Tag: Perlis

  • ‘Kantoi’ dadah 1.8 tan metrik, suspek cuba sogok polis RM200,000

    ‘Kantoi’ dadah 1.8 tan metrik, suspek cuba sogok polis RM200,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 1.8 tan metrik dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM64.8 juta dirampas dalam pemeriksaan bersepadu dijalankan di sekitar Jalan Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis Ahad lalu.

    Rampasan tersebut yang merupakan terbesar di Malaysia untuk tahun ini dibuat dalam pemeriksaan dijalankan kira-kira pukul 4 pagi dengan pihak polis turut menahan lima suspek membabitkan empat lelaki dan seorang wanita.

    Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, mereka yang ditahan berusia antara 29 hingga 49 tahun.

    “Salah seorang suspek turut cuba menawarkan wang sogokan berjumlah antara RM200,000 kepada sepasukan anggota polis yang terlibat dalam operasi tersebut sebagai habuan bagi menutup kes itu.

    “Kegiatan haram itu berjaya dikesan setelah pihak polis memeriksa sebuah lori satu tan yang sedang ditunda sebuah lori lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar.

    Tambahnya, taktik licik itu bagaimanapun gagal mengelirukan pihak berkuasa yang terus memeriksa lori berkenaan.

    “Pemeriksaan dijalankan menemukan dadah jenis syabu seberat 1.8 tan dianggarkan bernilai RM64.8 juta,” katanya.

    Tambahnya, kesemua pegawai dan anggota polis terlibat menolak wang sogokan ditawarkan seorang suspek sebanyak RM200,000 bagi menutup kes tersebut.

    “Wang itu dirampas untuk tindakan di bawah langkah pencegahan rasuah,” katanya.

    Menurutnya, ujian urin dijalankan mendapati dua individu ditahan positif dadah jenis methamphetamine.

    Selain itu, polis turut menyita pelbagai aset lain milik suspek bernilai RM406,603.65 membabitkan tiga buah kenderaan, 31 barang kemas, seutas beg tangan mewah dan wang tunai.

    “Kesemua dadah itu jika terlepas di pasaran mampu menampung keperluan kira-kira sembilan juta penagih. Dipercayai dadah tersebut untuk dipasarkan di semenanjung tanah air.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak kami tidak menolak kemungkinan tangkapan lain selepas ini,” katanya.

    Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad lalu sehingga Sabtu ini.

  • Harap kerajaan Pusat lulus peruntukan projek skala besar Perlis – Mohd Shukri

    Harap kerajaan Pusat lulus peruntukan projek skala besar Perlis – Mohd Shukri

    KERAJAAN negeri Perlis berharap kerajaan pusat dapat meluluskan peruntukan sebanyak RM3 bilion dalam melaksanakan 80 projek berskala tinggi di negeri itu selaras dengan konsep Malaysia Madani yang diterapkan ke seluruh negara pada masa kini.

    Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pihaknya melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) ada memohon peruntukan berkenaan untuk pelaksanaan projek itu

    “Peruntukan itu adalah bertujuan bagi memastikan segala pelaksanaan pembinaan prasarana dapat dilaksanakan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

    “Malah kita berharap permohonan itu dapat diluluskan selepas ini selaras dengan konsep kerajaan Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau menyatakannya ketika ditemui selepas menghadiri Program Rehlah Keluarga Syarikat Air Perlis (RAKERSAP) di Tangki Air SAP Anak Chelong, Bukit Ayer, di Kangar, hari ini.

    Mohd Shukri dalam pada itu turut mengulas berhubung masalah bekalan air di Perlis yang sering menjadi permasalahan utama rakyat.

    Menurut beliau, pihaknya berharap masalah bekalan air itu akan dapat diselesaikan selepas ini menerusi beberapa langkah dan usaha dilaksanakan oleh SAP.

    “Bayaran tunggakan bil air penduduk di negeri ini juga mampu membantu melancarkan operasi SAP dalam memastikan orang ramai dapat menikmati bekalan air bersih mencukupi.

