Tag: PDRM

  • Warga emas rugi lebih RM4.3 juta ditipu ‘love scam’

    Warga emas rugi lebih RM4.3 juta ditipu ‘love scam’

    SEORANG pesara kerajaan mendakwa kerugian lebih RM4.3 juta akibat terpedaya dengan sindiket ‘love scam’, selepas berkenalan dengan seorang lelaki kononnya warganegara Amerika Syarikat menerusi laman Facebook, tahun lepas.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wanita berusia 66 tahun itu dikatakan telah membantu suspek yang mendakwa bekerja sebagai ahli kaji bumi di sebuah syarikat cari gali minyak, dan menetap di Amerika Syarikat antara 2 Dis 2021 hingga 31 Mei lepas.

    “Pelbagai alasan telah diberikan suspek untuk memperdaya mangsa antaranya membantu lelaki itu menjelaskan hutang, pembayaran kontrak kerja, upah pekerjaan, kos perubatan selain kos pembayaran peguam urusan harta warisan bapa suspek, yang dikatakan mati akibat tekanan masalah hutang.

    “Sepanjang tempoh berkenaan, mangsa telah membuat 190 transaksi ke dalam pelbagai akaun bank diberikan oleh suspek dengan kerugian berjumlah RM4,342,500,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun, mangsa yang disedari telah diperdaya dengan sindiket love scam berkenaan telah membuat laporan polis semalam, bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

    Dalam kes berasingan, Ramli memaklumkan seorang lelaki kerugian RM1.5 juta, selepas terpedaya dengan pelaburan penanaman pokok yang akan membuahkan ‘X-Fruit’ seluas 30 hektar, yang dikatakan boleh diproses menghasilkan minyak untuk kegunaan sebagai bahan api kapal terbang.

    Beliau berkata, mangsa berusia 38 tahun itu telah dijanjikan akan memperolehi keuntungan tiga kali ganda daripada modal pelaburan, dalam jangka masa tiga tahun.

    “Mangsa telah bersetuju dan dapat mencari pelabur daripada Kemboja dengan wang pelaburan dikumpulkan sebanyak AS $500,000, yang dimasukkan ke akaunnya, sebelum dipindahkan ke akaun bank suspek dengan tiga transaksi berjumlah RM1.5 juta,” katanya menambah kesemua transaksi dilakukan pada pertengahan tahun 2015.

    Ramli berkata, selepas hampir tiga tahun, mangsa telah cuba bertanyakan tentang perkembangan pelaburan itu namun panggilan telefonnya disekat malah usaha mengesan suspek juga gagal.

    Mangsa yang berasa telah diperdaya dan ditipu dengan pelaburan tidak wujud itu telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Dalam pada itu, polis mengingatkan orang ramai jangan terpedaya dengan pujuk rayu melalui media sosial berikutan pelaku jenayah menggunakan pelbagai muslihat untuk memperdaya mangsa. – BERNAMA

  • Polis Kelantan tumpas pengedaran rokok tidak bercukai

    Polis Kelantan tumpas pengedaran rokok tidak bercukai

    POLIS Kelantan berjaya menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis rokok tidak bercukai bernilai RM277,000 dalam serbuan di sebuah rumah dekat Kampung Telok Kitang, Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, Ahad lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris berkata, dalam serbuan Op Kontraban pada 10 malam itu, pasukannya telah menjumpai rokok-rokok berkenaan tersimpan dalam beberapa kotak rokok berwarna coklat.

    “Terdapat 2,474 karton pelbagai jenis rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai rampasan termasuk cukai RM277,000 ditemukan, dan suspek berumur dalam lingkungan 30-an itu mengaku terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok tanpa cukai sejak Mac lepas,” katanya.

    Bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu hari ini beliau berkata, suspek direman hingga 16 Jun depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – BERNAMA

  • 2 pekerja pembersihan maut terjatuh di Stadium Sultan Ibrahim

    2 pekerja pembersihan maut terjatuh di Stadium Sultan Ibrahim

    DUA pekerja pembersihan kontrak di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, maut terjatuh ketika membuat kerja-kerja pembersihan, tengah hari tadi.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi, didapati dua pekerja lelaki berusia 34 dan 35 tahun itu, maut di tempat kejadian.

    “Kedua (mangsa) warga tempatan dan kejadian (berlaku) lebih kurang jam 12.30 tengah hari semasa melakukan kerja pembersihan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, bagaimanapun siasatan lanjut masih dilakukan termasuk bagi mengenal pasti punca kejadian.

    Kamarul Zaman berkata, kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Sementara itu, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan bersimpati di atas kejadian yang menimpa pekerja daripada syarikat pembersihan profesional, yang dikontrakkan oleh JDT untuk menyelenggara fasiliti.

