PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menganggap komen berbaur perkauman yang dilemparkan terhadap pemain perseorangan wanita negara S Kisona, ketika menentang Jepun pada perlawanan separuh akhir Piala Sudirman semalam, merupakan sesuatu yang keterlaluan.

BAM dalam satu kenyataan hari ini menyatakan sebagai badan induk badminton negara, mereka tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan berbaur perkauman atau diskriminasi dan mengecam kenyataan yang telah dikeluarkan itu, selain akan sentiasa menyokong semua pemain negara.

“Kenyataan seperti itu adalah sesuatu yang tidak wajar, dan kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mengutuk tindakan yang tidak masuk akal itu.

“BAM akan terus berjuang menghapuskan unsur perkauman dalam sukan, terutamanya dalam badminton. Kami akan terus menyokong kesemua inisiatif yang menyokong pembangunan negara yang progresif dan inklusif,” menurut BAM dalam kenyataan tersebut.

Satu kenyataan berbaur perkauman terhadap Kisona yang kini menduduki tangga ke-53 dunia itu tersebar di media sosial, ketika pemain itu berhadapan pemain nombor lima dunia Akane Yamaguchi, pada perlawanan kedua semalam.

Malaysia tewas 1-3 kepada Jepun, dengan Kisona dengan mudah ditewaskan Yamaguchi 21-7, 21-5 dalam masa 26 minit.

Walaupun terkeluar daripada kejohanan berlangsung di Vantaa, Finland itu, pasukan muda negara telah melepasi sasaran awal yang ditetapkan BAM, iaitu layak ke suku akhir.

Malaysia akan meneruskan cabaran mereka pada Piala Thomas dan Piala Uber 2021, yang dijadualkan bermula 9 hingga 17 Okt di Aarhus, Denmark.

Piala Thomas menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Kanada, manakala bagi Piala Uber dalam Kumpulan D bersama China, Denmark dan Kanada. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here