Tag: politik

  • UMNO negeri gesa Ahli Parlimen patuh keputusan parti

    UMNO negeri gesa Ahli Parlimen patuh keputusan parti

    SEMUA pengerusi badan perhubungan UMNO negeri menggesa Ahli-ahli Parlimen dan kepimpinan parti agar sentiasa mematuhi dan mempertahankan sebarang keputusan parti selaras dengan garis panduan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan UMNO.

    Mereka turut menggesa seluruh kepimpinan dan pendukung parti di semua peringkat UMNO cawangan dan UMNO bahagian untuk terus bersatu, bersetia dan mendukung kepimpinan parti setiap masa.

    Mereka juga meminta agar semua ahli-ahli parti terus istiqamah berpegang teguh kepada prinsip perjuangan, peraturan dan tata susila sebagai ahli UMNO.

    Mereka berkata demikian dalam kenyataan bersama, hari ini.

    Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Datuk Seri Mohamad Hasan (Negeri Sembilan), Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Pahang), Datuk Ir Hasni Mohamad (Johor), Datuk Saarani Mohamad (Perak), Datuk Seri Azlan Man (Perlis), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Kelantan) dan Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu).

    Pengerusi-pengerusi badan perhubungan UMNO negeri yang lain ialah Datuk Seri Bung Moktar Radin (Sabah), Datuk Musa Sheikh Fadzir (Pulau Pinang), Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Kedah), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Melaka), Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Wilayah Persekutuan) dan Tan Sri Noh Omar (Selangor).

  • Kabinet kemuka peletakan jawatan – Khairy

    Kabinet kemuka peletakan jawatan – Khairy

    AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengesahkan bahawa semua menteri Kabinet telah mempersembahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

    Beliau menyatakan perkara itu melalui Insta Story miliknya.

    “Kabinet telah mempersembahkan surat peletakan jawatan kami kepada Agong.

    “Terima kasih sekali lagi atas peluang berkhidmat untuk negara. Semoga Tuhan memberkati Malaysia,” katanya.

    Khairy Kabinet jawatan
    Sumber: Insta Story khairykj

    Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini dibubarkan setelah Yang di-Pertuan Agong berkenaan menerima peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri.

    Sementara itu, bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali gembira dengan pencapaian eksport komoditi negara yang baik sejak beliau memegang portfolio tersebut sehingga kini.

    Menurut beliau, nilai eksport produk agrikomoditi melonjak sebanyak 65 peratus kepada RM105 bilion berbanding hanya RM64 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

    “Namun, terserah kepada rakyat untuk menilainya setelah bertawakal kepada Allah dengan mengharapkan reda dan ganjaran daripada-Nya.

    “Terima kasih kepada semua yang mendukung saya dalam tugasan ini,” katanya dalam hantaran Facebook.

    Wee Ka Siong
    Gambar: Facebook Wee Ka Siong

    Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberitahu, memegang portfolio besar di kementerian itu ketika berdepan pandemik COVID-19 pastinya sukar namun dengan semangat kerja berpasukan, ia berjalan lebih lancar dalam usaha menjadikan industri pengangkutan kekal bertahan.

    Beliau gembira dapat bekerja bersama pasukan dalam Kementerian Pengangkutan walaupun berdepan dengan keadaan serba mencabar.

    “Saya sudah berusaha melakukan yang terbaik. Saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan andai ada kekurangan selama setahun, lima bulan, lima hari saya memikul tanggungjawab di Kementerian Pengangkutan,

    “Saya doakan warga Kementerian Pengankutan terus maju jaya dan berjaya menjadikan Pengangkutan Mampan Nadi Pembangunan Negara,” jelasnya.

    Sementara itu, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang telah diberikan kepadanya untuk berkhidmat kepada negara di bawah portfolio berkenaan.

    “Marilah kita berdoa agar negara ini terus diberkati dan dilindungi oleh Allah SWT,” katanya.

  • Tak berbangkit soal PAS mahu terima kerjasama PH

    Tak berbangkit soal PAS mahu terima kerjasama PH

    PERSOALAN tentang kesediaan PAS menerima parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) sekiranya PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya dibangkitkan lagi.

    Pendirian itu ditegaskan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

    Memetik laporan BH Online, tiada keperluan bagi PAS mempertimbangkan perkara tersebut kerana PH telah menyatakan pendirian menolak PN.

    “Unsur DAP, PKR dan AMANAH tidak berbangkit, malah PH sudah menolak untuk menyokong PN,” katanya.

    Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Majlis Presiden PH telah membenarkan semua pemimpin bebas untuk berbincang dan bercakap dengan pihak lawan mengenai keadaan politik.

    Walau bagaimanapun, bekas Menteri Kewangan yang masih terpalit dengan kes rasuah di mahkamah itu menambah, kebenaran itu tidak terpakai terhadap tiga pemimpin teratas dalam PH yang perlu saling berunding sesama mereka sebelum berbuat sedemikian.

    Ahli Parlimen Bagan itu turut mengesahkan bahawa selain daripada pemimpin teratas DAP, PKR dan PAN ramai Ahli Parlimen dan pemimpin daripada ketiga-tiga parti dalam PH secara sendiri telah mengadakan banyak perbincangan dengan seteru politik.

    Dalam perkembangan sama, Nasrudin memberitahu, PAS akan terus mempertahankan kerajaan PN dan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

    Menurut beliau, parti itu yakin PN akan terus kekal melalui sokongan yang diberikan parti-parti komponennya.

    “Insya-Allah, PN akan terus bertahan dengan sokongan parti komponen PN dan MN,” jelasnya.

    Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah di Istana Negara, dipercayai berhubung kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

  • Nazri sahkan sokong Ismail Sabri calon PM

    Nazri sahkan sokong Ismail Sabri calon PM

    DATUK Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan beliau telah menandatangani akuan bersumpah menyokong pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

    Memetik laporan BH Online, pengakuan Ahli Parlimen Padang Rengas itu sekali gus mengesahkan terdapat usaha sedemikian.

    Walau bagaimanapun, Mohamed Nazri tidak mendedahkan nama-nama Ahli Parlimen lain yang mungkin menandatangani akuan bersumpah tersebut.

    “Ya, saya sudah menandatangani akuan bersumpah menyokong (Datuk Seri) Ismail Sabri, Ahli Parlimen lain saya tidak tahu, kena tanya mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian mengulas mengenai usaha dibuat oleh Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri jika Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

    Difahamkan, Muhyiddin dalam mesyuarat dengan Ahli-ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pagi tadi menyuarakan hasrat mahu meletak jawatan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengesahkan perkara tersebut.

  • Laksana gencatan politik, kembali ke meja rundingan

    Laksana gencatan politik, kembali ke meja rundingan

    Oleh NASRUDIN HASSAN

    SAYA konsisten dengan gesaan awal saya kepada semua rakan-rakan dari kalangan pemimpin parti-parti politik agar semua rujuk kembali ke meja rundingan dengan mencari solusi terbaik ke arah kestabilan politik negara yang berkocak teruk mutakhir ini.

    Kita semua tahu bahawa politik adalah alat untuk membangunkan negara, berkhidmat kepada rakyat dan lebih penting, politik itu dijadikan alat untuk mengurus kehidupan yang taat kepada Tuhan Yang Maha Mencipta.

    Sebagaimana kita faham, bahawa insya-Allah masih ada ahli politik yang ikhlas dan mahu melunaskan objektif tersebut dengan menjadi seorang pemimpin politik yang bukan sahaja bertanggungjawab tetapi bertakwa kepada Allah SWT.

    Pemimpin politik yang mengambil kira elemen hak dan batil, dosa dan pahala serta syurga dan neraka dalam tindakan politik mereka. Agar mereka menjadi pemimpin yang adil dan soleh di dunia serta mendapat kedudukan tinggi di sisi Allah SWT pada hari Kiamat kelak.

    Duduklah berbincang dengan tenang dan saksama demi masa depan agama, negara dan rakyat keseluruhannya, terutamanya saat kita masih berdepan ancaman pandemik COVID-19 yang sangat bahaya ini.

    Mungkin pihak yang lebih disegani sepertiYang di-Pertuan Agong boleh menjadi mediator lalu memanggil semua pemimpin politik khasnya yang beragama Islam duduk berbincang dalam rundingan mencari penyelesaian demi masa depan Islam sebagai agama Persekutuan, negara yang berdaulat dan rakyat yang harmoni.

    Tempoh wajib diadakan pilihan raya pun sudah tidak lama. Elok sangat masa yang ada ini, kita bersatu dan fokus menyelesaikan isu COVID-19 dan pemulihan ekonomi.

    Saya fikir, gerakan untuk menukar kerajaan atau mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan amatlah tidak sesuai pada masa ini. Selain ia melarikan fokus pada menangani COVID-19, ia juga tidak menyelesaikan masalah.

    Kita semua tahu, sehingga kini, selain Perdana Menteri yang masih ada sekarang, masih belum ada Ahli Parlimen yang mampu miliki sokongan melepasi had majoriti mudah untuk menjadi Perdana Menteri dan membentuk Kabinetnya.

    Ataupun, dalam situasi margin yang kecil begini, kalaupun naik kerajaan yang baharu, kerajaan baharu itu pula akan berdepan dengan situasi serupa pada hari ini. Dipersoal sokongan majoritinya dan dipertikai pula keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

    Persoalannya, sampai bila negara ini akan damai dari konflik yang merugikan kemakmuran negara, kesejahteraan rakyat dan menjejaskan pula ekonomi.

    Selayaknya semua pihak bersabar dulu. Sebelum detik sesuai kita kembali menyerahkan mandat kepada rakyat untuk membuat pemilihan baharu bagi menentukan kerajaan yang bakal memerintah kelak.

    Marilah kita bekerjasama. Apalah salahnya sesekali dalam sejarah politik negara, kita adakan gencatan politik untuk semua pihak bersatu membantu kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 ini serta mengusahakan projek vaksinasi yang sedang giat berjalan ini sehingga capai 80 peratus ke atas.

    Insya-Allah, sampai masa yang sesuai (tidak lama dah pun) maka kembalilah kita kepada rakyat untuk mereka memilih kerajaan baharu dalam proses pilihan raya yang selamat.

    • Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
  • Selepas Muhyiddin, siapa pula bakal jadi Perdana Menteri?

    Selepas Muhyiddin, siapa pula bakal jadi Perdana Menteri?

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan akan mempersembahkan surat meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong esok.

    Pelbagai spekulasi timbul lebih-lebih lagi tentang calon Perdana Menteri yang baharu sebaik sahaja desas-desus mengenai pengunduran Muhyiddin itu mula tersebar.

    Seperti dilaporkan Malaysiakini, masih belum ada pemimpin yang dapat meraih sokong majoriti bagi melayakkan namanya dipertimbangkan untuk jawatan tersebut.

    Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan hanya meraih sokongan 105 Ahli Parlimen, sedangkan beliau memerlukan sokongan 121 Ahli Parlimen untuk mencapai angan-angannya menjadi Perdana Menteri kesembilan.

    Malaysiakini turut melaporkan tentang kemungkinan pertemuan antara-antara parti-parti pembangkang termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), UPKO dan PSB esok.

    Difahamkan, pertemuan itu bertujuan membincangkan tentang usaha menyokong Anwar menjadi calon Perdana Menteri.

    Hakikat yang diketahui umum adalah Ahli Parlimen Port Dickson itu mengidam jawatan Perdana Menteri sejak era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat.

    Peluang terbuka apabila Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PH) namun angan-angan Anwar berkecai apabila Dr Mahathir tiba-tiba meletak jawatan sekali gus menyaksikan kerajaan PH tumbang.

    Walau bagaimanapun, Anwar dijangka sukar merealisasikan impiannya itu kerana dua parti pembangkang iaitu Pejuang dan Warisan pernah menolak cadangan PH menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri.

    Selain Anwar, antara nama-nama lain yang disebut ialah pemimpin-pemimpin UMNO termasuk Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

    Banyak pihak Tengku Razaleigh atau Ku Li mampu menjadi orang tengah yang meredakan situasi yang panas dalam gelanggang politik negara sementara menunggu waktu yang sesuai untuk diadakan PRU-15.

    Tengku Razaleigh juga dikatakan boleh membuka jalan untuk menyelesaikan krisis dalaman UMNO serta meraih sokongan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang menolak Anwar dan DAP, terutamanya PAS.

    Pada masa yang sama, Ismail Sabri yang sebelum ini mengetuai Kluster Keselamatan dilihat memiliki pengalaman yang diperlukan untuk meneruskan kesinambungan usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19.

    Begitu juga dengan Menteri Kanan Luar Negara, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang terlibat secara aktif dalam rundingan diplomatik berkaitan usaha mendapatkan bekalan vaksin tambahan untuk Malaysia.

    Namun, kedua-duanya berdepan tentangan yang hebat daripada parti sendiri khususnya kem Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Rakyat pula berharap agar semua pemimpin politik berhenti bertelagah dan menumpukan usaha membebaskan negara daripada ancaman COVID-19.