KEMENTERIAN Kesihatan menyarankan agar kerajaan melaksanakan perancangan untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan hanya apabila kadar vaksinasi mencapai 80 peratus keseluruhan penduduknya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, saranan itu turut diberikan oleh pakar-pakar kesihatan.

“Manakala, kumpulan yang dibenarkan melancong ke Pulau Langkawi kelak adalah terhad kepada individu-individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

“Cadangan ini sedang diteliti Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan akan dimuktamadkan melalui beberapa lagi siri perbincangan selepas ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, selain Pulau Langkawi, kerajaan juga mempunyai perancangan untuk melaksanakan pendekatan gelembung pelancongan di lebih banyak destinasi terutamanya yangmempunyai kaedah kawalan pergerakan keluar masuk pelancong yang baik seperti di pulau-pulau peranginan lain yang terdapat di seluruh negara.

Walau bagaimanapun, Muhyiddin memberitahu, perkara itu masih di peringkat perancangan dan Kerajaan akan melihat hasil projek perintis di Pulau Langkawi terlebih dahulu.

“Jika semua berjalan lancar, insya-Allah gelembung pelancongan akan dilaksanakan secara lebih meluas,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, kerajaan sedang meneliti pandangan serta maklum balas daripada pemegang taruh berhubung perancangan untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan.

“Perancangan ini penting untuk kerajaan merancakkan semula industri pelancongan selepas lebih setahun terkesan akibat pandemik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here