Tag: Perikatan Nasional

  • Menangkan PN dulu, soal calon Ketua Menteri fikir kemudian

    Menangkan PN dulu, soal calon Ketua Menteri fikir kemudian

    prn melaka mohd muhammad

    SOAL siapa yang bakal menjadi calon Ketua Menteri Melaka apabila Perikatan Nasional (PN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini adalah perkara nombor dua bagi Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

    Keutamaan calon PN bagi DUN Tanjung Bidara itu adalah untuk menghadiahkan kemenangan di kerusi berkenaan kepada parti.

    Seperti dilaporkan oleh Malaysia Now, beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kemenangan PN pada PRN Melaka bakal membuka jalan untuk gabungan parti-parti politik itu mentadbir semula negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Sebenarnya tiada keperluan untuk saya bertanding pada PRN sebab saya sudah pun menjadi ahli Parlimen dan timbalan menteri.

    “Tetapi saya hendak sumbangkan kerusi untuk PN. Saya rasa PRN kali ini cukup penting kerana dia memberikan satu simbol untuk PRU-15 nanti.

    “Tugas saya hanya untuk menangkan kerusi Tanjung Bidara, itu hasrat dan amanah oleh pucuk pimpinan parti,” jelasnya.

    Desas-desus tentang kemungkinan Mas Ermieyati dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Melaka mewakili PN timbul setelah beliau diletakkan bertanding di kerusi yang sama dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

    Ab Rauf disebut sebagai salah seorang calon Ketua Menteri mewakili Barisan Nasional (BN).

    Sekiranya desas-desus itu menjadi kenyataan, Mas Ermieyati bakal mencatat sejarah sebagai wanita pertama yang menjadi Ketua Menteri di Malaysia.

    Pada masa yang sama, Mas Ermieyati yang telah menabur bakti selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah yakin pengundi-pengundi Melayu di Melaka akan beralih menyokong PN kali ini.

    “Pertamanya jenama PN itu sendiri, imej yang ditonjolkan Pengerusi PN yang juga mantan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin). Semasa pandemik melanda beliau fokus membantu rakyat.

    “Begitu juga dengan imej integriti dan bersih yang ditonjolkan beliau akan memberikan ‘wow factor’,” katanya.

    Beliau ingin menumpukan untuk memajukan lagi kegiatan pelancongan di Tanjung Bidara supaya hasilnya dapat dinikmati oleh penduduk setempat.

    “Tanjung Bidara cukup berpotensi. Orang ramai boleh mandi di sepanjang pantai, tidak seperti pantai Klebang atau Jasin. Ekonomi cukup penting selepas dua tahun pandemik, orang hilang kerja, terpaksa jual rumah,” ujarnya.

    Mas Ermieyati juga mahu memikirkan bagaimana mempelbagaikan sumber pendapatan nelayan yang kini berdepan cabaran kekurangan hasil tangkapan.

  • Apa kata calon-calon PN dalam Facebook?

    Apa kata calon-calon PN dalam Facebook?

    calon PN xamzuri arifin

    Alhamdulillah pagi tadi selesai penamaan calon bagi DUN Rembia.. semoga semuanya dipermudahkan segala urusan..

    ZAMZURI ARIFIN
    Calon PN bagi DUN Rembia

    MUHAMMAD AL AFIZ

    Doakan saya sebagai calon Perikatan Nasional.
    N17 Bukit Katil.
    Semoga kemenangan milik kita Insya-Allah.

    MUHAMMAD AL AFIZ YAHYA
    Calon PN bagi DUN Bukit Katil

    Saya tak akan kempen burukkan lawan, cipta provokasi, fitnah dan serang peribadi lawan .. Jom sama-sama kita harmonikan PRN Melaka dengan persaingan yang sihat dan ikuti SOP yang ditetapkan ..

    MOHD FADLY SAMIN
    Calon PN bagi DUN Ayer Molek

  • PN akan lancar manifesto ‘Melaka Prihatin’ selesai isu rakyat

    PN akan lancar manifesto ‘Melaka Prihatin’ selesai isu rakyat

    PERIKATAN Nasional (PN) akan melancarkan manifesto ‘Melaka Prihatin’ yang memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat, termasuk isu banjir dan air di negeri berkenaan sekiranya diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 Nov depan.

