidmat kecuali jika mereka digantung menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan atau dipecat menurut Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan.

    Mereka juga memohon perisytiharan bahawa pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim mahkamah yang berkhidmat selain memohon deklarasi siasatan terhadap Mohd Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

    Sementara itu, ketiga-tiga plaintif menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama saman pemula berkata, media melaporkan bahawa SPRM telah memulakan siasatan terhadap Mohd Nazlan berkenaan dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya dan siasatan ini kononnya dimulakan berikutan laporan yang dibuat kepada SPRM.

    Mereka mendakwa, siasatan oleh SPRM terhadap hakim itu adalah satu pelanggaran oleh cabang Eksekutif terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

    Baru-baru ini, Mohd Nazlan, yang mendengar kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan mensabitkan bekas perdana menteri itu dengan pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, telah membuat laporan polis berhubung artikel berita yang mendakwa beliau sedang disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

    Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 21 April memaklumkan bahawa Mohd Nazlan menafikan dakwaan palsu, tidak berasas dan berniat jahat itu yang bertujuan menjejaskan kredibiliti beliau sebagai seorang hakim serta mengganggu pentadbiran keadilan jenayah dan badan kehakiman. – BERNAMA

  • SPRM ada kuasa siasat hakim

    SPRM ada kuasa siasat hakim

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan, agensi itu mempunyai kuasa untuk menyiasat mana-mana pegawai badan awam setelah menerima laporan atau aduan rasmi.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan telah diberikan kuasa, untuk menyiasat kes jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009 termasuk siasatan terhadap pegawai badan awam yang ditafsirkan dalam Seksyen 3 akta tersebut.

    “Pegawai badan awam ertinya mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau pekhidmat sesuatu badan awam, dan termasuklah anggota pentadbiran, Ahli Parlimen dan ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri.

    “Selain itu, hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan, dan mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam, dan, jika badan awam itu ialah suatu perbadanan seorang, termasuklah orang yang diperbadankan sebagai perbadanan itu,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan SPRM itu dikeluarkan susulan kritikan yang diterima agensi itu setelah ia mengesahkan membuka siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang didakwa menerima sejumlah wang.

    Kenyataan itu memaklumkan, selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, setelah semua proses siasatan selesai dilakukan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan sama ada melakukan pendakwaan atau sebaliknya.

    “SPRM juga telah mempunyai rekod menyiasat hakim yang mana kertas siasatan berkaitan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat penilaian.

    “Berhubung siasatan terhadap hakim tersebut, SPRM telah menerima satu aduan pada 15 Mac lalu disusuli dua lagi aduan pada 23 dan 27 April lepas. Siasatan ini masih berada di fasa awal dan melibatkan kepentingan awam,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu menegaskan, apabila sesuatu siasatan dijalankan terhadap mana-mana individu, ia tidak bermakna individu tersebut telah melakukan kesalahan.

    “Sehubungan itu, SPRM memohon masyarakat umum memberi ruang untuk proses siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA