Tag: Perikatan Nasional

  • Penduduk Bukit Kepong patut tutup pintu bila ‘pencuri’ datang

    Penduduk Bukit Kepong patut tutup pintu bila ‘pencuri’ datang

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin secara berseloroh berkata, beliau terlupa untuk mengingatkan penduduk Bukit Kepong menutup pintu semasa Datuk Seri Najib Tun Razak datang melawat ke sana beberapa hari lalu.

    Beliau dalam nada sinis memberitahu mereka patut berbuat demikian kerana ‘pencuri’ sudah datang ke kampung mereka.

    “Hari tu dia sampai kat Bukit Kepong, kampung saya, saya lupa nak beritahu orang kampung tutup pintu dan tingkap rapat-rapat.

    “Saya tak takut cakap ni pasal kita cerita yang betul,” katanya ketika berucap pada majlis santai bersama beliau di Kompleks PAS Batu Pahat malam ini.

    Majlis tersebut turut disertai pemimpin-pemimpin PN yang lain iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Datuk Rashid Hasnon, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Datuk Ali Biju dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri bimbang jika rakyat Johor membuat kesilapan dengan mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada 12 Mac ini.

    “Zaman dacing sudah berlalu, sekarang adalah masa PN,” ujarnya.

    Beliau turut mengingatkan bahawa usaha menghalang penyelewengan dan salah guna kuasa yang membarah dalam UMNO dan BN adalah satu jihad.

    “Saya berjanji kita nak membentuk kerajaan yang bersih, berintegriti dan prihatin di Johor. Itu azam saya,” tegasnya.

  • Prihatin semua kaum, ini komitmen Muhyiddin dan PN

    Prihatin semua kaum, ini komitmen Muhyiddin dan PN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin amat teruja dengan sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat Cina di Johor terhadap Perikatan Nasional (PN) dalam majlis makan malam yang dihadiri oleh lebih 800 orang masyarakat Cina di Johor Bahru malam tadi.

    Menurut Pengerusi PN itu, ramai pimpinan masyarakat Cina yang hadir.

    “Saya jelaskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan saya sebelum ini untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat semasa pandemik Covid-19.

    “Ini termasuk pelbagai bantuan yang diberikan kepada individu dan perniagaan seperti bantuan bakul makanan, moratorium pinjaman bank, pengeluaran caruman KWSP, subsidi upah dan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu turut menegaskan komitmen PN untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri Johor, menggalakkan pelaburan di negeri itu, menyediakan pekerjaan, meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan rakyat seperti yang terkandung dalam Ikrar PN Untuk Johor.

    Muhyiddin turut menekankan peri penting nilai integriti dan amanah dalam kepimpinan kerajaan.

    “Hanya kepimpinan yang berintegriti dan beramanah dapat memacu kemajuan negeri dan negara.

    “Tiada ketirisan, tiada pembaziran, tiada penyelewengan. Barulah rakyat dapat merasa erti pembangunan, kemajuan dan kestabilan yang sebenar,” jelasnya.

    Seorang tetamu yang hadir bertanya kepada Muhyiddin apa jaminan PN akan berlaku adil kepada semua kaum.

    “Saya beritahu rekod saya sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional, saya tidak pernah bertanya apa kaum orang yang menerima vaksin, bakul makanan dan pelbagai bentuk bantuan dan pakej rangsangan ekonomi yang keseluruhannya berjumlah RM530 bilion.

    “Semua dibantu dan dilayan secara adil dan saksama,” ujarnya.

    Beliau menambah, prinsip PN sebagai sebuah kerajaan yang berintegriti, cekap dan prihatin ialah membantu semua rakyat tanpa mengira kaum.

    Muhyiddin memberitahu, tiada seorang pun yang akan dibiarkan ketinggalan walau apa kaum dan agamanya.

    “Ini komitmen saya dan PN,” katanya.

  • Peniaga kecil bersyukur terima bantuan kerajaan PN

    Peniaga kecil bersyukur terima bantuan kerajaan PN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa bersarapan pagi di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee di Johor Bahru hari ini.

