Tag: Pas

  • PAS tegas tolak Malaysian Malaysia acuan DAP

    PAS tegas tolak Malaysian Malaysia acuan DAP

    PAS tetap bertegas dengan pendiriannya menolak teori perpaduan berasaskan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP sejak dahulu sehingga kini.

    Penegasan itu dinyatakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, konsep Malaysian Malaysia menghapuskan rupa bangsa yang diciptakan oleh Allah Pencipta alam, dan juga melupakan peristiwa jus soli yang telah ditelan zaman.

    Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Marang itu menyeru semua rakyat bersatu di bawah gagasan Keluarga Malaysia.

    “Marilah kita bersatu pada titik persamaan dengan semangat Keluarga Malaysia.

    “Janganlah bertindak melampau dalam perbezaan sesama kita, tetapi sentiasa berbincang dengan penuh kebijaksanaan mencari kebenaran dalam perkara yang berbeza dan bertelingkah antara satu sama lain,” katanya.

    Beliau menambah, sikap yang sederhana pada dasarnya telah ditunjukkan oleh PAS sebagai sebuah parti yang berlandaskan Islam mendahului konsep bangsa, bahkan termasuk juga UMNO yang meletakkan asas kebangsaan di hadapan juga tidak melampau kerana masih mempunyai roh Islam.

    Abdul Hadi berkata, begitu juga parti yang paling baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mempunyai persamaan.

    “Jangan mengambil kira tindakan yang sangat terpencil dengan kenyataan lisan dan tulisan sahaja, kerana ia tidak akan mampu membakar hangus situasi hubungan antara kaum.

    “Sekiranya berlaku ketegangan antara kaum, ia tidak akan melarat sepertimana yang berlaku di negara lain,” jelasnya.

    Menurut beliau, walaupun terdapat parti perkauman yang ekstrem dengan tuntutan-tuntutan melampau tanpa menghormati hak yang telah diberikan, bahkan ada juga yang membawa ideologi yang melampau bertapak di sini, tetapi semuanya tidak boleh menguasai keadaan stabil yang wujud.

    Namun, kata Abdul Hadi, cahaya Islam sekali-kali tidak boleh dipadamkan oleh penjajah yang bertali arus datang ke negara ini, bermula dengan kedatangan Portugis pada tahun 1511 ke Melaka, kemudian diikuti dengan penjajah Belanda dan Inggeris.

    “Walau bagaimanapun, cahaya Islam masih tetap hidup dalam masyarakat rumpun Melayu yang menganutnya.

    “Sekalipun bangsa Melayu masih belum berkuasa sepenuhnya sepertimana yang telah diaturkan oleh penjajah sebelum kemerdekaan, dan bangsa Melayu pernah berdaulat sebelum kedatangan penjajah,” katanya.

    Beliau memberitahu, hal ini menjadi suatu hikmah yang berharga, apabila kemerdekaan yang dicapai menerusi rundingan kemerdekaan akhirnya berjaya meletakkan beberapa tunggak yang penting dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Antaranya ialah Islam menjadi Agama bagi Persekutuan, hak Melayu Islam dan bumiputera serta kedudukan institusi Raja Berperlembagaan,” katanya.

  • Pemimpin adalah khadam rakyat – Mursyidul Am Pas

    Pemimpin adalah khadam rakyat – Mursyidul Am Pas

    PAS mengingatkan pemimpin parti itu yang dilantik sebagai anggota Kabinet adalah khadam untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.

    Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin menegaskan, prinsip itu mesti dipegang bersungguh-sungguh bagi melaksanakan tugas dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab supaya dapat memberikan khidmat yang cemerlang kepada masyarakat.

    Beliau berkata, walaupun bilangan menteri dan timbalan menteri dari parti itu tidak seberapa serta tidak memiliki kuasa yang banyak, namun diyakini mampu melaksakan tugas seperti yang dituntut oleh agama.

