Tag: rumah bonda

  • Ada tiga saksi lihat Bella didera Siti Bainun

    Ada tiga saksi lihat Bella didera Siti Bainun

    SAKSI pendakwaan pertama kepada pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali mengakui di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini bahawa bukan hanya seorang sahaja penghuni rumah bonda iaitu Yasmin Nahar Mahmood melihat remaja perempuan Sindrom Down, Bella didera Siti Bainun.

    Sebaliknya, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, 39, itu memberitahu terdapat tiga lagi penghuni lain melihat kejadian itu yang berlaku di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada tahun lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, Zurianty yang juga rakan baik kepada Siti Bainun berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun, yang mana beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu yang mengatakan hanya Yasmin melihat Siti Bainun mendera Bella.

    Mohammad Farhan: Selain Yasmin (penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood), dalam pengetahuan puan tiada seorang pun pernah nampak dengan mata sendiri Bainun dera Bella?

    Zurianty: Tidak setuju.

    Mohammad Farhan: Puan tahu wujudnya individu selain Yasmin memang nampak Bainun dera Bella?

    Zurianty: Ya, selepas saya buat laporan.

    Mohammad Farhan: Maklumkan kepada mahkamah individu berkenaan.

    Zurianty: Individu yang tinggal dalam rumah itu (kondomininium tersebut) ialah Eyna, Aida dan Balqis… mereka yang tinggal bersama Siti Bainun dan Bella sepanjang tempoh itu.

    Sebelum ini dalam prosiding terdahulu Yasmin Nahar, 19, yang juga saksi pendakwaan kelima memberitahu mahkamah bahawa Bella didera Siti Bainun dan kejadian itu sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021 (sehingga saksi pendakwaan pertama menemui Bella).

    Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung lagi esok.

    Siti Bainun Ahd Razali , 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Nafi selamatkan Bella untuk ambil alih Rumah Bonda – Saksi

    Nafi selamatkan Bella untuk ambil alih Rumah Bonda – Saksi

    SAKSI pendakwaan pertama kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down dikenali Bella menafikan menyuruh Ahli Jawatankuasa (AJK) Rumah Bonda supaya meletakkan jawatan.

    Memetik laporan Berita Harian, penafian dibuat pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin, 39, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

    Bagaimanapun, beliau mengakui ada menyebut mengenai peletakan jawatan selepas beliau ‘menyelamatkan’ Bella, namun tidak bermaksud mengarahkan mereka berbuat demikian.

    Menurutnya, beliau berhubung dengan beberapa AJK Rumah Bonda selepas diminta oleh seorang individu dikenali ‘Bubu’ untuk menjelaskan kejadian menimpa Bella.

    “Saya menerangkan kepada mereka (AJK) sekiranya mereka tidak tahu mengenai perkara ini (keadaan Bella) langsung, adalah tidak adil untuk mereka.

    “Kalau saya jadi mereka, saya akan letak jawatan. Saya tak cadangkan tapi saya bagi pendapat,” katanya.

    Dalam pada itu, Zurianty tidak bersetuju cadangan peguam bahawa tindakannya menyelamatkan Bella kerana mahu mengambil alih pengurusan Rumah Bonda.

    Disoal seorang lagi peguam Siti Bainun, Mohammad Farhan Maaruf, bahawa tindakannya menyuruh AJK Rumah Bonda meletak jawatan selepas video Bella ‘meletup’ di media sosial, Zurianty menjawab tidak setuju.

    Mengenai pertanyaan Mohammad Farhan apa kaitan Bella dengan Rumah Bonda sehingga saksi meminta AJK meletak jawatan sedangkan remaja itu tidak ditempatkan di rumah jagaan berkenaan, Zurianty menjawab tidak pernah mengaitkan Bella dengan Rumah Bonda.

    Saksi itu kemudian sekali lagi menegaskan tidak pernah mengarahkan mana-mana AJK Rumah Bonda meletak jawatan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 14 September depan.

  • Mahkamah benarkan premis Rumah Bonda dibuka semula

    Mahkamah benarkan premis Rumah Bonda dibuka semula

    PREMIS Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur, yang lebih dikenali sebagai Rumah Bonda dibenarkan untuk beroperasi semula selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan membuka ‘Lak’ yang difailkan pengerusi rumah perlindungan itu, Siti Bainun Ahd Razali.

    Majistret Nur Syafiqah Noorinda mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Rumah Bonda melalui Siti Bainun selaku plaintif yang memohon untuk menanggalkan lak yang telah dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL) pada 12 Julai 2021.

    Peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili Siti Bainun ketika dihubungi berkata perintah menanggalkan lak diberikan oleh mahkamah di bawah Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 tidak dibantah oleh pihak JKM dan Rumah Bonda hendaklah berakujanji bahawa premis itu tidak akan digunakan sebagai pusat jagaan.

    “Rumah Bonda sudah dikompaun berjumlah RM5,000 dan ia telah dibayar pada 25 April lepas,” kata peguam itu.

    Prosiding hari ini turut dihadiri Peguam Persekutuan Fatin Shafira Ab Patah yang mewakili Pengarah JKM WPKL.

    Pada 7 Jun lepas, Rumah Bonda memfailkan saman terhadap JKM WPKL selaku defendan bagi memohon perintah menanggalkan lak yang telah dibuat pada 12 Julai 2021 ke atas premis itu di Taman Setapak, dan memohon perintah agar plaintif boleh menggunakan premis berkenaan bagi maksud lain selain daripada pusat jagaan, selain memohon kos dan relif lain yang sesuai oleh mahkamah.

    Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama saman itu, Siti Bainun berkata beliau telah menerima Notis Lak daripada JKM WPKL, yang memaklumkan bahawa Rumah Bonda di Taman Setapak akan ditutup mengikut Seksyen 16(1) Akta Pusat Jagaan 1993.

    Dakwa Siti Bainun, tindakan lak yang dibuat pada 12 Julai 2021 atas alasan Rumah Bonda tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 adalah tidak adil, tidak mengikut prinsip pentadbiran dan undang-undang administratif yang wajar, memandangkan JKM WPKL telah mengetahui bahawa rumah perlindungan itu sedang dalam proses permohonan pendaftaran.

    “Pada 20 April 2022, Rumah Bonda telah menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKM WPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan), di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993 dan Rumah Bonda telah membuat bayaran penuh kompaun itu pada 25 April 2022,” katanya menerusi afidavit sokongan.

    Menurut Siti Bainun, beliau kecewa apabila dimaklumkan oleh Pegawai Penguatkuasa JKM WPKL bahawa, Rumah Bonda hanya boleh dibuka melalui satu perintah mahkamah walaupun kompaun telah dijelaskan sepenuhnya. – BERNAMA

  • ‘Banyak sangat fitnah kata saya lindungi Rumah Bonda’ – Rina

    ‘Banyak sangat fitnah kata saya lindungi Rumah Bonda’ – Rina

    MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kompaun terhadap Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda (Rumah Bonda) bukan atas dasar budi bicara beliau sebaliknya berlandaskan undang-undang sedia ada.

    “Banyak sangat fitnah yang mengatakan saya melindungi Rumah Bonda dan sebagainya… kena faham dan ingat …kita memberikan saman itu mengikut akta, jadi akta itu menyebut kompaunnya RM5,000 …bukan saya yang tentukan.

    “Ia mengikut undang-undang sedia ada… itu bukan di bawah budi bicara saya, itu adalah yang termaktub di dalam akta,” katanya selepas merasmikan Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM yang dihadiri kira-kira 250 peserta di Kuantan hari ini.

    Rina berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan beliau melindungi Rumah Bonda.

    Semalam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan menafikan Rina bersubahat melindungi Rumah Bonda selain menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas serta berunsur fitnah.

    KPWKM turut memaklumkan bahawa segala tindakan yang diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak Julai 2021 ke atas Rumah Bonda adalah berdasarkan peruntukan undang-undang.

    Kenyataan itu merujuk kepada hantaran di laman Instagram pada 12 Jun lepas yang mempertikai nilai kompaun penguatkuasaan ke atas Rumah Bonda hanya RM5,000 dan menuduh Rina bersubahat melindungi pusat jagaan berkenaan.

    Dalam pada itu, Rina berkata, perbincangan telah dilakukan bersama Kementerian Sumber Manusia berkaitan inisiatif perlindungan sosial untuk suri rumah.

    Beliau berkata, KPWKM turut menyokong penggubalan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah dan berharap ia akan dilulus serta dilaksanakan demi kepentingan wanita.

    Rabu lepas, Setiausaha Wanita Perikatan Nasional Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata kerajaan perlu mengumumkan segera pelaksanaan inisiatif perlindungan sosial suri rumah yang telah dipersetujui sebelum ini.

    Mengulas program hari ini, Rina berkata ia memanfaatkan hampir 18,000 peserta secara keseluruhan selain membantu melatih wanita dalam bidang keusahawanan dan ia akan diteruskan di Perak, Pulau Pinang serta Sarawak. – BERNAMA

  • Rumah Bonda saman JKM Wilayah Persekutuan KL

    Rumah Bonda saman JKM Wilayah Persekutuan KL

    PERTUBUHAN Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Rumah Bonda, memfailkan saman terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL), bagi memohon perintah supaya rumah perlindungan itu dibuka semula.