    Berikut adalah hantaran penuh yang dikongsikan dalam Facebook:

    Hari ini saya singgah ke Medan Niaga Kampung Melayu Majidee untuk bersarapan pagi.

    Turut bersama saya ialah calon Perikatan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin,  Zulkifli Bujang.

    Medan niaga ini menempatkan pasar awam dan medan selera dan menjadi salah satu tempat tumpuan para penduduk setempat untuk membeli barang keperluan harian, bersarapan dan makan tengah hari.

    Saya mengambil peluang bertemu dan bertanya khabar dengan para peniaga kecil di bahagian pasar dan gerai makan.

    Beberapa peniaga yang saya temui di situ turut melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diberikan kerajaan Perikatan Nasional ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Peniaga Sup Meletop SZ,  Syukur Ahmad , 75, memberitahu dia adalah antara penerima Bantuan Khas Prihatin ketika PKP dan bantuan  tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan beban hidup ketika itu.

    Pengusaha Warisan Pak Atan Sate Salleh, Nurwahidah Salleh
    pula bersyukur kerana menerima Geran Khas Prihatin  (GKP) yang begitu besar maknanya kerana semua perniagaan ditutup dan tidak ada langsung sumber pendapatan  langsung.

    Pada sebelah petang pula, saya meluangkan masa untuk sesi minum petang bersama beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia, Dewan Perniagaan Cina dan ketua-ketua masyarakat di Restoran Adam Kitchen, Bandar Indahpura, Kulai.

    Selepas majlis tersebut saya ke Restoran 7 Beradik, Bandar Putra Permai bagi menghadiri sesi Yok Ngeteh bersama ketua-ketua NGO dan pemimpin komuniti setempat.

    Undilah Perikatan Nasional.

  • Sifar rasuah keutamaan tertinggi PN

    Sifar rasuah keutamaan tertinggi PN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, sifar rasuah sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu.

    Pengerusi PN itu berkata, negara akan musnah jika para pemimpinnya tidak ada integriti.

    Menurut beliau, Malaysia sudah ada contoh yang buruk apabila bekas pemimpin negara terlibat dengan rasuah, dituduh di mahkamah dan dijatuhi hukuman bersalah.

    “Saya sentiasa berpendirian, setiap pemimpin perlu ada sifat amanah dan kesalahan rasuah adalah satu masalah besar kepada negara.

    “Bagi mencapai sasaran sifar rasuah pula, sikap benci rasuah perlu ditanam dalam jiwa setiap anak kita dan mereka perlu dididik tentang nilai integriti, moral dan akhlak dari peringkat muda lagi,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu berkongsi jawapan yang diberi kepada Pengarah Malaysia Youth Diplomacy, Liaw Ying Yang pada Majlis Dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara di Johor Bahru hari ini.

    Ying Yang bertanya bagaimana Malaysia boleh mencapai sifar rasuah dan meningkatkan integriti dalam kalangan masyarakat.

    Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Pemulihan Negara dengan kerjasama Institut Masa Depan Malaysia itu dihadiri oleh kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli akademik, pemimpin belia, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penuntut institusi pengajian tinggi tempatan.

    Mengenai soalan M Thenesh dari Universiti Teknologi Petronas, berkaitan belia dan peluang pekerjaan, Mohamed Azmin menjelaskan, sistem pendidikan perlu dirombak bagi mewujudkan situasi ‘graduan mencipta pekerjaan dan bukan mencari pekerjaan.’

    Muhyiddin pula menjelaskan, kerajaan PN sebelum ini telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara dengan sasaran mewujudkan 500,000 pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran kesan daripada pandemik Covid-19.

    “Saya juga banyak kali membangkitkan keperluan membuka segera sempadan  bagi membolehkan ekonomi berkembang seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

    “Saya percaya penerangan dan penjelasan panjang lebar  termasuk oleh YB Azmin dan YB Mustapa itu membuktikan sumbangan besar Kerajaan Perikatan Nasional dalam mengembalikan kehidupan selepas terkesan teruk akibat pandemik COVID-19,” katanya.

