Tag: PDRM

  • Lelaki rentung selepas kereta terbabas dan terbakar

    Lelaki rentung selepas kereta terbabas dan terbakar

    SEORANG lelaki ditemukan rentung di dalam kereta dipandunya yang terbabas sebelum terbakar di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Balai Undang Sungai Ujong, dekat Seremban, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof berkata, mangsa yang berusia 35 tahun itu dipercayai memandu sendirian dari arah Seremban menghala ke Kuala Pilah ketika nahas berlaku kira-kira pukul 4.50 pagi,

    “Sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Saga yang dipandu mangsa disyaki hilang kawalan sebelum terbabas ke pembahagi tengah jalan dan melanggar tiang lampu jalan raya itu.

    “Akibat pelanggaran yang kuat itu, kereta mangsa mengalami kerosakan yang teruk di bahagian hadapan sehingga menyebabkan dia tersepit dan gagal keluar daripada kereta sebelum kenderaan tersebut terbakar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Nanda berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk bedah siasat.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – BERNAMA

  • Wanita maut leher dikelar dalam pergaduhan

    Wanita maut leher dikelar dalam pergaduhan

    SEORANG wanita berusia 29 tahun maut akibat leher dikelar dalam insiden pergaduhan di Serdang Perdana, Seri Kembangan malam tadi.

    Memetik laporan BH, dia yang juga pemilik kedai menjual peralatan rumah dan pejabat ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di dalam kedainya.

    Kejadian dikatakan berlaku pada pukul 7 malam.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan tentang pergaduhan tersebut.

    “Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher.

    “Mangsa dipercayai pemilik kedai, di mana berlakunya kejadian pergaduhan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

    Anbalagan berkata, polis sedang mengenal pasti suspek dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Sementara itu, Bernama melaporkan, seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan di Serdang Perdana, Seri Kembangan malam tadi sehingga menyebabkan kematian seorang wanita, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pagi tadi.

    Anbalagan dalam kenyataan hari ini berkata, lelaki berumur 33 tahun yang juga teman lelaki mangsa menyerah diri pada pukul 11.30 pagi dan motif pembunuhan dipercayai kerana cemburu.

    Anbalagan berkata, ujian air kencing terhadap suspek yang bekerja sebagai pemandu lori adalah negatif dadah dan pihak polis sedang meneruskan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Kes ADUN positif dadah: Polis belum terima arahan PPN

    Kes ADUN positif dadah: Polis belum terima arahan PPN

    POLIS Pulau Pinang telah menyerahkan kertas siasatan kes Ahli Dewan Undangan (ADUN) Perak yang ujian air kencingnya positif dadah ketika ditahan di sebuah pusat hiburan di Perai dekat George Town bulan lepas, kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan selanjutnya.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kertas siasatan yang lengkap dengan laporan patologi sampel air kencing ADUN itu diserahkan pada 3 Feb lepas.

    “Setakat ini kami belum mendapat sebarang arahan daripada PPN untuk tindakan lanjut, sama ada untuk mendakwa atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita di George Town, Pulau Pinang hari ini.

    Kertas siasatan berkenaan sebelum ini sudah pun diserahkan kepada PPN Pulau Pinang sekitar hujung bulan lepas, namun ia dikembalikan untuk beberapa tindakan susulan.

    Pada 13 Jan lepas, dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam di sebuah pusat hiburan di Perai, 48 individu ditahan dengan 36 daripadanya berkaitan kes narkotik manakala 12 lagi berkaitan kes jenayah, dan seorang daripada yang ditahan ialah ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu apabila ujian air kencing mendapati dia positif dadah.

    Terence Naidu bagaimanapun menafikan beliau mengambil dadah, malah dalam surat penjelasannya kepada DAP beliau memberitahu hasil ujian saringan air kencing yang dibuat di sebuah klinik kemudiannya mendapati beliau negatif dadah. – BERNAMA

  • Warga asing dalang sindiket edar pil kuda

    Warga asing dalang sindiket edar pil kuda

    POLIS Pulau Pinang menahan seramai tiga warga asing termasuk seorang wanita yang disyaki menjadi dalang sindiket pengedaran pil kuda dan merampas 90,000 biji pil kuda bernilai RM900,000.

    Turut dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Jelutong, Georgetown semalam dan kelmarin itu adalah dadah jenis syabu bernilai RM69,500 dan 27,000 pil jenis psikotropik (RM9,000).

