MEMANTAPKAN pendidikan dan pembangunan sosioekonomi Orang Asli antara usaha yang bakal dilaksana dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menurut Dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) hari ini, akses kepada Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) akan ditambah baik, bagi memastikan anak-anak Orang Asli memperoleh kemahiran membaca, menulis dan mengira.

Kemasukan ke Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendidikan tertiari akan dipertingkat, selain Program Jom Belajar akan diperluas lagi untuk mempertingkatkan kehadiran pelajar melalui kaedah pengajaran inovatif, bagi mengurangkan kadar buta huruf dalam kalangan mereka.

“Lepasan SPM dan graduan dari komuniti setempat akan digalakkan untuk membantu mengajar murid Orang Asli, sehubungan itu program khas Membawa Sekolah ke Komuniti akan diperkenalkan dengan kerjasama antara kerajaan, universiti dan pertubuhan masyarakat sivil,” menurut dokumen itu.

Sementara itu, kerajaan akan merangka sebuah pelan pembangunan meliputi pendidikan dan latihan, peningkatan pendapatan, penyediaan infrastruktur asas, pembangunan tanah perkhidmatan penjagaan kesihatan dan bersepadu.

Menurut dokumen itu, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada aktiviti menjana pendapatan bagi membasmi kemiskinan dalam kalangan Orang Asli, termasuk menyediakan kemudahan pembiayaan mikro dan latihan kemahiran bagi membolehkan mereka menjadi usahawan dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka.

Pada akhir tahun 2020, seramai 1,448 Orang Asli mendapat manfaat daripada Program Pembangunan Keusahawanan Orang Asli, manakala 324 usahawan telah mendapat geran untuk memulakan perniagaan dalam pelbagai bidang.

Di samping itu, kerajaan akan memperluaskan infrastruktur, perkhidmatan, dan kemudahan asas termasuk pembinaan jalan, penyediaan bekalan air terawat, bekalan elektrik dan perumahan selain penambahbaikan akses kepada telekomunikasi dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini berkata, kerajaan sedang merangka pelan pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli yang komprehensif bagi memperkasakan kedudukan komuniti berkenaan.

Menurut beliau, pelan berkenaan meliputi aspek daripada peningkatan pendapatan dan kesejahteraan sehingga infrastruktur asas.

“Pendidikan berkualiti akan menjadi kunci utama dalam mempercepat pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli. Peluang murid Orang Asli mendapat pendidikan hingga ke tingkatan lima akan dipertingkat.

“Sekolah Model Khas Komprehensif Sembilan (K9) akan ditambah dan sebahagiannya dinaik taraf kepada K11. Aspek pengajaran dan pembelajaran akan ditambah baik termasuk meningkatkan kualiti guru dan kemudahan di sekolah,” katanya.

Katanya memandangkan sebahagian besar Orang Asli adalah golongan B40 dengan kadar kemiskinan tinggi iaitu 33.6 peratus pada tahun 2019, maka masyarakat itu yang merupakan sebahagian daripada Keluarga Malaysia perlu diperkasakan.

Ismail Sabri juga berkata kerajaan akan terus membantu isi rumah kaum Cina berpendapatan rendah khususnya di Kampung Baru dengan meningkatkan akses dan menambah baik Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru bagi mereka mengembangkan perniagaan dan terlibat dalam keusahawanan.

Katanya program infrastruktur asas dan ameniti sosial kumpulan itu juga akan diteruskan bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk di Kampung Baru Cina.

Beliau berkata bagi membantu sebahagian masyarakat India yang masih berpendapatan rendah, kesejahteraan mereka akan terus diberi keutamaan melalui Pelan Tindakan Masyarakat India.

“Kerajaan akan memberi sokongan kepada mereka dengan menyediakan program peningkatan kemahiran dan bantuan kewangan bersasar serta peluang keusahawanan,” katanya.

Menyentuh pembangunan anak muda, Perdana Menteri berkata golongan yang akan menjadi pemimpin Keluarga Malaysia pada masa hadapan itu akan dibimbing dan diberi sokongan untuk bersama-sama mencorak masa depan Malaysia.

“Akademi Pembangunan Belia Malaysia dan beberapa Kompleks Belia dan Sukan akan dinaik taraf, manakala pusat belia wilayah yang pertama di Malaysia akan dibina bagi merancakkan lagi aktiviti belia,” tambahnya.

Menurut Ismail Sabri, pelan kebangsaan pemerkasaan ekonomi belia sedang dirangka untuk memantapkan peranan anak muda dalam pembangunan negara termasuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam kalangan kumpulan itu. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here