  • Ariss bawa aspirasi kemakmuran Semerah Prihatin

    Ariss bawa aspirasi kemakmuran Semerah Prihatin

    PERIKATAN Nasional (PN) melihat keperluan pembinaan sebuah Pusat Komuniti dan Komoditi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah yang mempunyai kemudahan untuk pemeriksaan kesihatan, aktiviti belia dan riadah, pendidikan, perniagaan serta premis keusahawanan.

    Sebagai calon PN di DUN Semerah, Datuk Ariss Samsudin mempunyai aspirasi dinamakan Semerah Prihatin yang menyatukan semua projek untuk kemakmuran masyarakat di satu kawasan.

    Menurut beliau, kemudahan itu sangat penting dan praktikal selain mampu mencetuskan pelbagai kegiatan sokongan di sekitarnya sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi di situ sehingga mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat termasuk belia.

    “Penduduk DUN Semerah kini memerlukan sebuah Kolej Komuniti, Pusat Kesihatan Kecil, stadium mini, kaunter perkhidmatan kerajaan dan bayaran bil utiliti selain lot-lot perniagaan serta pusat pemasaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang beroperasi di satu kawasan pertumbuhan baharu.

    “Jadi, sudah tiba masanya, kerajaan PN menawarkan semua kemudahan dan perkhidmatan ini kepada rakyat di luar bandar termasuk DUN Semerah tanpa memerlukan mereka ke bandar untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Ariss juga akan memanfaatkan pengalaman selama dua penggal sebagai ADUN Semerah bagi tempoh 2004-2013 bagi merealisasikan aspirasi dan Ikrar Perikatan Nasional yang menumpukan kepada keprihatinan dan kesejahteraan untuk ditawarkan kepada rakyat Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

    Beliau menambah, PN akan menawarkan tindakan-tindakan segera dan komprehensif untuk menangani isu banjir termenung serta ancaman babi hutan dan monyet yang menyebabkan penduduk kampung kerugian berjuta ringgi setiap tahun.

    Mengenai pertandingan lima penjuru di DUN Semerah, Ariss tidak mahu meremehkan calon-calon lain dari Barisan Nasional (BN), PKR, Pejuang dan Putra.

    “Tetapi sebagai calon Perikatan Nasional, misi unggul parti adalah untuk memenangi kerusi DUN Semerah yang sebelum ini diwakili PKR.

    “Yang memberi kelebihan kepada saya adalah rekod perkhidmatan saya yang lalu sebagai wakil rakyat di sini selama 10 tahun.

    :Saya yakin pengundi dan penduduk DUN Semerah masih meyakini perkhidmatan saya malah menerusi sebuah kerajaan yang berintegriti, prihatin rakyat dan menitikberatkan kemajuan ekonoomi, peluang PN sangat baik di sini,” jelasnya.

    Beliau berkata, peluang semua calon adalah seimbang dan sama rata namun, rekod perkhidmatannya sebelum ini menjadi taruhan dan untuk dinilaikan oleh pengundi.

    “Sekali lagi, saya menegaskan untuk meneruskan pelan saya di DUN ini menerusi aspirasi Semerah Prihatin yang akan dilaksanakan menerusi Ikrar Perikatan Nasional yang dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diperincikan mengikut keadaan dan keperluan di DUN Semerah.

    “Sebagai anak tempatan, saya berani mengatakan saya tidak kekok apatah lagi dalam urusan rakyat dan saya juga amat arif dengan setiap penjuru DUN Semerah di mana saya tahu di mana yang rata dan di mana yang berkelok,” ujarnya.

    DUN Semerah mempunyai 46,640 pengundi. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), DUN Semerah dimenangi calon PKR, Khuzzan Abu Bakar hanya dengan majoriti 98 undi.

  • Abdul Hadi seru beri peluang PN perintah Johor

    Abdul Hadi seru beri peluang PN perintah Johor

    PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru pengundi Johor memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN) untuk memerintah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini, dengan mempercayai bersungguh-sungguh sumpah calon-calon parti gabungan itu dalam memerangi rasuah.

    Menurut Timbalan Pengerusi PN itu lagi, negara telah berdepan dengan penyakit yang sangat parah iaitu rasuah dan salah laku yang bukan sahaja melibatkan pegawai berpangkat rendah yang gajinya tidak cukup, malah turut membabitkan individu bergaji besar.

