Tag: Muhyiddin Yassin

  • MPN bentang laporan isu komuniti perniagaan 17 Disember

    MPN bentang laporan isu komuniti perniagaan 17 Disember

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) yang bersidang buat kali keenam pada 17 Disember ini akan membentangkan laporan dan cadangan berkaitan isu dihadapi oleh komuniti perniagaan.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laporan dan cadangan tersebut bakal dibentangkan oleh dua jawatankuasa tindakan khas yang dibentuk oleh MPN.

    Menurut beliau, isu-isu yang dihadapi komuniti perniagaan termasuk aliran tunai, pembiayaan serta kekurangan tenaga kerja.

    “Isu-isu ini sangat penting untuk ditangani segera bagi memastikan momentum pemulihan negara terus berjalan dengan baik dan mampu melangkau pencapaian tahun-tahun sebelum pandemik,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Muhyiddin turut mengulas tentang lawatan kerja sehari ke Kuching hari ini selaku Pengerusi MPN dan dalam lawatan tersebut, beliau berpeluang bertemu dengan para pemain industri di negeri itu menerusi satu sesi libat urus dengan mereka.

    Dalam sesi tersebut, bekas Perdana Menteri itu berkongsi dengan para peserta tentang fokus dan hala tuju pemulihan negara terutama dalam meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui pemberian bantuan dan pemulihan segera dalam semua sektor, terutama sektor-sektor kritikal.

    “Saya juga telah mengumumkan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri yang akan memberi fokus lebih spesifik kepada isu-isu di negeri ini bagi memastikan langkah penyelesaian yang lebih cepat dan proaktif dapat dilaksanakan,” jelasnya.

    Beliau menambah, antara yang telah dibangkitkan oleh pemegang-pemegang taruh dalam kalangan komuniti perniagaan Sarawak adalah isu kekurangan tenaga kerja dan masalah mendapatkan pembiayaan segera oleh sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam pelbagai bidang.

    Muhyiddin berkata, para pemain industri turut membangkitkan isu polisi kabotaj, isu gangguan dalam rantaian bekalan yang menyebabkan peningkatan kos barangan di Sarawak serta isu-isu lain berkaitan keperluan untuk kelangsungan perniagaan.

    “Mengenai isu sosial pula, mereka melahirkan kerisauan tentang impak kepada sektor pendidikan akibat penutupan sekolah dan institusi pendidikan sehingga berlaku ketinggalan dan keciciran dalam pembelajaran,” jelasnya.

    Sebelum menamatkan lawatan, beliau sempat singgah dan beramah mesra bersama penduduk dan peniaga di Batu Kawah dan Little India di Kuching.

  • Jangan pangkah Ali Biju, Muhyiddin beri peringatan

    Jangan pangkah Ali Biju, Muhyiddin beri peringatan

    “JANGAN pangkah Ali Biju.” Itu peringatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pengundi Krian agar tidak memangkah calon Bebas Datuk Ali Biju pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 Sabtu ini.

    Beliau berkata sebaliknya, sokongan padu perlu diberikan kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik meskipun nama Ali terpapar di kertas undi.

    “Perkara itu sudah dijelaskan oleh Ali Biju… beliau tidak bertanding. Jadi beliau sudah beritahu pengundi jangan pangkah dia dan saya pun cakap sekarang ini, jangan pangkah dia. Kita perlu berikan undi kepada GPS untuk kerusi itu (Krian),” katanya dalam sidang media selepas sesi dialog awam bersama Majlis Pemulihan Negeri edisi Sarawak hari ini.

    Pada 6 Dis lepas, Ali yang juga Naib Pengerusi Bersatu Sarawak mengesahkan beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri Krian sebagai calon Bebas sebelum mengumumkan menarik diri dan meminta penyokongnya menyokong Friday pada PRN itu.

    Muhyiddin turut mengesahkan tiga lagi ahli Bersatu yang bertanding dalam PRN Sarawak atas tiket calon Bebas telah digugurkan keahlian secara automatik susulan tindakan mereka yang bercanggah dengan perlembagaan parti.