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek yang ditahan itu berusia 34 hingga 47 tahun dan bekerja sebagai kontraktor binaan manakala suspek wanita merupakan teman wanita salah seorang suspek lelaki berusia 36 tahun.

    Katanya, salah seorang suspek telah berada di negara ini sejak 10 tahun lalu serta mempunyai dokumen perjalanan sah dan dipercayai sudah aktif mengedar pil serta dadah berkenaan sejak Mac tahun lalu.

    “Kita percaya pil psikotropik yang dirampas adalah untuk dijual kepada buruh di tapak pembinaan kerana pil itu dapat membantu mengatasi masalah tidur dan kemurungan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Tambah beliau, dalam operasi sama polis turut menyita tiga buah kenderaan, barang kemas dan wang tunai yang keseluruhan rampasan berjumlah RM82,550.

    Sementara itu katanya, dalam operasi berasingan kelmarin dan semalam juga, polis turut menahan tiga lelaki tempatan berusia 39 hingga 53 tahun di Kubang Semang kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran ganja.

    Jelasnya, polis turut menjumpai tiga ketulan mampat plastik lutsinar disyaki ganja seberat 950 gram bernilai RM2,375 di kediaman suspek yang bekerja sebagai buruh dan petani.

    “Selain itu, kita turut merampas wang tunai bernilai RM181,000 di rumah suspek dan risikan mendapati sindiket ini aktif sejak pertengahan tahun lalu,” katanya.

    Tambah beliau, kesemua suspek dalam dua kes tersebut ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta direman selama tujuh hari bermula semalam.

  • Beg dilarikan 5 suspek kes samun berisi barang kemas bernilai RM500,000

    Beg dilarikan 5 suspek kes samun berisi barang kemas bernilai RM500,000

    POLIS sedang memburu lima lelaki bersenjatakan parang yang melakukan samun dan melarikan satu beg berisi barang kemas dianggarkan bernilai RM500,000 di sebuah stesen minyak di Lukut, Pert Dickson, semalam.

    Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu suspek menyamun mangsa yang merupakan pemilik kedai emas.

    Menurutnya, suspek mengambil tiga buah beg berisi barang kemas, sebuah telefon bimbit, wang tunai dan dokumen peribadi milik mangsa sebelum melarikan diri.

    “Bagaimana pun dua daripada tiga beg itu telah dijumpai semula di dalam Honda CRV yang terbalik di hadapan deretan kedai.

    “Siasatan awal mendapati tiada unsur penglibatan orang dalam walaupun ada pihak yang mengatakan seolah-olah kes samun itu telah dirancang,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, kumpulan suspek ini dipercayai telah mengekori mangsa sejak dari awal sehingga berhenti di stesen minyak.

    “Usaha mengesan kesemua suspek yang dipercayai bukan penduduk Port Dickson itu giat dilakukan dan orang awam atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat diminta membantu siasatan.

    “Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Fatiha Nur Hamidus di talian 013-6217365 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999,” katanya.

  • Pegawai khas ADUN diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud

    Pegawai khas ADUN diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud

    SEORANG pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerugian RM9,345 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud.

    Sinar Harian melaporkan, mangsa, 52, mendapat maklumat berhubung pinjaman berkenaan di laman sosial Instagram pada Selasa lepas.

    Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, lelaki tersebut ingin membuat pinjaman sebanyak RM10,000 kemudiannya berurusan dengan dua ejen pinjaman dikenali sebagai Tony 011-17856169 dan Daniel Heng 011-72212382 melalui aplikasi WhatsApp.

    “Percaya dengan urusan yang dijalankan mangsa telah diminta untuk melakukan bayaran disebabkan ‘scoring’ akaun bank mangsa tidak layak untuk melakukan pinjaman.

    “Mangsa membuat pembayaran sebanyak RM9,345.92 untuk menguruskan akaun bank tersebut termasuk bayaran cukai bagi meluluskan pinjaman di tiga akaun berbeza atas nama Sapiah Mohd Yusof, Vynielly Deli dan Jordan Choo Tai Syn.

    “Bagaimanapun, mangsa masih lagi diminta untuk melakukan bayaran tambahan untuk meluluskan pinjaman ini. Menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis pada Rabu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sementara itu dalam perkembangan lain, Chang Hook berkata, seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun juga mengalami kerugian RM1,950 selepas ditipu dengan tawaran pembelian sebuah komputer riba menerusi Instagram.