    “Dalam Islam, pemimpin adalah khadam kepada rakyat. Jadi, untuk melaksanakan tanggungjawab kita kepada rakyat yang dipimpin, kita perlu kepada kuasa dan saya yakin barisan Kabinet yang terdiri daripada pemimpin dan ahli PAS mampu untuk seberapa boleh, semampu yang ada, untuk melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam rakaman amanatnya kepada Jemaah Menteri dari PAS yang dikongsikan oleh laman Facebook rasmi PAS hari ini.

    Kuota PAS kekal dengan tiga menteri dan lima timbalan menteri, namun, portfolio milik PAS telah bertukar dari KPPK kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) apabila Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad dilantik menggantikan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang digugurkan daripada senarai Kabinet kali ini.

    Ketua Dewan Ulama Pas, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II.

    Antara menteri dan timbalan menteri PAS yang masih kekal ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar dan Air); Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim dan Timbalan Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Amzad Mohamed @ Hashim.

  • PAS Johor harap Kabinet baharu bersih, berintegriti

    PAS Johor harap Kabinet baharu bersih, berintegriti

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PAS Johor berharap agar Kabinet yang akan dibentuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bebas daripada sebarang kes mahkamah atau kepentingan peribadi.

    Menurut Ketua Penerangan Pas Johor, Rusman Kemin, langkah itu bukan sahaja perlu untuk mengekalkan pentadbiran yang bersih dan integriti, tetapi mampu membawa keluar segera negara dari pandemik.

    Rusman berkata, pembentukan Kabinet yang tidak dipengaruhi perkara itu sudah tentu akan membuahkan hasil yang cemerlang dalam menangani penularan Covid-19 tanpa mengetepikan kebajikan rakyat.

    “Diharapkan Perdana Menteri dapat mengekalkan kecemerlangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta membentuk sebuah Kabinet yang bebas daripada sebarang kes mahkamah dan kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-9 di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara selepas Naib Presiden UMNO itu mendapat majoriti sokongan ahli Dewan Rakyat.

    Sementara itu, Rusman menggesa semua pihak khususnya pembangkang agar menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong melantik Ismail Sabri.

    “Ia bagi membolehkan kerajaan meneruskan segala usaha untuk menangani pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam negara.

    “Semoga Allah SWT sentiasa memandu Datuk Seri Ismail Sabri dalam menjalankan tugas dan mengembalikan kestabilan politik di negara yang tercinta,” katanya.

  • Kemelut PN tak jejas kerjasama politik MN

    Kemelut PN tak jejas kerjasama politik MN

    Mohd Lazim Endut

    PAS percaya kemelut yang berlaku ke atas kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini tidak akan menjejaskan kerjasama politik Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai antara parti itu bersama UMNO.

    Malah, Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini tiada sebarang perubahan membabitkan perkara negatif yang boleh menggugat usaha gagasan itu dalam usaha mengukuhkan agenda penyatuan ummah di negara ini.

    Sambil menyifatkan kemelut yang berlaku dalam PN ibarat pinggan dan mangkuk yang bergesel, beliau yakin perkara itu akan dapat diselesaikan.

    “Pinggan dan mangkuk ini akan berbunyi sedikit ketika bersentuhan, tetapi selepas itu kembali diam apabila berada di tempatnya.

    “Situasi semasa politik termasuk peletakan jawatan seluruh kabinet kerajaan PN tidak akan menjejaskan gagasan yang telah kita bina.

    “PAS tetap komited mempertahankan MN dan PN kerana itu adalah matlamat akhir dalam menyatukan seluruh masyarakat Melayu-Islam di negara ini supaya menjadi satu kelompok yang kuat dan disegani,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

    Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu turut menaruh keyakinan bahawa polemik yang timbul berikutan perubahan suhu politik negara akan selesai dalam tempoh terdekat.

    Menurut beliau,isu politik umpama pasaran saham di mana ia sangat dinamik.

    “Insya-Allah, kita akan keluar daripada ketidaktentuan ini tidak lama lagi,” ujarnya.