    Mereka ialah Siki Balarik yang bertanding di Belaga, Ismawi Muhammad (Muara Tuang) dan Ricky Enteri (Bawang Assan). – BERNAMA

  • Bicara saman Muhyiddin vs Puad mula 14 Ogos 2023

    Bicara saman Muhyiddin vs Puad mula 14 Ogos 2023

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan lima hari bermula 14 Ogos 2023 untuk perbicaraan kes saman Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung kenyataan yang didakwa berbaur fitnah di laman Facebooknya berkaitan perintah kuarantin membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

    Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Mohd Puad selaku defendan ketika dihubungi Bernama berkata tarikh perbicaraan kes saman itu ditetapkan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz ketika pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

    “Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 24 Mei 2022 yang akan berlangsung secara dalam talian,” katanya yang turut memaklumkan prosiding hari ini disertai peguam Hayden Tan Chee Khoon mewakili Muhyiddin dan peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff bertindak bagi pihak Mohd Puad.

    Menerusi writ saman yang difailkan dalam kapasiti peribadi, Muhyiddin mendakwa pada 8 Feb lepas, Mohd Puad telah menerbitkan satu hantaran di laman Facebook di bawah nama ‘DrPuad Zarkashi’ dengan tajuk ‘Kuarantin pun ada dua darjat?’.

    Beliau mendakwa hantaran itu boleh diakses oleh pengguna Internet di seluruh dunia dan telah menerima 1,200 reaksi, 215 komen dan 182 perkongsian.

    Katanya hantaran itu merujuk kepada ‘PM’ yang merupakan singkatan kepada Perdana Menteri dan mengandungi kenyataan tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan jahat serta memfitnah beliau.

    Muhyiddin mendakwa kenyataan itu membawa maksud bahawa beliau dan rombongannya enggan menjalani kuarantin selama 10 hari selepas mereka pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia. – BERNAMA

  • PN gabungan politik pilihan rakyat pada PRU-15, kata Muhyiddin

    PN gabungan politik pilihan rakyat pada PRU-15, kata Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin optimis bahawa Perikatan Nasional (PN) akan menjadi gabungan politik pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PN itu berkata, sudah terdapat petanda-petanda positif yang menunjukkan PN semakin diterima oleh rakyat terutamanya dalam kalangan pengundi muda.

    Menurut beliau, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, PN mendapat sambutan yang amat baik daripada rakyat Sabah dengan memenangi jumlah kerusi yang terbesar dalam kalangan parti-parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menambah, dalam PRN Melaka yang baru berlangsung, walaupun PN hanya memenangi dua kerusi, kita menyaksikan peralihan sokongan yang ketara kepada gabungan politik tersebut.

    “Kita menawarkan pentadbiran yang prihatin rakyat dan berintegriti yang saya yakin selari dengan nilai dan aspirasi majoriti rakyat di negara ini.

    “Kita telah buktikan bahawa PN mampu mentadbir negara dengan baik dengan mengamalkan dasar prihatin rakyat serta mempertahankan prisip integriti dan kedaulatan undang-undang sepanjang mentadbir negara sebelum ini.

    “Rekod ini akan kita pertahankan dan persembahkan kepada rakyat untuk mereka membuat penilaian,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan di Kuala Lumpur, hari ini.

    Muhyiddin menambah, PN juga adalah sebuah gabungan politik pelbagai kaum yang sentiasa menekankan aspek perpaduan kaum dan agama dalam masyarakat majmuk Malaysia.

    Beliau memberitahu, PN beriltizam untuk membela nasib semua rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan wilayah.

    “Komitmen ini telah pun dilaksanakan oleh kerajaan PN menerusi Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Asas yang paling utama dasar ini ialah no one will be left behind.

    “Kita akan berkongsi khazanah kekayaan negara secara besama dan maju bersama-sama tanpa seorang pun yang tertinggal di belakang. Ini komitmen PN,” jelasnya.

