Tag: PRN Johor

  • 1Malaysia Dapat Bala (1MDB)

    1Malaysia Dapat Bala (1MDB)

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    APABILA Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan isu hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, ramai yang sinis dan mempersoalkannya.

    Menurut pemimpin UMNO, isu itu sudah lapuk dan tidak perlu dibangkitkan lagi selain menyifatkannya tidak relevan dalam PRN Johor.

    Sebenarnya isu 1MDB perlu terus dibahas dan diketengahkan kerana akar kepada masalah ini terus hidup dan menjalar sehingga ke hari ini.

    Malangnya isu tersebut bukan membesar dan memberi naungan kepada rakyat Malaysia sebaliknya pada bila-bila masa akan meranapkan negara ini dengan beban hutang yang terlalu besar untuk ditampung.

    Apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2 Mac lalu semasa membahaskan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Parlimen mendakwa tiada satu sen pun wang rakyat diguna untuk membayar hutang prinsipal 1MDB, kenyataan itu terus membuka pekung skandal tersebut.

    Najib yang dikaitkan dengan isu 1MDB iaitu skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia cuba mengelirukan kes jenayah global tersebut.

    Bekas Perdana Menteri itu yang popular dengan gelaran Malu Apa Bosku cuba berkata, tiada satu sen pun dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB.

    Beliau tidak dapat menegakkan benang yang basah apabila kenyataannya disanggah Kementerian Kewangan, pakar ekonomi dan pemimpin lain, dengan mengatakan kerajaan terpaksa membayar kadar faedah hutang itu setiap tahun menggunakan wang kerajaan iaitu wang rakyat.

    Ini diperkukuhkan lagi apabila semalam, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Ketua Penerangan PN menafikan dakwaan Najib itu kononnya hutang 1MDB tidak membebankan kerajaan.

    Azmin berkata, semasa pentadbiran PN, kerajaan Muhyiddin terpaksa berdepan dengan hutang lebih RM43 bilion, dengan sebahagian daripadanya berkaitan 1MDB.

    “Baru-baru ini, ada individu yang cuba menafikan perkara ini. Jangan biarkan kerakusan seorang atau dua orang yang ingin merompak wang rakyat disimpan.

    “Hutang legasi untuk 2022 ialah RM43 bilion, itu hanya untuk membayar faedah, belum lagi hutang pokok. Antara hutang yang dilunaskan ialah hutang 1MDB,” katanya.

    Pendedahan tersebut dibuat dalam majlis dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Menteri-Menteri Berkaitan Ekonomi di Pulai Spring Resort, Kulai, Johor.

    Bayangkan legasi jumlah hutang tersebut terlalu besar dan sebenarnya terus menerus membebankan kerajaan sehingga hari ini. Jadi apa yang tidak relevannya isu untuk terus diperkatakan?

    Rakyat berhak mengetahuinya termasuk pengundi PRN Johor yang akan membuat keputusan pada PRN Johor agar pisang tidak berbuah dua kali.

    Hutang 1MDB terpaksa ditanggung ketika pentadbiran PN di bawah Muhyiddin dan sekarang pula dipikul kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ini adalah realitinya.

    UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan fakta ini terutama semasa kempen PRN Johor kerana sedar 1MDB akan membuatkan mereka hilang arah dan ‘tenggelam punca’ untuk menjawabnya.

    1MDB seakan ‘saka’ peliharaan UMNO dan BN yang pada bila-bila masa akan menelan lahap mereka. Bukan sahaja gabungan itu menanggung kesannya tetapi seluruh rakyat Malaysia mendapat tempiasnya. 1Malaysia Dapat Bala (1MDB)!

  • PRN Johor: Pas Sabah hantar lebih 100 jentera bantu calon PN

    PRN Johor: Pas Sabah hantar lebih 100 jentera bantu calon PN

    LEBIH 100 jentera (Pas) Sabah membantu 56 calon Perikatan Nasional (PN) berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

    Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd. Aminuddin Aling berkata, sebahagian jentera yang dihantar akan bertugas sepenuh masa sepanjang berkempen.

    “Jentera Pas Sabah yang bertugas di Johor akan membantu di lapangan termasuklah kempen dari rumah ke rumah.

    “Selain itu, kita juga menghantar jentera penerangan dan IT sehingga hari pembuangan undi bagi melaksanakan kerja penculaan serta memperkenalkan calon.

    “Saya bersama-sama pimpinan Pas Sabah yang lain turun bersama calon menyantuni masyarakat di kawasan yang telah ditetapkan,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.

    Menurutnya, Pas Sabah ditugaskan untuk membantu jentera dan calon PN, Maimunah Safwa Musa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah.

