Tag: SOP

  • Individu lengkap vaksinasi:Jangan ambil mudah, rasa kebal – Sultan Selangor

    Individu lengkap vaksinasi:Jangan ambil mudah, rasa kebal – Sultan Selangor

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah individu yang telah melengkapkan suntikan dua dos vaksin COVID-19 agar tidak mengambil mudah dan berasakan diri mereka kebal daripada jangkitan wabak itu.

    Justeru, baginda menyeru agar rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan menjalani kehidupan norma baharu bagi membantu kerajaan menangani wabak COVID-19.

    “Amalkan pemakaian pelitup muka apabila keluar rumah dan pastikan penjarakan fizikal sentiasa dipatuhi,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14, di sini, hari ini.

    Sultan Selangor juga berharap rakyat negeri ini memberi kerjasama sepenuhnya untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 masing-masing seperti yang ditetapkan oleh KKM.

    “Ahli-ahli Yang Berhormat semua perlu memainkan peranan untuk menasihati rakyat agar segera mengambil suntikan vaksin COVID-19 supaya Selangor boleh mencapai imuniti kelompok pada tarikh yang disasarkan,” titah baginda.

    Baginda turut menzahirkan kebimbangan berkaitan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara khususnya di Selangor dan berasa amat sedih serta dukacita melihat setiap hari negeri ini merekodkan jumlah pesakit dan kematian COVID-19 paling tinggi di Malaysia.

    “Beta tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak atas peningkatan kadar kematian dan jumlah pesakit COVID-19 ini,” titah baginda.

    Namun pada hemat baginda, peningkatan jumlah pesakit dan kematian akibat COVID-19 berlaku disebabkan kelalaian terhadap penguatkuasaan dan pematuhan SOP yang dikeluarkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara. 

    “Namun apakan daya, nasi sudah menjadi bubur, nyawa rakyat beta yang telah meninggal dunia akibat COVID-19 tidak dapat dikembalikan. Apa yang penting sekarang ini adalah untuk kita melangkah ke hadapan dengan penuh positif dan mengharapkan kesilapan dan kelalaian yang berlaku tidak diulangi semula,” titah baginda.- BERNAMA

  • Boleh bawa penumpang ikut jumlah tempat duduk

    Boleh bawa penumpang ikut jumlah tempat duduk

    JUMLAH penumpang dalam kenderaan khusus bagi individu yang telah menerima dos vaksin lengkap di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini adalah mengikut kapasiti tempat duduk.

    Kelonggaran yang diumumkan kerajaan itu mula berkuat kuasa semalam bagi memudahkan pergerakan mereka yang telah melengkapkan vaksinasi.

    Namun, pada masa yang sama, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi pasangan jarak jauh, anak jarak jauh dan individu mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan dan polis.

    Prosedur operasi standard (SOP) terkini yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu turut memberikan panduan mengenai individu yang belum mendapat vaksin lengkap.

    “Hanya dua orang saja wakil isi rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas.

    “Selain itu, maksimum tiga orang saja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, program vaksinasi, keselamatan dan kecemasan,” kata MKN dalam infografik yang dikongsi di aplikasi Telegram, hari ini.

    Kelmarin, kerajaan mengumumkan kemudahan tambahan termasuk makan di dalam premis menjual makanan, aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi pasar malam dan pasar minggu bagi individu yang lengkap vaksinasi.

    Sementara itu, MKN menetapkan bilangan penumpang bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing dihadkan kepada dua orang termasuk pemandu dengan penumpang mesti duduk di bahagian belakang.

    Bagi kenderaan yang membawa barangan termasuk rantaian ekonomi serta industri, kapasitinya bergantung kepada lesen pendaftaran kenderaan.

  • PKPD 8 lokaliti seluruh negara, 17 hingga 30 Ogos

    PKPD 8 lokaliti seluruh negara, 17 hingga 30 Ogos

    PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di lapan lokaliti di seluruh negara mulai 17 hingga 30 Ogos ini.

    Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, empat lokaliti adalah di Kota Belud, Sabah iaitu Kampung Mantanau, Kampung Pirasan Ulu, Kampung Suang Punggur dan Kampung Tambulaung.

    Menurut beliau, satu lagi lokaliti di Sabah merangkumi Lorong Megah 2, 3, 9 dan 10 di Taman Megah Jaya, Tawau.