    Memetik hadis Rasulullah SAW mengenai laknat Allah ke atas pemberi dan penerima rasuah, beliau menjelaskan bahawa salah satu cara untuk menghapuskan rasuah adalah dengan mengambil tindakan dengan memberi pengajaran kepada perasuah.

    Untuk rekod pada 3 Mac lalu semua 56 calon PN pada PRN Johor mengangkat sumpah dan akujanji menolak amalan rasuah. PN menjadi satu-satunya parti yang mensyaratkan semua calonnya mengangkat sumpah menolak rasuah.

    Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Maran memberi contoh rakyat Amerika, Britain dan India yang menukar kerajaan melalui pilihan raya apabila mendapati parti pemerintah melakukan rasuah dan salah laku.

    “Ni dak… kita (di Malaysia) lepas UMNO…(pilih) UMNO… lepas UMNO, UMNO… dia buatlah nak buat apa pun… pilih selama-lama. Itu (tindakan yang) tak kena.

    “Bila kita dah tahu dia ada salah laku, kita kena ambil satu tindakan untuk ajar dia melalui pilihan raya.

    “Kita dah ada penyakit yang sangat parah, penyakit salah laku. Sudahlah gaji pegawai kerajaan tak cukup yang pegawai-pegawai rendah ni… yang duduk di bandar nak tanggung anak isteri. Kadang-kadang melakukan rasuah… melakukan salah laku kerana gaji tak cukup. Ini kena jadi tanggungjawab kita untuk naikkan gaji. Biar cukup nak tanggung.

    “Kemudian yang gaji mahal pun rasuah juga… berbilion-bilion… payah sangat nak ambil tindakan. Ini suasana tak betul. Bukan kita setuju rasuah… tidak. Nabi kata Tuhan laknat orang yang beri rasuah dan terima rasuah,” katanya pada ceramah umum PN di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, malam tadi.

    Untuk rekod, beberapa pemimpin utama UMNO sebelum ini telah dituduh di mahkamah kerana terlibat dalam rasuah membabitkan berbilion-bilion ringgit, termasuk Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, rakyat perlu sama-sama menghapuskan penyakit rasuah dan salah laku itu, bukan sahaja dengan kata-kata dan tulisan sahaja, malah menawarkan gaji yang mencukupi kepada pegawai kerajaan serta mengambil tindakan tegas.

    “Dan kita telah melantik calon-calon yang bersumpah untuk lawan rasuah. Sumpah orang Islam ni sangat besar. Dengan sebab itu, percayalah pada kita (Perikatan Nasional) sungguh-sungguh dan saya harap rakyat akan pilih kita.

    “Pilih Perikatan Nasional dalam pilihan raya ni. Beri peluang kepada kami memerintah… tengok bagaimana kami buat. Baru beberapa bulan saja kita memerintah (sebelum ini)… berilah masa panjang sikit untuk kita memerintah… nak tunjuk bagaimana kita nak perbetulkan balik keadaan ini.

    “Mudah-mudahan pengundi-pengundi (di Johor) dapat menunaikan tanggungjawab. Dari situlah pesanan saya… nasihat saya… semoga Allah Taala memberi petunjuk kepada semua untuk memilih Perikatan Nasional,” kata Abdul Hadi.

  • Dr Din sudah cukup bagus, buat apa nak tukar?

    Dr Din sudah cukup bagus, buat apa nak tukar?

    “KAMI memang sangat berpuas hati dengan Dr Din sejak dia dipilih jadi wakil rakyat. Bagi kami, memang tiada calon lain yang akan kami pilih.

    “Biarlah Dr Din terus jadi YB Bukit Kepong lepas pilihan raya nanti,” kata seorang pengundi selepas ditanya tentang prestasi calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

    Semasa program turun padang bertemu orang ramai di sekitar pekan Pagoh petang semalam, dapat dilihat Sahruddin yang lebih popular dengan gelaran Dr Din menerima sambutan yang sangat menggalakkan.

    Beliau yang diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memang seorang tokoh yang mudah mesra dan diterima dengan baik oleh rakyat pelbagai kaum.