    Sementara itu, Muhyiddin menyifatkan penyertaan Gerakan dalam PN sebagai satu pilihan yang tepat dan menyumbang dalam usaha melengkapkan PN sebagai sebuah gabungan parti politik yang mewakili semua kaum di Malaysia.

    “Tugas Gerakan yang selanjutnya ialah untuk bersama-sama memperkukuhkan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional yang kuat dan disokong oleh majoriti rakyat.

    “Hanya dengan sokongan majoriti rakyat, PN akan dapat membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil untuk melaksanakan dasar-dasar prihatin rakyat, mempertahankan prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang serta memaju dan memakmurkan negara yang hasilnya dapat dikongsi oleh semua rakyat
    tanpa mengira kaum, agama dan wilayah,” ujarnya.

  • PN ingatkan kerajaan jangan campur urusan mahkamah

    PN ingatkan kerajaan jangan campur urusan mahkamah

    PERIKATAN Nasional (PN) mengingatkan kerajaan Keluarga Malaysia yang memerintah ketika ini bahawa sokongannya adalah tertakluk kepada kepatuhan kerajaan terhadap prinsip dan nilai integriti termasuk tidak mencampuri urusan mahkamah.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai sebuah parti yang mendukung prinsip integriti, PN telah meletakkan asas yang jelas dalam pembentukan kerajaan Persekutuan dan negeri.

    Menurut beliau, perkara yang ditetapkan PN itu termasuk syarat untuk terus menentang rasuah dan salah guna kuasa serta tidak sekali-kali mencampuri urusan mahkamah.

    “Institusi mahkamah termasuk agensi pendakwaan mestilah dipastikan bebas untuk menegakkan keadilan tanpa diganggu-gugat oleh sesiapapun semata-mata untuk melindungi kepentingan pihak tertentu.

    “Kerajaan juga tidak boleh tunduk kepada tekanan kumpulan kleptokrat demi kepentingan diri mereka sendiri.

    “Saya ingin menegaskan bahawa PN mempunyai tanggungjawab moral untuk memberikan sokongan kepada kerajaan selagimana prinsip ini dipatuhi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan di Kuala Lumpur, hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, PN tidak berkompromi dengan prinsip tersebut manakala penyertaannya dalam kerajaan sedia ada bukan kerana kuasa dan kedudukan.

    Muhyiddin memberitahu, PN berkhidmat kepada rakyat dengan penuh integriti dan sekiranya prinsip itu tidak dipatuhi sehingga menyebabkan golongan kleptokrat kembali berkuasa, kepentingan rakyat dan negara tidak dapat dipertahankan.

    “Sekiranya itu berlaku, kita mesti membuat keputusan tentang perkara paling terhormat yang mesti dilakukan dan ia termasuk mengembalikan mandat kepada rakyat bila tiba masanya,” jelasnya.

    Beliau turut menyeru semua pihak dalam PN untuk berani melakukan perubahan dan pembaharuan.

    “Kita tidak boleh membenarkan sistem politik negara kita dikawal oleh mereka yang rakus kuasa. Proses pembaharuan politik yang telah pun dimulakan oleh rakyat Malaysia mestilah diteruskan,” ujarnya.

    Muhyiddin menambah, PN yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS, Gerakan dan SAPP perlu menjadi sebuah gabungan politik di
    peringkat nasional yang menawarkan pentadbiran yang prihatin rakyat, cekap, telus dan berintegriti.

    “Saya akui ada pihak yang agak ragu apabila kita membentuk PN. Mereka bertanya bolehkah PN menjadi sebuah gabungan politik yang kuat dan diterima oleh rakyat.

    “Saya bukanlah orang yang boleh memberikan jawapan yang tepat kepada persoalan ini kerana yang membuat penentuan ialah rakyat. Segalanya ditentukan oleh rakyat dan pastinya juga ialah ketentuan Ilahi,” katanya.