    “Dia melihat iklan jualan komputer riba itu pada 2 Februari lepas bernilai RM1,950 lalu berurusan dengan seorang lelaki dan barang itu akan sampai dalam masa dua hari sekiranya pembayaran penuh di buat.

    “Mangsa bersetuju dengan tawaran berkenaan lalu membuat pembayaran dalam sebuah akaun bank atas nama Viknesh Chandran sebanyak RM1,400 pada 3 Februari secara dalam talian seterusnya RM550 pada 9 Februari atas nama K. Prabu.

    “Sehingga ke hari ini mangsa tidak menerima komputer riba seperti mana yang di janjikan malah lelaki berkenaan juga gagal dihubungi. Hasil Siasatan awal nombor akaun yang digunakan mempunyai rekod penglibatan penjenayah penipuan,” ujarnya.

    Tambahnya, mangsa membuat laporan polis pada Rabu kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Dakwaan polis ‘tutup mata’ kes judi, pelacuran satu fitnah

    Dakwaan polis ‘tutup mata’ kes judi, pelacuran satu fitnah

    POLIS Perak menafikan dakwaan bahawa pihaknya ‘menutup mata’ dengan tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan perjudian dalam talian dan pelacuran yang dikatakan berlaku di beberapa daerah di negeri ini.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dakwaan pemilik akaun Twitter Edisi Khas itu, yang turut mengatakan ramai polis mengambil kesempatan atas kegiatan tersebut dengan menerima rasuah, adalah tidak benar dan merupakan fitnah kepada anggota dan pegawainya.

    Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kes perjudian dan pelacuran di negeri ini.

    “Dia patut tampil untuk memberi maklumat supaya kita boleh bertindak. Jangan baling batu sembunyi tangan. Kalau betul, kita ada pihak tertentu yang akan buat siasatan.

    “Kalau dia takut hendak memberi maklumat, gunalah saluran yang betul, ada akta yang boleh melindungi dia tanpa orang mengetahui identiti pelapor. Sesiapa yang ada maklumat berkenaan kegiatan haram di negeri Perak boleh tampil berikan maklumat,” katanya pada sidang media di Ipoh hari ini.

    Beliau berkata, semua ketua polis daerah di negeri ini telah diarahkan untuk mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan berkenaan sekiranya berlaku di daerah masing-masing, malah serbuan ke atas pusat hiburan juga diadakan secara berkala.

    Menurut Mior Faridalathrash, pihaknya turut meminta pihak berkuasa tempatan di kawasan terlibat untuk membatalkan lesen premis pusat hiburan yang menggajikan warga asing sebagai pelayan pelanggan (GRO).

    Semalam, pemilik akaun Twitter itu memuat naik ciapan mendakwa beberapa daerah di Perak iaitu Manjung, Batu Gajah, Ipoh dan Teluk Intan, sudah dibanjiri dengan kedai judi dalam talian dan pelacuran, namun tiada tindakan diambil oleh pihak polis.

    Ciapan itu turut mendakwa pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima rasuah daripada sindiket terbabit. – BERNAMA

  • Suri rumah, akauntan rugi RM49,000 akibat ditipu

    Suri rumah, akauntan rugi RM49,000 akibat ditipu

    SEORANG suri rumah dan seorang akauntan merupakan dua lagi mangsa yang terpedaya dengan sindiket penipuan menggunakan taktik tawaran kerja palsu, membabitkan kerugian RM49,000 di Kuantan, Pahang semalam.

    Ekoran kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kerugian masing-masing RM35,000 dan RM14,000, lapor Berita Harian.

    Dalam kes pertama, seorang suri rumah berusia 35 tahun ditipu suspek yang memperkenalkan diri sebagai Manager Lin, kononnya menawarkan kerja sambilan yang beralamat di Ladang Gali Estate Jalan Lipis.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, sebelum kejadian, mangsa dihubungi suspek melalui WhatsApp, sebelum bersetuju dengan tawaran tersebut, lalu memindahkan bayaran RM510 ke dalam akuan bank seperti diminta.

    Katanya, selepas dua urusan berhasil di mana mangsa menerima keuntungan RM124 melalui pekerjaan itu, kelmarin suspek cuba meyakinkan mangsa supaya memindahkan lebih banyak wang untuk mendapatkan lebih keuntungan.

    Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan janji manis suspek lalu memindahkan RM35,000 melalui enam transaksi ke dalam tiga akaun berbeza diberi suspek.

    “Mangsa hanya menyedari tertipu selepas tidak menerima keuntungan seperti dijanjikan dan Manager Lin gagal dihubungi, sebelum dia tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub semalam,” ujar beliau.

