SAKSI pendakwaan pertama kepada pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali mengakui di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini bahawa bukan hanya seorang sahaja penghuni rumah bonda iaitu Yasmin Nahar Mahmood melihat remaja perempuan Sindrom Down, Bella didera Siti Bainun.

Sebaliknya, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, 39, itu memberitahu terdapat tiga lagi penghuni lain melihat kejadian itu yang berlaku di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada tahun lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Zurianty yang juga rakan baik kepada Siti Bainun berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun, yang mana beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu yang mengatakan hanya Yasmin melihat Siti Bainun mendera Bella.

Mohammad Farhan: Selain Yasmin (penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood), dalam pengetahuan puan tiada seorang pun pernah nampak dengan mata sendiri Bainun dera Bella?

Zurianty: Tidak setuju.

Mohammad Farhan: Puan tahu wujudnya individu selain Yasmin memang nampak Bainun dera Bella?

Zurianty: Ya, selepas saya buat laporan.

Mohammad Farhan: Maklumkan kepada mahkamah individu berkenaan.

Zurianty: Individu yang tinggal dalam rumah itu (kondomininium tersebut) ialah Eyna, Aida dan Balqis… mereka yang tinggal bersama Siti Bainun dan Bella sepanjang tempoh itu.

Sebelum ini dalam prosiding terdahulu Yasmin Nahar, 19, yang juga saksi pendakwaan kelima memberitahu mahkamah bahawa Bella didera Siti Bainun dan kejadian itu sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021 (sehingga saksi pendakwaan pertama menemui Bella).

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung lagi esok.

Siti Bainun Ahd Razali , 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here