    Tiga lagi lokaliti adalah Kampung Bukit Cina, Mukim Pasir Akar, Besut, Terengganu; Kampung Lela Jasa, Mukim Olak Jeram, Kuala Krai, Kelantan dan Tapak Bina’Spanish Garden’, Kinta, Perak.

    “Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin yang mengetuai Kluster Keselamatan turut mengumumkan pelanjutan PKPD di 34 lokaliti mulai 17 hingga 30 Ogos.

    Sebanyak 19 lokaliti terletak di Mukim Kuala Dungun, Dungun, Terengganu iaitu Sungai Buaya, Tanah Lot, Lembah, Padang Jambu, Nibong, Bukit Chatak Tengah, Kampung Molek, Bijangga, Sungai Udang, Sungai Penaga, Kubang Miang, Teratai, Teluk Lipat, Alor Tembesu, Sura Utara, Batu 48, Sura Gate, Bukit Chatak dan Tembesu Akar.

    Selain itu, 14 lokaliti di Mukim Sura, Dungun, Terengganu iaitu Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir, Taman Maidam, Batu 5, Sura Tengah, Alor Tempoyak, Taman Rakyat Jaya, Taman Delima Batu 6, Balai Besar, Sura Melati, Batu 7, Paya Balai Besar, Pak Sabah dan Sura Lapangan Terbang.

    PKPD turut dilanjutkan di Kampung Tagibang, Kota Marudu, Sabah.

    Beliau juga mengumumkan penamatan PKPD di enam lokaliti iaitu Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan, Jabi, Besut, Terengganu; Ladang Agathis, Kalabakan, Sabah; Kampung Bakalau, Beaufort, Sabah; Kampung Nosoob, Penampang, Sabah; Perumahan Ladang Hibumas, SungaiSungai, Beluran, Sabah dan Kampung Gusung, Kota Kinabalu, Sabah.

    Berhubung tindakan penguatkuasaan, Hishammuddin berkata, sebanyak 65 premis diarahkan tutup manakala 174 individu dikompaun dan sembilan orang direma kerana ingkar SOP semalam.

    Beliau menambah, dalam Op Benteng semalam, pasukan keselamatan telah menangkap 19 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas tiga kenderaan darat.

    “Dalam operasi tersebut, sebanyak tujuh buah kapal/ bot dan dua buah kenderaan darat turut dikesan melalui aktiviti penglihatan. Manakala dua orang PATI telah diusir melalui aktiviti pengusiran,” katanya.

  • Kos ibadah umrah dijangka meningkat susulan SOP baharu Arab Saudi

    Kos ibadah umrah dijangka meningkat susulan SOP baharu Arab Saudi

    KOS menunaikan ibadah umrah dijangka meningkat sedikit susulan pelaksanaan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu diperkenalkan kerajaan Arab Saudi berikutan pandemik COVID-19.

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sebahagian besar peningkatan kos itu berkait dengan penjarakan sosial seperti had muatan bilik hotel dan bas.

    “Sebagai contoh – jumlah jemaah dalam bilik penginapan dihadkan kepada dua orang sahaja yang mana sebelum wabak COVID-19, satu bilik boleh memuatkan 4-6 orang. Begitu juga semasa jemaah menaiki kenderaan (bas), yang mana jumlah penumpang dihadkan kepada 50 peratus muatan bas.

    “Selain itu, jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram turut dihadkan. Pergerakan semasa melaksanakan tawaf dan saei perlu mengikuti SOP ketat seperti mana yang kita lihat semasa musim haji baru-baru ini, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan 60 ribu jemaah haji sahaja menunaikan haji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Zulkifli berkata peraturan-peraturan berkenaan turut memberi bayangan bahawa ada kemungkinan kesan kepada kos mengerjakan umrah.

    “Oleh yang demikian, kita berharap semua yang berhasrat menunaikan umrah perlu akur dan menerima sebarang perubahan baharu tersebut dengan hati terbuka.

    “Jemaah umrah harus sentiasa mematuhi SOP terutamanya penjarakan sosial sepanjang mereka melaksanakan umrah, demi keselamatan semua pihak,” katanya.

    Pada 1 Ogos lepas, Arab Saudi telah membuka kembali pintunya kepada pelancong dari 49 negara termasuk Malaysia, dengan mempermudah prosedur mendapatkan visa bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara itu. 

    Zulkifli berkata kebenaran itu adalah satu penghormatan dan pengiktirafan kepada sistem pengurusan kesihatan Malaysia.

