Tag: Muhyiddin Yassin

  • ‘Bakal banduan’ seperti Najib tak layak berdebat dengan Muhyiddin

    ‘Bakal banduan’ seperti Najib tak layak berdebat dengan Muhyiddin

    KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ‘bakal banduan’ seperti Datuk Seri Najib Tun Razak tidak layak untuk berdebat dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menurut beliau, Ahli Parlimen Pekan itu sepatutnya menyahut cabaran berdebat dengan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai isu Felda.

    “Saya rasa bakal banduan ini tidak layak untuk bercakap dengan seorang tokoh seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jadi dia kena sedar diri dan cari orang yang satu kumpulan dan satu darjat dengan dia.

    “Cabaran Datuk Seri Azmin pun dia tak jawab dia nak cakap besar pulak.

    “Daripada dia mencabar sana sini nak berdebat dengan Tan Sri Muhyiddin baik dia usahakan untuk menjawab soalan-soalan yang ditanya bila dia di mahkamah.

    “Jangan bagi alasan jangan bagi dalih untuk mengelak pergi ke mahkamah banyak sangat alasan,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru hari ini.

    Semalam, Najib mencabar Muhyiddin untuk berdebat dengannya tentang isu Felda.

    Sebelum itu, Mohamed Azmin mencabar Najib untuk berdebat sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

    Sementara itu, Wan Saiful menyifatkan tindakan beberapa bekas pemimpin Bersatu meninggalkan parti tidak menjejaskan peluang PN untuk memenangi PRN Johor.

    Beliau berkata, mereka yang menyertai Bersatu atas kepentingan peribadi seperti kemaruk menjadi calon dipersilakan untuk meninggalkan parti.

    Wan Saiful turut menyeru kepada kira-kira 400,000 pengundi yang bermastautin di luar Johor untuk pulang mengundi pada 12 Mac ini.

    “Kalau tuan-tuan dan puan-puan yang duduk di luar tidak balik mengundi maka saya bimbang keputusan akan memihak pihak yang tidak selayaknya jadi kerajaan negeri Johor,” jelasnya.

  • Tiada alasan kerajaan lengah buka sempadan negara

    Tiada alasan kerajaan lengah buka sempadan negara

    TAN Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) sekali lagi menggesa agar kerajaan membuka sempadan negara sepenuhnya sekarang seperti yang disyorkan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN).

    Beliau yang juga Pengerusi MPN berkata, tiada alasan untuk kerajaan tidak melaksanakan syor pembukaan sempadan negara tersebut.

    “MPN telah mencadangkan supaya pembukaan sempadan negara sepenuhnya dilaksanakan mulai awal Mac dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan supaya industri pelancongan, perdagangan dan sektor ekonomi yang berkaitan dapat dirancakkan kembali.

    “Saya tidak nampak alasan kenapa keputusan membuka sempadan ini hendak dilengah-lengahkan lagi, sedangkan negara-negara lain yang program vaksinasinya tidak sehebat negara kita sudah pun berbuat demikian,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Muhyiddin menambah, Pelan Pemulihan Negara telah meletakkan proses pemulihan pada landasan yang betul dengan tiga aspek pemulihan iaitu pemulihan jumlah pengeluaran, pemulihan jumlah pekerjaan dan kualiti hidup.

    Beliau memberitahu, aspek kedua dan ketiga memerlukan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

    “Ini saya istilahkan sebagai `Recovery Plus Plus (Recovery++). Recovery++ ini memerlukan polisi dan program yang mantap berteraskan kepada pelaburan yang berkualiti, produktiviti yang tinggi serta penciptaan dan peluasan perdagangan agar pertumbuhan ekonomi bagi tempoh 2023 – 2025 dan seterusnya, mantap dan mampan.

    “Jika tidak, kita mungkin terperangkap dalam `double-dipped growth’, iaitu pertumbuhan ekonomi yang merosot dua kali, atau istilah ekonominya disebut W-shaped Recovery,” jelasnya.

    Muhyiddin telah mengesyorkan kepada kerajaan supaya memulakan segera agenda Pelan Pemulihan Negara 2.0 (PPN 2.0) yang mempunyai dasar dan strategi yang sesuai serta tuntas dengan berpaksikan, ‘quality investment, high productivity, and trade creation’.

