Tag: Roger Ng

  • 1MDB: Roger Ng lepas tanpa bebas, tuduhan subahat dengan Goldman Sachs

    1MDB: Roger Ng lepas tanpa bebas, tuduhan subahat dengan Goldman Sachs

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, daripada empat pertuduhan bersubahat dengan syarikat itu berhubung penjualan nota sekuriti dan bon bernilai US$6.5 bilion milik anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir untuk melepas tanpa membebaskan Ng sementara menunggu proses hukuman di Mahkamah Eastern District of New York selesai.

    “Mahkamah melepas tanpa membebaskan tertuduh daripada pertuduhan itu memandangkan Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan bahawa mereka masih berminat untuk meneruskan pertuduhan terhadap tertuduh pada masa akan datang,” katanya.

    Terdahulu, Zaki Asyraf berkata perbicaraan kes jenayah yang dihadapi Ng di mahkamah Amerika Syarikat (AS) sudah selesai dan proses hukuman yang sepatutnya dijalankan pada Disember tahun lepas ditangguh kepada Februari ini.

    “Pihak pendakwaan masih berminat untuk meneruskan kes ini pada masa akan datang, cuma buat masa ini bagi mengelak pihak-pihak membuang masa, pendakwaan mohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan sehingga semua proses perundangan (di Amerika Syarikat) selesai,” katanya.

    Peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Ng, pula memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memandangkan kes itu sudah terlalu lama.

    Pada 8 April tahun lepas, Ng didapati bersalah oleh mahkamah di AS kerana melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada syarikat pelaburan 1MDB, bagaimanapun hukuman terhadapnya masih belum diputuskan.

    Pada 19 Dis 2018, Ng mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai US$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.

    Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013.

    Pada 4 Sept 2021, pertuduhan terhadap Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia iaitu Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) digugurkan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan berhubung penjualan bon 1MDB bernilai US$6.5 bilion. – BERNAMA

  • 1MDB: Mahkamah tangguh kes Roger Ng sementara tunggu hukuman

    1MDB: Mahkamah tangguh kes Roger Ng sementara tunggu hukuman

    KES bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa berhubung penjualan nota sekuriti dan bon bernilai AS$6.5 bilion milik anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ditangguhkan sementara menunggu hukuman kes jenayahnya di Amerika Syarikat (AS) diputuskan pada 13 Sept ini.

    Pada 8 April lepas, Ng didapati bersalah oleh mahkamah di AS kerana melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada syarikat pelaburan 1MDB, bagaimanapun hukuman terhadapnya masih belum diputuskan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir memaklumkan kepada mahkamah bahawa perbicaraan kes jenayah dihadapi Ng di mahkamah AS telah selesai dan proses hukuman akan dijalankan pada 13 Sept.

    “Untuk makluman mahkamah, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) memohon penyerahan sementara tertuduh ke negara itu sehingga akhir Ogos ini. Saya pasti mereka (DoJ) akan memohon lanjutan tempoh penyerahan sementara memandangan proses hukuman pada September ini.

    “Oleh itu, saya mohon tarikh sebutan kes pada 18 atau 19 Okt ini untuk memaklumkan kepada mahkamah tentang status terkini kes tertuduh (Ng) di Amerika Syarikat,” katanya pada pengurusan kes hari ini.

    Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Ng mengesahkan mengenai tarikh hukuman itu dan memaklumkan anak guamnya telah memfailkan rayuan terhadap keputusan juri di mahkamah di AS.

    “Keputusan dicapai pada 8 April 2022 dan hakim di New York telah tetapkan hukuman pada 13 Sept 2022. Saya setuju dengan permohonan pendakwaan untuk tarikh sebutan itu bagi memaklumkan tentang perkembangan kes (di Amerika Syarikat),” katanya.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan pengurusan kes pada 19 Okt ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan status terkini kes yang dihadapi Ng di AS.

    Pada 19 Dis 2018, Ng mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.

    Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013.

    Pada 4 Sept 2021, pertuduhan terhadap Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia iaitu Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) digugurkan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion. – BERNAMA

  • Keputusan kes Roger Ng:Bukti wang diguna memperkaya diri, kroni

    Keputusan kes Roger Ng:Bukti wang diguna memperkaya diri, kroni

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa yang didapati bersalah di Mahkamah Amerika Syarikat (AS) berhubung skandal global 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jelas membuktikan penyelewangan dilakukan pegawai dan pemimpin utama kerajaan Malaysia.

    Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut melihatkan pihak terlibat tidak amanah dan tidak bertanggungjawab terhadap negara membabitkan dana yang cukup besar.

    “Mahkamah di Amerika Syarikat hari ini telah menjatuhi hukuman bersalah ke atas bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng, atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan skandal 1MDB.

    “Peguam Negara Amerika Syarikat, Breon Peace dalam kenyataannya hari ini menyifatkan keputusan mahkamah tersebut sebagai suatu kejayaan kepada rakyat Malaysia.

    “Bagaimana tidak amanahnya mereka menyeleweng berbilion ringgit wang 1MDB yang sepatutnya digunakan untuk membiayai pelaburan strategik dan melaksanakan projek pembangunan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook miliknya, malam ini.

    Katanya, wang tersebut sebaliknya digunakan untuk memperkayakan diri sendiri dan kroni.

    Beliau menentang perbuatan jenayah mereka sejak dari awal dan nekad akan terus berjuang menghalang kumpulan kleptokrat itu daripada kembali berkuasa.

    “Saya percaya mahkamah di negara kita juga akan memberikan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam kes 1MDB yang masih dalam prosiding. Perbicaraan kes ini mesti disegerakan agar keadilan segera dicapai,” katanya.

  • Roger Ng seleweng dana 1MDB kerana ‘kegemilangan dan ketamakan’

    Roger Ng seleweng dana 1MDB kerana ‘kegemilangan dan ketamakan’

    BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng didakwa menyertai rancangan global untuk menyelewengkan berbilion dolar daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atas matlamat ‘kegemilangan dan ketamakan’.

    Pendakwa raya Amerika Syarikat, Alixandra Smith berkata demikian dalam hujah penutupnya kepada juri di mahkamah New York semalam.

    FMT yang memetik Bloomberg melaporkan, Smith memberitahu, walaupun Roger meminta berpuluh juta dolar sebagai sogokan, beliau juga berharap untuk menjadi rakan kongsi di Goldman Sachs Group Inc dengan membantu firma itu mengatur siri tawaran bon yang lumayan kepada 1MDB.

    “Walaupun defendan meraih (pendapatan) berjuta-juta dolar setahun bekerja untuk Goldman Sachs, beliau mahukan kegemilangan apabila naik menjadi rakan kongsi daripada (jawatan) pengarah urusan.

    “Paling penting, dia mahu wang yang dijanjikan, iaitu AS$35 juta,” katanya.

    Roger, 49, merupakan satu-satunya pegawai bank Goldman yang dibicarakan berhubung skandal 1MDB, yang menyaksikan bank itu membayar penalti lebih AS$5 bilion.

    Beliau dituduh bersubahat dengan bekas bosnya, Tim Leissner, dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, untuk menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB apabila Goldman mengatur tiga perjanjian bon untuk dana itu pada 2012 dan 2013.

    Roger didakwa atas dua tuduhan bersubahat untuk melanggar undang-undang antirasuah AS dan satu tuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram. Jika sabit kesalahan, dia mungkin akan dipenjarakan selama beberapa dekad.

    Smith menunjukkan kepada juri carta dengan wajah sembilan individu yang didakwa berkomplot dengan AS, termasuk Leissner dan isteri mereka, serta kakitangan 1MDB yang dikatakan mendapat sogokan.

    Beliau berkata, carta itu menunjukkan bagaimana tindak-tanduk Roger ‘dikoordinasi’ dengan individu lain yang menggunakan akaun bank luar pesisir dan akaun e-mel palsu untuk menyembunyikan rancangan itu dan dibayar lumayan oleh Jho Low.

    “Defendan mahu anda percaya bahawa beliau terbabit secara tidak sengaja, iaitu satu-satunya (individu) yang tidak tahu apa yang sedang berlaku.

    “Namun semua keterangan menjelaskan (bahawa) semua yang dilakukan oleh defendan adalah selaras dengan tindakan semua individu yang berkomplot,” jelasnya.