    Namun, beliau berkata pihaknya masih menunggu makluman rasmi dan terperinci dari Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi membenarkan rakyat negara ini menunaikan ibadah umrah.

    “Jemaah umrah dari Malaysia yang ingin melaksanakan ibadat umrah perlu bersedia dengan perubahan-perubahan baharu yang bakal ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

    “Pihak kami difahamkan kerajaan Arab Saudi sedang meneliti peraturan-peraturan terperinci ke atas sesebuah negara dengan mengambil kira permasalahan penjagaan kesihatan dan keselamatan semua pihak dalam suasana pandemik COVID-19 yang masih belum reda di serata dunia,” katanya.-BERNAMA

  • Lebih kelonggaran di negeri vaksinasi dewasa lebih 50%

    Lebih kelonggaran di negeri vaksinasi dewasa lebih 50%

    KERAJAAN mengumumkan kemudahan terbaharu termasuk aktiviti riadah di taman rekreasi dan pembukaan semula 11 akttiviti ekonomi di negeri-negeri yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa sekurang-kurangnya 50 peratus.

    Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan-kemudahan tersebut bermula esok dan individu-individu yang ingin memanfaatkan kemudahan ini juga mesti telah menerima vaksinasi lengkap.

    Menurut beliau, sebagai contoh, sehingga 14 Ogos 2021, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa (18 tahun ke atas) di Lembah Klang telah mencapai 64.7 peratus.

    “Maka, individu yang telah lengkap vaksinasi di Lembah Klang boleh memanfaatkan kemudahan-kemudahan ini apabila kemudahan-kemudahan ini mula berkuat kuasa.

    “Perincian garis panduan bagi kemudahan-kemudahan yang saya umumkan ini akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu terdekat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Muhyiddin menambah, bagi memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara terutamanya dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap kesihatan mental, kerajaan bersetuju membenarkan taman-taman rekreasi awam bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibuka bagi tujuan aktiviti riadah berkuat kuasa 16 Ogos ini.

    Beliau mengingatkan, kemudahan itu hanya merangkumi aktiviti yang boleh dilakukan secara individu seperti joging, berbasikal dan bersenam, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) sukan dan riadah dalam Fasa 1 PPN.

    “Orang ramai juga hanya dibolehkan mengunjungi taman-taman rekreasi awam di kawasan kejiranan sahaja. Janganlah rentas negeri atau daerah untuk pergi ke taman rekreasi lain.

    “Kebenaran ini amat penting untuk rakyat mendapat lebih masa berada di kawasan yang terbuka dan mempunyai sistem pengudaraan yang lebih baik berbanding hanya terkurung di rumah. Jadi, saya amat berharap agar kemudahan ini tidak disalah guna,” jelasnya.

    Perdana Menteri menegaskan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan yang bertanggungjawab memantau pematuhan SOP di taman-taman rekreasi awam ini, mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat.

    Beliau turut mengumumkan, sebanyak 11 aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi di negeri-negeri Fasa 1 PPN yang mempunyai kadar vaksinasi populasi dewasa melebihi 50 peratus mulai esok.

    Kemudahan tersebut merangkumi kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot, kedai peralatan sukan, kedai aksesori kereta, pusat pengedaran dan jualan kereta, pasar pagi dan pasar tani sahaja, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas dan kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

    Muhyiddin berkata, bagi kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; serta kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja) – terdapat SOP-SOP kesihatan tambahan yang mesti dipatuhi.

    “Ia termasuklah memakai sarung tangan, mengehadkan masa urusan antara pekerja dan pelanggan serta tidak membenarkan penggunaan fitting room. SOP-SOP ini mungkin merumitkan tetapi ia demi keselamatan pekerja dan pelanggan.

    “Pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

    “Sekali lagi diingatkan, maksud vaksinasi lengkap ialah 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos, dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos,” jelasnya.

    Selain itu, beliau berkata, sebanyak 11 lagi aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran di negeri-negeri Fasa 2 PPN dibenarkan beroperasi semula esok.

    Katanya, kesemua 11 aktiviti ekonomi ini adalah tambahan kepada 11 aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula di dalam Fasa 1.

    Aktiviti-aktiviti ekonomi tersebut adalah kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi, kedai barangan terpakai, kedai bunga dan nurseri, kedai kraftangan dan cenderahati, kedai antik, kedai alat permainan, kedai permaidani, kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif, kedai peralatan outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain), kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi dan kedai tembakau (termasuk vape dan rokok elektronik).