    “Saya mengesyorkan agar PPN 2.0 yang terasnya adalah Recovery++ perlulah bersifat inklusif dan melibatkan pihak-pihak berkepentingan melalui pendekatan bersepadu seluruh negara atau, `whole of nation approach’,” jelasnya.

    Beliau menegaskan bahawa usaha-usaha pemulihan perlulah bersifat luar biasa, ‘out of the box’ dan ‘surpetition’ bagi mewujudkan pertumbuhan yang mantap dan gemilang serta mampu meletakkan Malaysia kembali di landasan yang betul untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

    “Usaha-usaha pemulihan ekonomi ini juga mestilah dilaksanakan secara bertanggungjawab oleh kepimpinan yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat,” ujarnya.

  • ‘Semuanya untuk rakyat, di mana yang saya membazir?’

    ‘Semuanya untuk rakyat, di mana yang saya membazir?’

    TUDUHAN yang dilemparkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) dengan mengatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) membazir hanya kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan beliau menyediakan pakej-pakej bantuan rakyat dan rangsangan ekonomi bernilai RM600 bilion untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 adalah tidak bertanggungjawab.

    Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, tuduhan itu adalah amat tidak sensitif terhadap kesusahan yang dihadapi oleh rakyat dan komuniti perniagaan sewaktu pandemik.

    “Saya sebenarnya hairan dengan sikap Pekan. Apabila saya sebagai Perdana Menteri menyalurkan bantuan bernilai ratusan billion ringgit kepada rakyat dan perniagaan di kala susah dikatakan membazir.

    “Tetapi ketika dia menjadi Perdana Menteri, puluhan billion duit rakyat lesap begitu sahaja tidak pula dikatakan membazir. Mungkin kerana dia mendapat untung, tidaklah membazir bagi dia,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Muhyiddin menjelaskan, ramai individu yang ditemuinya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan PN atas pelbagai bentuk bantuan yang mereka terima termasuk Makcik Kiah, Pak Salleh dan lain-lain peniaga, penjaja kecil dan orang-orang biasa yang menerima bantuan kerajaan semasa pandemik.

    Beliau menambah, ia termasuk pelbagai bentuk bantuan tunai bernilai RM17 billion yang disalurkan terus kepada rakyat pada tahun lalu sahaja.

    “Program subsidi upah bernilai RM20 billion juga telah banyak membantu pekerja memperolehi gaji dan pemilik perniagaan meneruskan operasi perniagaan semasa pandemik walaupun ekonomi terjejas teruk.

    “Selain itu, pakej-pakej rangsangan ekonomi yang saya umumkan telah menyumbang sebanyak 3.7 hingga 4.0 mata peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020 dan menjadi antara penyumbang utama pemulihan ekonomi pada masa ini.

    “Ini menunjukkan pakej-pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang disediakan oleh kerajaan PN memberikan banyak kesan positif kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara,” ujarnya.

    Hakikatnya, Muhyiddin berkata, dunia semasa dan pasca-pandemik memerlukan negara-negara termasuk Malaysia mengambil langkah luar biasa.

    Beliau berkata, kerajaan PN pada ketika itu memastikan perniagaan dapat terus berjalan, gaji dan upah pekerja tidak terhenti dan makanan berada di atas meja untuk keluarga yang terjejas.

    “Peruntukan yang besar tersebut tidak masuk dalam akaun peribadi saya, tetapi untuk kepentingan rakyat yang benar-benar terkesan akibat pandemik. Pembelian vaksin, bantuan tunai terus ke akaun rakyat, pembukaan pusat-pusat kuarantin dan PPV – semuanya untuk rakyat. Di mana yang saya membazir?

    “Kesemua wang yang diperuntukkan itu adalah bagi membantu rakyat dan negara menjana pendapatan yang menyumbang kepada kesan berganda ekonomi atau dengan izin, multiplier effect.

