Tag: S Kisona

  • Kisona kejutkan bekas pemain nombor satu dunia

    Kisona kejutkan bekas pemain nombor satu dunia

    PEMAIN perseorangan wanita negara, S Kisona mencipta kejutan apabila menewaskan bekas pemain nombor satu dunia Saina Nehwal dari India pada pusingan kedua Kejohanan Terbuka Switzerland 2022 di Basel.

    Pada perlawanan yang berlangsung di St Jakobshalle awal pagi tadi, Kisona mencatat kemenangan 17-21, 21-13, 21-13 sekali gus menempah slot ke suku akhir.

    Di set pertama, Kisona bermula dengan baik setelah mendahului 15-12, namun Saina tidak menunggu lama untuk bangkit menyamai kedudukan 15-15 sebelum berjaya mengatasi pemain negara 21-17.

    Pada set kedua, kedua-dua pemain saling mengejar mata sehingga terikat 8-8 sebelum Kisona beraksi dengan lebih agresif sekali gus berjaya membawa permainan ke set penentuan apabila mencatat kemenangan 21-13.

    Di set penentuan, Kisona yang berada di ranking ke-64 dunia diikat pemain ranking 23 dunia itu dengan kedudukan 6-6 sebelum Kisona mendominasi permainan sehingga menoktahkan kejayaan 21-13.

    Di suku akhir, Kisona akan membuat perhitungan dengan lawan dari Thailand Supanida Katethong yang dijadual berlangsung pada 9 malam waktu tempatan, hari ini.

    Sementara itu, tiga pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani masing-masing berjaya mengiringi Kisona ke pentas suku akhir.

    Turut mara ke peringkat lapan terbaik itu adalah dua pasangan beregu wanita, Lim Chiew Sien-Vivian Hoo dan Anna Cheong-Teoh Mei Xing selepas cemerlang mengatasi lawan masing-masing. – BERNAMA

  • Kisona tersingkir awal Kejuaraan Dunia BWF

    Kisona tersingkir awal Kejuaraan Dunia BWF

    HARAPAN pemain badminton perseorangan wanita utama negara S. Kisona untuk kembali cemerlang tidak kesampaian, apabila beliau tewas kepada Neslihan Yigit dari Turki, pada pusingan pembukaan Kejuaraan Dunia BWF 2021 di Huelva, Sepanyol, hari ini.

    Pemain nombor 28 dunia itu hanya memerlukan 37 minit untuk mengenepikan cabaran Kisona yang berada di kedudukan 58 dunia, 21-14, 21-15, pada perlawanan yang berlangsung di Palacio de los Deportes Carolina Marin.

    Perlawanan hari ini merupakan penampilan Kisona yang pertama selepas hampir dua bulan berehat selepas menjadi mangsa serangan rasis di media sosial, berikutan kekalahannya kepada pemain nombor tiga dunia Akane Yamaguchi dari Jepun di perlawanan separuh akhir Piala Sudirman di Vaanta, Findland pada Oktober.

    Sementara itu pemain perseorangan persendirian lelaki negara Cheam Jun Wei, juga gagal meneruskan cabarannya selepas tewas pada pusingan pertama kepada Kenta Nishimoto dari Jepun, 21-17, 21-8.

    Beberapa pemain negara termasuk juara All England 2021 Lee Zii Jia, selain pasangan beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheah Yee See akan beraksi pada perlawanan pusingan pertama yang akan bersambung esok.

    Zii Jia selaku pemain pilihan keenam kejohanan akan behadapan pemain dari Kanada Jason Anthony Ho-Shue, manaka Pang Ron-Yee See akan bertemu pasangan Belanda, Ties Van Der Lecq-Debora Jille. – BERNAMA

  • Isu perkauman: Polis akan panggil Borhanuddin

    Isu perkauman: Polis akan panggil Borhanuddin

    BEKAS Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim akan disiasat susulan kenyataan berbaur perkauman terhadap pemain badminton negara, S Kisona.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Borhanuddin di seluruh negara setelah kenyataannya yang merujuk kepada pemain itu tular di laman sosial sejak kelmarin.

    Katanya polis akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Siasatan juga akan dibuat mengikut Sekyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998. Saya rasa amat dukacita apabila seorang pemimpin bercakap mengenai perkauman. Isu perkauman ini banyak berlaku, termasuk kes ini.

    “Kadangkala seseorang terlalu mengikut emosi hingga mengeluarkan kenyataan yang tidak elok,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan upacara pecah tanah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

    Turut hadir Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Bangunan IPK baharu bernilai RM104 juta setinggi sembilan tingkat itu dibina di tapak seluas dua hektar ditengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu bagi menggantikan bangunan lama yang telah berusia 84 tahun, dan ia dijangka siap hujung 2024.

    Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, di peringkat parti tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap Borhanuddin setelah beliau meletak jawatan dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

    “Borhanuddin sudah minta maaf dan letak jawatan…jadi saya nasihatkan pada yang lain supaya jangan melakukan perkara seperti ini. Salah tetap salah…saya rasa dia dah faham. Kita tidak suka (pada kenyataan perkauman) tetapi ia telah pun terjadi,” katanya.

    Sementara itu ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa lebih ramai pemimpin dan ahli Bersatu menyatakan hasrat untuk kembali menyertai semula Umno, Hamzah berkata: “Saya tak tahulah…itu mungkin persepsi beliau (Ahmad Zahid).”

    Beliau berkata pemimpin mempunyai hak masing-masing untuk menyertai mana-mana parti dan ia terpulang kepada mereka untuk membuat pilihan.