    JDT pada masa sama turut memaklumkan sedang menunggu laporan penuh mengenai insiden itu daripada pihak berwajib, dan syarikat yang dikontrakkan untuk menyelenggara Stadium Sultan Ibrahim. – BERNAMA

  • Tiga sahabat maut kereta bertembung lori tangki minyak

    Tiga sahabat maut kereta bertembung lori tangki minyak

    TIGA sahabat lelaki maut manakala dua lagi cedera parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di Kilometer 7 Jalan Maharajalela di Teluk Intan, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian pada pukul 9.40 malam itu dimaklumkan oleh orang awam kepada pihak polis yang melibatkan mangsa lima sahabat lelaki berusia lingkungan 19 hingga 26 tahun yang menaiki kereta Volkswagen.

    “Pemandu kereta berusia 26 tahun dan seorang penumpang berumur 19 tahun mengalami cedera parah manakala pemandu lori tangki minyak itu tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta Volkswagen itu dari arah Hutan Melintang menuju ke Teluk Intan sebelum bertembung dengan lori tangki minyak tersebut.

    Menurutnya, kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. – BERNAMA

  • Lelaki ceroboh kubur, cabut nisan direman

    Lelaki ceroboh kubur, cabut nisan direman

    POLIS menahan reman seorang lelaki kerana disyaki menceroboh dan melakukan khianat di kawasan tanah perkuburan di Kampung Jawa, Semanggol di Bagan Serai yang videonya tular di media sosial.

    Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mazuki Mat berkata, lelaki berumur 36 tahun itu ditahan hasil maklumat awam kira-kira pukul 9 pagi pada 9 Jun lepas dan direman bermula 10 hingga 15 Jun ini.

    “Berdasarkan rakaman video berdurasi 1 minit 21 saat itu yang dimuat naik dalam media sosial pada 8 Jun, seorang lelaki bertindak di luar kawalan dengan menceroboh dan melakukan khianat di sekitar kawasan perkuburan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mazuki berkata, hasil siasatan dan semakan video itu mendapati, suspek tinggal berdekatan di kawasan itu.

    “Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan. Motif kejadian masih disiasat,” katanya. – BERNAMA

  • Wanita hamil cedera diserang anjing jiran

    Wanita hamil cedera diserang anjing jiran

    SEORANG wanita mengalami kecederaan dipercayai diserang seekor anjing milik jirannya ketika cuba menghalang haiwan itu daripada menyerang anak-anaknya di parkir sebuah kondominium di Batu 9, Cheras, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata dalam kejadian 5.43 petang itu, wanita berusia 35 tahun itu diserang anjing jenis Labrador dan menerima rawatan di Hospital Kajang, selain menjalani rawatan susulan di Animal Bite Clinic, Hospital Serdang, memandangkan beliau sedang hamil.

    “Siasatan mendapati anjing peliharaan itu adalah milik seorang wanita tempatan berusia 38 tahun yang merupakan jiran di kawasan yang sama dan tidak mempunyai lesen yang sah untuk memelihara anjing itu.

    “Kejadian berkenaan berpunca daripada pemilik anjing yang telah cuai dan terlepas tali pengikat anjing menyebabkan haiwan itu bertindak di luar kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda RM 2,000 atau kedua-duanya.

    Mohd Zaid menyeru orang ramai yang ingin memelihara anjing di mana-mana premis termasuk rumah persendirian, supaya mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan serta memastikan haiwan peliharaan mereka dikawal rapi bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

    Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana balai polis atau terus menghubungi pegawai penyiasat kes Sjn Muhammad Fadeli Safii di talian 012-5373134. – BERNAMA

  • Pelajar lemas cuba selamatkan rakan tergelincir

    Pelajar lemas cuba selamatkan rakan tergelincir

    KEGEMBIRAAN tiga rakan mandi-manda di Lata Guling, Sungai Rual, dekat Jeli hari ini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas.

    Lebih memilukan, kejadian berlaku ketika Nor Aina Mohd Nasir, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli mahu menyelamatkan seorang rakannya yang tergelincir.

    Ketua Polis Daerah Jeli, Supt Ahmad Ariffin berkata, Nor Aina yang berasal dari Kampung Pasir Dusun bersama dua rakannya itu telah ke tempat kejadian untuk mandi pada 2.30 petang.

    “Kira-kira 3.05 petang, rakan Nor Aina iaitu Rosmaidayu Mohd Rasyid, 17, yang turun untuk mandi di lata itu telah tergelincir. Melihat keadaan itu, Nor Aina cuba menyelamatkan Rosmaidayu namun dia turut dihanyutkan air dan tenggelam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad berkata, Rosmaidayu berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung namun Nor Aina gagal ditemukan.

    “Pada 3.35 petang, mangsa dijumpai abang kandungnya selepas melakukan selaman di kawasan kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat. – BERNAMA

  • Suami isteri tipu tempahan rumah inap ditahan

    Suami isteri tipu tempahan rumah inap ditahan

    POLIS Terengganu menahan sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dalam kes penipuan tempahan rumah inap yang dilaporkan berlaku di negeri itu, baru-baru ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Supt M. Zambri Mahmud berkata, pasangan suami isteri yang berumur 27 dan 26 tahun itu ditangkap hasil serbuan di sebuah rumah di Dungun, semalam.