    “Oleh sebab itu, sejumlah peruntukan yang besar telah dibelanjakan secara telus dan bersasar bagi maksud pemberian pelbagai bentuk insentif dan bantuan kepada rakyat dan perniagaan, termasuk Perusahaan Kecil, Mikro dan Sederhana (PKMS) dan industri yang amat terkesan sepanjang dua tahun suram yang turut dirasai di seluruh dunia akibat pandemik COVID-19,” jelasnya.

  • Pekan seorang yang cerdik berbohong, Muhyiddin perli Najib

    Pekan seorang yang cerdik berbohong, Muhyiddin perli Najib

    MALAYSIA sememangnya bernasib baik kerana Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

    Sekiranya senario itu tidak berlaku, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) sangsi skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) akan disiasat oleh kerajaan.

    “Bayangkan jika Pekan masih Perdana Menteri. Saya tidak fikir dia akan tubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk mencari wang dan aset 1MDB yang hilang kerana yang menghilangkan wang dan aset itu pun dia.

    “Jadi benarlah Pekan ini seorang yang cerdik – cerdik berbohong,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau yang juga Pengerusi PN menambah, selepas PRU-14, kerajaan telah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk merampas semula wang dan aset 1MDB yang dicuri.

    Muhyiddin semasa menjadi Perdana Menteri telah mengarahkan Pasukan Petugas Khas itu untuk menjejak dan mendapatkan kembali wang dan aset 1MDB yang disorok di negara-negara asing.

    “Saya difahamkan setakat ini lebih RM20 billion wang dan aset 1MDB telah berjaya dirampas semula oleh kerajaan dan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Asset yang akan digunakan untuk membayar sebahagian hutang 1MDB,” jelasnya.

    Beliau berkata, pada 2 Mac lalu, Dewan Rakyat telah dicemarkan oleh kenyataan Ahli Parlimen Pekan berkenaan hutang 1MDB yang mendakwa hutang tersebut tidak dibayar menggunakan wang rakyat.

    Presiden Bersatu itu menegaskan, kenyataan itu adalah tidak benar dan mengelirukan Ahli-ahli Parlimen.

    “Saya hairan Pekan sebagai bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan boleh terlupa bahawa hutang-hutang 1MDB adalah dijamin oleh kerajaan.

    “Apabila 1MDB gagal membayar hutang-hutang termasuk faedah yang keseluruhannya berjumlah lebih RM50 billion, maka kerajaanlah yang terpaksa membayar hutang-hutang ini,” jelasnya.

    Muhyiddin memberitahu, seperti yang dijelaskan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 3 Mac lalu, setakat akhir Februari lalu, jumlah hutang 1MDB yang masih perlu dibayar adalah bernilai RM38.8 bilion, merangkumi RM32.3 bilion hutang prinsipal dan RM6.5 bilion faedah hutang.

    Menurut beliau, Tengku Zafrul pada Januari lalu turut memaklumkan, kerajaan sudah membayar hutang 1MDB berjumlah RM13.3 bilion setakat ini.

    “Maknanya, ini duit rakyatlah. Mungkin apa yang dimaksudkan oleh Pekan ialah, oleh kerana kerajaan telah berjaya merampas semula sebahagian wang dan aset 1MDB yang telah dicuri, maka gunalah wang dan aset itu untuk membayar balik hutang 1MDB,” ujarnya.

    Muhyiddin berkata, antara aset yang berjaya dirampas semula adalah sebuah kapal layar mewah bernilai AS$130 juta, sebuah jet peribadi bombardier bernilai AS$35 juta dan aset-aset mewah milik anak tiri Najib iaitu sebuah townhouse bernilai 23.2 juta pound di London, sebuah rumah mewah bernilai AS$17.5 juta Beverly Hills dan sebuah kondominium mewah bernilai AS$35.5 juta di New York.

    Beliau berkata, kesemua aset-aset tersebut tentunya dibeli bukan untuk tujuan pelaburan yang menguntungkan 1MDB.

    “Tetapi sebaliknya dikeroyok oleh orang-orang yang rapat dengan Pekan menggunakan sebahagian wang berjumlah AS$4.5 bilion yang dicuri dari 1MDB,” katanya.