    Menurut Mohd Wazir, modus operandi suspek adalah memperdaya mangsa dengan menawarkan pekerjaan sambilan yang tidak wujud, namun mangsa perlu membayar perkhidmatan disediakan.

    Dalam kes berasingan pula ujarnya, seorang lelaki berusia 28 tahun yang juga akauntan kerugian lebih RM14,000 selepas terpedaya dengan taktik sama iaitu menawarkan kerja sambilan yang tidak wujud.

    Beliau berkata, mangsa dari Kampung Padang Dua Jalan Bukit Goh, hanya melakukan kerja sambilan dalam talian dan berpeluang menerima komisen 10 peratus daripada pekerjaan dilakukan.

    Menurutnya, mangsa merasa tertipu apabila komisen dijanjikan tidak diterima sedangkan sudah membuat bayaran seperti diarahkan, sebelum mangsa membuat laporan di IPD Kuantan semalam.

    “Saya nasihatkan masyarakat tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja tidak wujud memandangkan kes sebegini semakin banyak berlaku dan menyebabkan kerugian besar kepada mangsa,” katanya.

    Tambah beliau, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Kerani wanita rugi RM32,000 jadi mangsa Macau Scam

    Kerani wanita rugi RM32,000 jadi mangsa Macau Scam

    LAGI penjawat awam menjadi mangsa sindiket Macau Scam.

    Kali ini membabitkan seorang kerani wanita sebuah jabatan kerajaan kerugian RM32,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan berkenaan yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan (KKM), lapor Berita Harian.

    Wanita berusia 41 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai farmasi kawalan ubat di Petaling Jaya, Selangor yang mendakwa mangsa pernah mengambil ubat di klinik 1Malaysia di Kampung Ampang Baru, Ipoh sebanyak lapan kali.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa menafikan perkara itu, sebelum panggilan disambungkan pula kepada dua individu kononnya anggota polis dikenali Sarjan Kuha dan Inspektor Yong.

    Menurut beliau, kerani wanita berkenaan kemudian diminta memindahkan wang daripada akaunnya ke dalam ke akaun tertentu dengan alasan untuk mengelak aset dibekukan, selain ditahan pihak berkuasa.

    Katanya, individu yang menyamar sebagai Inspektor Yong itu juga meminta maklumat pengenalan dan kata laluan iRakyat milik mangsa di mana wanita itu akhirnya mengikuti arahan saspek.

    “Pada 10 Februari lalu, mangsa memindahkan wang RM28,000 seperti diminta suspek, sebelum menyedari baki wang dalam akaun miliknya juga hilang.

    “Mangsa kemudian menghubungi pihak bank bagi menyekat akaun miliknya,” ujar Mohd Wazir menerusi kenyataan media hari ini.

    Mohd Wazir memberitahu, modus operandi penipuan adalah memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pegawai KKM dan pegawai polis.

    Katanya, mangsa yang kerugian RM32,000 kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

    Sementara itu menurut beliau, dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 33 tahun kerugian lebih RM10,000 selepas terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai wakil sebuah syarikat penerbangan, dengan modus operandi hampir sama.

    Katanya, kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Pejabat UMNO Mersing dipecah masuk, data PRN Johor hilang

    Pejabat UMNO Mersing dipecah masuk, data PRN Johor hilang

    PEJABAT UMNO Bahagian Mersing yang terletak di Jalan Ismail di Mersing dipercayai dipecah masuk selepas beberapa kelengkapan berharga premis itu didapati hilang.

    Ketua Puteri UMNO Bahagian Mersing, Rina Farhana Abdullah berkata, kejadian itu disedari kira-kira pukul 8 pagi tadi, ketika dia dan seorang lagi kakitangan hendak memulakan tugas sebelum mendapati pintu utama premis itu tidak berkunci.

    “Saya lihat pintu pejabat telah dipecah dan mendapati beg berwarna putih yang mengandungi enam unit telefon bimbit jenama Nokia, 10 keping kad sim pelbagai jenis, data Pilihan Raya Negeri Johor, baucar sagu hati petugas dan sebuah fail berisi senarai nama serta laporan sikap petugas telah hilang.

    “Bagaimanapun, beberapa laptop yang terletak berdekatan beg berkenaan tidak dicuri selain keadaan pejabat yang seperti biasa (tidak berselerak),” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyrill Edward Nuing mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian dan berkata kes itu masih dalam siasatan. – BERNAMA