KERAJAAN mengumumkan kemudahan terbaharu termasuk aktiviti riadah di taman rekreasi dan pembukaan semula 11 akttiviti ekonomi di negeri-negeri yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa sekurang-kurangnya 50 peratus.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan-kemudahan tersebut bermula esok dan individu-individu yang ingin memanfaatkan kemudahan ini juga mesti telah menerima vaksinasi lengkap.

Menurut beliau, sebagai contoh, sehingga 14 Ogos 2021, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa (18 tahun ke atas) di Lembah Klang telah mencapai 64.7 peratus.

“Maka, individu yang telah lengkap vaksinasi di Lembah Klang boleh memanfaatkan kemudahan-kemudahan ini apabila kemudahan-kemudahan ini mula berkuat kuasa.

“Perincian garis panduan bagi kemudahan-kemudahan yang saya umumkan ini akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu terdekat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhyiddin menambah, bagi memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara terutamanya dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap kesihatan mental, kerajaan bersetuju membenarkan taman-taman rekreasi awam bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibuka bagi tujuan aktiviti riadah berkuat kuasa 16 Ogos ini.

Beliau mengingatkan, kemudahan itu hanya merangkumi aktiviti yang boleh dilakukan secara individu seperti joging, berbasikal dan bersenam, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) sukan dan riadah dalam Fasa 1 PPN.

“Orang ramai juga hanya dibolehkan mengunjungi taman-taman rekreasi awam di kawasan kejiranan sahaja. Janganlah rentas negeri atau daerah untuk pergi ke taman rekreasi lain.

“Kebenaran ini amat penting untuk rakyat mendapat lebih masa berada di kawasan yang terbuka dan mempunyai sistem pengudaraan yang lebih baik berbanding hanya terkurung di rumah. Jadi, saya amat berharap agar kemudahan ini tidak disalah guna,” jelasnya.

Perdana Menteri menegaskan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan yang bertanggungjawab memantau pematuhan SOP di taman-taman rekreasi awam ini, mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat.

Beliau turut mengumumkan, sebanyak 11 aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi di negeri-negeri Fasa 1 PPN yang mempunyai kadar vaksinasi populasi dewasa melebihi 50 peratus mulai esok.

Kemudahan tersebut merangkumi kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot, kedai peralatan sukan, kedai aksesori kereta, pusat pengedaran dan jualan kereta, pasar pagi dan pasar tani sahaja, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas dan kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

Muhyiddin berkata, bagi kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; serta kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja) – terdapat SOP-SOP kesihatan tambahan yang mesti dipatuhi.

“Ia termasuklah memakai sarung tangan, mengehadkan masa urusan antara pekerja dan pelanggan serta tidak membenarkan penggunaan fitting room. SOP-SOP ini mungkin merumitkan tetapi ia demi keselamatan pekerja dan pelanggan.

“Pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

“Sekali lagi diingatkan, maksud vaksinasi lengkap ialah 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos, dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 11 lagi aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran di negeri-negeri Fasa 2 PPN dibenarkan beroperasi semula esok.

Katanya, kesemua 11 aktiviti ekonomi ini adalah tambahan kepada 11 aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula di dalam Fasa 1.

Aktiviti-aktiviti ekonomi tersebut adalah kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi, kedai barangan terpakai, kedai bunga dan nurseri, kedai kraftangan dan cenderahati, kedai antik, kedai alat permainan, kedai permaidani, kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif, kedai peralatan outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain), kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi dan kedai tembakau (termasuk vape dan rokok elektronik).

“Pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju membenarkan semua aktiviti tidak perlu dalam sektor-sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian kembali beroperasi bermula 16 Ogos 2021 di negeri Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 PPN.

Namun, menurut beliau, kapasiti pengoperasian adalah bergantung kepada kadar vaksinasi lengkap pekerja.

vaksinasi

Pedana Menteri berkata, kerajaan memahami bahawa keputusan itu akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai yang bimbang dengan risiko penularan.

“Sekali lagi dijelaskan bahawa setiap ketetapan dibuat dengan berhati-hati. Setelah lebih setahun negara berada dalam situasi pandemik, banyak majikan mula mengurangkan tenaga kerja sekaligus menyebabkan ramai hilang pekerjaan. Dalam situasi sukar ini, kerajaan tidak boleh membiarkan keadaan ini berlarutan.

“Kepada majikan, kerajaan amat berharap kemudahan yang diumumkan hari ini dapat merancakkan semula perusahaan masing-masing.

“Saya ingin mengingatkan semua majikan supaya mematuhi dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan sebelum memulakan semula operasi bagi memastikan keselamatan pekerja dan tempat kerja terjamin.

“Pada masa yang sama, manfaatkanlah sepenuhnya inisiatif subsidi upah yang disediakan Kerajaan bagi memastikan setiap pekerja memperolehi bayaran gaji mereka,” ujarnya.

Beliau menambah, kjepada para pekerja, laporkan segera kepada Kementerian Kesihatan di [email protected] atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) di [email protected]@gov.my atau Kementerian Sumber Manusia melalui aplikasi Working For Workers (WFW) sekiranya majikan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

Muhyiddin memberitahu, kuasa di tangan mereka sebagai pekerja kerana majikan yang tidak mematuhi SOP dan melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) boleh dikompaun dan dihadapkan di mahkamah.

“Di bawah Akta ini juga, Kementerian Kesihatan mempunyai kuasa penuh untuk memberi notis perintah tutup premis. Saya difahamkan dari tempoh 26 Julai hingga 10 Ogos, lebih 900 premis telah diarahkan tutup kerana kegagalan mematuhi SOP.

“Ini adalah bukti Kerajaan amat tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan. Terima kasih kepada rakyat dan pekerja yang membuat aduan sekaligus memudahkan pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here