    “Kita akan bersama-sama jentera di sana bagi menarik perhatian pengundi dan memastikan kemenangan berpihak kepada calon PN.

    “Saya mewakili PN meminta semua pengundi Johor dalam PRN kali ini supaya memilih pemimpin yang bebas rasuah dan prihatin dengan nasib rakyat,” katanya.

    Aminuddin berkata, rakyat Johor yang layak mengundi digesa supaya turun menunaikan tanggungjawab untuk memilih pemimpin mereka.

    “Saya juga menyeru kepada semua rakyat terutamanya anak muda yang sudah layak mengundi supaya memilih calon PN demi masa depan yang lebih baik,” katanya.

  • ‘You orang Tan Sri Muhyiddin, kita akan sokong’

    ‘You orang Tan Sri Muhyiddin, kita akan sokong’

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Khairul Faizi Ahmad Kamil melihat perubahan yang luar biasa dari segi penerimaan pengundi khususnya kaum Cina terhadap wakil PAS.

    Beliau yang bertanding sebagai calon PAS dalam pilihan raya sejak 2004 sebelum ini mendapati agar sukar bagi kaum Cina memberi sokongan terhadapnya lebih-lebih lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Namun kali ini, situasi agak berbeza apabila Khairul Faizi dan calon-calon PAS yang lain bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di bawah tiket PN.

    Malah, berdasarkan pemerhatiannya semasa turun padang bertemu pengundi di sekitar kawasan DUN Senggarang semalam, sebahagian besar pengundi Cina berjanji akan menyokongnya kerana beliau ialah ‘orang Tan Sri Muhyiddin Yassin’.

    “Bila turun tadi bila mereka lihat kepada profil calon, mereka lihat risalah-risalah yang kita edarkan, ada seorang uncle tanya, ‘You orang Tan Sri ah?’

    “Saya kata ‘ya’. Saya orang Tan Sri Muhyiddin. Kalau you orang Tan Sri, kita akan support sama you dan PN,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, malam tadi.

    Khairul Faizi dijangka mengatasi calon-calon lain yang turut bertanding di kerusi DUN Senggarang iaitu Mohd Yusla Ismail (BN-UMNO), Baharudin Bin Abdullah (Bebas), Abd Hamid Jamah (PH-Amanah) dan Zalihah Jaffar (Pejuang).

    Khairuddin A Rahim yang bertanding atas tiket PKR memenangi kerusi tersebut pada PRU-14 dengan majoriti 809 undi.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon dalam ucapannya berkata, ‘graf’ sokongan rakyat Johor terhadap PN telah naik.

    “KIta berharap PN akan menumbangkan dan menafikan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk kita menang PRN Johor,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju dalam ucapannya menyifatkan UMNO seperti ‘Belanda diberi tanah’.

    Beliau menjelaskan, walaupun Bersatu telah memberi sokongan kepada UMNO untuk membentuk kerajaan Pusat yang baharu, pemimpin-pemimpin masih tamak kuasa.

    “Lepas jadi kerajaan, UMNO dan BN kini tak ingat janji siapa yang mengangkat mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan,” ujarnya.

  • Polis siasat video tular, kenal pasti individu berhibur di konsert di Ayer Hitam

    Polis siasat video tular, kenal pasti individu berhibur di konsert di Ayer Hitam

    POLIS akan menjalankan siasatan susulan video tular menerusi media sosial yang memaparkan sekumpulan individu berhibur di sebuah konsert di Ayer Hitam dekat Batu Pahat baru-baru ini.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata siasatan itu bagi mengenal pasti penganjur dan individu yang terlibat dalam konsert berkenaan.

    Beliau bagaimanapun menjelaskan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu setakat ini.

    “Tidak boleh berpesta, ia akan menyebabkan keresahan kepada orang awam dan kita akan siasat serta ambil tindakan.

    “Kerana sudah tentu (konsert) ini tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) jika mereka berhibur dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya pihak polis menerima laporan berhubung video tular itu.

    Kamarul Zaman berkata siasatan akan dijalankan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

    Terdahulu video berdurasi 52 saat itu memaparkan sebuah kumpulan muzik mengadakan persembahan dengan sekumpulan lelaki dan wanita sedang rancak berjoget sehingga mengabaikan SOP. – Bernama

  • PRN Johor: Penganjuran debat secara bersemuka tidak dibenarkan – Polis

    PRN Johor: Penganjuran debat secara bersemuka tidak dibenarkan – Polis

    POLIS tidak membenarkan sebarang penganjuran program perdebatan secara bersemuka dilakukan oleh mana-mana pihak sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata ia bagi mengelakkan daripada timbul suasana yang tidak tenteram, sekali gus memecahkan keamanan di negeri ini.

