DATUK Seri Najib Tun Razak mungkin bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) walaupun beliau telah disabitkan kesalahan rasuah oleh mahkamah dan berdepan dengan pelbagai tuduhan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian dalam wawancara bersama Reuters.
“Mana-mana ahli politik yang mahu memainkan peranan, tentunya ingin menjadi Ahli Parlimen,” katanya apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas kesalahan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang berhubung dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.
Beliau telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.
Selain kes SRC, Najib menghadapi beberapa kes mahkamah berhubung dana 1MDB dan Ahli Parlimen Pekan itu telah menolak semua tuduhan tersebut
Dalam wawancara itu, Najib menambah, soal sama ada beliau layak bertanding dalam PRU akan datang adalah rtakluk kepada tafsiran peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Ia tertakluk kepada tafsiran dari segi undang-undang, perlembagaan dan apa yang berlaku semasa perbicaraan,” jelasnya.
Barisan Nasional (BN) mencatatkan prestasi terburuk di bawah pimpinan Najib apabila gabungan parti politik yang berkuasa sejak PRU yang pertama itu tumbang di tangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14.
Ramai pemerhati politik mengaitkan keputusan yang menyaksikan BN hilang kuasa itu berpunca daripada skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Najib.
Kegagalan BN dan UMNO menangani persepsi berhubung skandal 1MDB telah menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap parti itu.
BN dan UMNO juga dijangka berdepan cabaran getir untuk mempertahankan pengaruhnya dalam PRU-15 berikutan penguasaan kluster mahkamah di peringkat pucuk pimpinan parti.
Selain Najib, antara pemimpin tertinggi BN dan UMNO yang sedang berdepan tuduhan di mahkamah ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.
Majoriti akar umbi parti mahu perubahan dilakukan dengan mengetengahkan pemimpin yang bersih seperti Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ahmad Zahid dijangka mengetuai BN dan UMNO dalam misi menghadapi PRU-15 sekiranya parti terbesar orang Melayu itu tidak mengadakan pemilihan dalam masa terdekat.
BARISAN Nasional (BN) akan memberi peluang kepada calon-calon Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Makkal Sakti di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur hari ini.
Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau berkata, parti yang mewakili kaum India akan diberikan peluang untuk bertanding setelah diminta oleh parti itu dan atas kesetiaan selama 13 tahun menyokong BN.
“Jadikan Makkal Sakti sebagai aset. Saya merasakan apabila diminta, Presiden Makkal Sakti, R S Thanenthiran tadi, untuk calon-calon daripada Makkal Sakti bertanding dalam PRU15 dan telah berbincang dengan rakan-rakan dalam BN, kita akan memberi tempat pada PRU-15 dalam Parlimen atau DUN nanti,” katanya.
Parti yang diasaskan oleh bekas pemimpin Pasukan Tindakan Hak Hindu (Hindraf) bukan sebahagian parti komponen dalam BN walaupun telah bertahun-tahun menyokong gabungan itu.
Sebelum Ahmad Zahid berucap, Thanenthiran terdahulu dalam ucapannya telah meminta pengerusi BN itu memberikan peluang kepada calon-calon daripada partinya bertanding pada PRU-15.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan BN mahu menjadi kerajaan semula dan merampas semua kerusi dalam PRU-15 dan disebabkan itu, BN perlu menguatkan kedudukan gabungan parti itu.
“Di mata rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini mereka harapkan BN ambil alih kerajaan akan datang,” katanya.
Sementara itu, Thanenthiran pada sidang media selepas perasmian itu berkata, pengumuman Ahmad Zahid untuk memberi peluang kepada calon-calon partinya bertanding pada PRU-15 adalah amat dinanti-nantikan sekian lamanya.
Beliau berkata, pengumuman itu memberi motivasi kepada partinya yang sudah 13 tahun menunggu untuk diberi peluang bertanding bawah bendera BN.
Thanenthiran berkata, secara peribadi partinya telah meminta untuk bertanding di empat kawasan Parlimen dan tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), namun terpulang kepada kepimpinan BN untuk memberi kawasan mana untuk calon-calon Makkal Sakti bertanding.
“Kawasan disasarkan empat negeri iaitu di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah. Saya percaya parti-parti komponen khusus UMNO, MCA, MIC dan daripada Sabah akan sokong kami,” katanya.
PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa beliau akan bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Walau bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi PN tidak menyatakan dengan jelas sama ada akan mempertahan kerusi Parlimen Pagoh yang disandangnya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun kelima Bersatu yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook beliau, malam ini.
“Pada masa itu (PRU-15), PN dan saya sebagai Pengerusinya akan mengambil bahagian dalam pilihan raya.Insya-Allah, dengan izin Allah dan sokongan rakyat, kita akan bangkit semula!” katanya.
*Kalau tidak terlibat pemilihan PM baharu, PH dan kleptokrat mungkin jadi kerajaan
Beliau juga menegaskan, Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi kerajaan sekiranya beliau tidak menetapkan pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri baharu.
