PENDAKWA RAYA Amerika Syarikat (AS) berpandangan, bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng harus disabitkan kesalahan kerana membantu menyelewengkan berbilion dolar daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

FMT yang memetik Reuters melaporkan, Penolong Peguam AS, Alixandra Smith berkata demikian kepada juri ketika hujah penutupnya di mahkamah New York pada Isnin lalu.

Namun, peguam Roger, Marc Agnifilo, menyangkal dengan menyatakan bahawa anak guamnya dilibatkan secara salah dalam penyelewengan itu oleh bekas bosnya, Tim Leissner, iaitu saksi utama kerajaan.

Roger, 49, mengaku tidak bersalah bersubahat melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

Smith berkata, Roger membantu Leissner menggelapkan beratus juta dolar, membersihkan hasil itu dan menyogok pegawai untuk mendapatkan urus niaga bagi Goldman.

Beliau berkata, Roger menerima lebih AS$35 juta daripada rancangan pengubahan wang haram dan sogokan yang ‘berani’ dan harus dipertanggungjawabkan.

“Kemudaratan yang dialami oleh rakyat Malaysia amat tidak terkira sekali. Ia amat tidak adil kepada orang lain yang patuh kepada peraturan,” katanya.

Agnifilo pula berkata, ‘tiada bukti” menunjukkan anak guamnya bersalah.

Sebaliknya, Agnifilo menyalahkan Leissner, 52, yang mengaku bersalah atas tuduhan sama seperti Roger, dengan pihak pembelaan percaya bahawa beliau bekerjasama dengan pendakwa raya dengan harapan untuk dikenakan hukuman lebih ringan.

“Beliau tidak pernah berhenti berbohong, dan beliau tidak berhenti berbohong di bilik mahkamah ini,” kata Agnifilo, merujuk kepada Leissner.

Perbicaraan hampir dua bulan itu berpunca daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah.

Pendakwa raya berkata, Goldman membantu mengumpul AS$6.5 bilion untuk 1MDB melalui tiga urus niaga bon, tetapi AS$4.5 bilion telah dialihkan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan sekutu mereka menerusi sogokan dan rasuah.

Roger ialah individu pertama dan satu-satunya individu yang dibicarakan di AS berhubung kes itu. Pada 2020, Goldman membayar denda berjumlah hampir AS$3 bilion dan unitnya di Malaysia bersetuju untuk mengaku bersalah.

Agnifilo berkata, Roger memperkenalkan Leissner kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang disyaki menjadi dalang rancangan itu.

Smith mengakui bahawa Leissner cuba mendapatkan kelonggaran dengan memberi keterangan tetapi keterangan lain menyokong ceritanya.

“Apa yang beliau beritahu anda mengenai jenayah yang dilakukan bersama defendan dan yang lain adalah disokong dan konsisten dengan keterangan lain.”

“Anda sudah tahu defendan bersalah berdasarkan keterangan lain,” jelasnya.

Dalam keterangannya, Leissner berkata, beliau memberikan wang sogokan berjumlah AS$35 juta kepada Roger untuk bersetuju memberitahu ‘cerita rekaan’ kepada bank yang memproses pemindahan itu bahawa wang terbabit adalah daripada usaha sama perniagaan yang sah antara isteri mereka.

Isteri Roger, Lim Hwee Bin, memberi keterangan minggu lalu bahawa beliau membuat pelaburan berjumlah AS$6 juta pada pertengahan 2000 dalam syarikat China milik isteri Leissner pada masa itu, Judy Chan.

Katanya, wang berjumlah AS$35 juta yang didakwa sebagai sogokan kepada suaminya itu, sebenarnya adalah pulangan daripada pelaburan itu.

Jho Low didakwa pada 2018 bersama Roger. Pihak berkuasa Malaysia berkata, Jho Low berada di China, namun dinafikan oleh Beijing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here