    Kemelut politik negara menjadi hangat apabila 15 Ahli Parlimen UMNO bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Ini menyebabkan Muhyiddin mengambil keputusan meletakkan jawatan setelah kehilangan sokongan majoriti sokongan ahli Parlimen serta cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkan juga tidak mendapat sokongan parti politik pembangkang.

  • Tak berbangkit soal PAS mahu terima kerjasama PH

    Tak berbangkit soal PAS mahu terima kerjasama PH

    PERSOALAN tentang kesediaan PAS menerima parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) sekiranya PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya dibangkitkan lagi.

    Pendirian itu ditegaskan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

    Memetik laporan BH Online, tiada keperluan bagi PAS mempertimbangkan perkara tersebut kerana PH telah menyatakan pendirian menolak PN.

    “Unsur DAP, PKR dan AMANAH tidak berbangkit, malah PH sudah menolak untuk menyokong PN,” katanya.

    Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Majlis Presiden PH telah membenarkan semua pemimpin bebas untuk berbincang dan bercakap dengan pihak lawan mengenai keadaan politik.

    Walau bagaimanapun, bekas Menteri Kewangan yang masih terpalit dengan kes rasuah di mahkamah itu menambah, kebenaran itu tidak terpakai terhadap tiga pemimpin teratas dalam PH yang perlu saling berunding sesama mereka sebelum berbuat sedemikian.

    Ahli Parlimen Bagan itu turut mengesahkan bahawa selain daripada pemimpin teratas DAP, PKR dan PAN ramai Ahli Parlimen dan pemimpin daripada ketiga-tiga parti dalam PH secara sendiri telah mengadakan banyak perbincangan dengan seteru politik.

    Dalam perkembangan sama, Nasrudin memberitahu, PAS akan terus mempertahankan kerajaan PN dan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

    Menurut beliau, parti itu yakin PN akan terus kekal melalui sokongan yang diberikan parti-parti komponennya.

    “Insya-Allah, PN akan terus bertahan dengan sokongan parti komponen PN dan MN,” jelasnya.

    Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah di Istana Negara, dipercayai berhubung kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

  • Pembukaan sektor ekonomi: Usaha kerajaan mula nampakkan hasil – Dewan Pemuda Pas

    Pembukaan sektor ekonomi: Usaha kerajaan mula nampakkan hasil – Dewan Pemuda Pas

    USAHA kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19 mula menampakkan keberkesanan apabila sebahagian sektor ekonomi dibenarkan kembali beroperasi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Nadzir Helmi berkata pembukaan sebahagian sektor tersebut  adalah rentetan perancangan jangka panjang kerajaan dalam menggiatkan program vaksinasi sehingga berjaya mencapai lebih 50 peratus daripada populasi negara telah divaksin sekurang-kurangnya satu dos semalam.

    “Ia juga menampakkan hasil apabila berdasarkan kenyataan beberapa anggota kesihatan, berlaku penurunan dalam kadar kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) melibatkan warganegara. Ini menunjukkan bahawa usaha kerajaan mula menampakkan hasil.

    ‘Apa yang dilaksanakan oleh kerajaan sebenarnya tidak kurang seperti yang dilaksanakan di United Kingdom (UK), apabila kerajaan mempergiatkan vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok, dan seterusnya membuka sektor ekonomi secara serentak dan terancang, seiring peningkatan kadar populasi yang menerima vaksinasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Nadzir berkata usaha kerajaan yang kerap diperlekehkan sesetengah pihak, kini mula menunjukkan sinar di hujung kegelapan.

    “Pemuda PAS menyambut baik segala usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam mencari jalan keluar bagi pandemik ini. Pembukaan sebahagian sektor ekonomi ini, sedikit sebanyak boleh memberikan nafas lega buat pengusaha kecil seperti pemilik kedai cuci kereta, kedai gunting rambut serta kedai-kedai lain yang diberikan kelonggaran, untuk kembali menjana pendapatan yang hilang akibat penutupan operasi sejak sekian lama.

