Tag: Siti Bainun Ahd Razali

  • Saksi dedah Siti Bainun pernah dapatkan ubat rawatan terkena air panas

    Saksi dedah Siti Bainun pernah dapatkan ubat rawatan terkena air panas

    SAKSI pendakwaan ke-16 kes dera melibatkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa tertuduh pernah datang ke kliniknya bagi mendapatkan ubat rawatan akibat terkena air panas.

    Memetik laporan Astro Awani, Dr Rashid Khan Khan Mohamad mendedahkan perkara itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik di hadapan Hakim Izralizam Sanusi hari ini.

    Jelas Dr Rashid Khan, tertuduh telah datang ke Klinik Setapak dan Surgeri pada 2 Jun 2021 mengadu anaknya tersimbah air panas pada 9 Mei 2021 dan ingin mendapatkan ubat berkenaan.

    Selain itu, Siti Bainun jelas saksi turut mahu mendapatkan ubat untuk dirinya sendiri.

    Tambahnya, beliau telah memberikan ubat iaitu dua jenis tablet voltaren dan motilion untuk tertuduh, manakala combidem cream dan tablet pirton untuk anak tertuduh.

    Bagaimanapun Dr Rashid Khan memberitahu bahawa beliau hanya berjumpa Siti Bainun dan tidak berjumpa dengan Bella ketika itu.

    Pemberian ubat itu kata saksi hanya berdasarkan keterangan diberikan tertuduh ketika itu tanpa sebarang gambar kecederaan mangsa ditunjukkan kepadanya.

    Sementara itu, dalam soal balas peguam mewakili Siti Bainun, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor sama ada menjadi amalan doktor memberikan ubat tanpa berjumpa pesakit, Dr Rashid menafikan perkara itu.

    Jelasnya, ketika itu kliniknya berdepan jumlah pesakit yang ramai ekoran pandemik COVID-19 sehingga menyebabkan klinik memberikan ubat kepada penjaga berdasarkan rekod perubatan sedia ada.

    Ditanya sama ada saksi mengetahui bahawa Siti Bainun datang ke klinik berkenaan bersama Bella dan individu dipanggil Ina, Dr Rashid Khan menjawab tidak tahu.

    Turut dicadangkan peguam bela bahawa Bella resah apabila menunggu lama di dalam klinik berkenaan sebelum dibawa keluar oleh Ina dan dimasukkan ke dalam kereta, saksi menjawab tidak tahu.

    Bagaimanapun saksi bersetuju kliniknya dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) di ruang menunggu dan kawasan luar klinik.

    Namun jelasnya, rakaman CCTV itu tidak diminta pegawai penyiasat polis.

    Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi antara Februari dan Jun 2021 di sebuah kondominium di Wangsa Maju, ibu negara.

    Mengikut pertuduhan dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, tertuduh boleh dijatuhi hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

  • Bella takut, badan kurus semasa jumpa kali pertama di HKL – Saksi

    Bella takut, badan kurus semasa jumpa kali pertama di HKL – Saksi

    SEORANG penolong pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa Bella berada di dalam keadaan takut dan tubuh badannya kurus semasa berjumpa remaja perempuan sindrom down itu buat kali pertama di Hospital Kuala Lumpur (HKL), tahun lepas.

    Mohamad Imran Mohamed Zanyuin, 35, berkata, semasa beliau melawat remaja itu pada 4 Julai 2021, Bella bukan sahaja dilihat tidak gembira malah berjalan dalam keadaan tunduk tanpa melihat sesiapa selain kedua-dua tangannya turut berbalut.

    “Saya berjumpa Bella yang dirawat di wad COVID hospital itu dan saya melihat mukanya berparut. Bella juga dilihat tidak senyum serta ketakutan,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik pada perbicaraan kes Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

    Menceritakan lebih lanjut, saksi pendakwaan ke-12 itu berkata pada 24 Jun 2021, beliau menerima WhatsApp daripada Siti Bainun yang memaklumkan Bella jatuh dan terkena air panas.

    “Siti Bainun hantar WhatsApp pada 3.03 petang dan dia ada menghantar beberapa gambar kecederaan pada tangan dan kepala Bella. Siti Bainun kata dia telah pergi ke hospital dan membeli ubat spray kuning.

    “Dalam WhatsApp itu juga, Siti Bainun turut nyatakan Bella positif COVID-19 tetapi dia tidak membawa Bella untuk buat ujian swab kerana takut dengan keadaan fizikal Bella,” kata saksi itu.

    Menurut Mohamad Imran, Siti Bainun memberitahunya bahawa Bella terkena air panas dua hari sebelum hari raya.

