TIGA calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kampung Orang Asli Punan dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nitar di Mersing menaiki helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semalam, untuk menghadiri peperiksaan berkenaan.
Pemangku Pengarah JBPM Johor Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang berkata Norfaizal Selamat, Jefzulkiflie Addy dan Christie Maurinissca Clay masing-masing berusia 18 tahun dan merupakan Orang Asli Suku Jakun itu dibawa menaiki helikopter jenis Agusta Westland AW189.
Beliau berkata difahamkan ketiga-tiga calon itu sepatutnya hadir ujian amali sains SPM pada Isnin lepas (30 Jan), namun terpaksa ditangguhkan berikutan jalan raya yang menghubungkan kawasan penempatan mereka masih ditenggelami air.
“Bagaimanapun, atas dasar pertimbangan pihak SMK Nitar, ketiga-tiga calon berkenaan dibenarkan menghadiri ujian itu hari ini.
“Kesemua mereka akan tinggal di asrama sekolah berkenaan sepanjang peperiksaan SPM berlangsung,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Setakat 12 tengah hari tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan seramai 1,373 orang melibatkan empat daerah iaitu Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing dan Segamat.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), peperiksaan SPM 2022 dilaksanakan mulai 30 Jan hingga 15 Mac ini melibatkan ujian amali sains, ujian bertutur, ujian mendengar dan peperiksaan bertulis membabitkan 403,637 calon. – BERNAMA
KEHABISAN bekalan makanan sejak seminggu lepas mendorong 15 Orang Asli dari Pos Balar mengangkut 13 motosikal menyeberangi Sungai Inching untuk keluar dari kawasan penempatan mereka menuju ke bandar Gua Musang, di Gua Musang, semalam.
Orang Asli suku kaum Temiar itu terpaksa menggunakan laluan sungai berikutan jalan balak yang menjadi laluan utama mereka rosak akibat cuaca hujan yang berterusan sejak berminggu-minggu, malah terpaksa menempuh perjalanan kira-kira 10 jam untuk sampai ke pusat bandar.
Penduduk Kampung Tidog, Pos Balar Abu Alang, 41, berkata mereka hanya menjadikan ubi kayu dan sayur-sayuran yang ditanam sendiri sebagai menu harian sejak seminggu yang lepas sebelum memutuskan untuk keluar membeli bekalan makanan kering di bandar.
“Kami tiada pilihan lain selain terpaksa merentasi jalan sungai kerana sudah kehabisan makanan.
“Biasanya jika tiada makanan di rumah boleh juga pinjam dahulu (makanan) daripada jiran-jiran, tetapi kali ini mereka juga turut kehabisan bekalan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Sari Din, 25, berkata kebiasaannya lima jam diperlukan jika menggunakan jalan balak untuk ke Gua Musang, bagaimanapun perjalanan meredah sungai bersama motosikal menyebabkan mereka mengambil masa hingga 10 jam untuk sampai ke bandar itu.
“Kami keluar beramai-ramai untuk memudahkan kerja-kerja mengusung atau menolak motosikal yang tersangkut dalam lumpur dan sama-sama mengangkut motor melepasi Sungai Inching.
“Kami hanya mampu tawakal kerana tidak tahu paras air sungai itu jadi kami bertolak dari rumah seawal 7 pagi dan sampai ke bandar 5 petang, disebabkan itu kami terpaksa bermalam di rumah tumpangan di bandar Gua Musang sebelum bertolak balik pagi ini,” katanya.
Tambah Sari, setiap tahun menjelang musim hujan masyarakat Orang Asli tiada pilihan lain selain menghadapi cabaran jalan rosak dan meredah sungai kerana hanya itu jalan perhubungan yang mereka ada sejak tinggal di perkampungan itu. – BERNAMA
CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Lenggong, Muhammad Rifa’at Razman dan calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering, Mohammad Husairi Ariffin menjadi sandaran penduduk menunaikan keperluan mereka.
Kedaifan rutin hidup dan urusan harian yang sukar akibat ketiadaan kemudahan infrastruktur asas melibatkan jalan tar dan bekalan air bersih serta rumah kediaman diluahkan kepada mereka oleh penduduk Kampung Melila.
