Tag: mercun

  • Lelaki ditahan miliki ganja meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas

    Lelaki ditahan miliki ganja meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas

    SEORANG lelaki warga asing yang ditahan bagi membantu siasatan dipercayai memiliki ganja, meninggal dunia selepas mengadu mengalami sesak nafas, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat berkata lelaki berusia 49 tahun itu sebelum itu ditahan bersama 54.7 gram ganja di sebuah kondominium di sekitar bandar raya ini pada 12.10 tengah malam tadi.

    Beliau berkata bagaimanapun lelaki itu yang disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 mengalami sesak nafas ketika proses dokumentasi di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah JBS pada 1.20 pagi.

    “Lelaki itu dibawa menaiki ambulans untuk dirawat di Hospital Sultanah Aminah namun pegawai perubatan yang memberikan rawatan telah mengesahkan kematian lelaki itu pada pukul 2.27 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Raub berkata pihaknya telah memanggil waris iaitu tiga anak lelaki itu, yang mengesahkan bahawa bapa mereka menghidap penyakit jantung dan darah tinggi sejak 20 tahun lepas.

    Beliau berkata bedah siasat dilakukan pada hari ini di hospital tersebut bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Katanya kes kematian itu akan turut disiasat Unit Siasatan Jenayah Dan Kematian Dalam Tahanan, Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard Bukit Aman.  

    Dalam kes lain, Raub berkata pihaknya menahan 12 lelaki di tiga lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini, semalam, dipercayai membakar mercun di tempat awam tanpa lesen sempena ambang Tahun Baharu Cina. 

    Beliau berkata kesemua yang berusia 19 hingga 45 tahun ditahan antara 1 hingga 3.10 pagi bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 (5) Akta Kesalahan Kecil 1995.

    Katanya polis turut merampas 16 mercun jenis Fireworks, lima kotak mercun jenis Happy Boom Fire Work dan satu pemetik api daripada mereka. – BERNAMA

  • Polis Pulau Pinang rampas dadah, mercun RM400,000

    Polis Pulau Pinang rampas dadah, mercun RM400,000

    PELBAGAI jenis mercun dan dadah bernilai RM408,943 berjaya dirampas polis Pulau Pinang dalam dua serbuan di Batu Maung, bermula pukul 11 malam, Khamis lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam serbuan itu, dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 45 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah dan penjualan mercun turut ditahan.

    Menurut beliau, dalam serbuan pertama, polis menahan tiga lelaki di dalam sebuah kereta selepas didapati membawa dadah jenis ketamin seberat 6.40 gram bernilai RM960 dan 18 biji eramin 5 bernilai RM2,700.

    Pemeriksaan lanjut, tambah beliau, turut menjumpai sebanyak 81 kotak serta 527 pek pelbagai jenis mercun dipercayai untuk dijual sempena Tahun Baharu Cina.

    ”Susulan tangkapan suspek, polis kemudian menyerbu sebuah premis di kawasan Batu Maung dan merampas 44 guni dan 333 kotak pelbagai jenis mercun di premis itu” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Tambah beliau, ujian saringan air kencing ke atas dua tangkapan mendapati positif dadah jenis methamphetamine manakala seorang lagi tangkapan negatif dadah, namun kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    Tambahnya, kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

  • 1.6 tan mercun, bunga api diseludup untuk Tahun Baharu Cina dirampas

    1.6 tan mercun, bunga api diseludup untuk Tahun Baharu Cina dirampas

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Pulau Pinang mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis mercun seberat 1.6 tan bernilai RM87,010 dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di George Town, 9 Januari lalu.

    Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, mercun yang dipercayai diseludup untuk sambutan Tahun Baharu Cina itu dirampas di dalam 463 kotak dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 pagi.

    Menurut beliau, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan tiga lelaki berusia antara 30 hingga 42 tahun yang sedang memunggah barang tersebut ke dalam sebuah lori.