    Saman pemula itu difailkan Rumah Bonda melalui pengerusinya Siti Bainun Ahd Razali selaku plaintif, melalui Tetuan Asiah Abd Jalil Law Chambers di Mahkamah Majistret di sini pada 7 Jun lalu, dengan menamakan Pengarah JKM WPKL sebagai defendan.

    Dalam saman itu, plaintif memohon perintah supaya defendan menanggalkan ‘Lak’ yang telah dibuat pada 12 Julai 2021 ke atas premis itu di Taman Setapak, dan memohon perintah agar plaintif boleh menggunakan premis berkenaan bagi maksud lain selain daripada pusat jagaan, selain memohon kos dan relif lain yang sesuai oleh mahkamah.

    Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama saman itu, Siti Bainun berkata, beliau telah menerima Notis Lak daripada JKM WPKL, yang memaklumkan bahawa Rumah Bonda di Taman Setapak akan ditutup mengikut Seksyen 16(1) Akta Pusat Jagaan 1993.

    Dakwa Siti Bainun, tindakan lak yang dibuat pada 12 Julai 2021 atas alasan Rumah Bonda tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 adalah tidak adil, tidak mengikut prinsip pentadbiran dan undang-undang administratif yang wajar, memandangkan JKM WPKL telah mengetahui bahawa rumah perlindungan tersebut sedang dalam proses permohonan pendaftaran.

    “Pada 20 April 2022, Rumah Bonda telah menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKM WPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan), di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993 dan Rumah Bonda telah membuat bayaran penuh kompaun itu pada 25 April 2022,” katanya menerusi afidavit sokongan.

    Menurut Siti Bainun, beliau kecewa apabila dimaklumkan oleh Pegawai Penguatkuasa JKM WPKL bahawa, Rumah Bonda hanya boleh dibuka melalui satu perintah mahkamah walaupun kompaun telah dijelaskan sepenuhnya.

    “Saya sebagai pengerusi Rumah Bonda dan mewakili seluruh ahli jawatankuasa berakujanji bahawa, sekiranya mahkamah memberikan perintah menanggalkan lak tersebut, saya dan Rumah Bonda tidak akan menggunakan premis tersebut sebagai pusat jagaan, sehinggalah premis tersebut didaftarkan di bawah Seksyen 10 Akta Pusat Jagaan 1993,” katanya.

    Dakwa Siti Bainun selepas tindakan lak dilaksanakan, beliau, ahli jawatankuasa dan sukarelawan tidak lagi mempunyai akses untuk memasuki Rumah Bonda, sekali gus menyukarkan usaha-usaha permohonan pendaftaran rumah perlindungan itu dan tidak boleh menjalankan kerja-kerja amal yang lain, seperti penyediaan makanan bagi gelandangan dan pusat bank makanan.

    “Rumah Bonda sehingga kini terpaksa membayar sewa bulanan bagi premis itu berjumlah RM2,800 sebulan, meskipun tidak dapat menggunakan premis berikutan tindakan Lak oleh JKM WP KL dan sejak 12 Julai 2021, Rumah Bonda telah menanggung kos sewa hampir setahun tanpa peluang memanfaatkan premis berkenaan,” katanya.

    Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Majistret Nur Syafiqah Noorinda pada 22 Jun ini. – BERNAMA

  • Pengasas Rumah Bonda didakwa abai kanak-kanak

    Pengasas Rumah Bonda didakwa abai kanak-kanak

    PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang tular sebelum ini.

    Siti Bainun, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

    Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak itu telah mengabaikan mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun tahun ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Noor Shakira Aliana Alias mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan kediaman.

    “Kes ini adalah kes kepentingan awam dan mendapat perhatian media. Pihak kerajaan juga memandang serius terhadap kes pengabaian kanak-kanak. Mangsa dalam kes ini adalah orang kurang upaya (OKU), sindrom down,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama TPR Rosidah Abu Bakar.

    Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis selain berjanji akan hadir ke mahkamah sepanjang prosiding kes kerana mahu membersihkan namanya.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan.

    “Kesemua syarat yang ditetapkan perlu dipatuhi oleh tertuduh kerana membabitkan mangsa kanak-kanak, jika syarat ini gagal dipatuhi jaminan akan dibatalkan,” katanya yang kemudian menetapkan 4 Oktober untuk sebutan semula kes.- BERNAMA