“Itu yang sangat-sangat kami perlukan, kerana itu adalah kemudahan asas bagi penduduk. Kami sudah muak dengan janji-janji mereka (parti lain). Setiap kali PRU, janji nak buat jalan tar. Sampai hari ini janji tinggal janji,” luah wakil penduduk yang ditemui.
Muhammad Rifa’at dan Mohammad Husairi berkunjung dalam rangka memenuhi undangan ke perkampungan Orang Asal tersebut di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Dala, Gerik kelmarin.
Penduduk terbabit yang enggan namanya disiarkan berkata, sejak merdeka hingga hari ini, jalan perhubungan antara penempatan mereka dengan jalan raya sebahagiannya masih lagi jalan tanah merah.
Ketua kepada lebih 30 keluarga kampung itu, Bayan Buyeng turut mengakui kemudahan-kemudahan paling asas seperti itu sepatutnya sudah lama diselesaikan oleh pemerintah yang berkuasa lebih 60 tahun.
Terdahulu sempena kunjungan itu, Muhammad Rif’aat berkata, terlalu lama Barisan Nasional (BN) diberi peluang memerintah, tetapi pembangunan di kampung-kampung Orang Asal terlalu jauh ketinggalan.
Dimaklumkan, jalan keluar masuk di situ bukan sahaja masih jalan tanah merah yang sangat teruk berlopak-lopak dan berselut, tetapi juga sering bertakung air terutama pada musim hujan seperti sekarang ini.
“Kami masuk melalui jalan utama itu, kami merasakan betapa sukarnya bagi orang-orang kampung ini dan seluruh penduduk di RPS Dala ini hendak keluar masuk menggunakan jalan itu.
“Oleh itu, kalau kita ada kuasa, kita akan cuba usahakan supaya dibina jalan tar untuk kemudahan penduduk,” kata Bayan, lapor Harakahdaily.
Sementara itu, Husairi berkata, sekiranya PN diberi peluang memerintah, tiga perkara sangat penting untuk dibangunkan iaitu jalan tar; pembangunan Tanah untuk generasi muda Orang Asli dan pendidikan yang lebih sempurna untuk kanak-kanak, terutama Pendidikan Islam.
SUSHERRIE Suki, yang melakar sejarah menjadi Orang Asli pertama menerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dari University College London (UCL), United Kingdom baru-baru ini, memasang cita-cita untuk bergelar perancang bandar berlesen di negeri kelahirannya, Perak.
Gambar gadis daripada kaum Semai berusia 23 tahun itu bersama ahli keluarga dan rakannya di hadapan universiti, tular dalam media sosial kerana mengangkat nama komunitinya setelah menamatkan pengajian dalam bidang Perancangan Bandar dan Hartanah di Bartlett School of Planning, UCL.
UCL ialah universiti terkemuka di dunia yang berada di tangga kelapan dunia (QS World University Ranking 2023).
Kini, beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang Reka Bentuk dan Perancangan Bandar di universiti sama selama setahun dalam menggapai impian bagi merealisasikan cita-citanya itu.
“Selepas menghabiskan pengajian hingga tingkatan lima di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ave Maria Convent, saya menyambung pengajian peringkat A-Level di Kolej MARA Seremban dan seterusnya mendapat tawaran di UCL bagi peringkat Sarjana Muda selama tiga tahun.
“Ketika saya menerima berita tentang penganugerahan Ijazah Kelas Pertama di UCL, saya melompat kerana terlampau gembira dan terus menelefon kakak untuk memberitahu tentang berita ini kerana bagi saya, perkara ini bukan mudah untuk dicapai,” katanya ketika dihubungi Bernama melalui panggilan video dari United Kingdom di sini hari ini.
Anak ketiga daripada empat beradik itu memaklumkan bahawa beliau memilih jurusan Reka Bentuk dan Perancangan Bandar kerana kecintaannya terhadap seni bina bangunan dan bandar.
