KEDUDUKAN Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan dan Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan masih kukuh di sebalik spekulasi pimpinan PKR negeri yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat MPN Negeri Sembilan yang beliau pengerusikan hari ini sebaliknya meminta Aminuddin sebagai Pengerusi MPN agar memberi perhatian kepada permasalahan yang diutarakan pimpinan negeri, terutamanya keperluan untuk mengukuhkan jentera pilihan raya.
Menurutnya, mereka turut mencapai konsensus supaya ahli-ahli dan pimpinan kanan perhubungan negeri terus bergerak sebagai satu pasukan khasnya bagi merangka usaha menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Kedudukan MB juga tidak berbangkit, ada sokongan padu. Tetapi ada dibangkitkan permintaan supaya MB beri sedikit perhatian kepada keperluan parti, cabang-cabang, untuk perkukuh jentera, dalam menghadapi pilihan raya.
“Jadi kita beri ruang untuk mereka berbincang dan perjelaskan,supaya terus dengan padu bersama dengan Exco-exco negeri (dari PKR) dan Timbalan Speaker, untuk di dalam jentera parti, terutama Biro Politik PKR Negeri Sembilan, bagi memudahkan Aminuddin supaya bertindak sebagai MB dan Pengerusi MPN Negeri Sembilan,” katanya, hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, mesyuarat tersebut merupakan siri-siri mesyuarat peringkat negeri yang beliau pengerusikan, termasuk Sabah dan Selangor sebelum ini.
Situasi politik Negeri Sembilan agak panas sejak kebelakangan ini apabila media melaporkan pimpinan PKR Negeri Sembilan telah menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.
Mereka mendakwa, Aminuddin tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) di negeri intu untuk terus kekal memerintah.
Malah media turut melaporkan, terdapat usaha pihak-pihak tertentu untuk mengumpulkan akuan bersumpah (SD) bagi menjatuhkan kedudukan Aminuddin.
Bercakap mengenai isu itu, Anwar menjelaskan, beliau difahamkan beberapa individu terbabit telah menarik balik surat yang mereka tandatangani.
“Kita tidak membincangkan soal (usaha pengumpulan) SD, tetapi kita ada membincangkan sedikit sebanyak tentang kandungannya.
“Jadi saya beri ruang kepada mereka untuk memberi penjelasan, dan saya turut menerangkan mengapa Menteri Besar juga perlu berusaha perkukuhkan jentera pilihan raya,” tambahnya.