    “Pemuda PAS juga berharap agar program vaksinasi terus dipergiatkan, termasuk cadangan menggerakkan suntikan vaksin secara rumah ke rumah atau pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) secara pandu lalu, bagi memastikan lebih ramai divaksinasi sebelum Oktober,” katanya.

    Dalam pada itu, Nadzir berkata Pemuda PAS turut mengajak semua pihak, termasuk ahli politik, golongan persendirian dan NGO, agar menumpukan usaha sepenuhnya bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

    Katanya langkah yang dilaksanakan kerajaan sudah mula menampakkan hasil dan sayang jika ia terhenti akibat persengketaan dan perbalahan.

    “Semoga wabak ini akan berakhir dengan segera, dan kehidupan rakyat kembali seperti sediakala,” katanya.

    Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa esok.

    Aktiviti-aktiviti ekonomi itu adalah kedai cuci kereta; kedai elektrik dan elektronik; kedai barangan rumah dan peralatan dapur; kedai perabot; kedai peralatan sukan; kedai aksesori kereta; pusat pengedaran dan jualan kereta; pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan bagi perkhidmatan gunting rambut asas sahaja, katanya.-BERNAMA

  • PAS teliti dahulu hasil Mesyuarat Khas Kabinet

    PAS teliti dahulu hasil Mesyuarat Khas Kabinet

    PAS akan meneliti terlebih dahulu hasil Mesyuarat Khas Kabinet yang dijadualkan berlangsung esok, sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.

    Memetik laporan BH Online, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pendirian parti itu pada masa ini masih bersama untuk mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Menurut beliau, ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, Ahli Parlimen dari parti itu dan Majlis Syura Ulama PAS, semalam.

    “Kita menegaskan dasar parti iaitu mempertahankan PN dan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN). PAS kekal menjadi jambatan antara dua parti besar Melayu… PAS dan UMNO serta menjadi jambatan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Demi kebaikan negara dan politik bagi jangka panjang, parti besar Melayu mesti bersama sebab ia tunggak kepada kerajaan, disusuli parti lain yang mempunyai kepelbagaian kaum.

    “Bagaimana kaedah memperkukuh MN itu adalah kerja dalaman PAS yang tak boleh didedahkan kepada umum, walaupun UMNO dan Bersatu dilihat tidak mencapai kesepakatan,” katanya dalam sidang media di Serdang hari ini.

    Situasi politik negara semakin panas berikutan timbul desas-desus akan berlaku perubahan tampuk kepimpinan kerajaan dalam masa terdekat.

    Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong esok untuk mempersembahkan surat peletakan jawatan.

  • RoS nafi pilih kasih, dakwa Pas tangguh pemilihan sebelum tempoh Mesyuarat Agung tamat

    RoS nafi pilih kasih, dakwa Pas tangguh pemilihan sebelum tempoh Mesyuarat Agung tamat

    JABATAN Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa pihaknya mengamalkan pilih kasih dalam menentukan penangguhan pemilihan parti antara UMNO dan Pas.

    Ketua Pengarahnya, Jasri Kassim berkata, tidak timbul RoS mengamalkan pilih kasih apabila tidak menghalang Pas dari menangguhkan pemilihan jawatan kepimpinan parti terbabit.

    “Pas memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti pada kita tempoh kepimpinannya belum tamat tempoh.

    “Pas kemukakan penangguhan sebelum tempoh Mesyuarat Agung tamat,” katanya sebagaimana lapor portal MalaysiaNow.

    Semalam, Najib mempersoalkan keputusan RoS yang mengatakan keputusan UMNO menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan sebagai tidak sah.

    Hujah yang diberikan adalah tempoh pemegang jawatan parti itu bagi penggal 2018-2021 tamat pada 30 Jun 2021.

    Najib berkata langkah menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti turut dilakukan Pas namun tidak mendapat apa-apa tindakan dari RoS.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 7 Mac lalu memaklumkan partinya menangguhkan pemiihan parti sehingga selesai Pilihan Raya Umum ke-15.