    “Pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju membenarkan semua aktiviti tidak perlu dalam sektor-sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian kembali beroperasi bermula 16 Ogos 2021 di negeri Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 PPN.

    Namun, menurut beliau, kapasiti pengoperasian adalah bergantung kepada kadar vaksinasi lengkap pekerja.

    vaksinasi

    Pedana Menteri berkata, kerajaan memahami bahawa keputusan itu akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai yang bimbang dengan risiko penularan.

    “Sekali lagi dijelaskan bahawa setiap ketetapan dibuat dengan berhati-hati. Setelah lebih setahun negara berada dalam situasi pandemik, banyak majikan mula mengurangkan tenaga kerja sekaligus menyebabkan ramai hilang pekerjaan. Dalam situasi sukar ini, kerajaan tidak boleh membiarkan keadaan ini berlarutan.

    “Kepada majikan, kerajaan amat berharap kemudahan yang diumumkan hari ini dapat merancakkan semula perusahaan masing-masing.

    “Saya ingin mengingatkan semua majikan supaya mematuhi dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan sebelum memulakan semula operasi bagi memastikan keselamatan pekerja dan tempat kerja terjamin.

    “Pada masa yang sama, manfaatkanlah sepenuhnya inisiatif subsidi upah yang disediakan Kerajaan bagi memastikan setiap pekerja memperolehi bayaran gaji mereka,” ujarnya.

    Beliau menambah, kjepada para pekerja, laporkan segera kepada Kementerian Kesihatan di [email protected] atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) di aduan.sop@[email protected] atau Kementerian Sumber Manusia melalui aplikasi Working For Workers (WFW) sekiranya majikan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

    Muhyiddin memberitahu, kuasa di tangan mereka sebagai pekerja kerana majikan yang tidak mematuhi SOP dan melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) boleh dikompaun dan dihadapkan di mahkamah.

    “Di bawah Akta ini juga, Kementerian Kesihatan mempunyai kuasa penuh untuk memberi notis perintah tutup premis. Saya difahamkan dari tempoh 26 Julai hingga 10 Ogos, lebih 900 premis telah diarahkan tutup kerana kegagalan mematuhi SOP.

    “Ini adalah bukti Kerajaan amat tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan. Terima kasih kepada rakyat dan pekerja yang membuat aduan sekaligus memudahkan pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan,” jelasnya.

  • Penerima lengkap vaksin Covid-19 nikmati kelonggaran SOP hari ini

    Penerima lengkap vaksin Covid-19 nikmati kelonggaran SOP hari ini

    INDIVIDU yang lengkap divaksin di negeri atau wilayah dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya mula menikmati beberapa kelonggaran sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bermula hari ini.

    Bagaimanapun, kebenaran itu hanya terpakai buat penerima dos lengkap yang melepasti hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua (Vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac).


    Bagi penerima vaksin satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino) pula, mereka perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.

    Negeri yang telah memasuki Fasa Dua PPN termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Sabah manakala Perlis, Sarawak dan Labuan berada dalam Fasa Tiga PPN.

    Antara kelonggaran diberikan ialah pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

    Kelonggaran itu turut membolehkan ibu bapa yang telah lengkap divaksin merentas daerah dan negeri berjumpa anak-anak di bawah umur 18 tahun.

    Selain itu, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia yang pulang dari luar negara dan lengkap dua dos vaksin dibenar menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

    Pada masa sama, mereka yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 juga dibenarkan menunaikan solat di masjid dan surau tanpa mengira fasa PPN mengikut protokol kesihatan awam.

    Kebenaran itu juga terpakai kepada penganut bukan Islam menghadiri rumah ibadat masing-masing.

    Sementara itu, kemudahan sektor sosial kepada individu lengkap menerima dua dos vaksin untuk fasa 2 dan seterusnya termasuk kebenaran merentas daerah, aktiviti makan di restoran, aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan dan berkumpulan (outdoor) dan pelancongan dalam negeri.

    Namun kesemua kelonggaran itu memerlukan sijil digital vaksinasi Covid-19 yang boleh didapati di dalam aplikasi MySejahtera.

    Untuk mengelak sebarang kesulitan, orang ramai boleh menyemak status negeri dan wilayah masing-masing bagi memastikan perincian aktiviti yang dibenarkan menerusi laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Bagaimanapun, kelonggaran itu masih tidak boleh dinikmati individu lengkap divaksin dari Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang masih dalam Fasa Satu PPN.