    “Saya menyeru supaya semua pihak dapat selesaikan bayaran tunggakan mereka dengan segera dan pastikan tiada tunggakan bil yang begitu banyak.

    “Selain itu juga, kita dan SAP sedang memantau rapat masalah air tidak berhasil (NRW) selain beberapa punca sudah dapat dikenal pasti menyebabkan berlakunya isu itu.

    “Sekiranya semua masyarakat dapat melaporkan segera kejadian paip pecah, ia dapat membantu dalam menyelesaikan isu NRW ini dengan seberapa segera,” katanya.

  • Perlis ikut langkah Kedah tutup premis judi

    Perlis ikut langkah Kedah tutup premis judi

    KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) Perlis bakal mengikut jejak langkah kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam menutup operasi premis perjudian.

    Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri dalam proses meneliti pelbagai sudut sebelum mengumumkan perkara tersebut.

    “Saya yakin langkah menutup premis judi bukan sahaja memberi manfaat dan kebaikan kepada orang Islam sahaja, malah kepada orang bukan Islam.

    “Main judi membuatkan seseorang itu ketagih sama seperti ketagih rokok, dadah, arak dan lain-lain.

    “Apabila ketagihan mereka cenderung terlibat dengan jenayah termasuk mencuri, merompak dan boleh menjurus masalah kesihatan mental,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Perdana di Majid Jamek Beseri di Padang Besar malam tadi.

    Forum perdana tersebut dianjur kerajaan negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti dan Masjid Jamek Beseri.

    Forum tersebut menampilkan Ahli Panel Syariah Jabatan Mufti Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil; Ahli Jawatan Kuasa Pengurusan Wakaf dan Tebus Pusaka MAIPs, Ustaz Mohd Rizal Azizan dan Peguam Syarie Ahmad Jailani Abd Ghani.

    Turut hadir anggota Exco Muhammad Azmir Azizan; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Institut Kemahiran Mara (IKM), Mohd Khairuddin Mohd Asari.

    Mengulas lanjut Mohd Shukri berkata, segala pandangan penduduk berkaitan masjid, pertanian dan bantuan akan diketengah kepada pihak yang bertanggungjawab.

  • Cikgu Shukri mulakan tugas sebagai MB Perlis baharu

    Cikgu Shukri mulakan tugas sebagai MB Perlis baharu

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu hari ini.

    Mohd Shukri, 61, tiba di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad serta pegawai kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

    Beliau kemudian mengimbas cap jari pada perakam waktu di pintu masuk pejabatnya pukul 9 pagi.

    Mohd Shukri yang mesra dengan panggilan ‘Cikgu Shukri’ berkata beliau akan berusaha menjalankan tugasnya dengan baik demi rakyat di negeri ini.

    “Ini merupakan pengalaman baharu…bermulalah dunia baharu setelah lama tidak masuk pejabat, saya akan menyesuaikan diri dengan rutin ini setelah lama bersara sebagai guru,” katanya kepada pemberita di sini.

    Dalam perkembangan lain, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu berkata beliau telah menghantar nama barisan Exco Kerajaan Negeri Perlis kepada PN Pusat semalam.

    “Kita tunggu lampu hijau daripada PN Pusat dahulu untuk buat keputusan,” kata ADUN Sanglang itu.

    Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis akan diadakan di Istana Arau pada petang Jumaat ini (25 Nov).

    Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau semalam.

    PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15. – BERNAMA

  • Kembalikan kegemilangan bola sepak Perlis antara manifesto PN Perlis

    Kembalikan kegemilangan bola sepak Perlis antara manifesto PN Perlis

    USAHA mengembalikan semula kegemilangan pasukan bola sepak Perlis akan menjadi satu daripada manifesto Perikatan Nasional (PN) Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Pengerusinya Abu Bakar Hamzah.

