INDIVIDU yang lengkap divaksin di negeri atau wilayah dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya mula menikmati beberapa kelonggaran sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bermula hari ini.

Bagaimanapun, kebenaran itu hanya terpakai buat penerima dos lengkap yang melepasti hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua (Vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac).


Bagi penerima vaksin satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino) pula, mereka perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.

Negeri yang telah memasuki Fasa Dua PPN termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Sabah manakala Perlis, Sarawak dan Labuan berada dalam Fasa Tiga PPN.

Antara kelonggaran diberikan ialah pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

Kelonggaran itu turut membolehkan ibu bapa yang telah lengkap divaksin merentas daerah dan negeri berjumpa anak-anak di bawah umur 18 tahun.

Selain itu, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia yang pulang dari luar negara dan lengkap dua dos vaksin dibenar menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Pada masa sama, mereka yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 juga dibenarkan menunaikan solat di masjid dan surau tanpa mengira fasa PPN mengikut protokol kesihatan awam.

Kebenaran itu juga terpakai kepada penganut bukan Islam menghadiri rumah ibadat masing-masing.

Sementara itu, kemudahan sektor sosial kepada individu lengkap menerima dua dos vaksin untuk fasa 2 dan seterusnya termasuk kebenaran merentas daerah, aktiviti makan di restoran, aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan dan berkumpulan (outdoor) dan pelancongan dalam negeri.

Namun kesemua kelonggaran itu memerlukan sijil digital vaksinasi Covid-19 yang boleh didapati di dalam aplikasi MySejahtera.

Untuk mengelak sebarang kesulitan, orang ramai boleh menyemak status negeri dan wilayah masing-masing bagi memastikan perincian aktiviti yang dibenarkan menerusi laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, kelonggaran itu masih tidak boleh dinikmati individu lengkap divaksin dari Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang masih dalam Fasa Satu PPN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here