    Pengerusi PN negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata manifesto berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi negeri, yang terjejas akibat COVID-19 seiring dengan hasrat PN untuk mengembalikan zaman kegemilangan Melaka di dunia suatu ketika dahulu.

    “Sebab itu kita tampilkan muka-muka segar iaitu 90 peratus calon baharu mempunyai latar belakang pendidikan tinggi, berkarisma dan kredibiliti, yang mampu memberi kekuatan kepada kerajaan.

    “Saya melihat banyak isu yang perlu diberi tumpuan, kita mesti selaras dengan ‘Prihatin’ itu, rakyat rata-rata selepas pandemik mereka mahukan keprihatinan kerajaan yang dipilih, sebab itu saya pikir Melaka Prihatin adalah teras manifesto tersebut yang akan dilancarkan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya kepada pemberita di Pusat Gerakan PN, DUN Telok Mas di Alai, Melaka hari ini.

    Bagaimanapun Mohd Rafiq ketika dihubungi enggan mendedahkan bila manifesto itu akan dilancarkan, namun akan memaklumkannya kepada media dua atau tiga hari sebelum pelancarannya.

    Mengulas mengenai calon PN yang menampilkan 43 peratus calon muda berumur bawah 40 tahun dalam PRN itu, Mohd Rafiq berkata ia adalah komitmen PN menyediakan pemimpin pelapis negara dan negeri, selain mengiktiraf peranan wanita dengan menampilkan enam calon wanita PN dalam PRN Melaka.

    Mengulas mengenai pertembungan beliau dengan tiga calon lain dalam pertandingan empat penjuru di DUN Telok Mas, Mohd Rafiq berkata ia satu proses dan meraikan demokrasi selain melihat ia sebagai persaingan sihat, di antara calon-calon dari parti gabungan politik dan calon bebas.

    Pada PRN kali ini Mohd Rafiq akan ditentang calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Setiausaha Amanah Melaka Datuk Ashraf Mukhlis Minghat, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN) dan Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas).

    SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov. – BERNAMA

  • Jangan pertikai hala tuju hubungan PAS bersama MN, PN

    Jangan pertikai hala tuju hubungan PAS bersama MN, PN

    KETUA Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, semua pihak tidak seharusnya mempertikaikan hala tuju hubungan PAS bersama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), yang telah diputuskan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

    “Keadaan hari ini bukan masanya untuk berteka teki dengan hala tuju. Kita dalam lautan bergelombang. Bagi mandat kepada Presiden. Tidak perlu ramai bercakap tentang hala tuju parti. Bagi kepercayaan kepada satu nahkoda untuk kemudi, sebab beliau tahu di manakah ikan jerung dan taufan.

    “Kalau semua nak jadi jururunding. Bimbang ada yang akan jual nama parti kepada pihak lain. Bagi mandat pada Majlis Syura dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian ketika berucap dalam sesi penggulungan di Muktamar Tahunan PAS Kali ke-67 di Kuala Terengganu, hari ini.

    Ahmad Fadhli berkata, ketika negara dilanda gelombang politik, PAS menjadi satu-satunya parti yang menonjolkan integriti tinggi, dengan tidak melompat ke parti lain.

    Disebabkan itu beliau mencadangkan supaya perwakilan dan pemimpin PAS terus mempertahan serta ‘turun padang’ di kawasan masing-masing, terutama dalam mendekati golongan muda.

    “Kita mesti terima hakikat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula dari umur 18 tahun. Kita akan beri fokus untuk mereka dan perlu ada agenda sesuai, sama ada lelaki atau perempuan. Kita mesti rancang program yang jelas untuk tarik mereka,” katanya.

    Muktamar PAS bertemakan Islam Menyatukan Ummah berlangsung dua hari bermula semalam, dan diadakan secara hibrid dengan 694 daripada 1,546 perwakilan hadir secara fizikal, manakala selebihnya secara maya.