    Seperti yang sudah banyak kali Muhyiddin jelaskan dan tegaskan, kerosakan akan melanda negara jika integriti tidak dijadikan pegangan pemimpin yang mentadbir kerajaan.

    “Apa lagi yang kesnya terkenal seantero dunia sebagai (dengan izin) “the biggest scandal of the century” yang melibatkan rantaian penyangak kewangan global atau the plundering idiots yang mencetuskan a national embarrassment,” jelasnya.

  • Serangan lawan terhadap Muhyiddin jadi senjata makan tuan

    Serangan lawan terhadap Muhyiddin jadi senjata makan tuan

    MINGGU terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin sengit dan panas dengan menyaksikan pihak lawan melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Bermacam-macam tuduhan tidak masuk akal yang mereka lontarkan sekali gus menunjukkan pihak lawan khususnya Barisan Nasional (BN) semakin terdesak untuk mengemis sokongan Bangsa Johor yang meluat dengan mereka.

    Walau bagaimanapun, calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Datuk Ariss Samsudin menyifatkan serangan pihak lawan tidak memberi kesan terhadap Muhyiddin.

    Malah, beliau percaya tindakan tersebut akan menjadi ‘senjata makan tuan’ kepada pihak lawan.

    “Biasa dalam mana-mana pilihan raya memang mereka berusaha sungguh nak mengorbankan imej tokoh kita.

    “Tapi sebagaimana kita tahu abah ni apa pun kalau lawan cakap akhirnya akan jadi backfire la.

    “Akhirnya akan menimbulkan rasa simpati rakyat kepada beliau dan rakyat tahu dalam tempoh yang singkat itu mana-mana rata-rata saya pergi mereka memang mengagumi kebolehan pentadbiran zaman Tan Sri Muhyiddin.

    “Macam-macam dia bagi walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19 itu pun bantuan-bantuan tidak putus-putus untuk rakyat,” jelasnya dalam sidang media di Pejabat Bersatu / PN Parit Sulong hari ini.

    Ariss menambah, serangan terhadap Muhyiddin sebenarnya akan menjadi senjata paling ampuh untuk melumpuhkan lawan.

    Lebih-lebih lagi, kata beliau, bekas Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor itu memang disayangi oleh Bangsa Johor termasuk di DUN Semerah.

    “Ramai orang Semerah yanya bila Abah nak datang,” katanya.

    Bagi mengubat kerinduan penduduk di DUN Semerah, Muhyiddin akan menyantuni mereka pada 9 Mac ini, pukul 9 malam dengan program ramah mesra di pekarangan Pejabat Bersatu / PN Parit Sulong.

    Ariss yakin aura Muhyiddin akan menjadi gelombang saat akhir yang membawa kemenangan kepada PN di Johor khususnya di DUN Semerah.

  • Penduduk Bukit Kepong patut tutup pintu bila ‘pencuri’ datang

    Penduduk Bukit Kepong patut tutup pintu bila ‘pencuri’ datang

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin secara berseloroh berkata, beliau terlupa untuk mengingatkan penduduk Bukit Kepong menutup pintu semasa Datuk Seri Najib Tun Razak datang melawat ke sana beberapa hari lalu.

    Beliau dalam nada sinis memberitahu mereka patut berbuat demikian kerana ‘pencuri’ sudah datang ke kampung mereka.

    “Hari tu dia sampai kat Bukit Kepong, kampung saya, saya lupa nak beritahu orang kampung tutup pintu dan tingkap rapat-rapat.

    “Saya tak takut cakap ni pasal kita cerita yang betul,” katanya ketika berucap pada majlis santai bersama beliau di Kompleks PAS Batu Pahat malam ini.

    Majlis tersebut turut disertai pemimpin-pemimpin PN yang lain iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Datuk Rashid Hasnon, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Datuk Ali Biju dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri bimbang jika rakyat Johor membuat kesilapan dengan mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada 12 Mac ini.

    “Zaman dacing sudah berlalu, sekarang adalah masa PN,” ujarnya.

    Beliau turut mengingatkan bahawa usaha menghalang penyelewengan dan salah guna kuasa yang membarah dalam UMNO dan BN adalah satu jihad.