    Hmzah berkata tindakan sesetengah pemimpin yang keluar parti tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Bersatu, malah menurutnya jumlah ahli parti itu telah meningkat sehingga 520,000 ahli berbanding 300,000 ahli sahaja tahun lepas. – BERNAMA

  • Individu kecam perkauman terhadap Kisona letak jawatan dalam parti

    Individu kecam perkauman terhadap Kisona letak jawatan dalam parti

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan bahawa individu yang melemparkan kenyataan berbaur perkauman terhadap pemain badminton wanita negara, S Kisona telah meletak jawatan dalam parti.

    “Saya dapat makluman, pemimpin itu telah menghantar surat perletakan jawatannya dalam Bersatu Bahagian Pasir Puteh.

    “Dia juga telah membuat kenyataan memohon maaf secara terbuka,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.

    Terdahulu, individu berkenaan menerima kritikan selepas melemparkan kenyataan berbaur perkauman terhadap Kisona ketika pemain itu beraksi dalam kempen Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland malam tadi.

    Dalam kejohanan itu, Malaysia tumpas 1-3 kepada Jepun sekali gus gagal layak ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung hari ini.

    Sementara itu, Pemuda MIC hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi supaya tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit.

    Setiausahanya, Andrew David berkata kenyataan seumpama itu tidak boleh dimaafkan.

    “Menang dan kalah adalah sebahagian daripada permainan. Kami mengecam tindakan sedemikian perlu dipandang serius.

    “Kami harap seluruh rakyat Malaysia perlu tolak pandangan tidak sihat oleh individu-individu sepertinya,” katanya.

  • Komen berbaur perkauman keterlaluan, tidak wajar – BAM

    Komen berbaur perkauman keterlaluan, tidak wajar – BAM

    PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menganggap komen berbaur perkauman yang dilemparkan terhadap pemain perseorangan wanita negara S Kisona, ketika menentang Jepun pada perlawanan separuh akhir Piala Sudirman semalam, merupakan sesuatu yang keterlaluan.

    BAM dalam satu kenyataan hari ini menyatakan sebagai badan induk badminton negara, mereka tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan berbaur perkauman atau diskriminasi dan mengecam kenyataan yang telah dikeluarkan itu, selain akan sentiasa menyokong semua pemain negara.

    “Kenyataan seperti itu adalah sesuatu yang tidak wajar, dan kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mengutuk tindakan yang tidak masuk akal itu.

    “BAM akan terus berjuang menghapuskan unsur perkauman dalam sukan, terutamanya dalam badminton. Kami akan terus menyokong kesemua inisiatif yang menyokong pembangunan negara yang progresif dan inklusif,” menurut BAM dalam kenyataan tersebut.

    Satu kenyataan berbaur perkauman terhadap Kisona yang kini menduduki tangga ke-53 dunia itu tersebar di media sosial, ketika pemain itu berhadapan pemain nombor lima dunia Akane Yamaguchi, pada perlawanan kedua semalam.

    Malaysia tewas 1-3 kepada Jepun, dengan Kisona dengan mudah ditewaskan Yamaguchi 21-7, 21-5 dalam masa 26 minit.

    Walaupun terkeluar daripada kejohanan berlangsung di Vantaa, Finland itu, pasukan muda negara telah melepasi sasaran awal yang ditetapkan BAM, iaitu layak ke suku akhir.

    Malaysia akan meneruskan cabaran mereka pada Piala Thomas dan Piala Uber 2021, yang dijadualkan bermula 9 hingga 17 Okt di Aarhus, Denmark.

    Piala Thomas menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Kanada, manakala bagi Piala Uber dalam Kumpulan D bersama China, Denmark dan Kanada. – BERNAMA

  • Reezal Merican tersinggung kecaman perkauman terhadap Kisona

    Reezal Merican tersinggung kecaman perkauman terhadap Kisona

    MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tersinggung dengan komen seorang netizen yang berbaur perkauman terhadap pemain badminton perseorangan wanita negara, S Kisona.

    Menurut beliau, Keluarga Malaysia tidak berkompromi terhadap kenyataan yang tidak sensitif dan berunsur diskriminasi terhadap Kisona itu, lebih-lebih lagi dalam bidang sukan yang menyatukan seluruh rakyat.

    “Marah, memang saya marah. Kecewa, memang saya kecewa,” luahnya dalam hantaran Facebook milik beliau, malam ini.

    Kenyataan berbaur perkauman itu tular ketika pemain berkenaan sedang beraksi di peringkat separuh akhir kejohanan Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland malam tadi.

    Dalam kejohanan itu, Malaysia tumpas 1-3 kepada Jepun sekali gus gagal layak ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung hari ini.

    Reezal Merican berkata, perjuangan atlet-atlet negara di pentas dunia bukan kecil dan mereka semua membawa nama Malaysia.

    Beliau turut mengingatkan semua pihak bahawa menang atau kalah adalah perkara lumrah dalam pertandingan.

    “Sokongan kita jangan sesekali bermusim. Hanya memuji apabila merangkul pingat. Terus mengeji apabila kecundang,” katanya.

    Reezal Merical menambah, beliau berpeluang memperkenalkan dasar ‘Sukan Selamat’ sebagai sebahagian daripada Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030 semasa menjadi Menteri Belia dan Sukan sebelum ini.

    “Harap ia akan dilaksanakan dan diterapkan dalam sukan arus perdana di Malaysia di semua peringkat,” jelasnya.