Tag: Muafakat Nasional

  • Jangan rungkai Muafakat Nasional, bina kekuatan ummah

    Jangan rungkai Muafakat Nasional, bina kekuatan ummah

    Oleh NASRUDIN HASSAN

    LEBIH 60 tahun negara kita menyaksikan pertelagahan, pertelingkahan dan pergaduhan politik dalam kalangan umat Islam di bumi tercinta ini.

    Khasnya melibatkan UMNO dan PAS. Malah ia merebak sehingga pergaduhan fizikal yang mencetuskan peristiwa Lubuk Merbau, Memali dan lainnya.

    Takdir Allah SWT pada 14 September tahun 2019, PAS dan UMNO kembali dapat duduk dalam satu saf lalu memeteraikan piagam Muafakat Nasional. Ia menjadi noktah bersejarah untuk langkah penyatuan umat Islam di Malaysia.

    Umum tahu benar bahawa penyatuan ummah itu membawa kepada kekuatan dan kehebatan. Sebagaimana pertelingkahan pula membawa malapetaka dan musibah.

    Bukankah Allah SWT sudah menegaskannya dalam al-Quran :

    وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

    Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu bertelingkah, kelak kamu akan binasa dan hilang kekuatan dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran) sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.

    Surah al-Anfaal: 46

    PAS PH Muafakat Nasional
    NASRUDIN HASSAN

    Peristiwa menandatangani piagam Muafakat Nasional itu menyaksikan tumpahnya air mata para pencinta Islam di seluruh negara.

    Setelah sekian lama mereka menanti, kini dua musuh tradisi bersalaman dan berpelukan guna menamatkan sengketa umat. Lengan disilang dan tangan saling mendekap tanda mahu menyatu erat

    Tidak sedikit harga yang terpaksa dibayar. Bukan setahun dua usaha untuk menyatukan dua kumpulan umat Islam ini dilakukan.

    Akhirnya 14 September 2019 menjadi saksi syaitan-syaitan perpecahan menangisi kegagalan mereka.

    Kini setelah dua tahun piagam muafakat dimeterai, Muafakat Nasional sedang melalui denai yang sukar dan sulit. Mereka kini sedang diuji dengan kuasa pemerintahan, kedudukan dan pengaruh.

    Pelbagai justifikasi mula dicipta untuk membenarkan sikap masing-masing. Jari jemari dibuka kembali untuk saling menuding. Sudah kelihatan rekahan di sana sini. Tentu sahaja fenomena ini membuatkan agen-agen perpecahan menari girang.’

    Saya hanya mampu kembali mengingatkan diri dan semua pihak khasnya saf kepimpinan dari kedua pihak, bahawa jangan biarkan Muafakat Nasional ini retak. Jangan biarkan semangat penyatuannya pudar apalagi menyimpan hasrat untuk membubarkannya.

    Bersabarlah atas kepayahan dan kesukaran. Maklumlah kita telah lalui lebih 60 tahun tempoh sengketa. Hanya setahun dua ini mahu disuaikan segalanya. Tentu sahaja mengambil masa.

    Justeru, “Hargai dan akuilah kelebihan rakan sebagaimana kita menerima dan memaafkan kelemahan kita sendiri.”

    Tidak perlu saya leteri perkara yang telah difahami oleh semua mengenai kepentingan menyatukan umat Islam di bumi bertuah ini.

    Tinggal lagi kita sering alpa dan leka dengan hasutan syaitan perpecahan dan belitan Iblis yang menipu daya. Sehingga kita mula saling curiga mencurigai antara satu sama lain.

    Kita mula rasa kuat dan tidak lagi memerlukan dukungan.

    “Aku perlu bangkit atas kekuatan sendiri”, “aku tidak akan biarkan kumpulan aku dijadikan sandaran”, “aku yakin boleh menang tanpa dia” , “dia tidak ikhlas dalam penyatuan” dan 1,001 getusan yang mula memberi isyarat untuk meronta dan merombak ikatan perpaduan.

    Masih ada masa untuk perbaiki keadaan. Asal semua dari kalangan kita kembali kepada paksi ajaran agama, bahawa kita diperintah oleh Allah dalam al-Quran (surah asy-Syura ayat 13),

    أنْ أَقيمُوا الدِّيْن و لا تَتَفَرَّقُوا فِيْهِ

    “Tegakkan agama dan jangan berpecah” padanya.

    Insafilah,

    Meskipun kita rasa boleh menang sendiri, maka menyatukan itu lebih membesarkan saiz kemenangan. Meskipun kita rasa kuat sendiri, maka menyatukan itu pula menambah kehebatan dan kekuatan.

