Tag: PDRM

  • Jurulatih wushu disyaki cabul 2 pelajar bawah umur

    Jurulatih wushu disyaki cabul 2 pelajar bawah umur

    POLIS menahan seorang jurulatih wushu kerana dipercayai melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan, Isnin lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Habibi Majinji berkata, suspek berusia 30-an yang bertugas di sebuah akademi wushu di Cheras, juga pernah ditahan polis daerah Kajang atas tuduhan sama baru-baru ini.

    Dalam kes terkini beliau berkata, suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut dalam dua kejadian berasingan awal April lepas.

    “Mangsa berusia 12 dan 13 tahun itu mungkin berdiam diri ketika kejadian dan membiarkan tindak-tanduk suspek kerana menganggapnya jurulatih mereka.

    “Akibat ketakutan, mangsa telah memaklumkan kepada ibu bapa masing-masing dan laporan polis telah dibuat,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

    Mengulas mengenai modus operandi suspek, Habibi berkata suspek akan mengajak mangsa untuk menaiki keretanya selepas selesai latihan dengan alasan untuk bersiar-siar sebelum mencabul mangsa.

    Suspek direman hingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

    “Ketika ini kertas siasatan hampir selesai dan polis akan merujuk pihak pendakwa raya hari ini. Arahan pertuduhan akan diperoleh secepat mungkin apabila keterangan suspek mencukupi. Kalau tidak, siasatan akan diteruskan dan reman mungkin akan bersambung.

    “Namun, ia perlu diselesaikan segera bagi menjaga kebajikan mangsa yang masih di bawah umur,” katanya.

    Habibi berkata, ketika ini mangsa dijaga keluarga masing-masing dan tidak lagi mengikuti latihan di akademi itu akibat fobia selain status penutupan akademi tersebut masih belum diputuskan.

    Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan dilapor mengesahkan penahanan suspek berhubung kes cabul pelajarnya yang berusia 13 tahun dalam kejadian pada 11 hingga 19 Feb lepas di sekitar Taman Kajang Mewah, Kajang.

    Hari ini Habibi mendedahkan terdapat empat kes melibatkan suspek yang kini sedang disiasat iaitu masing-masing dua di Kuala Lumpur dan Selangor. – BERNAMA

  • Peragut rantai emas wanita warga asing ditahan

    Peragut rantai emas wanita warga asing ditahan

    SEORANG lelaki warga tempatan ditahan polis selepas disyaki meragut rantai emas seorang wanita warga asing dalam kejadian pada 4 petang di tepi Jalan Kuchai Maju 10, di Kuala Lumpur, semalam.

    Ketua Polis Daerah Brickfield, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 10.15 malam hari yang sama.

    Beliau berkata, ketika kejadian wanita warga asing berumur 31 tahun itu sedang berjalan berseorangan dan telah didatangi oleh suspek dari arah belakang dan terus meragut rantai emas yang dipakainya.

    “Semasa tangkapan dibuat, polis turut membuat rampasan barang yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa melakukan jenayah iaitu sepasang pakaian, sebuah beg Grab Food, satu telefon bimbit dan motosikal jenis Yamaha NVX berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Amihizam berkata, siasatan awal polis mendapati lelaki itu mengaku meragut rantai emas milik wanita itu dan telah menjual rantai tersebut di kedai pajak gadai di kawasan Bandar Sri Permaisuri dengan nilai pajakan RM600.

    Katanya suspek telah ditahan reman selama empat hari mulai hari ini. – BERNAMA

  • Love Scam: Guru wanita pencen rugi RM472,941

    Love Scam: Guru wanita pencen rugi RM472,941

    MALANG berganda buat seorang pesara guru wanita selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam yang akhirnya menyebabkan dirinya terjebak dalam penipuan pinjaman wang tidak wujud sehingga mendakwa dirinya kerugian RM472,941.

    Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, DSP Yap Huat Tian berkata, mangsa yang berusia 65 tahun mendakwa dirinya telah berurusan dengan tiga syarikat pemberi pinjaman wang yang diketahuinya di internet sejak Februari lepas kerana berhasrat membuat pinjaman sebanyak RM2.5 juta.