”Saya boleh memilih untuk berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa selepas saya meletak jawatan. Lagipun saya telah berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kedudukan Kerajaan PN. Tetapi saya masih mempunyai tanggungjawab sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN.
”Apa jadi kalau saya dan semua Ahli Parlimen Bersatu tidak mengambil apa-apa pendirian dalam pemilihan Perdaba Menteri bahatu dan pembentukan kerajaan selepas itu. Pertama keadaan politik negara akan terumbang ambing kerana suasana pada ketika itu menunjukkan tidak ada sesiapapun yang mendapat majoriti,” katanya.
Kedua tegas beliau, PH dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi kerajaan dan Bersatu menjadi pembangkang.
”Saya berfikiran rasional.Kerana itu saya berbincang dengan ahli-ahli Parlimen Bersatu dan pimpinan parti-parti dalam Perikatan Nasional iaitu Pas, STAR, SAPP dan Gerakan serta pucuk pimpinan parti rakan kita iaitu GPS dan PBS supaya mencalonan Datuk Seri Ismail Sabrei sebagai Perdana Menteri yang baharu,” katanya.
Dengan itu tegas Muhyiddin Bersatu dan parti-parti komponen PN untuk terus berada dalam kerajaan bagi meneruskan usaha-usaha memulihkan negara sehinggalah tiba suatu masa pilihan raya dapat diadakan dengan selamat dan mandat dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.
Beliau juga menyeru ahli-ahli Bersatu supaya terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri dalam usaha Ismail Sabri dan barisan Jemaah Menterinya untuk menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi dan memulihkan negara.
Muhyiddin menambah, semua ahli Bersatu perlu melakukan segala persiapan menghadapi PRU-15 dengan menumpukan usaha memperkuatkan parti di akar umbi.
“Jangan bersengketa sesama kita. Elakkan perasaan dengki dan irihati. Kukuhkan perpaduan, tingkatkan kerjasama dan lipat gandakan usaha untuk menjadikan Bersatu sebagai parti pilihan rakyat.
“Perkukuhkan kerjasama kita dengan parti-parti komponen PN di semua peringkat khususnya di bahagian dan cawangan. Dasar kita ialah kita tidak boleh bersendirian dalam menghadapi pilihan raya.
“Kita memerlukan sokongan parti-parti komponen PN dan parti-parti rakan kita yang lain untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan,” jelasnya.
Buktikan budaya politik Bersatu berbeza
Beliau meminta semua pemimpin dan ahli Bersatu meneruskan kerja-kerja amal dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat.
“Buktikan budaya politik Bersatu ini berbeza. Politik kita ialah politik khidmat. Politik prihatin. Politik jasa kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Politik kita bukan politik iri hati dan hasad dengki. Bukan politik perkauman yang melampau. Bukan politik adu-domba, tamak haloba dan kemaruk kuasa,” tegasnya.
Muhyiddin berkata, Bersatu mesti membuktikan nilai kepimpinannya berteraskan prinsip integriti dan amanah serta tidak boleh berkompromi dengan perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Kita tidak mencampuri urusan mahkamah. Kita menghormati prinsip pengasingan kuasa antara badan Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman. Kita juga komited dengan agenda reformasi institusi yang menjamin tatakelola kerajaan yang baik,” ujarnya.
Beliau turut mengumumkan penubuhan Akademi Kepimpinan Bersatu yang akan mengadakan siri latihan berteraskan nilai, roh dan semangat perjuangan parti sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan parti.
“Akademi ini juga akan memberi tumpuan kepada penerapan semangat kebangsaan berteraskan Islam yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan agama sebagai ideologi Bersatu,” jelasnya.
Muhyiddin menambah, sebagai sebuah parti pribumi, Bersatu akan terus membela nasib orang Melayu dan bumiputera termasuk menjaga kebajikan serta memperbaiki taraf hidup golongan B40 yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan berkenaan.
“Perhatian juga akan diberikan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang penyertaan Melayu dan bumiputera dalam bidang-bidang pertumbuhan ekonomi utama yang berdaya maju.
“Dalam konteks ini, agenda Wawasan Kemakmuran Bersama yang bertujuan untuk menangani jurang pendapatan antara kaum, wilayah dan kelas sosial akan terus menjadi keutamaan kita,” jelasnya.
PERGOLAKAN dalaman yang parah ekoran penolakan terhadap kepimpinan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilihat membuka ruang kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk kembali berkuasa di negeri itu.
Orang-orang UMNO dengarnya semakin bersemangat untuk melipatgandakan usaha menawan semula Negeri Sembilan selepas terlepas ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Bagi mereka, maruah yang tercalar teruk akibat kekalahan itu mesti ditebus semula dan Negeri Sembilan mesti ditadbir oleh BN / UMNO selepas PRU-15.
Namun, krisis kepimpinan yang melanda PKR Negeri Sembilan tidak boleh ditafsirkan sebagai petunjuk bahawa PH semakin lemah di bumi Adat Perpatih itu.