    Kepada soalan Fazeedah apakah tindakan yang dilakukan selepas dimaklumkan oleh Siti Bainun bahawa Bella terkena air panas, saksi itu berkata: Saya minta Siti Bainun membawa Bella ke hospital dan dia maklumkan akan membawa remaja itu ke hospital selepas habis kuarantin pada 29 Jun 2021.

    “Pada 24 Jun 2021, saya berbincang dengan pelindung kanak-kanak lain untuk mereka membawa Bella ke hospital dan saya berbincang dengan Ketua Unit Kanak-Kanak JKM pada keesokannya (25 Jun) dan berusaha untuk mendapatkan ambulans untuk membawa Bella ke hospital. Siti Bainun kemudian maklumkan dia telah ditahan di wad Hospital Sungai Buloh (kerana positif COVID-19).

    “Saya bertanya kepada Siti Bainun bagaimana keadaan Bella di rumah dan Siti Bainun hanya memaklumkan remaja itu dijaga oleh anak-anak di rumah itu,” kata Mohamad Imran.

    Saksi itu berkata, kali pertama beliau terserempak dengan Bella selepas dijaga Siti Bainun adalah pada 17 Feb 2021 di Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur dan keadaan Bella pada masa itu gembira selain turut memeluk Siti Bainun.

    Mohamad Imran berkata, beliau tidak pernah bersetuju Bella diletakkan di bawah jagaan Siti Bainun kerana tidak mengenali wanita itu secara peribadi dan tidak mengetahui latar belakang pengasas rumah kebajikan itu.

    Bagaimanapun, Mohamad Imran berkata, Mahkamah Majistret Kanak-Kanak membenarkan perintah jagaan sementara diberikan kepada Siti Bainun bermula 14 Julai sehingga 20 Sept 2020 manakala hak penjagaan tetap bermula 24 Sept 2020.

    Terdahulu, saksi berkata, Siti Bainun telah menyampaikan hasratnya itu kepada seorang pegawai pelindung kanak-kanak dikenali Siti Sarah untuk menjaga remaja berkenaan dan berdasarkan perbincangan dengan Siti Bainun, kanak-kanak itu ditempatkan di kediaman keluarga Siti Bainun di Ampang.

    “Bella adalah kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang perlu diawasi pihak lain selain Siti Bainun serta sokongan keluarga penting untuk memastikan keselamatan Bella sentiasa dipelihara.

    Menurut saksi itu, Bella sebelum ini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah Seremban sejak 2011 sehingga 2020 sebelum Siti Bainun menjaga remaja itu.

    Mohamad Imran, berkata Bella juga tidak bersekolah selepas dijaga oleh Siti Bainun.

    Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam bersambung. – BERNAMA

  • Rumah Bonda saman JKM Wilayah Persekutuan KL

    Rumah Bonda saman JKM Wilayah Persekutuan KL

    PERTUBUHAN Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Rumah Bonda, memfailkan saman terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL), bagi memohon perintah supaya rumah perlindungan itu dibuka semula.

    Saman pemula itu difailkan Rumah Bonda melalui pengerusinya Siti Bainun Ahd Razali selaku plaintif, melalui Tetuan Asiah Abd Jalil Law Chambers di Mahkamah Majistret di sini pada 7 Jun lalu, dengan menamakan Pengarah JKM WPKL sebagai defendan.

    Dalam saman itu, plaintif memohon perintah supaya defendan menanggalkan ‘Lak’ yang telah dibuat pada 12 Julai 2021 ke atas premis itu di Taman Setapak, dan memohon perintah agar plaintif boleh menggunakan premis berkenaan bagi maksud lain selain daripada pusat jagaan, selain memohon kos dan relif lain yang sesuai oleh mahkamah.

    Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama saman itu, Siti Bainun berkata, beliau telah menerima Notis Lak daripada JKM WPKL, yang memaklumkan bahawa Rumah Bonda di Taman Setapak akan ditutup mengikut Seksyen 16(1) Akta Pusat Jagaan 1993.

    Dakwa Siti Bainun, tindakan lak yang dibuat pada 12 Julai 2021 atas alasan Rumah Bonda tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 adalah tidak adil, tidak mengikut prinsip pentadbiran dan undang-undang administratif yang wajar, memandangkan JKM WPKL telah mengetahui bahawa rumah perlindungan tersebut sedang dalam proses permohonan pendaftaran.

    “Pada 20 April 2022, Rumah Bonda telah menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKM WPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan), di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993 dan Rumah Bonda telah membuat bayaran penuh kompaun itu pada 25 April 2022,” katanya menerusi afidavit sokongan.

    Menurut Siti Bainun, beliau kecewa apabila dimaklumkan oleh Pegawai Penguatkuasa JKM WPKL bahawa, Rumah Bonda hanya boleh dibuka melalui satu perintah mahkamah walaupun kompaun telah dijelaskan sepenuhnya.