    “Mangsa mendakwa wang itu bagi membantu rakan lelakinya, seorang warga Amerika Syarikat yang sedang berhadapan masalah perniagaan menyebabkan lelaki itu tidak mempunyai wang untuk membayar gaji pekerja dan cukai perniagaan.

    “Lelaki itu didakwa meminta bantuan mangsa dengan janji akan memulangkan kembali wang itu selepas berjaya mencairkan aset milik bapanya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Mangsa seterusnya mendakwa dirinya telah dihubungi oleh individu mendakwa mereka sebagai ejen syarikat pemberi pinjaman wang tersebut yang memintanya untuk memasukkan sejumlah wang ke akaun diberikan atas pelbagai alasan termasuk bagi mengaktifkan akaun itu sebelum wang pinjaman dapat dipindahkan.

    Mungkin didorong oleh perasaan kasihan kepada rakan lelakinya, guru wanita terbabit membuat 49 transaksi pemindahan wang ke akaun diarahkan oleh suspek terlibat sebelum menyedari dia ditipu kerana pinjamannya masih belum diluluskan walaupun wang simpanannya habis dipindahkan seperti arahan suspek.

    “Mangsa mendakwa turut diugut oleh seorang suspek apabila memaklumkan dirinya tidak mahu meneruskan pinjaman selepas berasa ragu-ragu dengan kesahihan syarikat. Mangsa akhirnya membuat laporan di Balai Polis Bentong semalam,” katanya.

    Yap berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan iklan perkhidmatan memberi pinjaman wang di internet, sebaliknya berurusan secara fizikal dengan syarikat peminjam berlesen sahaja bagi mengelakkan risiko ditipu. – BERNAMA

  • 8 lelaki ditahan pecah masuk kedai telefon bimbit

    8 lelaki ditahan pecah masuk kedai telefon bimbit

    POLIS menahan lapan lelaki disyaki terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah premis menjual telefon bimbit di Taman Kemuning dekat Kulim, Rabu lepas.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Mohd Redzuan Salleh berkata, kesemua yang berusia 18 hingga 28 tahun ditahan di Kulim dan Simpang Empat, Pulau Pinang dalam tempoh 24 jam selepas kejadian.

    “Polis menerima panggilan daripada orang awam pada 5.40 pagi pada hari kejadian yang memaklumkan ternampak tiga lelaki sedang mengheret sebuah peti besi di kawasan perumahan itu.

    “Pemilik premis telah membuat laporan polis pada 9 pagi hari sama selepas mendapati pintu belakang kedainya telah dipecahkan dan premis itu dalam keadaan berselerak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Redzuan berkata, pemilik premis turut memaklumkan 30 telefon bimbit dan sebuah peti besi telah hilang.

    Bertindak atas maklumat itu, polis melancarkan operasi mengesan suspek dan berjaya menahan tiga daripadanya di sekitar Kulim manakala lima lagi di Simpang Empat.

    Menurutnya, polis menemukan sebuah peti besi, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama, tiga jam tangan, 23 kad prabayar, pelbagai aksesori telefon bimbit serta dua album mengandungi koleksi mata wang asing.

    “Turut dirampas, satu kuku kambing dipercayai digunakan untuk memecah masuk premis itu, dua motosikal serta sebuah kereta yang disewa,” katanya.

    Mohd Redzuan berkata, kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Lelaki rogol anak saudara depan isteri dan anak

    Lelaki rogol anak saudara depan isteri dan anak

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang tukang aluminium bertindak di luar kawalan apabila merogol anak saudaranya ketika isteri dan dua anaknya berusia tujuh dan lapan tahun, sedang tidur dalam bilik yang sama di sebuah rumah di Bandar Mutiara, Sungai Petani, Kedah, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Zaidy Che Hassan berkata, suspek yang berusia 34 tahun dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu ketika masuk ke bilik tidurnya kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

    Katanya, mangsa yang berusia 16 tahun dan sudah tidak bersekolah dikatakan cuba melawan namun tidak berdaya berbuat demikian.