    Perwakilan negeri berada di negeri masing-masing kecuali perwakilan dari Terengganu, Kelantan dan Pahang, serta kesemua 197 Yang Dipertua PAS kawasan yang hadir secara fizikal.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Rosni Adam berkata, PAS perlu memberi peluang dan menampilkan lebih ramai calon wanita dalam PRU-15.

    Beliau berkata, cadangan itu bukan sahaja untuk meraih perhatian dan sokongan pengundi wanita yang hampir 50 peratus, tetapi juga membolehkan golongan itu berjuang dengan cara tersendiri.

    “Kita lihat calon wanita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya seorang daripada lapan calon, hanya 12.5 peratus.

    “Saya yakin insya-Allah, dalam PRU15 nanti peratus ini akan bertambah. Berilah kami peluang untuk membantu memperjuangkan agama Allah ini melalui gerakan wanita, sebab kita tahu hampir 50 peratus pengundi di luar sana adalah wanita tidak kira umur,” katanya

    Dr Rosni berkata, sekiranya PAS mahu meletakkan calon wanita muda, pihaknya sedia bekerjasama dan akan menampilkannya mengikut kriteria yang ditetapkan.

    “Nak calon wanita muda, kita boleh bagi calon wanita muda. Kita yang berumur ini boleh berundur jika nak muka-muka segar…kerana tangan yang menghayun buaian mampu mempertahankan Malaysia,” katanya yang kemudiannya mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan lain.

    Sementara itu Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, Senator N. Bala Subramaniam mengingatkan pemimpin dan ahli, supaya terus berwaspada dengan maklumat yang diperolehi bagi mengelak salah faham.

    “Maklumat yang diperoleh perlu diselidik kesahihannya terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada pihak lain, perlu berhati-hati. Tujuan saya membawa perkara ini adalah kerana kepesatan dunia media sosial yang memungkinkan berlaku salah faham dan membawa keruntuhan parti PAS, pada masa akan datang,” katanya.

  • Reaksi calon-calon Perikatan Nasional pada PRN Melaka

    Reaksi calon-calon Perikatan Nasional pada PRN Melaka

    perikatan nasional mohd yadzil yaakub

    Alhamdulillah selesai sudah majlis penerimaan watikah pelantikan 15 calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang akan bertanding bersama rakan-rakan lain dalam Perikatan Nasional (PN) di Glenmarie Hotel and Golf Resort, Shah Alam, sebentar tadi.

    Amanat dan pesanan Abah sebagai Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin demi memberikan kepimpinan bersih dan berintegriti kepada rakyat Melaka akan kami jadikan pegangan.

    Antara lain kata-kata Abah yang begitu mengesan di hati kami adalah menjalankan komitmen yang tinggi apabila diberikan mandat oleh rakyat dan pastinya kami mesti memberikan yang terbaik.

    “We will deliver to the best of our ability and we will ensure that no one will be left behind’ (Kami akan berikan perkhidmatan terbaik yang mampu dan akan memastikan tiada siapa ketinggalan).”

    Selamat berkempen yang akan bermula dua hari lagi saya ucapkan juga kepada calon-calon yang terpilih dan jangan lupa patuhi SOP yang telah ditetapkan.

    DR MOHD YADZIL YAAKUB
    Calon PN DUN Bemban

    Bismillahirrahmannirrahim. Alhamdulillah, saya menziarahi mak di kampung, Ujong Pasir bertanya khabar dan memohon doa dan restu dari mak agar diberikan kejayaan kepada saya & Perikatan Nasional di N23 DUN Telok Mas dan kejayaan Perikatan Nasional memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka kali ini.

    DATUK MOHD RAFIQ NAIZAMOHIDEEN

    Calon PN DUN Telok Mas

    Perikatan Nasional (PN) menawarkan pemimpin serta kerajaan yang bersih. Inilah masanya untuk rakyat Negeri Melaka memilih pilihan yang terbaik.

    MUHAMMAD AL AFIZ YAHYA

    Calon PN DUN Bukit Katil

    Kerajaan bersih berintegriti, berwibawa mendorong kesejahteraan rakyat dipimpin oleh Perikatan Nasional.