    “Saya berjanji kita nak membentuk kerajaan yang bersih, berintegriti dan prihatin di Johor. Itu azam saya,” tegasnya.

  • Prihatin semua kaum, ini komitmen Muhyiddin dan PN

    Prihatin semua kaum, ini komitmen Muhyiddin dan PN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin amat teruja dengan sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat Cina di Johor terhadap Perikatan Nasional (PN) dalam majlis makan malam yang dihadiri oleh lebih 800 orang masyarakat Cina di Johor Bahru malam tadi.

    Menurut Pengerusi PN itu, ramai pimpinan masyarakat Cina yang hadir.

    “Saya jelaskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan saya sebelum ini untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat semasa pandemik Covid-19.

    “Ini termasuk pelbagai bantuan yang diberikan kepada individu dan perniagaan seperti bantuan bakul makanan, moratorium pinjaman bank, pengeluaran caruman KWSP, subsidi upah dan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu turut menegaskan komitmen PN untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri Johor, menggalakkan pelaburan di negeri itu, menyediakan pekerjaan, meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan rakyat seperti yang terkandung dalam Ikrar PN Untuk Johor.

    Muhyiddin turut menekankan peri penting nilai integriti dan amanah dalam kepimpinan kerajaan.

    “Hanya kepimpinan yang berintegriti dan beramanah dapat memacu kemajuan negeri dan negara.

    “Tiada ketirisan, tiada pembaziran, tiada penyelewengan. Barulah rakyat dapat merasa erti pembangunan, kemajuan dan kestabilan yang sebenar,” jelasnya.

    Seorang tetamu yang hadir bertanya kepada Muhyiddin apa jaminan PN akan berlaku adil kepada semua kaum.

    “Saya beritahu rekod saya sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional, saya tidak pernah bertanya apa kaum orang yang menerima vaksin, bakul makanan dan pelbagai bentuk bantuan dan pakej rangsangan ekonomi yang keseluruhannya berjumlah RM530 bilion.

    “Semua dibantu dan dilayan secara adil dan saksama,” ujarnya.

    Beliau menambah, prinsip PN sebagai sebuah kerajaan yang berintegriti, cekap dan prihatin ialah membantu semua rakyat tanpa mengira kaum.

    Muhyiddin memberitahu, tiada seorang pun yang akan dibiarkan ketinggalan walau apa kaum dan agamanya.

    “Ini komitmen saya dan PN,” katanya.

  • Peniaga kecil bersyukur terima bantuan kerajaan PN

    Peniaga kecil bersyukur terima bantuan kerajaan PN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa bersarapan pagi di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee di Johor Bahru hari ini.

    Berikut adalah hantaran penuh yang dikongsikan dalam Facebook:

    Hari ini saya singgah ke Medan Niaga Kampung Melayu Majidee untuk bersarapan pagi.

    Turut bersama saya ialah calon Perikatan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin,  Zulkifli Bujang.

    Medan niaga ini menempatkan pasar awam dan medan selera dan menjadi salah satu tempat tumpuan para penduduk setempat untuk membeli barang keperluan harian, bersarapan dan makan tengah hari.

    Saya mengambil peluang bertemu dan bertanya khabar dengan para peniaga kecil di bahagian pasar dan gerai makan.

    Beberapa peniaga yang saya temui di situ turut melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diberikan kerajaan Perikatan Nasional ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Peniaga Sup Meletop SZ,  Syukur Ahmad , 75, memberitahu dia adalah antara penerima Bantuan Khas Prihatin ketika PKP dan bantuan  tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan beban hidup ketika itu.

    Pengusaha Warisan Pak Atan Sate Salleh, Nurwahidah Salleh
    pula bersyukur kerana menerima Geran Khas Prihatin  (GKP) yang begitu besar maknanya kerana semua perniagaan ditutup dan tidak ada langsung sumber pendapatan  langsung.

    Pada sebelah petang pula, saya meluangkan masa untuk sesi minum petang bersama beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia, Dewan Perniagaan Cina dan ketua-ketua masyarakat di Restoran Adam Kitchen, Bandar Indahpura, Kulai.