Menyentuh mengenai cabaran dialami sewaktu pengajian, Susherrie berkata aspek komunikasi mendorongnya untuk lebih bersungguh-sungguh dan bekerja keras demi menggenggam kejayaan yang tidak mudah diperoleh khasnya di bumi asing yang penuh dengan pelajar dari seluruh dunia.
“Saya mempunyai kesukaran menulis esei untuk subjek penulisan ilmiah ketika itu sehinggakan saya mendapat markah 40 hingga 50.
“Namun saya menyertai kelas bahasa Inggeris selain menjadi ahli persatuan kelas, dan bekerja sambilan di kafe pelajar bagi meningkatkan pemahaman dari segi pertuturan di sini (UCL). Bayangkan, lawak mereka pun saya tidak faham sehinggakan perlu menghentikan perbualan dan meminta penjelasan,” katanya berseloroh.
Sementara itu, kakaknya Susieleen Suki, 31, berkata adiknya seorang ulat buku sejak kecil kerana sentiasa memegang buku ke mana sahaja beliau berada selain seorang yang aktif.
“Kami sekeluarga tidak terkejut apabila dia memberitahu bahawa dia dianugerahkan Ijazah Kelas Pertama kerana dia memang layak. Kami amat gembira dan bangga dengan pencapaiannya kerana sejak kecil dia sentiasa menunjukkan prestasi yang baik di sekolah dan ketika di Kolej MARA,” katanya yang sering membuat panggilan video hampir setiap minggu untuk memberi sokongan kepada adiknya.
Berita gembira itu turut mendapat perhatian Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengucapkan tahniah atas kejayaan Susherrie di laman Twitter masing-masing.- BERNAMA
TIGA lelaki Orang Asli didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan Orang Asli berusia 14 tahun, dua minggu lepas.
Rosli Bakar, 29, Helmat, 22, dan Murad Ahmad, 26, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga buruh kampung itu didakwa secara bersama-sama melakukan rogol berkumpulan terhadap remaja berkenaan di hutan berhampiran simpang kawasan perkuburan lama Bukit Ibam, Muadzam Shah, Rompin antara 11.15 malam, 20 Ogos hingga 7 pagi, 21 Ogos.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Nurul Syuhada Tuan Mamat manakala kesemua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhamad Saifuldin Ab Rahman.
Bagaimanapun, tiada jaminan yang ditawarkan kerana kesemua tertuduh turut berhadapan pertuduhan membunuh remaja yang sama di Mahkamah Majistret Pekan semalam dan bagi tuduhan rogol itu mahkamah menetapkan 29 Sept untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.
Media sebelum ini melaporkan, mayat remaja yang tidak bersekolah itu ditemukan oleh sepupunya di lereng bukit berhampiran rumahnya pada 21 Ogos dalam keadaan berdarah di tangan dan kepala.- BERNAMA
PROGRAM vaksinasi untuk masyarakat Orang Asli sudah mencapai 67 peratus atau 115,516 orang, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurut beliau, jumlah itu berdasarkan data terkini sehingga petang semalam.
“Ada lagi yang belum mendapat vaksin ni dalam lebih kurang 56,000, jadi kita sedang berusaha dengan pelbagai caralah.
“Salah satu yang kita buat di peringkat kementerian ini adalah kita buat melalui outreach iaitu kita yang pergi cari, melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA), kita ada bas MARA Liner, kita tukar bas MARA Liner tu jadi macam PPV bergerak,” katanya.
Mahdzir berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Putrajaya, hari ini.
Beliau menambah, tumpuan program vaksinasi di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu adalah di negeri-negeri seperti Perak, Pahang dan Kelantan yang mempunyai bilangan Orang Asli yang ramai.
Secara keseluruhannya, 172,155 Orang Asli layak divaksin serta membabitkan golongan dewasa seramai 144,180 orang dan 27,975 remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
Jelas Mahdzir, Program Vaksinasi Orang Asli ditetapkan mencapai 100 peratus pada akhir November tahun ini.
“Insya-Allah kita akan teruskan program outreach ini untuk membolehkan kita dapat semua sekali.”