    “Sebelum ini, pasukan bola sepak negeri Perlis pernah menjuarai Piala Malaysia dua kali pada 2004 dan 2006, jadi kita ingin kembalikan semula detik nostalgia kegemilangan pasukan Singa Utara kepada rakyat negeri ini setelah sekian lama mengalami kejatuhan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Gegar Anak Muda Perlis (Gema Perlis Baharu) di Denai Larian, Pengkalan Asam di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Pengerusi Bersatu Perlis berkata PN Perlis akan mengumumkan nama calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2 Nov ini.

    “PN Perlis akan bertanding di semua 15 kerusi DUN iaitu sembilan kerusi bagi calon PAS dan enam kerusi untuk Bersatu,” katanya.

    Beliau berkata bagi peringkat Parlimen, PAS akan bertanding di dua kerusi iaitu Padang Besar dan Arau manakala Bersatu di Kangar.

    Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis Asrul Aimran Abd Jalil berkata PAS akan memperkasakan penggunaan media sosial sebagai ‘senjata’ baharu bagi menarik pengundi khususnya golongan muda pada PRU15 selain mengekalkan kaedah konvensional iaitu ceramah politik.

    Ketua Pemuda PN Negeri Perlis itu berkata PAS juga tidak lagi memberi tumpuan kepada ceramah secara besar-besaran sebaliknya akan menganjurkan kempen dalam bentuk skala kecil bagi memberi tumpuan mengikut bahagian atau kawasan.

    “PN Perlis telah memilih cogan kata ‘Perlis Baharu’ bagi mendekati generasi muda dalam media sosial seperti Tik Tok, Facebook, Instagram dan juga Twitter,” katanya kepada pemberita pada majlis sama.

    Asrul Aimran berkata selain media sosial, PN Perlis juga menganjurkan program sukan dan juga mengedar ‘Kad Keluar Mengundi’ sebagai sentuhan pertama mendekati golongan muda di negeri ini. – BERNAMA

  • 20,000 permohonan PVIP dalam tempoh 24 jam

    20,000 permohonan PVIP dalam tempoh 24 jam

    SEBANYAK 20,000 permohonan diterima oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi ejen dalam tempoh 24 jam pelancaran fasa pertama Program Visa Premium (PVIP) Malaysia, Khamis lalu.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pada fasa pertama, kerajaan menetapkan tidak lebih daripada 25,000 permohonan.

    Beliau berkata  Kabinet sebelum ini bersetuju agar pemohon perlu membayar yuran penyertaan sebanyak RM200,000 sekali sahaja serta yuran RM100,000 sekali sahaja akan dikenakan untuk setiap tanggungan.

     “Jika menerima pemohonan menggalakkan, kita mungkin akan menaikan kadar yuran pada fasa berikutnya,” katanya kepada pemberita  selepas perasmian Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bersama masyarakat Siam di Pusat Latihan Penjara (PULAPEN), Pusat Koreksional Perlis, hari ini.

    Pelaksanaan PVIP Malaysia dilihat mampu membawa masuk pelaburan ke negara ini dengan menarik hartawan global menetap dan melabur di negara ini.

    Mengenai program MEKAR, Zainudin berkata ia memudahkan urusan masyarakat Siam di negeri itu menukar maklumat keturunan dalam kad pengenalan daripada bangsa Thai kepada Siam bagi membolehkan mereka mendapat manfaat yang sama seperti bumiputera.

     Katanya, dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), maklumat kad pengenalan seramai  8,910 penduduk Siam adalah keturunan  bangsa Thai.

     Beliau berkata masyarakat Siam di Kedah, Kelantan, Perak dan beberapa negeri lain diminta untuk menguruskan permohonan kad pengenalan baharu di pejabat JPN berhampiran kediaman masing-masing.

    Program tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh, Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengerusi Persatuan Siam Malaysia, Senator Ak Nan a/l Eh Took.- BERNAMA

  • Dakwaan 1,000 ahli Bersatu Perlis keluar parti cuma propaganda

    Dakwaan 1,000 ahli Bersatu Perlis keluar parti cuma propaganda

    BERSATU Perlis masih belum menerima surat rasmi daripada mana-mana ahlinya yang mendakwa telah keluar dari parti tersebut sebelum ini.