    Selepas majlis tersebut saya ke Restoran 7 Beradik, Bandar Putra Permai bagi menghadiri sesi Yok Ngeteh bersama ketua-ketua NGO dan pemimpin komuniti setempat.

    Undilah Perikatan Nasional.

  • Sifar rasuah keutamaan tertinggi PN

    Sifar rasuah keutamaan tertinggi PN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, sifar rasuah sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu.

    Pengerusi PN itu berkata, negara akan musnah jika para pemimpinnya tidak ada integriti.

    Menurut beliau, Malaysia sudah ada contoh yang buruk apabila bekas pemimpin negara terlibat dengan rasuah, dituduh di mahkamah dan dijatuhi hukuman bersalah.

    “Saya sentiasa berpendirian, setiap pemimpin perlu ada sifat amanah dan kesalahan rasuah adalah satu masalah besar kepada negara.

    “Bagi mencapai sasaran sifar rasuah pula, sikap benci rasuah perlu ditanam dalam jiwa setiap anak kita dan mereka perlu dididik tentang nilai integriti, moral dan akhlak dari peringkat muda lagi,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu berkongsi jawapan yang diberi kepada Pengarah Malaysia Youth Diplomacy, Liaw Ying Yang pada Majlis Dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara di Johor Bahru hari ini.

    Ying Yang bertanya bagaimana Malaysia boleh mencapai sifar rasuah dan meningkatkan integriti dalam kalangan masyarakat.

    Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Pemulihan Negara dengan kerjasama Institut Masa Depan Malaysia itu dihadiri oleh kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli akademik, pemimpin belia, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penuntut institusi pengajian tinggi tempatan.

    Mengenai soalan M Thenesh dari Universiti Teknologi Petronas, berkaitan belia dan peluang pekerjaan, Mohamed Azmin menjelaskan, sistem pendidikan perlu dirombak bagi mewujudkan situasi ‘graduan mencipta pekerjaan dan bukan mencari pekerjaan.’

    Muhyiddin pula menjelaskan, kerajaan PN sebelum ini telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara dengan sasaran mewujudkan 500,000 pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran kesan daripada pandemik Covid-19.

    “Saya juga banyak kali membangkitkan keperluan membuka segera sempadan  bagi membolehkan ekonomi berkembang seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

    “Saya percaya penerangan dan penjelasan panjang lebar  termasuk oleh YB Azmin dan YB Mustapa itu membuktikan sumbangan besar Kerajaan Perikatan Nasional dalam mengembalikan kehidupan selepas terkesan teruk akibat pandemik COVID-19,” katanya.

  • ‘Tidak ada yang ketinggalan, walau apapun kaum, agama. Ini jaminan saya dan PN’ – Muhyiddin

    ‘Tidak ada yang ketinggalan, walau apapun kaum, agama. Ini jaminan saya dan PN’ – Muhyiddin

    REKOD kerajaan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan parti itu tidak pernah mengamalkan pilih kasih antara kaum dalam pentadbiran.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sepanjang mengetuai kerajaan, dia juga tidak pernah bertanya kaum mana yang menerima bantuan kerana percaya semua kaum patut mendapat bantuan saksama.

    “Rekod saya sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional, saya tidak pernah bertanya apa kaum orang yang menerima vaksin, bakul makanan dan pelbagai bentuk bantuan dan pakej rangsangan ekonomi yang keseluruhannya berjumlah RM530 bilion.

    “Semua dibantu dan dilayan secara adil dan saksama,” katanya pada majlis makan malam bersama pemimpin dan komuniti Cina di Johor Bahru malam tadi.

    Terdahulu dalam sesi soal jawab seorang tetamu bertanyakan kepada Muhyiddin tentang jaminan kerajaan PN di bawah kepimpinannya akan berlaku adil kepada semua kaum.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, prinsip PN sebagai sebuah kerajaan yang berintegriti, cekap dan prihatin ialah membantu semua rakyat tanpa mengira kaum.

    ‘Tiada seorang pun yang akan dibiarkan ketinggalan walau apa kaum dan agamanya. Ini komitmen saya dan PN,” ujarnya.