    “Berdebat secara berdepan (bersemuka) kita tidak benarkan. Tolong faham keadaan (kerana) sekarang ini, keadaan adalah tenang dan masing-masing boleh berkempen dan semua parti politik yang hendak berkempen boleh lakukan dengan aman. Jadi kita tidak mahu ada satu perkara yang boleh memecahkan keamanan yang menyebabkan rosak habis semua tidak boleh berkempen,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sesi perdebatan antara pemimpin MCA dan DAP yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak polis.

    Sesi debat membabitkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dibatalkan setelah tidak mendapat kebenaran pihak polis, yang mana ia dijadualkan berlangsung pada hari ini di Dewan Persatuan Tiong Hua Johor Bahru, serta akan membincangkan mengenai isu membabitkan sebuah sekolah.

    Kamarul Zaman berkata setakat ini pihaknya hanya membenarkan program berbentuk ceramah.

    “Kita benarkan ceramah sahaja dan permit ceramah memang kita luluskan…kita bantu kecuali ada beberapa yang kita tidak luluskan kerana demi kepentingan dan kesejahteraan masyarakat di Johor,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata pihaknya telah meluluskan sebanyak 1,411 permit bagi ceramah dan kempen sejak hari penamaan calon sehingga semalam dan menjelaskan hanya enam permohonan ditolak, antaranya atas faktor pertindihan waktu dan lokasi ceramah berada berdekatan antara satu sama lain.

    Jelas beliau, sepanjang PRN Johor seramai 806 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah ditugaskan untuk melakukan pemantauan dan tiada kekecohan berlaku melibatkan mana-mana pihak setakat ini.

    Kamarul Zaman pada masa sama berkata pihaknya setakat ini telah menerima sebanyak 152 laporan polis dan telah membuka 10 kertas siasatan yang antaranya membabitkan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

    “Kertas siasatan yang dibuka ini antaranya melibatkan ceramah tanpa permit, khianat dengan api iaitu membakar bahan-bahan kempen, siasatan terhadap posting di laman Facebook yang membangkitkan kemarahan dan ada juga posting berbaur lucah,” katanya.

    Beliau berkata siasatan antara lain turut dijalankan mengenai perbuatan yang membangkitkan perasaan jahat atau permusuhan dan pelanggaran prosedur operasi standard. – Bernama

  • Keputusan Laili tidak jejaskan peluang Bersatu, PN dalam PRN Johor

    Keputusan Laili tidak jejaskan peluang Bersatu, PN dalam PRN Johor

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Eddin Syazlee Shith menyifatkan tindakan Ketua Bahagian Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mersing, Laili Yusof keluar parti dan menyertai UMNO sedikit pun tidak menjejaskan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.

    Beliau menegaskan, tindakan Laili tidak menggambarkan pendirian keseluruhan pemimpin dan ahli Bersatu di Mersing.

    “Satu dua orang yang keluar parti terpulang. Lagipun kalau ‘seekor ayam tidak berkokok hari tetap akan siang’.

    “Jadi tak perlu risau sebab setakat ini kita berpuas hati dengan maklum balas diberikan pengundi Johor kepada Bersatu,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Belia berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Keluarga Malaysia di Dataran Melang, Kuala Pilah, hari ini.

    Menurutnya, pengundi di Johor semestinya bijak untuk menentukan kepada siapa mandat kerajaan perlu diberikan dengan menilai pencapaian ditunjukkan oleh parti masing-masing.

    Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, tindakan pemimpin tertentu lompat parti adalah perkara biasa sekarang dan ia turut berlaku kepada UMNO.

    “Kalau isu ini (Laili sertai UMNO) tidak pula UMNO sebut sebagai pengkhianat kerana ia beri kelebihan kepada UMNO.

    “Tapi yang mereka tafsirkan sebagai pengkhianatan apabila sesuatu tindakan itu menjejaskan perjuangan dan tidak menguntungkan mereka.

    “Bagi saya, ia terpulang kepada pendirian dan matlamat seseorang pemimpin itu,” katanya.

  • Hasnol janji selesaikan isu perumahan 3,245 generasi kedua Felda di Sedili

    Hasnol janji selesaikan isu perumahan 3,245 generasi kedua Felda di Sedili

    CALON Perikatan Nasional (PN), Mohd. Hasnolhadi Mohd. Sebalas memandang serius kesukaran generasi kedua enam kawasan Felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili memulakan pembinaan 3,245 rumah milik masing-masing.

