PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima pendirian PAS yang menolak gagasan ‘khemah besar’ untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguan di Rusila, Kuala Terengganu hari ini.

Memetik laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Marang itu berkata, sebelum ini, Muhyiddin telah berbincang dengan partinya mengenai pendirian tersebut.

“PAS tolak (gagasan) khemah besar dan Muhyiddin terima pandangan kita (PAS) itu,” katanya

Beliau menambah, PAS kekal dengan prinsip yang dibawanya iaitu ‘menyatukan umat Islam’ terlebih dulu dan kemudian membawa bersama kumpulan ‘bukan Islam yang tidak ekstrem’.

Ditanya mengenai sikap PAS terhadap kemungkinan PN berdepan kekalahan jika gagal mencapai persefahaman menjelang PRU-15, Abdul Hadi berkata, partinya mendapati sokongan yang diterima terus meningkat.

Menyandarkan kenyataan itu kepada keputusan pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan di Sabah, Melaka dan Johor, Abdul Hadi berkata, ada di sesetengah kawasan PAS mendapat peningkatan undi sehingga 200 peratus.

“PAS melakukan post mortem, dalam PRN Sabah, Melaka dan Johor.

“Semua pilihan raya ini kita (PAS) mendapati pengundi PH dalam PRU lalu tak mengundi PAS lagi. Sama ada mereka mengundi kita (PN) atau mereka tak mengundi.

“Mereka tak mengundi BN. Jumlah (mereka) sangat besar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here