    Melihat kepada ‘perang bendera’ yang meriah antara PN dan Barisan Nasional (BN) di pekan Pagoh, dapat dijangka Dr Sahruddin bakal berdepan persaingan yang sengit daripada calon BN, Ismail Mohamad.

    Dua lagi calon iaitu Nur Afiqah M Zulkifli (Muda) dan Md Taib Md Suhut (Pejuang) boleh diabaikan.

    Dalam banyak perkara, Dr Sahruddin adalah jauh lebih baik berbanding Ismail dan calon-calon lain yang bertanding merebut kerusi DUN Bukit Kepong yang mempunyai seramai 37,495 pengundi.

    Walaupun pernah bergelar Menteri Besar Johor, beliau mudah didekati rakyat dan sentiasa bersedia mendengar keluh-kesah mereka.

    Banyak jasa dan bakti yang ditaburkan Dr Din sejak bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong empat tahun lalu dan banyak lagi yang boleh ditawarkan oleh pemimpin muda tersebut apabila dipilih semula nanti.

    Selain itu, rakyat di Bukit Kepong tidak melupakan betapa prihatinnya kerajaan PN yang diketuai Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

    Faktor tersebut pasti memberi kelebihan kepada Dr Din yang berjaya beroleh 1,273 undi majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Kejayaan serupa bakal diulangi pada 12 Mac ini sekali gus memberi ruang kepada PN untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada Bangsa Johor setelah membentuk kerajaan negeri yang baharu kelak.

  • 100 penduduk Kota Tinggi mohon jadi Ahli Bersekutu Bersatu

    100 penduduk Kota Tinggi mohon jadi Ahli Bersekutu Bersatu

    Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima permohonan daripada 100 penduduk Kota Tinggi untuk menjadi Ahli Bersekutu Bersatu.

    Borang keahlian diserahkan oleh wakil mereka, Jaya H Martin di Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) Zon Timur Kota Tinggi.

    “Saya mengucapkan selamat datang ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Perikatan Nasional.

    “Semoga penyertaan lebih ramai Ahli Bersekutu Bersatu akan menguatkan lagi semangat dan keazaman kita untuk membantu rakyat. Integriti, Cekap, Prihatin,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

  • Siapakah calon MB Johor? PN mesyuarat esok

    Siapakah calon MB Johor? PN mesyuarat esok

    MAJLIS Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat esok berhubung pemilihan calon Menteri Besar Johor setelah menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, calon tersebut bakal diumumkan selepas keputusan dicapai dalam mesyuarat tersebut.

    Walau bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut tentang calon-calon yang disenarai pendek.

    “Tidak ramai. Oleh kerana nak memilih jadi Yang Amat Berhormat Menteri Besar ni, kita mesti melihat dari segi kriteria-kriteria tertentu kerana dari segi pengurusan beliau untuk menguruskan negeri ini, pengalaman yang ada pada mereka yang akan meneruskan.

    “Yang paling penting adalah soal integriti mereka itu tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa,” katanya.

    Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian kepada pemberita semasa program turun padang bersama calon PN bagi kerusi Dewan Umdangan Negeri (DUN) Pagoh, Datuk Dr Sahruddin Jamal di pekan Pagoh, hari ini.

    Beliau juga tidak menyatakan sama ada calon-calon yang disenarai pendek itu dari Bersatu atau PAS.

    “Biarlah Majlis Tertinggi yang akan umumkan,” jelasnya.

    Pada masa ini, Dr Sahruddin dan calon PN bagi kerusi DUN Gambir, Mohd Solihan disebut-sebut sebagai antara tokoh yang mungkin diketengahkan sebagai calon Menteri Besar Johor bagi gabungan politik tersebut.

    Kedua-duanya bertanding di kerusi-kerusi DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Pagoh yang diwakili oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

  • PN mahu perjuangkan hak milik kekal tanah peneroka Felda

    PN mahu perjuangkan hak milik kekal tanah peneroka Felda

    PERIKATAN Nasional (PN) akan memperjuangkan supaya setiap peneroka Felda di seluruh negara diberi hak milik kekal terhadap tanah diusahakan masing-masing yang ketika ini berstatus pajakan 99 tahun dan berbaki kira-kira 30 tahun lagi.