    “Saya sebagai pengerusi Rumah Bonda dan mewakili seluruh ahli jawatankuasa berakujanji bahawa, sekiranya mahkamah memberikan perintah menanggalkan lak tersebut, saya dan Rumah Bonda tidak akan menggunakan premis tersebut sebagai pusat jagaan, sehinggalah premis tersebut didaftarkan di bawah Seksyen 10 Akta Pusat Jagaan 1993,” katanya.

    Dakwa Siti Bainun selepas tindakan lak dilaksanakan, beliau, ahli jawatankuasa dan sukarelawan tidak lagi mempunyai akses untuk memasuki Rumah Bonda, sekali gus menyukarkan usaha-usaha permohonan pendaftaran rumah perlindungan itu dan tidak boleh menjalankan kerja-kerja amal yang lain, seperti penyediaan makanan bagi gelandangan dan pusat bank makanan.

    “Rumah Bonda sehingga kini terpaksa membayar sewa bulanan bagi premis itu berjumlah RM2,800 sebulan, meskipun tidak dapat menggunakan premis berikutan tindakan Lak oleh JKM WP KL dan sejak 12 Julai 2021, Rumah Bonda telah menanggung kos sewa hampir setahun tanpa peluang memanfaatkan premis berkenaan,” katanya.

    Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Majistret Nur Syafiqah Noorinda pada 22 Jun ini. – BERNAMA

  • Kes dera Bella: Netizen jangan komen melampau, hina mahkamah

    Kes dera Bella: Netizen jangan komen melampau, hina mahkamah

    Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengingatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau komen di media sosial berhubung perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella.

    Izralizam Sanusi yang mendengar perbicaraan kes itu berkata beliau akur bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk bersuara, namun terdapat undang-undang yang boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang melampaui batas dalam penulisan, hantaran, komen dan lain-lain di media sosial.

    “Mahkamah ingin memberi amaran dan ingatan kepada orang awam terutama yang hadir di galeri awam supaya tidak membuat sebarang komen yang berbentuk fitnah, subjudis atau menghina mahkamah.

    “Sekiranya perkara-perkara tersebut berlaku, saya percaya pihak yang mempunyai kuasa untuk mendakwa iaitu pihak pendakwaan boleh mengambil tindakan sewajarnya dengan merujuk kepada individu-individu terbabit secara spesifik yang membuat hantaran kerana jelas melanggar undang-undang menghina mahkamah dan subjudis,” katanya.

    Izralizam berkata perbicaraan masih lagi berjalan dan tertuduh (Siti Bainun) juga belum didapati bersalah malah saksi pendakwaan kelima (SP5), Yasmin Nahar Mahmood masih belum selesai memberi keterangan.

    “Jangan melampau atau melebihi undang-undang. Peguam tertakluk kepada etika manakala pendakwaan dan orang awam juga tertakluk pada undang-undang.

    “Masih jauh lagi perjalanan kes ini dan SP5 masih dalam pemeriksaan balas, jadi simpan komen-komen yang berbentuk ‘contempt’ (menghina), subjudis atau memfitnah untuk diri sendiri, jangan disebarkan bertujuan mendapat followers dan sebagainya tetapi menjejaskan perjalanan kes ini,” kata hakim.

    Izralizam berkata mahkamah perlu mengingatkan bahawa kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada undang-undang yang berkaitan termasuk kandungan yang menghina mahkamah dan fitnah yang dianggap melanggar undang-undang Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Jangan membuat komen-komen yang mengganggu saksi, saksi pula tidak sihat, ditambah dengan komen-komen seumpama itu. Buat masa ini saya tidak mahu mengambil sebarang tindakan kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian,” katanya yang turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan dokumen-dokumen di laman media sosial yang memperjudiskan kes ini.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nor Azizah Mohamad memaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat komen-komen di laman media sosial yang dibuat oleh orang awam berhubung kes tersebut.

    “Saya memohon mahkamah untuk memberi amaran kepada orang awam supaya tidak buat hantaran yang boleh memprejudiskan kes ini, ” katanya.

    Peguam pemerhati yang dilantik Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Datuk Baljit Singh Sidhu memberitahu mahkamah bahawa hantaran tersebut turut membabitkan pihak-pihak yang terlibat dalam perbicaraan.

    Sementara itu, TPR Zahida Zakaria memaklumkan mahkamah bahawa Yasmin hadir ke mahkamah hari ini namun tidak dapat memberi keterangan kerana tidak sihat dan turut mengalami tekanan darah rendah.

    “Semalam, Yasmin telah mendapat rawatan di klinik dan diberikan sijil cuti sakit, saksi mengalami tekanan darah rendah dan dilihat tidak berapa sihat untuk memberi keterangan. Pihak kami memohon untuk memanggil saksi lain iaitu pegawai tangkapan ASP Nazatul Madiyah Manaf dan Detektif Koperal Sadzly Sairen,” katanya.