    Demi perpaduan rakyat, Melaka harus memilih Perikatan Nasional (PN) kerana masa depan yang sejahtera bermula dari perubahan yang baik.

    DATUK KAMARUDIN SIDEK

    Calon PN DUN Duyong

    Terima Kasih Tan Sri Muhyiddin Yassin (Abah) diatas peluang ini. Peluang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk suara Anak muda.

    MUHAMMAD JEFRY SAFRY

    Calon PN DUN Sungai Rambai

  • Apa masalah Bersih, jual barang murah pun salah?

    Apa masalah Bersih, jual barang murah pun salah?

    BILA hati sudah tidak bersih, inisiatif Perikatan Nasional (PN) menganjurkan program jualan barangan keperluan harian pada harga yang murah kepada rakyat pun dianggap sebagai kesalahan.

    Bersih yang dikenali sebagai pertubuhan yang berat sebelah memihak Pakatan Harapan (PH) tidak berpuas hati dengan usaha baik PN menganjurkan aktiviti Gerai Prihatin Rakyat termasuk di Melaka.

    Mereka telah membangkitkan isu tersebut kepada Suruhan Pilihan Raya (SPR) atas alasan ia melanggar peraturan pilihan raya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Nampak sangat Bersih tidak buat kerja rumah terlebih dahulu sebelum menyuarakan bantahan terhadap usaha PN mengurangkan beban yang ditanggung rakyat akibat krisis pandemik.

    Program Gerai Prihatin Rakyat telah lama dilaksanakan di Melaka oleh PN, sebaik sahaja selepas rejim PH tumbang di negeri itu.

    Malah, program serupa turut dilaksanakan di Johor yang ditadbir kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) dan PN.

    Jadi, penganjuran inisiatif Gerai Prihatin Rakyat adalah kesinambungan dari program sedia ada dan bukannya dilancarkan semata-mata sempena PRN Melaka.

    Walau apa pun, Bersih layak menerima satu markah kerana berani bersuara, berbanding dengan sikap mereka yang diam menikus ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dahulu.

    Dalam satu sidang media oleh calon-calon Bebas, Bersih dikecam secara terbuka kerana gagal menegur kesalahan-kesalahan berkaitan kempen pilihan raya yang didakwa dilakukan oleh jentera dan calon PH.

    Timbul dakwaan daripada calon-calon lain bahawa aset dan jentera kerajaan disalahgunakan dalam kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun Bersih dikatakan tidak menyuarakan bantahan atau teguran yang keras berhubung isu tersebut.

    Kalau ada pun, sekadar ‘peringatan mesra’ yang tidak diambil peduli oleh jentera PH.

    Malah, PRK Parlimen Port Dickson yang berlaku ekoran keghairahan Anwar memenuhi nafsunya untuk menjadi Perdana Menteri sepatutnya dijadikan modal oleh Bersih bagi mengutuk tindakan yang terang-terangan menghina amalan pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini.

    Tetapi seperti biasalah. Kalau isu melibatkan pihak selain PH, Bersih akan lantang bersuara menyuarakan bantahan.

    Sebaliknya, jika bersangkut paut dengan PH, tegur pun setakat ala kadar sahaja.

  • PN tidak tarik sokongan terhadap kerajaan Persekutuan

    PN tidak tarik sokongan terhadap kerajaan Persekutuan

    PERIKATAN Nasional (PN) tidak akan menarik sokongan di peringkat pusat meskipun kemungkinan berlaku pertembungan dengan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung 20 Nov ini.

    Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ini kerana pihaknya masih menaruh kepercayaan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mentadbir negara.

    “Tidak terlintas pun di fikiran kami (menarik sokongan) kerana kami lihat kerajaan pada ketika ini sedang belajar berjalan dengan baik dengan usaha yang dipergiatkan melalui gagasan Keluarga Malaysia yang telah dilancarkan.

