SEKURANG-KURANGNYA 60 penduduk Palestin cedera akibat pertempuran dengan unit polis Israel, yang menceroboh Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, lapor Sputnik.

Agensi Berita Palestin Wafa pada Jumaat memetik Bulan Sabit Merah Palestin, melaporkan bahawa unit polis Israel pada pagi Jumaat menyerbu Masjid Al-Aqsa, masjid ketiga paling suci bagi umat Islam, ketika ribuan penduduk Palestin menunaikan solat Subuh.

Polis melepaskan tembakan peluru getah, melancarkan bom bunyi dan menyebarkan gas pemedih mata. Rakaman di media sosial itu turut menunjukkan warga Palestin membaling batu ke arah anggota polis.

Bulan Sabit Merah Palestin membantu berpuluh-puluh mangsa yang cedera, sambil memindahkan lebih 60 orang ke hospital Baitulmaqdis. Majoriti mangsa mengalami kecederaan pada badan.

Insiden itu berlaku pada Jumaat kedua Ramadan, yang mengumpulkan ribuan umat Islam menunaikan solat. Minggu lalu, Masjid Al-Aqsa dihadiri hampir 80,000 orang untuk solat Jumaat, menurut Wafa.

Media juga melaporkan bahawa tentera Israel mengehadkan bilangan orang yang memasuki Baitulmaqdis dari Tebing Barat yang ingin menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.

Sejak beberapa minggu lalu, keadaan keselamatan di Israel semakin merosot. Sejak 22 Mac, berlaku empat serangan yang meragut 14 nyawa. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here