    Bagaimanapun tegas beliau, isu pembinaan rumah itu boleh diselesaikan menerusi komitmen mensejahterakan komuniti Felda seperti dinyatakan dalam Ikrar Perikatan Nasional untuk rakyat Johor sempena Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 12 Mac ini.

    Generasi kedua yang terlibat dengan masalah itu adalah di Felda Aping Timur, Felda Aping Barat, Felda Simpang Waha, Felda Bukit Waha, Felda Bukit Easter dan Felda Tenggaroh Selatan 1, yang tidak boleh membina kediaman masing-masing kerana tiada infrastruktur di tempat mereka khususnya jalan, longkang serta bekalan air dan elektrik.

    Pada Khamis lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melancarkan Ikrar Perikatan Nasional Untuk Bangsa Johor yang ditawarkan kepada rakyat Johor termasuk komuniti Felda, sempena PRN Johor.

    Sebagai calon PN, Hasnolhadi amat yakin ikrar mensejahterakan komuniti Felda menerusi Tunjang 4 – Keprihatinan Kepada Rakyat, adalah sangat penting untuk merubah generasi kedua Felda untuk memiliki kediaman dan membina kehidupan dengan keluarga sendiri.

    “Saya juga ingin menyampaikan berita gembira kepada komuniti Felda sekiranya PN menerajui Kerajaan Negeri selepas PRN Johor nanti, premium tanah bagi semua lot tanah yang diluluskan kerajaan negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu Felda bagi tujuan pembinaan rumah akan ditetapkan pada kadar RM1 sekaki persegi,” katanya.

    Untuk rekod, kesemua 3,245 lot tersebut telah diserahkan kepada pemiliknya dari kalangan generasi kedua Felda, sejak tahun 2019.

    Bagaimanapun, mereka tidak dapat membina rumah kediaman masing-masing berikutan ketiadaan infrastruktur di lokasi tersebut.

    Beliau berkata, komitmen lain yang diikrarkan untuk komuniti Felda termasuk di DUN Sedili adalah tindakan segera meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat, penyediaan kemudahan dan prasarana di kawasan rancangan tersebut.

    “PN juga berikrar akan memastikan projek perumahan generasi baharu Felda yang sedang dibaik pulih dan disiapkan pada 2022 ini supaya dapat disempurnakan dengan segera.

    “Kami juga memberi jaminan bahawa projek perumahan generasi baharu Felda yang terbengkalai tetapi berpotensi untuk dibaik pulih, akan diselamatkan,” katanya.

    Menurut anak jati Sedili itu, kerajaan PN juga akan memperhebatkan penyertaan komuniti Felda dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi dan automasi terkini serta strategi pemasaran menyeluruh bagi meningkatkan pendapatan termasuk pemasaran menerusi e-dagang.

    “Saya yakin semua ikrar ini boleh ditunaikan dengan kebijaksanaan kepemimpinan PN termasuk menjalin dan memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan serta Felda,” katanya.

  • Yakin gelombang sokongan menyeluruh terhadap PN di DUN Johor Lama

    Yakin gelombang sokongan menyeluruh terhadap PN di DUN Johor Lama

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin pengundi daripada pelbagai lapisan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama akan memberikan sokongan terhadap calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keyakinan tersebut berasas apabila dilihat kepada sambutan kempen yang diberikan terhadap calon PN bagi kerusi DUN Johor Lama, Mohamad Alias Rasman.

    “Sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti masyarakat cina di DUN Johor Lama.

    “Calon Perikatan Nasional bagi N. 37 Johor Lama Alias Rasman adalah calon muda yang mempunyai latar belakang sebagai peguam.

    “Saya percaya gelombang sokongan kepada Perikatan Nasional ini adalah sokongan menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat,” ujar beliau dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Hamzah yang juga Pengarah Jentera PRN Johor PN bagi PN turut memuat naik foto beliau bersama-sama Mohamad Alias semasa membantunya berkempen di kawasan berkenaan termasuk ketika menyantuni masyarakat Cina.

    Mohamad Alias (tengah) ketika hadir dan mendengar ucapan Hamzah dalam satu majlis bersama-sama komuniti Cina di Johor Lama, Kota Tinggi

    Mohamad Alias, 31, menawarkan politik khidmat meliputi aspek pendidikan, ekonomi dan sosial kepada penduduk termasuk 32,658 pengundi di DUN tersebut.

    Beliau mahu membawa idea-idea baharu termasuk menerusi skop pendidikan khususnya pelaksanaan program untuk memupuk kesedaran masyarakat supaya celik soal hak dan perlindungan yang diberikan oleh undang-undang.