    Puluhan juta dolar dalam bentuk rasuah dibayar kepada pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi untuk mendapatkan perniagaan 1MDB untuk Goldman, manakala Jho Low memberi sogokan kepada Roger dan Leissner untuk mengatur tiga perjanjian bon, kata Smith.

    Leissner, yang mengaku bersalah dan memberi keterangan terhadap Roger, memberitahu juri beliau meraih lebih AS$60 juta dan membayar Roger lebih AS$35 juta.

    Smith memberitahu juri bahawa mereka boleh mengikut jejak wang dana yang dipindahkan daripada perjanjian 1MDB kepada syarikat yang dikawal Jho Low dan akhirnya kepada entiti luar pesisir yang dikawal oleh isteri Roger, Lim Hwee Bin.

    Hwee Bin memberi keterangan bahawa AS$35 juta yang dipindahkan ke akaun atas nama ibunya berkait dengan perjanjian perniagaan berasingan yang sah bersama isteri Leissner pada masa itu.

    Dalam hujah penutupnya, Smith memberitahu juri bahawa e-mel dan keterangan lain membuktikan Roger dan isterinya mengawal dana tersebut, bukan ibu mentua Roger seperti yang dihujahkan oleh pembelaan.

    Sebahagian daripada dana itu digunakan untuk membeli barangan mewah, termasuk lebih AS$250,000 barang kemas berlian, kata Smith.

    Hwee Bin tidak didakwa dalam kes itu, tetapi pihak pendakwa memberitahu mahkamah bahawa beliau ‘sekurang-kurangnya terbabit dalam konspirasi untuk pengubahan haram hasil jenayah’.

    Peguam Roger berhujah bahawa Hwee Bin tidak mempunyai pengetahuan penting, oleh itu ‘tidak mungkin menjadi sebahagian daripada konspirasi pengubahan wang haram’.

    Pendakwa berkata, Goldman meraih lebih AS$600 juta untuk peranannya dalam tiga perjanjian bon 1MDB.

  • 1MDB: Penyelewengan pegawai Goldman memudaratkan Malaysia

    1MDB: Penyelewengan pegawai Goldman memudaratkan Malaysia

    PENDAKWA RAYA Amerika Syarikat (AS) berpandangan, bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng harus disabitkan kesalahan kerana membantu menyelewengkan berbilion dolar daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    FMT yang memetik Reuters melaporkan, Penolong Peguam AS, Alixandra Smith berkata demikian kepada juri ketika hujah penutupnya di mahkamah New York pada Isnin lalu.

    Namun, peguam Roger, Marc Agnifilo, menyangkal dengan menyatakan bahawa anak guamnya dilibatkan secara salah dalam penyelewengan itu oleh bekas bosnya, Tim Leissner, iaitu saksi utama kerajaan.

    Roger, 49, mengaku tidak bersalah bersubahat melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

    Smith berkata, Roger membantu Leissner menggelapkan beratus juta dolar, membersihkan hasil itu dan menyogok pegawai untuk mendapatkan urus niaga bagi Goldman.

    Beliau berkata, Roger menerima lebih AS$35 juta daripada rancangan pengubahan wang haram dan sogokan yang ‘berani’ dan harus dipertanggungjawabkan.

    “Kemudaratan yang dialami oleh rakyat Malaysia amat tidak terkira sekali. Ia amat tidak adil kepada orang lain yang patuh kepada peraturan,” katanya.

    Agnifilo pula berkata, ‘tiada bukti” menunjukkan anak guamnya bersalah.

    Sebaliknya, Agnifilo menyalahkan Leissner, 52, yang mengaku bersalah atas tuduhan sama seperti Roger, dengan pihak pembelaan percaya bahawa beliau bekerjasama dengan pendakwa raya dengan harapan untuk dikenakan hukuman lebih ringan.

    “Beliau tidak pernah berhenti berbohong, dan beliau tidak berhenti berbohong di bilik mahkamah ini,” kata Agnifilo, merujuk kepada Leissner.

    Perbicaraan hampir dua bulan itu berpunca daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah.