    Lalu apa kewajaran dan dimana kebijaksanaan untuk kita merombak penyatuan yang telah kita usahakan sekian lama.

    Boleh jadi mereka yang menatang penyatuan setelah atau pada hari dimeterai ikatan perpaduan itu, kurang menjiwai betapa tingginya harga dan nilai penyatuan dua parti umat Islam di Malaysia ini.

    Boleh jadi juga ada yang berkata “tiada siapa yang mahu merombaknya…”

    Jika benar begitu, ayuh lakukan sesuatu untuk memperkasakan Muafakat Nasional ini.

    Usahakan agar semua parti atau kumpulan umat Islam bersatu dan bersama dengan Muafakat Nasional ke arah membina kekuatan ummah di persada politik tanah air mahupun penguasaan di sektor ekonomi.

    Jangan keluarkan kenyataan yang mengeruhkan suasana perpaduan. Begitu juga tulisan atau status di media sosial yang boleh mengundang resah dan kecewa terhadap kedudukan perpaduan umat Islam.

    Alangkah indah …….

    Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

  • Perkukuh semula MN, jemput kembali Bersatu

    Perkukuh semula MN, jemput kembali Bersatu

    MUAFAKAT Nasional (MN) yang menyaksikan kerjasama politik antara UMNO dan PAS bakal diperkukuhkan kembali dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

    Keyakinan itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

    Malah, beliau yakin bahawa usaha memperkukuhkan semula MN itu boleh dilakukan dengan menjemput kembali Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menambah, masanya sudah tiba untuk tiga parti tersebut memperkukuhkan semula MN serta melibatkan parti-parti lain untuk membentuk satu gabungan inklusif.

    “Saya boleh bagi pandangan peribadi sebab sudah tidak ada jawatan besar dalam parti, tapi pandangan saya sebagai orang lama dalam politik saya rasa ini peluang terbaik untuk perkukuh semula MN secara inklusif.

    “Bila saya kata inklusif ia tak cukup setakat itu, saya terlibat menulis piagam MN dalam itu terkandung hasrat tidak tertunai sebelum ini iaitu membentuk satu muafakat yang meluas mesti merangkumi pelbagai kaum dalam negara.

    “Gunalah peluang ini ke arah politik matang, ambil pengajaran bahawa politik tidak stabil tidak membawa keuntungan kepada sesiapa, semua pihak harus kembali duduk semeja,” katanya.

    Annuar berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pelepasan perjalanan Sukarelawan Rumah Prihatin untuk penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Merbok dan Jerai.

    Sementara itu, Annuar dalam laman Facebook memberitahu, seramai 30 sukarelawan dan dua buah lori terlibat dalam program penyampaian bantuan tersebut.

    Bantuan berupa pakaian, sejadah, telekung, kain pelekat, baju, bakul makanan dan wang tunai.

  • Kemelut PN tak jejas kerjasama politik MN

    Kemelut PN tak jejas kerjasama politik MN

    Mohd Lazim Endut

    PAS percaya kemelut yang berlaku ke atas kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini tidak akan menjejaskan kerjasama politik Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai antara parti itu bersama UMNO.

    Malah, Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini tiada sebarang perubahan membabitkan perkara negatif yang boleh menggugat usaha gagasan itu dalam usaha mengukuhkan agenda penyatuan ummah di negara ini.

    Sambil menyifatkan kemelut yang berlaku dalam PN ibarat pinggan dan mangkuk yang bergesel, beliau yakin perkara itu akan dapat diselesaikan.

    “Pinggan dan mangkuk ini akan berbunyi sedikit ketika bersentuhan, tetapi selepas itu kembali diam apabila berada di tempatnya.

    “Situasi semasa politik termasuk peletakan jawatan seluruh kabinet kerajaan PN tidak akan menjejaskan gagasan yang telah kita bina.

    “PAS tetap komited mempertahankan MN dan PN kerana itu adalah matlamat akhir dalam menyatukan seluruh masyarakat Melayu-Islam di negara ini supaya menjadi satu kelompok yang kuat dan disegani,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

    Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu turut menaruh keyakinan bahawa polemik yang timbul berikutan perubahan suhu politik negara akan selesai dalam tempoh terdekat.

    Menurut beliau,isu politik umpama pasaran saham di mana ia sangat dinamik.

    “Insya-Allah, kita akan keluar daripada ketidaktentuan ini tidak lama lagi,” ujarnya.

    Kemelut politik negara menjadi hangat apabila 15 Ahli Parlimen UMNO bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Ini menyebabkan Muhyiddin mengambil keputusan meletakkan jawatan setelah kehilangan sokongan majoriti sokongan ahli Parlimen serta cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkan juga tidak mendapat sokongan parti politik pembangkang.