Ditanya mengenai adakah 56,639 Orang Asli yang belum divaksin itu menolak untuk divaksin, beliau berkata, masyarakat Orang Asli menerima baik Program Vaksinasi Kebangsaan.
“Mereka belum dapat vaksin, bukan menolak, sebab nak sampai mereka ni tinggal jauh di pedalaman, jadi kita sedang usahakan, pegawai JAKOA sedang berusaha untuk membuatnya, ada tempat yang nak pergi sehingga empat jam, ada yang Yang Berhormat Timbalan Menteri terpaksa pergi dengan helikopter,” jelasnya.
Mengenai bekalan vaksin pula, Mahdzir berkata, bekalan untuk keseluruhan Orang Asli yang layak divaksin sudah mencukupi termasuk vaksin jenis Cansino yang digunakan untuk penerima satu dos di kawasan jauh di pedalaman dan sukar dimasuki.
Sementara itu, beliau menyeru masyarakat luar bandar agar meraikan sambutan Hari Sukan Negara setiap tahun dengan aktif bersukan setiap masa.
“Ayuh seluruh rakyat Malaysia terutamanya warga luar bandar dan keluarga KPLB, kita laksanakan aktiviti riadah hari ini dan teruskan bersukan pada hari-hari akan datang bagi membudayakan gaya hidup sihat,” katanya dalam ucapan.
MEMANTAPKAN pendidikan dan pembangunan sosioekonomi Orang Asli antara usaha yang bakal dilaksana dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menurut Dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) hari ini, akses kepada Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) akan ditambah baik, bagi memastikan anak-anak Orang Asli memperoleh kemahiran membaca, menulis dan mengira.
Kemasukan ke Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendidikan tertiari akan dipertingkat, selain Program Jom Belajar akan diperluas lagi untuk mempertingkatkan kehadiran pelajar melalui kaedah pengajaran inovatif, bagi mengurangkan kadar buta huruf dalam kalangan mereka.
“Lepasan SPM dan graduan dari komuniti setempat akan digalakkan untuk membantu mengajar murid Orang Asli, sehubungan itu program khas Membawa Sekolah ke Komuniti akan diperkenalkan dengan kerjasama antara kerajaan, universiti dan pertubuhan masyarakat sivil,” menurut dokumen itu.
Sementara itu, kerajaan akan merangka sebuah pelan pembangunan meliputi pendidikan dan latihan, peningkatan pendapatan, penyediaan infrastruktur asas, pembangunan tanah perkhidmatan penjagaan kesihatan dan bersepadu.
Menurut dokumen itu, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada aktiviti menjana pendapatan bagi membasmi kemiskinan dalam kalangan Orang Asli, termasuk menyediakan kemudahan pembiayaan mikro dan latihan kemahiran bagi membolehkan mereka menjadi usahawan dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka.
Pada akhir tahun 2020, seramai 1,448 Orang Asli mendapat manfaat daripada Program Pembangunan Keusahawanan Orang Asli, manakala 324 usahawan telah mendapat geran untuk memulakan perniagaan dalam pelbagai bidang.
Di samping itu, kerajaan akan memperluaskan infrastruktur, perkhidmatan, dan kemudahan asas termasuk pembinaan jalan, penyediaan bekalan air terawat, bekalan elektrik dan perumahan selain penambahbaikan akses kepada telekomunikasi dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini berkata, kerajaan sedang merangka pelan pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli yang komprehensif bagi memperkasakan kedudukan komuniti berkenaan.
Menurut beliau, pelan berkenaan meliputi aspek daripada peningkatan pendapatan dan kesejahteraan sehingga infrastruktur asas.
“Pendidikan berkualiti akan menjadi kunci utama dalam mempercepat pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli. Peluang murid Orang Asli mendapat pendidikan hingga ke tingkatan lima akan dipertingkat.
“Sekolah Model Khas Komprehensif Sembilan (K9) akan ditambah dan sebahagiannya dinaik taraf kepada K11. Aspek pengajaran dan pembelajaran akan ditambah baik termasuk meningkatkan kualiti guru dan kemudahan di sekolah,” katanya.