  • Tegak kebenaran, lawan kemungkaran punca rakyat sokong Bersatu

    Tegak kebenaran, lawan kemungkaran punca rakyat sokong Bersatu

    PRINSIP menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran seperti rasuah dan salah guna kuasa membolehkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya menarik sokongan dan dukungan rakyat.

    Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun masih baru, beliau berbangga dengan pencapaian luar biasa parti itu pada hari ini.

    Sehubungan itu beliau mengingatkan ahli Bersatu agar menilai parti itu bukan sahaja dari segi kekuatan dan perpaduan malah juga dari aspek tanggungjawab serta amanah yang perlu dilaksanakan demi rakyat, bangsa dan negara.

    Menurutnya, selain mengukuhkan parti, setiap ahli ada tanggungjawab kepada rakyat di kawasan masing-masing yang kebanyakannya terkesan dengan pandemik Covid-19.

    “Justeru setiap ahli parti perlu meneruskan usaha bagi memberi khidmat kepada setiap lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang mereka.

    “Saya tegaskan sepanjang berhadapan dengan pandemik, rakyat menghargai apa yang telah kerajaan Perikatan Nasional (PN) lakukan bagi membantu menyelamatkan nyawa dan kehidupan mereka.

    “Walaupun masih baru, saya juga boleh berbangga kerana parti ini berjaya mencatat pencapaian yang agak luar biasa dari aspek sokongan dan dokongan rakyat kerana parti ini berpegang kepada prinsip menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran seperti rasuah dan salah guna kuasa,” katanya seperti dilaporkan Satu Berita.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh Kali Ketiga di Pagoh.

    Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi, Muhyiddin meminta seluruh ahli Bersatu meningkatkan kesiapsiagaan terutama dalam aspek memperkukuhkan jentera parti.

    Ujarnya, beliau percaya pengalaman bekerja bagi membantu calon-calon PN pada Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini sangat berharga bagi menghadapi pilihan raya yang lebih besar tidak lama lagi.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan kepimpinan dan sayap parti seperti Armada dan Srikandi kerana telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin pada majlis sama menyampaikan sumbangan barangan perniagaan kepada peniaga kecil dan bantuan perahu dan bot penambang kepada beberapa nelayan kecil kawasan Pagoh.

  • Muhyiddin pegang teguh prinsip amar makruf nahi mungkar

    Muhyiddin pegang teguh prinsip amar makruf nahi mungkar

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berpegang teguh dengan prinsip yang dianjurkan oleh Islam iaitu amar makruf nahi mungkar.

    Menurut beliau, jika melihat suatu kemungkaran berlaku, maka menjadi kewajipan untuk mencegahnya dengan niat untuk memperbetulkan keadaan walaupun ia mungkin mempunyai kesan ke atas pangkat dan kedudukan.

    Bagi Muhyiddin, yang penting adalah melaksanakan amanah dan tanggungjawab di sisi Allah SWT dan kita sebagai hamba-Nya hendaklah sentiasa reda dengan ketentuan-Nya.

    “Mungkin telah ditakdirkan oleh Allah SWT atas sebab prinsip perjuangan yang saya tegakkan bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain, saya telah diberikan amanah yang lebih besar untuk memimpin negara di waktu pandemik.

    “Saya diletakkan dalam suatu keadaan di mana saya perlu mengemudi negara dalam waktu yang paling sukar.

    “Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, malah sejarah dunia sekalipun, terjadi suatu krisis yang mengancam nyawa dan kehidupan rakyat pada skala yang besar dan berlarutan untuk suatu tempoh yang panjang,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku ‘Abah Teguh Kita Bersama’ di Kuala Lumpur, hari ini.

    Muhyiddin menambah, menjadi Perdana Menteri dalam tempoh pandemik merupakan satu episod yang paling sukar dalam sejarah politiknya.

    Bukan sahaja berhadapan dengan krisis kesihatan dan ekonomi yang perlu ditangani dengan cermat, malah beliau turut menerima tekanan politik yang datang dari pelbagai sudut.