    “Semuanya berjalan dengan lancar, insya-Allah kami akan teruskan (kerjasama) dan kami mohon agar Allah mempermudahkan segala urusan,” katanya yang juga Timbalan Presiden Bersatu ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri Senamrobik Perdana Peja Trophy 2021 yang berlangsung di Padang Bola Sepak Lintau di Ipoh, hari ini.

    Pada 22 Okt lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu yang menganggotai PN dalam menghadapi PRN Melaka.

    Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata secara peribadi, hubungannya dengan kebanyakan pemimpin UMNO terutamanya yang berada dalam Kabinet juga masih baik dan tidak terganggu dengan sebarang percaturan politik.

    “Saya juga lihat ada dalam kalangan rakyat dan pemimpin antara dua kelompok ini masih boleh bekerjasama namun saya tidak menolak kemungkinan berlaku satu atau dua individu yang agak keliru dengan agenda yang sepatutnya dibawa,” katanya.

    Selain itu, katanya PN masih membuka pintu rundingan kerjasama dengan semua parti termasuk UMNO dalam memastikan kemenangan berjaya direalisasikan dalam PRN Melaka.

    “Seperti yang disebut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kami sememangnya mahu bekerjasama dengan semua pihak yang nak membangunkan negara, melakukan perkhidmatan terbaik kepada rakyat namun semuanya terpulang kepada mereka,” katanya.

    Terdahulu, mengulas mengenai program, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan pelbagai aktiviti yang dilaksanakan itu merupakan antara usaha untuk memupuk gaya hidup sihat selain membudayakan sukan dalam kalangan rakyat.

    “Saya juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerjasama dalam penganjuran program ini yang telah berlangsung sejak semalam membabitkan sukan bola sepak, senamrobik dan acara berbasikal. Kami berharap program ini akan diperluaskan dari semasa ke semasa,” katanya. – BERNAMA

  • Salah pilih PH, rakyat Melaka pasti hidup menderita

    Salah pilih PH, rakyat Melaka pasti hidup menderita

    rakyat Melaka

    RAKYAT Malaysia termasuk mereka yang tinggal di Melaka hidup menderita selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Semuanya gara-gara tersilap memilih Pakatan Harapan (PH) yang terbukti hanya pandai menabur janji-janji palsu semasa berkempen.

    Apabila PH diberi peluang oleh majoriti pengundi untuk membentuk kerajaan, mereka gagal mentadbir negara ini dengan baik.

    Pertumbuhan ekonomi negara terencat, keharmonian antara kaum dan agama semakin pudar manakala situasi politik pula caca-marba.

    Ketaksuban sebahagian besar pemimpin PH untuk menjulang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri telah meledakkan krisis dalaman yang kronik sehingga mengakibatkan Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan meletak jawatan.

    Apa yang berlaku itu merupakan rahmat bagi rakyat Malaysia apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mentadbir negara selepas itu berjaya memulihkan negara daripada kerosakan teruk yang ditinggalkan oleh rejim PH.

    Namun, mimpi ngeri 22 bulan itu tidak mustahil akan berulang lagi sekiranya rakyat Melaka tersalah pilih sehingga membuka ruang kepada PH yang ditunjangi DAP untuk kembali berkuasa di negeri itu.

    Melihat kepada rekod prestasi pentadbiran kerajaan Persekutuan di bawah PN dahulu, calon-calon dari gabungan parti-parti politik tersebut wajar diberi mandat oleh rakyat pada Pilhan Raya Negeri (PRN) Melaka kelak.

    Rakyat dapat melihat sendiri betapa jauhnya perbezaan antara cara PH dan PN mentadbir negara dahulu, di mana PN memberi keutamaan terhadap usaha menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat dalam situasi pandemik.

    Walaupun pihak lawan asyik berpolitik sepanjang masa, kepimpinan PN khususnya Muhyiddin tidak terikut-ikut dengan rentak mereka dan beliau tetap fokus dengan objektif menjaga rakyat.

    Begitu juga dengan Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang gigih turun padang membantu rakyat walaupun segelintir wakil rakyat lain sibuk berkomplot menjatuhkan Ketua Menteri Melaka.