Katanya memandangkan sebahagian besar Orang Asli adalah golongan B40 dengan kadar kemiskinan tinggi iaitu 33.6 peratus pada tahun 2019, maka masyarakat itu yang merupakan sebahagian daripada Keluarga Malaysia perlu diperkasakan.
Ismail Sabri juga berkata kerajaan akan terus membantu isi rumah kaum Cina berpendapatan rendah khususnya di Kampung Baru dengan meningkatkan akses dan menambah baik Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru bagi mereka mengembangkan perniagaan dan terlibat dalam keusahawanan.
Katanya program infrastruktur asas dan ameniti sosial kumpulan itu juga akan diteruskan bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk di Kampung Baru Cina.
Beliau berkata bagi membantu sebahagian masyarakat India yang masih berpendapatan rendah, kesejahteraan mereka akan terus diberi keutamaan melalui Pelan Tindakan Masyarakat India.
“Kerajaan akan memberi sokongan kepada mereka dengan menyediakan program peningkatan kemahiran dan bantuan kewangan bersasar serta peluang keusahawanan,” katanya.
Menyentuh pembangunan anak muda, Perdana Menteri berkata golongan yang akan menjadi pemimpin Keluarga Malaysia pada masa hadapan itu akan dibimbing dan diberi sokongan untuk bersama-sama mencorak masa depan Malaysia.
“Akademi Pembangunan Belia Malaysia dan beberapa Kompleks Belia dan Sukan akan dinaik taraf, manakala pusat belia wilayah yang pertama di Malaysia akan dibina bagi merancakkan lagi aktiviti belia,” tambahnya.
Menurut Ismail Sabri, pelan kebangsaan pemerkasaan ekonomi belia sedang dirangka untuk memantapkan peranan anak muda dalam pembangunan negara termasuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam kalangan kumpulan itu. – BERNAMA
BUAT pertama kali dalam sejarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bakal diketuai oleh seorang wanita Orang Asli, sekali gus Orang Asli pertama dilantik ke jawatan tertinggi perkhidmatan awam, berkuat kuasa esok.
Pelantikan Sapiah Mohd. Nor sebagai Ketua Pengarah Jakoa ke-18 diumumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu kenyataan, hari ini.
Mahdzir berkata, pelantikan Sapiah telah diperkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurutnya, surat pelantikan beliau telah diserahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Parlimen.
“Pelantikan Sapiah Mohd Nor telah mencipta sejarah negara tersendiri apabila beliau menjadi wanita Orang Asli pertama dilantik ke jawatan tertinggi perkhidmatan awam.
“Pelantikan ini juga merupakan sejarah kepada JAKOA apabila dipimpin oleh golongan wanita sekali gus meningkatkan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dan masyarakat Orang Asli dalam perkhidmatan awam,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, Sapiah, 56, adalah Orang Asli keturunan Suku Semai berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2007 dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan universiti yang sama pada tahun 2001.
Ujar beliau, memulakan tugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir pada tahun 1991, wanita itu berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun selain pernah berkhidmat di beberapa kementerian dan jabatan.
“Antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Perusahaan Utama dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) sebelum di lantik menjadi Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada tahun 2003 sehingga kini.
“Saya bagi pihak Kerajaan dan seluruh Keluarga Malaysia merakamkan ucapan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada beliau atas pelantikan ini,” tambahnya.
SEBANYAK 56.1 peratus atau 80,884 daripada 144,180 Orang Asli yang layak divaksinasi di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau berkata jumlah kumulatif pemberian vaksin kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negara sehingga semalam adalah 128,548 dos, merangkumi mereka yang menerima satu dos, lengkap dua dos dan dos tunggal vaksin jenis CanSino.
Menurutnya, tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Johor mencatatkan kadar terendah vaksinasi bagi golongan tersebut, dengan jumlah yang belum menerima vaksin di ketiga-tiga negeri itu dianggarkan 16,127 orang.