Yang menjadi punca masalah adalah Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, bukannya PH itu sendiri.
Mungkin PKR Negeri Sembilan bermasalah tetapi yang menjadi tunjang sebenar kekuatan PH adalah DAP.
Parti cauvinis itu menguasai 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding enam kerusi PKR dan tiga kerusi PAN.
Semua DUN yang dikuasai DAP iaitu Chennah, Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya, Lukut dan Repah merupakan kawasan yang mempunyai ramai pengundi bukan Melayu.
Kecuali MCA mampu melakukan keajaiban, agak sukar bagi BN untuk menawan 11 DUN yang kini boleh dianggap sebagai kerusi tradisi DAP.
Begitu juga dengan kawasan majoriti bukan Melayu yang dikuasai PKR seperti Sri Tanjung dan Chuah.
UMNO dilihat berpeluang mengambil semula kerusi-kerusi DUN yang tewas dalam PRU-14 iaitu Klawang (PAN), Pilah (PKR) Labu (PKR), Paroi (PAN) dan Lenggeng (PAN).
Usaha membebaskan dua lagi DUN yang dikuasai PKR agak getir memandangkan Sikamat yang diwakili Aminuddin serta Ampangan yang diwakili Dr Mohamad Rafiei Ab Malik merupakan kerusi selesa bagi parti itu sejak PRU-12.
MIC pula memenangi hanya satu kerusi iaitu di DUN Jeram Padang yang merupakan kawasan tradisinya sejak dahulu lagi.
Melihat kepada realiti sebenar, UMNO memang tidak mampu bertindak secara bersendirian untuk menawan semula Negeri Sembilan.
Sekiranya parti itu benar-benar ingin mencapai objektif tersebut, langkah terbaik adalah bekerjasama dengan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru atau lebih, UMNO boleh memberi tumpuan untuk mempertahankan 15 kerusi yang disandangnya ketika ini.
Kerusi-kerusi tersebut adalah Pertang, Sungai Lui, Serting, Palong, Juasseh, Seri Menanti, Senaling, Johol, Chembong, Rantau, Kota, Bagan Pinang, Linggi, Gemas dan Gemencheh.
Tujuh lagi kerusi iaitu Sikamat, Ampangan, Klawang, Labu, Pilah, Paroi dan Lenggeng boleh diserahkan kepada Bersatu dan PAS.
Difahamkan, masalah dalaman merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan calon UMNO di Klawang, Labu, Pilah, Paroi dan Lenggeng.
Masalah yang sama dapat dielakkan daripada berulang jika UMNO Negeri Sembilan beralah dan memberi laluan kepada calon-calon PAS atau Bersatu untuk bertanding di kerusi-kerusi tersebut.
PAS dan Bersatu juga boleh membuktikan keupayaan mereka untuk merampas DUN Sikamat dan Ampangan yang dianggap sebagai ‘kerusi maut’ kepada calon-calon yang ingin mencabar Aminuddin dan Mohamad Rafiei.
Walaupun Aminuddin berdepan krisis kepimpinan, beliau masih mempunyai pengaruh yang besar di Sikamat setelah berkhidmat di sana selama tiga penggal.
Begitu juga dengan Mohamad Rafiei. Beliau merupakan seorang tokoh politik yang dihormati oleh masyarakat.
Andainya PAS dan Bersatu berjaya dalam misi yang diberikan, UMNO masih lagi menjadi parti yang mempunyai jumlah kerusi terbesar dan pemimpinnya berhak diberi jawatan Menteri Besar.
Kerjasama UMNO, PAS dan Bersatu berupaya memastikan sekurang-kurangnya 20 daripada 22 kawasan majoriti Melayu-Islam tidak jatuh atau terus dikuasai PH.
Melalui kerangka kerjasama BN, Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) pula, sekurang-kurangnya 21 kerusi DUN boleh dikekalkan atau ditawan semula.
Memang UMNO dan BN dahulu begitu gah di Negeri Sembilan di mana sebelum PRU-12, hanya seorang dua sahaja wakil pembangkang dari DAP yang menjadi kera sumbang di dalam DUN Negeri Sembilan.
Zaman gemilang itu sudah lama berlalu dan situasi politik ketika ini semakin mencabar lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan Undi 18 yang bakal menyaksikan kemunculan generasi pengundi muda yang kurang menerima sentuhan UMNO.
Kekalahan mengejut pada PRU-14 seharusnya menyedarkan pucuk pimpinan UMNO Negeri Sembilan bahawa mereka tidak boleh lagi hanya berasa selesa dalam silo masing-masing.
Lakukan apa sahaja yang perlu untuk kembali mentadbir Negeri Sembilan termasuk bekerjasama dengan Bersatu dan PAS.
Misi itu mesti dijayakan bagi menjaga air muka Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.
Nostalgia lampau sememangnya sangat indah namun ia tidak mampu menjamin kemenangan.