    “Mangsa yang dijaga nenek sejak setahun lalu, datang menumpang di rumah suspek selama dua hari setelah neneknya pulang ke kampung di Pendang. Suspek merupakan suami kepada adik ibu mangsa.

    “Akibat terlalu takut, mangsa tidak menjerit ketika diraba dan dirogol bapa saudaranya. Kejadian dipercayai berlaku dalam salah sebuah daripada tiga bilik yang berada dalam rumah tersebut, yang merupakan bilik tidur pasangan suami isteri tersebut,” katanya.

    Tambahnya, satu laporan polis dibuat kira-kira pukul 10 malam tadi di Balai Polis Sungai Petani.

    “Pemeriksaan dijalankan pakar perubatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) mendapati terdapat kesan tusukan benda tumpul selain koyakan baharu pada kemaluan mangsa.

    “Berikutan itu, suspek telah ditahan kira-kira pukul 12.38 malam tadi. Dia kemudiannya direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

  • Warga emas antara 23 pemandu mabuk ditahan polis

    Warga emas antara 23 pemandu mabuk ditahan polis

    POLIS menahan 23 individu termasuk seorang warga emas berumur 68 tahun kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Samseng Jalanan, Op Motosikal/Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu negara sejak Jumaat lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, selain 23 individu berkenaan, pihaknya turut menahan lapan individu kerana menunggang dalam keadaan merbahaya dengan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing sesama sendiri.

    “Kesemua suspek (lapan individu) berkenaan yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 19 tahun telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Sementara itu, Sarifudin berkata, tangkapan lain melibatkan seorang individu yang melakukan kesalahan menghalang tugas penjawat awam, seorang disyaki menunggang motosikal curi manakala seorang lagi dipercayai memiliki dadah.

    Beliau berkata, dalam Operasi Motosikal dengan kolaborasi Jabatan Alam Sekitar semalam pula, pihaknya mengeluarkan sembilan saman kepada pemandu hasil ujian terhadap 20 kenderaan kerana tidak mematuhi spesifikasi struktur kenderaan (ekzos) yang ditetapkan.

    Menurutnya, secara keseluruhan 435 jumlah saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan trafik dan 13 motosikal disita atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos) sepanjang tiga hari operasi Samseng Jalanan, Op Motosikal/Pelbagai Kesalahan itu.

    Sarifudin berkata, operasi bermula pada Jumaat dan selesai awal pagi tadi dijalankan di sekitar ibu kota termasuk Jalan Raja Laut, Jalan Genting Klang, Jalan Kuching, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2). – BERNAMA

  • Pelajar Politeknik Merlimau maut kemalangan motosikal

    Pelajar Politeknik Merlimau maut kemalangan motosikal

    POLIS sedang mengesan kenderaan dan saksi berhubung kemalangan maut membabitkan seorang pelajar Politeknik Merlimau, Melaka di Kilometer 252, Lebuhraya Utara Selatan, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof berkata, dalam kejadian kira-kira 1.45 pagi itu mangsa, Muhammad Naufal Amjad, 19, yang beralamat di Kampung Banggol Tok Jiring, Terengganu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

    “Siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha sedang dalam perjalanan dari arah selatan menuju ke utara. Setakat ini, terdapat seorang saksi bebas yang mungkin dapat membantu siasatan.

    “Keadaan bentuk jalan di lokasi kemalangan adalah jalan lurus yang mempunyai tiga lorong sehala dan tiada lampu jalan dengan keadaan cuaca ketika itu baik dan permukaan jalan kering,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Justeru, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan atau merakamkan kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Zaman Mohd Hayal di talian 0127173867.

    Beliau berkata, mayat pelajar Politeknik Merlimau itu kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Cubaan seludup dadah RM1 juta guna kurier, kargo KLIA tumpas

    Cubaan seludup dadah RM1 juta guna kurier, kargo KLIA tumpas

    POLIS berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dadah jenis syabu dari Lembah Klang ke Sabah dan Sarawak, melalui perkhidmatan kurier dan kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam dua kes berasingan, bulan ini.

    Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Imran Abd Rahman dalam sidang media di Sepang hari ini berkata, dadah jenis syabu seberat 28 kilogram (kg), yang dianggarkan bernilai RM1 juta itu dirampas di sekitar kawasan Kompleks Kargo KLIA pada 8 dan 11 Mei lepas.

    Dalam kes 8 Mei, polis menemui 3 kg dadah disorok dalam satu unit ketuhar gelombang mikro dipercayai untuk dihantar ke Tawau, Sabah, manakala pada 11 Mei pula, dadah seberat 25 kg ditemui disorokkan dalam dua unit alat pembesar suara, untuk dihantar ke Tawau dan Kuching, Sarawak.

    Imran berkata sindiket yang terlibat, dipercayai menggunakan syarikat penghantaran barangan yang baru dibuka sekitar Lembah Klang.

    “Siasatan mendapati pengirim menggunakan butir diri dan alamat palsu. Butir diri dan alamat penerima juga palsu,” katanya.

    Setakat ini, katanya tiada tangkapan dilakukan dan proses siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Imran berkata lagi, pihaknya telah menggagalkan beberapa cubaan menyeludup dadah melalui Kompleks Kargo KLIA yang dianggarkan seberat 56 kg bernilai RM2 juta, sejak awal tahun ini – BERNAMA

  • Pelajar sekolah perempuan antara 5 suspek edar dadah

    Pelajar sekolah perempuan antara 5 suspek edar dadah

    POLIS menahan lima sekawan termasuk seorang remaja perempuan masih bersekolah yang disyaki terlibat dengan kegiatan mengedar dadah sejak tahun lepas di sekitar Lembah Klang, dalam tiga serbuan sejak dua hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, semua suspek yang berusia lingkungan 14 hingga 34 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua buah kondominium, masing-masing di Jalan Kuching dan di Jalan Cemur, serta sebuah rumah di Petaling Jaya.

    Beliau berkata, polis turut merampas 50 botol mengandungi cecair disyaki methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) berjumlah 500 mililiter (ml), 10 bungkus air ketum (7,000 ml), 54 botol dadah MDMA (3,300 ml), dan 41 botol MDMA (410 ml) dalam serbuan itu.

    “Kesemua suspek direman sehingga 24 Mei dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan dadah yang diperolehi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini.

    Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati hanya seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine, dan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

    Beh berkata, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM210,570 dan boleh digunakan oleh 1,121 penagih. – BERNAMA

  • Pembantu tadbir ditipu ‘ASP Wong’ lebih RM30,000

    Pembantu tadbir ditipu ‘ASP Wong’ lebih RM30,000

    SEORANG pembantu tadbir di Port Dickson mendakwa kerugian RM38,480 setelah diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pihak syarikat kurier dan pegawai polis ‘ASP Wong’ pada 15 Mei lepas.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata, wanita berusia 46 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada syarikat kurier berkenaan memaklumkan terdapat bungkusan barang terlarang atas namanya di pejabat tersebut, namun mangsa menafikan perkara itu.

    Beliau berkata panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai polis dikenali sebagai ASP Wong yang memberitahu wanita itu terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

    “Mangsa diminta menyerahkan maklumat perbankan dalam talian iaitu ‘username’ dan kata laluan bagi empat akaun miliknya. Dia turut menyerahkan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang diterima untuk tujuan pemindahan wang kepada pegawai polis itu.

    “Mangsa yang merasa curiga itu kemudian membuat semakan akaun bank dan mendapati kerugian RM38,480 daripada empat akaun miliknya yang dipindahkan ke akaun tidak dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Aidi Sham berkata, wanita itu membuat laporan polis pada hari sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan yang mengaku sebagai badan penguat kuasa atau institusi kewangan selain tidak mendedahkan butiran perbankan kepada pihak tidak dikenali bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. – BERNAMA