    “Apapun, saya dan rakan-rakan dalam kabinet pada waktu itu telah cuba melakukan yang terbaik dengan memberikan keutamaan kepada usaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat dan melindungi kehidupan mereka,” jelasnya.

    Muhyiddin berkata, mungkin apa yang beliau lakukan sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri, walaupun hanya untuk satu tempoh yang singkat, mempunyai kesan yang agak mendalam kepada kehidupan rakyat.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu memberitahu, mereka nampaknya menghargai apa yang beliau dan kerajaan pimpinannya lakukan untuk melindungi nyawa dan kehidupan mereka.

    “Kerana itulah agaknya mereka memanggil saya Abah. Saya sendiripun tidak menjangkakan yang ramai orang baik tua atau muda memanggil saya dengan panggilan Abah.

    “Ke mana-mana sahaja saya pergi orang panggil saya Abah. Saya dapat rasakan panggilan itu bukan dibuat-buat tetapi terbit dari hati nurani mereka yang jujur dan ikhlas,” ujarnya.

    Beliau jugan berasa amat tersentuh setiap kali saya disapa dengan panggilan Abah.

    “Saya juga seorang ayah kepada empat orang anak. Sebagai seorang ayah, sepertimana saudara-saudara juga, tentulah kita mencurahkan sepenuh kasih sayang kita kepada anak-anak.

    “Jadi, apabila orang memanggil saya Abah, datang suatu perasaan dalam diri saya seolahnya mereka telah merasai curahan kasih sayang saya, dan pastinya saya juga menyayangi mereka. Saya mendoakan semoga hubungan kasih sayang ini akan kekal abadi, insya-Allah,” katanya.

  • Muhyiddin tidak pernah impikan jadi Perdana Menteri

    Muhyiddin tidak pernah impikan jadi Perdana Menteri

    TAN Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah mengimpikan beliau diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri yang seterusnya memulihkan krisis pandemik COVID-19 yang dihadapi negara.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sejarah hidupnya bermula sebagai pemuda biasa dan dibentuk dari awal oleh keluarga yang kuat pegangan agama dan mengamalkan kehidupan yang amat sederhana.

    Muhyiddin menambah, almarhum ayahandanya seorang guru agama dan beliau banyak membentuk keperibadiannya dan adik beradik yang lain dengan didikan agama.

    “Kami mungkin miskin harta tetapi kaya dengan ilmu dan adab serta budi pekerti yang terbentuk hasil didikan ayahanda dan bonda yang amat menitik beratkan akhlak yang mulia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku ‘Abah Teguh Kita Bersama’ di Kuala Lumpur, hari ini.

    Ahli Parlimen Pagoh itu memberitahu, pada zaman kanak-kanak, beliau menjalani kehidupan biasa yang kadang-kadang terpaksa melalui zaman yang agak sukar kerana keluarganya bukan golongan yang berada.

    Seperti ramai yang lain, katanya, beliau juga pernah merasai kesukaran hidup di kampung yang serba kekurangan.

    “Kami kadang-kadang bergantung kepada hasil tumbuhan dan tanaman yang ada di sekeliling rumah untuk dijadikan makanan.

    “Ujian getir ini mencorak kehidupan saya yang sederhana dan memperkukuhkan lagi keimanan saya kepada Tuhan dan penghormatan saya kepada alam ciptaan-Nya,” jelasnya.

    Mengimbau kembali, Muhyiddin berkata, perjalanannya sehingga bergelar Perdana Menteri bukan sesuatu yang mudah kerana banyak liku dan jatuh bangun yang saya lalui dalam perjuangan menegakkan prinsip dan hak.

    “Saya hadapi semua dugaan dan cabaran ini atas kesedaran bahawa hidup kita ini hanya sementara. Ia suatu ujian dalam perjalanan kita menuju negeri abadi.

    “Sebagai seorang Islam, yang penting dalam kehidupan di dunia yang fana ini ialah kita mesti lakukan perkara yang betul, iaitu perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT ke atas kita,” ujarnya.