“Bagi negeri-negeri yang rendah ini, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggunakan vaksin CanSino iaitu satu dos bagi tujuan mempercepatkan kadar vaksinasi memandangkan lokaliti masyarakat Orang Asli terletak di pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Rahman berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) sentiasa bekerjasama dengan KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan golongan itu divaksinasi segera.
“Keutamaan vaksinasi kepada masyarakat Orang Asli menerusi Program Jangkauan Luar (outreach) menjadi komitmen KPLB dan JAKOA memandangkan masyarakat ini tinggal di pedalaman serta mempunyai kesukaran dari segi perhubungan dan akses logistik untuk ke pusat vaksinasi yang disediakan kerajaan di bandar atau pekan terdekat,” katanya.
Abdul Rahman berkata penggunaan secara optimum aset-aset kerajaan seperti helikopter dan bot ke kawasan pedalaman diyakini mampu meningkatkan kadar vaksinasi masyarakat tersebut. – BERNAMA
SERAMAI 418 Orang Asli di seluruh Johor dikesan positif Covid-19 dan mencatatkan empat kematian sejak pandemik Covid-19 melanda sehingga 24 Ogos lalu.
Ahli Dewan Negara (Senator Orang Asli Semenangjung), Datuk Isa Ab. Hamid berkata, jangkitan itu melibatkan 27 kampung Orang Asli di seluruh Johor yang membabitkan 12 kawasan Parlimen.
Beliau memberitahu, kawasan Parlimen itu melibatkan Iskandar Puteri, Pontian, Pengerang, Muar, Batu Pahat, Ledang, Pagoh, Labis, Mersing, Sembrong dan Tenggara dengan terbaharu melibatkan Kampung Orang Asli Kuala Masai, Pasir Gudang dikesan pada 25 Ogos lalu.
“Paling ramai Orang Asli positif melibatkan 235 orang di Kampung Orang Asli Kuala Masai diikuti 88 orang di Kampung Orang Asli Peta, Endau, Mersing dikesan pada 18 Ogos lalu dan 17 orang di Kampung Orang Asli Sungai Layau di Penawar, Pengerang dikesan pada 1 Ogos lalu.
“Selain itu 11 orang dari Kampung Orang Asli Selai, Bekok, Labis dikesan pada 16 Ogos lalu selain enam orang masing-masing dari Kampung Orang Asli di Kampung Simpang Arang, Iskandar Puteri serta Kampung Orang Asli Punan di Endau, Mersing dikesan pada 15 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, empat kes kematian melibatkan Orang Asli yang didapati positif berlaku di Kampung Sungai Layau dikesan pada 1,3 dan 5 Ogos lalu dan mereka adalah satu keluarga.
Menurutnya, hanya Kampung Orang Asli Kuala Masai dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 25 Ogos lalu manakala Kampung Orang Asli Peta tidak dikenakan PKPD walaupun 88 penduduknya positif pada 20 Ogos lalu.
Isa berkata, sehingga kini seramai 4,020 Orang Asli sudah menerima dos pertama manakala 1,759 lagi sudah menerima dos kedua sementara7,866 masih belum divaksin dengan 5,523 sudah setuju untuk divaksin dan 1,651 tidak setuju divaksin.
Katanya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan pihak berkaitan sudah mengedarkan 8,219 borang suntikan vaksin di semua kampung Orang Asli di negeri ini dan setakat ini 7,174 borang sudah dikembalikan.
“Ketika ini Jakoa dan pihak berkaitan akan memberi tumpuan untuk proses vaksinasi kepada Orang Asli namun usaha ini kita lihat masih perlahan. Selain itu juga terdapat Orang Asli tidak menyedari kepentingan vaksin,” katanya.
Tambahnya, ini kerana ada dalam kalangan mereka percaya mempunyai imunisasi kerana minum air Tongkat Ali atau air ketum sekali gus mempunyai persepsi tidak perlukan vaksinasi.
“Lagipun kebanyakan kampung Orang Asli di Johor tidak jauh dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV), tidak seperti di Perak yang perlu naik kenderaan pacuan empat roda selama empat atau lima jam sejauh 40 hingga 80 kilometer untuk ke PPV,” katanya.