TAN Sri Muhyiddin Yassin optimis bahawa Perikatan Nasional (PN) akan menjadi gabungan politik pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PN itu berkata, sudah terdapat petanda-petanda positif yang menunjukkan PN semakin diterima oleh rakyat terutamanya dalam kalangan pengundi muda.

Menurut beliau, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, PN mendapat sambutan yang amat baik daripada rakyat Sabah dengan memenangi jumlah kerusi yang terbesar dalam kalangan parti-parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menambah, dalam PRN Melaka yang baru berlangsung, walaupun PN hanya memenangi dua kerusi, kita menyaksikan peralihan sokongan yang ketara kepada gabungan politik tersebut.

“Kita menawarkan pentadbiran yang prihatin rakyat dan berintegriti yang saya yakin selari dengan nilai dan aspirasi majoriti rakyat di negara ini.

“Kita telah buktikan bahawa PN mampu mentadbir negara dengan baik dengan mengamalkan dasar prihatin rakyat serta mempertahankan prisip integriti dan kedaulatan undang-undang sepanjang mentadbir negara sebelum ini.

“Rekod ini akan kita pertahankan dan persembahkan kepada rakyat untuk mereka membuat penilaian,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhyiddin menambah, PN juga adalah sebuah gabungan politik pelbagai kaum yang sentiasa menekankan aspek perpaduan kaum dan agama dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Beliau memberitahu, PN beriltizam untuk membela nasib semua rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan wilayah.

“Komitmen ini telah pun dilaksanakan oleh kerajaan PN menerusi Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Asas yang paling utama dasar ini ialah no one will be left behind.

“Kita akan berkongsi khazanah kekayaan negara secara besama dan maju bersama-sama tanpa seorang pun yang tertinggal di belakang. Ini komitmen PN,” jelasnya.

Sementara itu, Muhyiddin menyifatkan penyertaan Gerakan dalam PN sebagai satu pilihan yang tepat dan menyumbang dalam usaha melengkapkan PN sebagai sebuah gabungan parti politik yang mewakili semua kaum di Malaysia.

“Tugas Gerakan yang selanjutnya ialah untuk bersama-sama memperkukuhkan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional yang kuat dan disokong oleh majoriti rakyat.

“Hanya dengan sokongan majoriti rakyat, PN akan dapat membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil untuk melaksanakan dasar-dasar prihatin rakyat, mempertahankan prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang serta memaju dan memakmurkan negara yang hasilnya dapat dikongsi oleh semua rakyat
tanpa mengira kaum, agama dan wilayah,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here