    Beliau turut menghargai didikan dan asuhan ibu bapanya serta sokongan dan dorongan daripada seluruh kelurga teruamanya isteri, anak-anak dan adik beradik yang sentiasa bersama-samanya ketika susah dan senang.

    “Sebagai seorang insan, saya pastinya ada banyak kelemahan dan kekurangan. Tetapi berkat sokongan dan pengorbanan ahli keluarga serta sahabat handai, Alhamdulillah saya diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan saya.

    “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih saya yang tidak terhingga kepada mereka semua,” katanya.

    Muhyiddin juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon dan pasukan penulis buku biografi bergambar ‘Abah Teguh Kita Bersama’ atas usaha yang dilakukan untuk menghasilkan buku tersebut.

    “Mudah-mudahan buku ini yang merakamkan sejarah perjalanan hidup saya secara bergambar akan memberikan manfaat kepada semua pembaca,” jelasnya.

  • Puad Zarkashi gagal ketepi injunksi saman fitnah Muhyiddin

    Puad Zarkashi gagal ketepi injunksi saman fitnah Muhyiddin

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi gagal dalam usaha mengetepikan injunksi terhadapnya dalam saman fitnah oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau disaman oleh Muhyiddin berhubung satu catatan Facebook yang dikatakan memberi gambaran bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu enggan menjalani kuarantin 10 hari sebaik pulang daripada lawatan rasmi ke Indonesia pada 5 Feb.

    Pejabat Perdana Menteri ketika itu berkata, Muhyiddin dikehendaki menjalani kuarantin di rumah, termasuk perlu memakai gelang kuarantin COVID-19.

    Susulan itu, Muhyiddin mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohd Puad dan mendapatkan injunksi sementara menuntut catatan Facebook miliknya itu dipadam.

    Hari ini, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Firuz Jaffril menolak permohonan Mohd Puad untuk mengetepikan injunksi itu dengan berkata bahawa mahkamah tidak bersetuju dengan hujahannya.

    “Namun, defendan tidak sepenuhnya rugi. Jika beliau berjaya di penghujung perbicaraan, mahkamah akan membuat penentuan,” kata Firuz.

    Muhyiddin turut menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk daripada Mohd Puad.

    Beliau diwakili peguam DP Naban dan Rosli Dahlan, manakala Rajasingam Gothandapani dan Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili Mohd Puad.

    Shahrul berkata, pengurusan kes ditetapkan pada 9 Dis di hadapan hakim baharu, Hayatul Akmal Abdul Aziz, memandangkan Firuz dijadual dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

  • PN tak akan bubar untuk kembali bersama UMNO

    PN tak akan bubar untuk kembali bersama UMNO

    PERIKATAN Nasional (PN)  tidak akan meninggalkan prinsip penubuhannya dan tidak akan dibubarkan untuk kembali bersama UMNO.

    Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN sudah berhijrah jauh dan yakin dengan prinsip dan asas pembentukannya untuk menawarkan suatu bentuk parti yang mendukung kerajaan dengan lebih baik.    

    “Minta maaf. Kami berpegang kepada prinsip ketelusan, integriti, menentang rasuah dan salah guna kuasa.

    Itu menjadi dasar perjuangan kita. Sebab itu bagi saya, telah berada di sini, kita akan terus beristiqamah, bergabung bersama dan bekerja lebih kuat supaya kita akan jadi pencabar utama kepada Barisan Nasional,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PN di sini malam ini. 

    Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata demikian sebagai mengulas dakwaan ada pihak meminta beliau membubarkan Bersatu dan kembali bersama UMNO.

    Katanya, keberadaan PN dalam arena politik negara yang menawarkan perubahan ke arah lebih baik adalah bagi membolehkan rakyat jelata di negara ini mempunyai satu lagi pilihan untuk dipertimbangkan. 

    “Itu bagi saya penting, bukan soal peribadi saya atau soal apa kerana kita berpendapat, pembentukan Bersatu dan Gabungan PN suatu perkembangan politik sihat dalam sistem demokrasi berparlimen,” katanya. – BERNAMA