    Katanya, DUN Johor Lama antaranya melibatkan enam kawasan Felda iaitu Air Tawar 2, Pasak, Air Tawar 3, Lok Heng Selatan, Lok Heng Barat dan Lok Heng Timur selain kampung tradisi dan taman perumahan bandar.

  • Larang bawa telefon bimbit ketika mengundi – Rafiq

    Larang bawa telefon bimbit ketika mengundi – Rafiq

    NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan penguatkuasaan lebih ketat semasa proses pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Beliau berkata, ini termasuk mengeluarkan larangan membawa masuk telefon bimbit ke dalam pusat pengundian pada 12 Mac ini.

    Astro Awani melaporkan, Mohd. Rafiq mencadangkan mekanisme itu dilaksanakan bagi mengelak senario ‘sogokan’ dengan cara mengambil gambar kertas undi seperti yang didakwanya berlaku pada PRN Melaka, November tahun lalu.

    “Saya minta SPR untuk cari satu mekanisme kerana saya hendak beritahu secara terus terang, pada PRN Melaka lalu, sesiapa yang tunjuk kertas undi, dapat sejumlah wang daripada parti tertentu.

    “Saya ada bukti rakaman video perbualan telefon antara jentera parti politik itu, meminta pengundi ambil gambar dan ditunjuk kepada jentera, supaya dapat dituntut wang RM200.

    “Jadi, ini satu perkara yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya. Bukan sahaja pemberian wang itu melanggar Akta SPR, tetapi tindakan mengambil gambar kertas undi itu juga menjadi satu kesalahan,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Parit Jawa, Muar, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau berkata, SPRM juga perlu masuk campur dan memantau perjalanan proses pengundian PRN Johor.

    “Saya mohon sokongan daripada semua pemimpin politik supaya menjaga kerahsiaan.

    “Kalau SPR tak mampu tempatkan petugas untuk pantau proses pengundian supaya tidak ada tindakan mengambil gambar undi itu, ketatkan prosedur operasi standard (SOP) supaya tidak perlu bawa telefon pintar di tempat pembuangan undi.

    “Saya mohon SPRM juga untuk memantau dengan lebih ketat proses-proses pembelian undi ini menjelang PRN Johor, yang saya yakin ia akan semakin rancak, untuk merasuah para pengundi,” katanya.

  • Hei UMNO! Letaklah poster Zahid Hamidi tepi jalan… berani?

    Hei UMNO! Letaklah poster Zahid Hamidi tepi jalan… berani?

    BERANIKAH Barisan Nasional (BN) dan UMNO meletakkan poster Pengerusi dan Presiden mereka, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor?

    Cabaran itu diutarakan oleh Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, malam tadi.

    “Hei UMNO! Kita tak halanglah kamu letak poster Zahid Hamidi tepi jalan tu. Letaklah. Berani?” soalnya.

    BN dan UMNO mungkin terpaksa berfikir berjuta kali untuk menyahut cabaran itu memandangkan Ahmad Zahid sedang berdepan 87 pertuduhan berkaitan kes rasuah di mahkamah.

    Seperti yang didakwa oleh Wan Ahmad Fayhsal, UMNO kini tidak berani menegur pimpinannya yang melakukan kesalahan.

    Walau bagaimanapun, situasi adalah berbeza ketika Muhyiddin menjadi Timbalan Presiden UMNO dahulu di mana beliau berani ‘berkata benar meskipun pahit’.

    Muhyiddin juga tidak gentar dengan tekanan yang dihadapi sehingga akhirnya beliau dipecat dari UMNO kerana lantang bersuara menegur Datuk Seri Najib Tun Razak yang terpalit dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    “Pimpinan-pimpinan UMNO dan BN, saya cukup pelik. Dulu masa Tan Sri dalam UMNO, apa dia buat? Apakah mereka mempertahankan Tan Sri?

    “UMNO dan pimpinannya tidak berani menegur orang yang salah kecuali orang seperti Tan Sri. Kerana apa?

    “Kerana mereka sudah biasa dengan kepimpinan yang membodek. Ini benih-benih kehancuran orang Melayu,” jelasnya.

    Tambah beliau, keputusan mahkamah yang mendapati Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah dalam kes membabitkan SRC International membuktikan Muhyiddin berada di pihak yang benar.

    “UMNO yang salah kerana bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin yang rosak dan mengajar anak-anak kita bahawa rasuah itu tidak apa,” ujarnya.

    Wan Ahmad Fayhsal percaya anak muda zaman sekarang tidak terikut-ikut dengan budaya buruk UMNO itu kerana mereka lebih bijak menilai dan membuat pilihan.