    Pendakwa raya berkata, Goldman membantu mengumpul AS$6.5 bilion untuk 1MDB melalui tiga urus niaga bon, tetapi AS$4.5 bilion telah dialihkan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan sekutu mereka menerusi sogokan dan rasuah.

    Roger ialah individu pertama dan satu-satunya individu yang dibicarakan di AS berhubung kes itu. Pada 2020, Goldman membayar denda berjumlah hampir AS$3 bilion dan unitnya di Malaysia bersetuju untuk mengaku bersalah.

    Agnifilo berkata, Roger memperkenalkan Leissner kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang disyaki menjadi dalang rancangan itu.

    Smith mengakui bahawa Leissner cuba mendapatkan kelonggaran dengan memberi keterangan tetapi keterangan lain menyokong ceritanya.

    “Apa yang beliau beritahu anda mengenai jenayah yang dilakukan bersama defendan dan yang lain adalah disokong dan konsisten dengan keterangan lain.”

    “Anda sudah tahu defendan bersalah berdasarkan keterangan lain,” jelasnya.

    Dalam keterangannya, Leissner berkata, beliau memberikan wang sogokan berjumlah AS$35 juta kepada Roger untuk bersetuju memberitahu ‘cerita rekaan’ kepada bank yang memproses pemindahan itu bahawa wang terbabit adalah daripada usaha sama perniagaan yang sah antara isteri mereka.

    Isteri Roger, Lim Hwee Bin, memberi keterangan minggu lalu bahawa beliau membuat pelaburan berjumlah AS$6 juta pada pertengahan 2000 dalam syarikat China milik isteri Leissner pada masa itu, Judy Chan.

    Katanya, wang berjumlah AS$35 juta yang didakwa sebagai sogokan kepada suaminya itu, sebenarnya adalah pulangan daripada pelaburan itu.

    Jho Low didakwa pada 2018 bersama Roger. Pihak berkuasa Malaysia berkata, Jho Low berada di China, namun dinafikan oleh Beijing.

  • Pakar feng shui beri Leissner amaran karma buruk 1MDB

    Pakar feng shui beri Leissner amaran karma buruk 1MDB

    ISTERI bekas pegawai bank Goldman Sachs yang dibicarakan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu juri di mahkamah Amerika Syarikat bahawa seorang pakar feng shui memberi amaran kepada bos suaminya tentang ‘karma buruk’ – tilikan yang nampaknya menjadi kenyataan.

    FMT yang memetik Bloomberg melaporkan, isteri Roger Ng, Lim Hwee Bin, memberi keterangan bagi pihak suaminya semalam pada perbicaraan Roger yang berdepan tuduhan konspirasi berkait penyelewengan dana 1MDB.

    Hwee Bin memberitahu juri bahawa beliau dan suaminya mengatur bacaan fengshui dengan ‘Master Pang’ untuk bos Roger, Tim Leissner, pada 2015 dan 2016.

    Leissner, yang mengaku bersalah dan kini bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam kes terhadap Roger, memberi keterangan bahawa pakar tersebut memberitahunya, seorang ‘perempuan’ akan ‘membantunya pada masa hadapan’.

    Katanya, apabila dia bertemu dengan Hwee Bin dan Roger untuk membincangkan salah satu bacaan feng shui itu, ketiga-tiga mereka bersetuju untuk memberitahu pihak berkuasa ‘cerita rekaan’ bagi menjelaskan sogokan AS$35 juta untuk Roger.

    Walau bagaimanapun, Hwee Bin semalam memberitahu panel persekutuan di Brooklyn, New York, bahawa wanita berkenaan adalah anak perempuan Leissner.

    Pertemuan itu hanya untuk membincangkan bacaan feng shui, katanya.

    Feng shui adalah amalan lazim dalam masyarakat Cina di Asia dan digunakan untuk membaca tanda-tanda dan aliran tenaga yang baik mahupun buruk.

    Hwee Bin memberitahu juri, beliau dan suaminya menerima nasihat pakar feng shui tersebut setiap tahun menjelang Tahun Baharu dan setiap kali mereka mencari rumah atau pejabat baharu.

    “Jangan undang karma buruk,” beritahu Pang kepada Leissner, menurut keterangan Hwee Bin.

    “Sebarang perkara buruk yang akan terjadi akan datang dari mulut kamu sendiri.”