    Sementara itu, Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah (D11) Siasatan Seksual Wanita & Kanak-Kanak di Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur (IPK), Nazatul Madiyah berkata beliau telah menerima arahan untuk menangkap seorang wanita di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada 6 Julai 2021 yang kemudiannya dicamkan sebagai Siti Bainun.

    Saksi pendakwaan keenam itu berkata selepas tangkapan dibuat beliau telah menyerahkan laporan tangkapan kepada pegawai penyiasat kes dikenali sebagai Inspektor Suhaili, namun pegawai polis itu memberitahu Siti Bainun tidak direman kerana sedang menjalani kuarantin disebabkan COVID-19.

    Sementara itu, Sadzly, yang juga jurufoto memaklumkan kepada mahkamah beliau telah diarahkan oleh pegawai penyiasat untuk mengambil gambar berkaitan dengan kes tersebut.

    Bagaimanapun, saksi pendakwaan ketujuh itu bersetuju dengan cadangan peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili Siti Bainun bahawa beliau (Sadzly) tidak mengambil gambar beberapa barangan seperti cawan yang didakwa digunakan untuk menyimbah air panas kepada Bella.

    Saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam selain dua cawan tersebut, barang lain yang tidak diambil gambar termasuk batang penyodok, besi penyangkut langsir, tali rafia, kain perca pengikat mulut dan dua cecair pelembut fabrik disebabkan tiada arahan pihak atasan dan aduan daripada pengadu.

    Siti Bainun, 30, didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan bersambung pada 30 Mei ini. – BERNAMA

  • Tertarik langsir punca Siti Bainun ‘naik hantu’, pukul Bella

    Tertarik langsir punca Siti Bainun ‘naik hantu’, pukul Bella

    KEJADIAN tertarik langsir sehingga besi penggantung langsir tercabut menjadi punca pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali mula ‘naik hantu’ dan bertindak memukul serta memarahi remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella.

    Yasmin Nahar Mahmood, 19, penghuni Rumah Bonda, memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa Siti Bainun mula mendera remaja itu secara fizikal pada Mac 2021.

    Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Asiah Abdul Jalil yang mewakili Siti Bainun, saksi pendakwaan kelima itu berkata susulan kejadian tertarik langsir itu, Bella diberi layanan berbeza oleh tertuduh yang dipanggil bonda oleh remaja itu.

    Asiah: Pada bulan Mac, apa yang berlaku sehingga menyebabkan Siti Bainun tak suka pada Bella?

    Yasmin: Bella masuk bilik kedua, dia tertarik langsir sampai putus, bila Siti Bainun tahu, dia marah dan pukul Bella.

    Asiah: Bilik siapa?

    Yasmin: Bilik tidur saya dan adik-adik saya yang lain.

    Ditanya peguam itu selepas kejadian tersebut, adakah Bella terus didera dengan air panas, Yasmin berkata: “Didera tetapi belum disimbah air panas”.

    Yasmin juga mengekalkan keterangannya sebelum ini bahawa Siti Bainun menyuruhnya menyimbah air panas ke atas Bella sebanyak tiga kali seminggu menggunakan cawan plastik yang tidak bertangkai berwarna kuning dan picagari.

    Selain itu, Yasmin turut mengekalkan keterangannya sebelum ini bahawa Bella akan dibogelkan, diikat dan dibaringkan sebelum dicurahkan air panas berwap daripada mesin air pada bahagian tertentu badan remaja itu.

    Asiah: Jika Bella dibogelkan sebelum dicurah air panas, kenapa bahagian punggung tidak kena?

    Yasmin: Sebab masa itu, Bella pakai pampers (lampin pakai buang).

    Semasa ditunjukkan gambar kecederaan pada badan Bella, Yasmin menyatakan parut yang jelas kelihatan adalah di paha kanan, pergelangan kaki dan lutut akibat kesan dipijak.

    Yasmin turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa kejadian dera itu berlaku di bahagian bilik dobi, ruang tamu dan tandas di rumah tersebut, namun saksi itu tidak mengetahui motif Bella didera.

    Kepada soalan lain, Yasmin memberitahu, beliau tidak pasti sama ada jiran di kondominum (tempat Bella tinggal) ada mendengar atau melihat remaja itu didera antara Mac hingga Jun 2021.

    Bagaimanapun, saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam bahawa jika pintu gelongsor di ruang tamu dibuka, sesiapa sahaja boleh mendengar jeritan kanak-kanak menangis atau muzik daripada jiran-jiran sekeliling.

    Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung Rabu depan. – BERNAMA