    “Dalam serbuan tersebut, turut dirampas masing-masing satu unit kad ATM, telefon bimbit, SD Microkad dan simkad,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya kedua-dua suspek warga tempatan itu ditahan reman empat hari sehingga Ahad setelah mendapat kebenaran Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

    Dilaporkan baru-baru ini, hasrat beberapa pelancong untuk bercuti ke Terengganu terbantut selepas mendapati lokasi rumah inap yang ditempah mereka sebenarnya tidak wujud.

    Mangsa dilaporkan cuba menghubungi ‘pemilik’ rumah inap itu namun gagal dan penduduk yang tinggal berdekatan lokasi berkenaan memaklumkan bahawa rumah inap tersebut tidak wujud.

    M. Zambri berkata, setakat ini pihaknya menerima satu laporan daripada seorang mangsa yang menerima pesanan ringkas daripada satu nombor telefon bimbit yang mengaku sebagai pemilik rumah inap di Jalan Pasir Panjang, di sini.

    Katanya pada hari yang sama juga mangsa telah membuat pembayaran secara dalam talian sebanyak RM221.50 ke satu akaun dan telah pergi ke ‘rumah inap’ berkenaan namun mendapati ia sebenarnya tidak wujud.

    Sementara itu, kerajaan Terengganu menasihatkan orang ramai yang ingin bercuti ke negeri itu supaya mendapatkan khidmat pelancongan daripada ejen berlesen bagi mengelak ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

    Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Sulaiman Sulong berkata, Terengganu sentiasa menjadi tumpuan orang ramai terutama pada musim cuti sekali gus menyebabkan ada pihak cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan cara menipu.

    “Panduan mengenai destinasi pelancongan dan maklumat berkaitan boleh diperoleh menerusi Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

    “Selain itu, senarai ejen pelancongan berlesen dan sah juga boleh disemak melalui laman sesawang https://www.motac.gov.my/semakan/tobtab,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA

  • Suri rumah kantoi ‘meniaga’ jual air ketum

    Suri rumah kantoi ‘meniaga’ jual air ketum

    POLIS menahan seorang suri rumah dipercayai menjadi pengedar air ketum menerusi satu serbuan yang dilakukan di sebuah kediaman di sekitar Jalan Tambun Tulang, Kampung Baru Arau semalam.

    Ketua Polis Daerah Arau, Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis menjumpai 150 bungkusan plastik dan sembilan botol berpenutup dipercayai mengandungi air ketum di lantai tandas di bahagian dapur rumah.

    “Hasil siasatan awal polis mendapati suspek terlibat menjual air ketum dengan harga RM4 sebungkus dan RM10 sebotol di sekitar kawasan Kampung Baru Kepala 10 Tambung Tulang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Ahmad Mohsin berkata, suspek berumur 40 tahun itu dipercayai mula aktif menjual air ketum sejak enam bulan lepas.

    Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 5 Jun.

    “Barang rampasan dibawa ke Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. – BERNAMA

  • Suri rumah rugi RM71,100 ditipu ‘Sifuku Millennium’

    Suri rumah rugi RM71,100 ditipu ‘Sifuku Millennium’

    SEORANG suri rumah mengalami kerugian RM71,100 selepas ditipu sindiket pelaburan wang tidak wujud “Sifuku Millennium” menerusi aplikasi laman sosial yang menawarkan pulangan lumayan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Supt Wan Aeidil Wan Abdullah berkata, mangsa berusia 54 tahun itu tertarik dengan tawaran pelaburan berkenaan selepas melihat iklan “Sifuku Millennium” menerusi laman Facebook.

    “Mangsa yang terpedaya dengan tawaran lumayan itu kemudian membuat pindahan wang permulaan berjumlah RM8,600 ke akaun bank yang diberikan oleh suspek pada 24 Mei,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mangsa membuat beberapa pemindahan wang dalam tempoh seminggu bermula 24 sehingga 30 Mei.

    Katanya, wanita berkenaan telah membuat laporan polis pada semalam selepas suspek menyedari bahawa beliau telah diperdaya oleh suspek.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis akan mengumpul maklumat pemilik akaun bank yang digunakan suspek bagi transaksi pelaburan berkenaan,” katanya.

    Wan Aeidil berkata, mengikut statistik polis sebanyak 22 kertas berhubung kes penipuan babitkan pelaburan tidak wujud dibuka dalam tempoh Januari hingga 2 Jun melibatkan kerugian berjumlah RM211,393.16.

    “Polis menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan iklan-iklan promosi pelaburan di media sosial dan dapat melakukan semakan terlebih dahulu menerusi perkhidmatan disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman,” katanya. – BERNAMA