    Sememangnya Melaka memerlukan pemimpin-pemimpin yang berupaya mengemudi negeri itu dalam proses pemulihan ekonomi yang sebelum ini terjejas teruk akibat pandemik.

    Jika mereka mahu melihat Melaka kembali gah seperti sebelum pandemik melanda, pilihlah calon-calon yang mewakili PN dan parti-parti yang bekerjasama dengannya.

    Seandainya rakyat Melaka tersilap memilih PH atau mana-mana parti yang memusuhi PN, nescaya mereka terpaksa diheret sekali lagi dalam kancah penderitaan sama seperti apa yang dialami selepas PRU-14.

  • PN Melaka kesal, percaturan politik punca kemelut

    PN Melaka kesal, percaturan politik punca kemelut

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERIKATAN Nasional (PN) Melaka mengakui kesal dan kecewa dengan krisis politik yang tercetus di negeri itu ekoran kemelut dan percaturan politik pihak tertentu.

    Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, mereka berpendirian segala fokus ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha-usaha memulihkan negeri dan negara daripada pandemik Covid-19.

    Katanya, proses pemulihan itu tidak sepatutnya terganggu hanya disebabkan tindakan sesetengah pemimpin dan parti politik yang meletakkan kepentingan peribadi serta kuasa melebihi nyawa dan kesejahteraan rakyat.

    “Proses pemulihan sedang berjalan setelah usahanya dijalankan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang kini mula menampakkan hasil dan tanda-tanda positif.

    “PN Melaka sependapat dengan majoriti rakyat Melaka bahawa ketika ini bukanlah masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Sidang akhbar berkenaan turut disertai Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sidek dan Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam.

    Bagaimanapun, ujar Mohd. Rafiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, PN Melaka perlu menyertai pilihan raya itu bagi menghormati proses demokrasi.

    “Kita menghormati proses demokrasi, perlembagaan negeri dan keputusan dibuat Yang di-Pertua Negeri Melaka dan akan menyertai pilihan raya yang tarikhnya bakal ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” ujarnya.

    Justeru, beliau berharap rakyat Melaka dapat memberi peluang dan sokongan kepada parti-parti di bawah PN pada PRN kali ini bagi meneruskan usaha dan langkah pemulihan negeri daripada pandemik Covid-19.

  • PN Melaka sedia runding dengan UMNO elak 3 penjuru

    PN Melaka sedia runding dengan UMNO elak 3 penjuru

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERIKATAN Nasional (PN) Melaka menunjukkan keterbukaan mereka untuk bersedia mengadakan rundingan dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

    Pengerusinya, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, PN yang diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan berpendapat langkah itu mampu mengelak pertembungan tiga penjuru.

    Bagaimanapun, mekanisme rundingan termasuk soal pembahagian kerusi hanya akan dimuktamadkan sekiranya UMNO bersetuju untuk bekerjasama dalam PRN.

    “Kita terbuka sekiranya UMNO mahu berunding dengan PN, saya tidak boleh membuat keputusan mewakili UMNO, namun di peringkat PN negeri kita sedia berunding dan bersetuju.

    “Bagaimanapun perkara itu bergantung kepada pendirian UMNO (kerana) bukan saya yang tentukan,” katanya dalam sidang akhbar di Melaka.

    Perkara itu susulan perkembangan politik Melaka apabila Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran dewan negeri yang mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

    Sementara itu, Mohd. Rafiq yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkata, keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad tergugur secara automatik dalam Bersatu.

    Katanya, ia berikutan tindakannya bersama tiga lagi ADUN secara terbuka bersama pembangkang dalam satu sidang akhbar semalam selepas menarik sokongan kepada Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

    “Keputusan itu sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti yang memutuskan tindakan Noor Effandi itu bertentangan dengan dasar parti.

    “Dalam Perlembagaan parti menetapkan tidak akan menjalin hubungan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan apabila beliau bersama PH, keahlian beliau gugur secara automatik.

    “Bukan parti mengambil tindakan memecat beliau, sebaliknya keputusan itu adalah disebabkan oleh tindakan beliau sendiri,” katanya.