    Ketua Penerangan PN Johor, Solihan Badri berkata, penganugerahan hak milik kekal kepada 112,635 peneroka adalah sebagai satu pernyataan terima kasih negara bagi menghargai komitmen dan pengorbanan mereka meneroka hutan untuk menanam benih kelapa sawit sehingga berjaya menghasilkan komoditi eksport utama negara sejak tanah rancangan pertama diwujudkan pada 1958 lalu.

    Menurut beliau, PN melihat langkah memberi hak milik kekal tanah tersebut juga akan menokok keluasan tanah milik tetap dalam kalangan orang Melayu.

    “Malahan kepentingan tanah itu terjaga dan boleh dilindungi dengan lebih baik jika dikategorikan sebagai tanah rizab Melayu,” katanya yang juga calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir dalam kenyataan media, hari ini.

    Solihan berkata, apabila PN mendapat sokongan padu dan dapat menubuhkan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini, PN akan memperjuangkan supaya proses menyerahkan hak milik tersebut kepada peneroka atau waris mereka mesti dilakukan segera memandangkan banyak kawasan tanah Felda kini tempoh pajakannya sudah melebihi 60 tahun.

    Malah, katanya, untuk menjamin proses ini boleh disegerakan, PN akan berunding dengan kerajaan Persekutuan untuk mencari jalan bagi membantu peneroka melunaskan baki premium tanah masing-masing supaya proses memindahkan geran hak milik kepada hak milik kekal boleh dilakukan segera selepas itu.

    “Namun sekali lagi ingin ditekankan di sini bahawa asas kepada usaha ini adalah sokongan rakyat Johor khususnya kalangan komuniti Felda sendiri untuk memenangkan calon-calon PN dan seterusnya melayakkan parti menerajui kerajaan negeri Johor,” jelasnya.

    Beliau menambah, selepas itu, PN akan segera memulakan tugas untuk melaksanakan Ikrar Perikatan Nasional untuk kepentingan, keprihatinan serta kemakmuran rakyat Johor menerusi 8 tunjang utama.

    “Ini termasuk menerusi strategi mensejahterakan komuniti Felda di negeri ini yang turut melibatkan rundingan dengan kerajaan Persekutuan serta Felda khususnya,” ujarnya.

    Solihan memberitahu, Felda tertakluk kepada Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967 dan akta ini perlu disemak dan kaji semula khususnya bagi melonggarkan atau mengenepikan halangan bagi sebarang urusan berkaitan tanah itu termasuk urusan jual beli, pindah milik, gadaian, sewaan, hibah dan wasiat melainkan mendapat kebenaran bertulis daripada Felda.

    “Bagaimanapun, kami difahamkan setakat ini tiada kelulusan berkaitan semua urusan itu pernah dibenarkan oleh Felda,” katanya.

    Beliau menambah, untuk rekod, keluasan tanah Felda adalah 351,000 hektar yang melibatkan 112,635 peneroka yang mendiami 317 tanah rancangan itu di seluruh negara. Di Johor, 35 kawasan Felda terletak dalam Felda Wilayah Segamat manakala 44 lagi dalam Felda Wilayah Johor Bahru.

    “Justeru, PN mahu memperjuangkan perkara ini khusunya pindaan dan penambahbaikan kepada GSA kerana ini soal yang melibatkan pewarisan harta pusaka peneroka Felda dapat diwarisi generasi seterusnya seiring dengan jasa dan kegigihan selama ini mengusahakan tanah tersebut.

    “Komitmen PN berhubung pemberian hak milik kekal tanah yang diusahakan oleh peneroka Felda ini bukan omong-omong kosong.

    “Buktinya, Kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, tahun lalu bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion, selain memperuntukan RM400 juta bagi membantu peneroka menghapuskan faedah hutang kebun peneroka serta penerbitan sukuk yang dijamin oleh kerajaan berjumlah RM9.9 bilion bagi menyusun semula operasi dan pengurusan Felda,” jelasnya.