Tag: PDRM

  • Penghantar makanan maut motosikal dilangggar kereta

    Penghantar makanan maut motosikal dilangggar kereta

    SEORANG penghantar makanan maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di simpang lampu isyarat Jalan Seremban-Paroi berhampiran Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi dekat Seremban, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.55 pagi.

    Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Alza yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 32 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Paroi menghala ke Seremban.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian iaitu simpang empat berlampu isyarat, kereta yang dipandu itu sedang bergerak terus kemudian datang sebuah motosikal jenis Honda RS150 yang ditunggang seorang lelaki berumur 27 tahun bekerja sebagai penghantar makanan.

    “Motosikal mangsa datang dari simpang sebelah kiri menyebabkan kereta tersebut tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian kanan motosikal yang ditunggang oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Mohd Said menambah, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Beliau memberitahu, mayat mangsa telah dibawa ke bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” jelasnya.

  • PDRM jamin keselamatan, ketenteraman awam negara terkawal – KPN

    PDRM jamin keselamatan, ketenteraman awam negara terkawal – KPN

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam negara terkawal susulan situasi semasa politik negara.

    Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata sehubungan itu orang ramai diminta tidak gusar dan membuat sebarang spekulasi kerana PDRM akan memastikan keselamatan negara kekal berada pada tahap selamat selain meningkatkan pemantauan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.

    “PDRM sentiasa memantau senario keselamatan semasa dan akan mengambil tindakan tegas jika terdapat mana-mana pihak menggunakan apa jua medium yang boleh menimbulkan hasutan dan menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada masa sama orang ramai diminta agar sentiasa mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menjalani kehidupan harian, sebagai usaha bersama membendung penularan wabak COVID-19.

    Hari ini Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan selepas 17 bulan memegang jawatan itu.- BERNAMA