    Sehubungan itu, Ketuanya, Abu Bakar Hamzah menyifatkan dakwaan kononnya 1,000 ahli Bersatu Perlis keluar parti cuma satu propaganda.

    “Bersatu bahagian Kangar masih dipertahankan. Dakwaan 1,000 ahli keluar parti adalah propaganda.

    “Saya belum terima satu surat rasmi mengatakan individu itu letak jawatan.

    “Sekadar umum tetapi tidak sampai sebarang surat yang mengatakan mereka isytihar keluar parti,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Beliau mengulas dakwaan Bersatu Bahagian Kangar lumpuh selepas hampir semua ahli jawatankuasa serta ketua di lapan cawangannya meletak jawatan, seterusnya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

    Sementara itu, Abu Bakar yakin 3,000 ahli Bersatu Perlis yang ada masih setia dan semua 36 cawangan parti itu masih aktif.

    Menurut beliau, tidak mustahil Perikatan Nasional (PN) akan menerajui kerajaan Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Dengan bantuan PAS dan (parti komponen) PN (boleh tawan Perlis). Apa yang penting ahli Bersatu sedar ini parti baru yakin mempunyai jentera yang mampu memberi satu kejutan pada PRU-15,” katanya.

    Abu Bakar berkata, buat masa ini di Perlis, PAS memiliki dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya memerlukan tambahan enam kerusi lagi untuk menguasai Perlis.

    “Kalau ada lapan kerusi boleh kuasai kerajaan negeri,” jelasnya.

  • Bersatu Bahagian Kangar tidak lumpuh – Abu Bakar

    Bersatu Bahagian Kangar tidak lumpuh – Abu Bakar

    BADAN Pimpinan Negeri BERSATU Perlis menafikan parti itu kini bermasalah dengan ramai pemimpin dan ahlinya didakwa meninggalkan parti selepas hilang kepercayaan kepada barisan kepemimpinan negeri.

    Ketuanya, Abu Bakar Hamzah berkata, tindakan ahli BERSATU bahagian Kangar dan Arau keluar parti seperti didakwa dalam laporan media hanya membabitkan dua daripada tiga bahagian di negeri itu dan jumlah yang meninggalkan parti itu bukan seperti yang dilaporkan.

    Justeru, beliau yang juga Ketua Bahagian Kangar menafikan BERSATU bahagian itu kini lumpuh selepas 1,000 ahli dilaporkan meninggalkan parti itu.

    “Selepas kita teliti semula, tidak sampai 50 ahli bahagian Kangar dan Arau yang keluar parti. Di bahagian Kangar hanya kira-kira 20 ahli keluar parti termasuk Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Kangar, Shaharani Husin dan bakinya dari bahagian Arau.

    “Ketua Srikandi Bahagian Kangar, Normi Aziz masih bersama kita dan tidak ada yang menjadi pemangku jawatannya seperti dilaporkan. Ketua Armada Kangar (Hafis Yahya) juga masih bersama kita dan tidak meletakkan jawatan. Jadi dakwaan kata BERSATU Kangar lumpuh itu tidak benar kerana ketika ini hanya membabitkan tiga cabang saja di bahagian itu,” katanya menurut laporan BH Online.

    Beliau mengulas laporan media yang menyatakan BERSATU Bahagian Kangar yang didakwa lumpuh selepas hampir semua ahli jawatan kuasa serta ketua di lapan cawangan di sini, meletak jawatan seterusnya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

    Lebih parah, hampir 1,000 ahli di bahagian berkenaan dikatakan turut mengikut jejak langkah sama selepas hilang kepercayaan kepada Ketua Bahagian merangkap Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah.

    Naib Ketua BERSATU Bahagian Arau, Sharif Abdul Razak turut mengumumkan peletakan jawatannya.

    Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, tindakan ahli keluar parti adalah perkara biasa yang berlaku membabitkan semua parti termasuk BERSATU dan perkara itu tidak menjejaskan parti.

    Setiap hari juga, katanya, BERSATU Perlis menerima banyak permohonan masuk dan kini sedang giat menambahkan jumlah ahli serta menyusun semula penubuhan lebih banyak cawangan.

    “Mana-mana parti pun akan ada masalah. Saya akui sebelum ini wujud masalah di cawangan dan kita sudah pun memperbaikinya dan merapatkan semua jentera parti sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) dalam waktu terdekat,” katanya.

  • Raja Muda Perlis rasmi cawangan Richiamo Coffee di UniMAP

    Raja Muda Perlis rasmi cawangan Richiamo Coffee di UniMAP

    RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli merasmikan cawangan Richiamo Coffee ke-88.

    Mengiringi baginda ke majlis itu ialah puteri sulung, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail di Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Arau.

    Cawangan ke-88 di UniMAP itu dimiliki dan dikendalikan oleh Empire Coffee Works dan merupakan cawangan kedua selepas Wisma Bernama Kuala Lumpur.

    Pengarah Empire Coffee Works, Wan Najib Wan Daud berkata, pembukaan cawangan di UniMAP adalah hasil perbincangan dengan pengurusan tertinggi universiti itu berikutan kepercayaan dan komitmen yang diberikan oleh pemegang lesen Richiamo Coffee Sdn Bhd.

    “Sebagai sebuah syarikat milik 100 bumiputera Richiamo Coffee selalu menekankan agar jenama ini boleh ditembusi oleh semua golongan lapisan masyarakat agar ia boleh berkembang sejajar dengan usaha kebelakangan ini”, katanya.

    Turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pejabat Naib Canselor UniMAP, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

    Selain di UniMAP, dua lagi cawangan Richiamo Coffee yang telah beroperasi di Perlis adalah di Kangar Jaya dan juga UiTM Arau.

    Pada majlis tersebut, baginda turut meluangkan masa melihat bagaimana kopi ‘dibancuh’ di kafe berkenaan yang menyajikan pelbagai variasi kopi termasuk Americano, Latte dan Espresso.

    Malah baginda juga turut membuat sentuhan peribadi dengan membuat minuman latte di majlis tersebut.

    Richiamo Coffee di UniMAP juga menghidangkan menu makanan barat dan tempatan seperti patin masak tempoyak serta asam pedas tenggiri selain kek dan pastri yang menjadi pilihan para pelanggan.

  • Kereta langgar pokok semasa seludup daun ketum

    Kereta langgar pokok semasa seludup daun ketum

    Oleh RIZQI ZABIDI

    CUBAAN seorang penyeludup daun ketum melarikan diri daripada polis gagal apabila kereta dipandunya terbabas lalu merempuh sebatang pokok di di Kampung Kubang Tiga, Chuping, Perlis pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pada kira-kira pukul 1.15 pagi, sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) yang sedang melaksanakan operasi pelbagai di Kilometer 25 di Jalan Alor Setar- Bukit Kayu Hitam telah terserempak dengan sebuah kereta Wira Aeroback yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

    “Kenderaan itu diarahkan berhenti namun suspek bertindak memecut laju kenderaan bagi mengelak ditahan.

    “Anggota trafik kemudiannya bertindak mengekori kereta suspek dan kenderaan itu terbabas melanggar sebatang pokok di Kampung Kubang Tiga, Chuping, Perlis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Lelaki yang ditahan polis kerana cuba menyeludup 35 bungkusan plastik hitam mengandungi daun hijau disyaki ketum dianggarkan seberat 350 kg di Kampung Kubang Tiga, Chuping, Perlis pagi tadi.

    Rodzi berkata, suspek berjaya ditahan dan dan pemeriksaan mendapati 35 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum dianggarkan 350 kg.

    Katanya, lelaki terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

    “Hasil saringan ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine,” katanya.