BARISAN Nasional (BN) akan memberi peluang kepada calon-calon Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Makkal Sakti di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur hari ini.

Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau berkata, parti yang mewakili kaum India akan diberikan peluang untuk bertanding setelah diminta oleh parti itu dan atas kesetiaan selama 13 tahun menyokong BN.

“Jadikan Makkal Sakti sebagai aset. Saya merasakan apabila diminta, Presiden Makkal Sakti, R S Thanenthiran tadi, untuk calon-calon daripada Makkal Sakti bertanding dalam PRU15 dan telah berbincang dengan rakan-rakan dalam BN, kita akan memberi tempat pada PRU-15 dalam Parlimen atau DUN nanti,” katanya.

Parti yang diasaskan oleh bekas pemimpin Pasukan Tindakan Hak Hindu (Hindraf) bukan sebahagian parti komponen dalam BN walaupun telah bertahun-tahun menyokong gabungan itu.

Sebelum Ahmad Zahid berucap, Thanenthiran terdahulu dalam ucapannya telah meminta pengerusi BN itu memberikan peluang kepada calon-calon daripada partinya bertanding pada PRU-15.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan BN mahu menjadi kerajaan semula dan merampas semua kerusi dalam PRU-15 dan disebabkan itu, BN perlu menguatkan kedudukan gabungan parti itu.

“Di mata rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini mereka harapkan BN ambil alih kerajaan akan datang,” katanya.

Sementara itu, Thanenthiran pada sidang media selepas perasmian itu berkata, pengumuman Ahmad Zahid untuk memberi peluang kepada calon-calon partinya bertanding pada PRU-15 adalah amat dinanti-nantikan sekian lamanya.

Beliau berkata, pengumuman itu memberi motivasi kepada partinya yang sudah 13 tahun menunggu untuk diberi peluang bertanding bawah bendera BN.

Thanenthiran berkata, secara peribadi partinya telah meminta untuk bertanding di empat kawasan Parlimen dan tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), namun terpulang kepada kepimpinan BN untuk memberi kawasan mana untuk calon-calon Makkal Sakti bertanding.

“Kawasan disasarkan empat negeri iaitu di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah. Saya percaya parti-parti komponen khusus UMNO, MCA, MIC dan daripada Sabah akan sokong kami,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here