    “Siasatan mendapati mercun dan bunga api tidak berkastam itu dibawa masuk melalui salah sebuah negara di Asia Tenggara menggunakan pengangkutan darat secara tidak sah dengan nilai cukai sebanyak RM56,556.50,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Kata beliau, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali amaun duti kastam atau RM500,000 mana lebih besar atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, dalam operasi berasingan, tambah beliau, JKDM Pulau Pinang turut merampas sejumlah 510 unit dapur memasak hob (elektrik) yang disyaki tidak berkastam bernilai RM358,500 dengan duti dan cukai berjumlah RM114,720.

    Hamisan berkata, rampasan itu susulan pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pengkalan Kontena Butterworth Utara, kira-kira pukul 11 pagi, 10 Januari lalu yang dipercayai diimport sebuah syarikat tempatan berpangkalan di Pasir Mas, Kelantan.

    “Dagangan ini dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Timur dan seorang wanita berusia 34 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan, namun dilepaskan dengan jaminan,” katanya.

    Sementara itu, ujarnya, JKDM Pulau Pinang turut merampas sebanyak 129 unit skuter elektrik disyaki tidak berkastam bernilai RM283,800 dengan duti dan cukai berjumlah RM85,140 dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 petang, 16 Disember lalu.

    Ujar beliau, skuter terbabit diikrar sebagai kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dalam Borang K1 dan seorang suspek lelaki berusia 54 tahun turut ditahan dalam serbuan tersebut.

    “Kedua-dua serbuan itu disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

  • Tapak pelupusan mercun meletup, tiga cedera

    Tapak pelupusan mercun meletup, tiga cedera

    TIGA pekerja pembersihan cedera semasa menjalankan kerja-kerja membersihkan tapak pelupusan mercun dan bunga api di sebuah Stor Penyimpanan Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Kuala Lumpur hari ini.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian 6.15 petang tadi, tiga lelaki yang berasal dari Sabah itu diupah bagi membersihkan kawasan pelupusan rampasan mercun dan bunga api yang dilakukan pihaknya pada pukul 3 petang tadi.

    “Ketika membersihkan kawasan, api dilaporkan tiba-tiba terpercik di dalam tong sampah RORO (Roll On Roll Off) yang digunakan untuk menempatkan sisa pelupusan sebelum berlaku beberapa siri letupan dipercayai mercun.

    “Ketiga-tiga mangsa berusia 25 hingga 30 tahun telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

    Mengulas mengenai prosedur digunakan polis ketika melupus barang kes (mercun dan bunga api), Beh berkata ia dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Kerja pelupusan ini telah menerima kelulusan dari Mahkamah Majistret 2 Kuala Lumpur yang membenarkan ia dilupuskan menggunakan SOP polis. Majistret juga turut hadir menyaksikan kerja pelupusan yang selesai pada 4.30 petang tadi,” katanya.

    Beh berkata tiada unsur khianat dalam kejadian berkenaan serta tidak menolak faktor cuaca panas hari ini memungkinkan berlakunya percikan api sebelum meletup dan terbakar.

    Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan malam ini memaklumkan, pihaknya menerima laporan kebakaran pada 6.20 petang tadi dan mengerahkan 60 anggota dan 10 jenteranya ke lokasi di Jalan Perhentian, di sini.

    Menurut kenyataan itu, kebakaran melibatkan 30 peratus struktur bangunan dan 80 peratus kawasan terbuka serta 50 kenderaan yang merupakan barang kes di lokasi kejadian.

    “Bomba menggunakan teknik offensive (memadam kebakaran dari dalam bangunan) and defensive (memadam kebakaran dari luar bangunan) firefighting. Kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira pukul 7.05 malam dan siasatan lanjut berhubung punca kebakaran sedang disiasat,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Al Kasim, 30-an, berkata sebelum kejadian dia sedang membersihkan longgokan sampah di stor berkenaan.

    “Tiba-tiba saya saya terdengar percikan api besar dari tong sampah besi lalu meletup dengan kuat. Saya terus melompat dari lokasi letupan lalu kaki saya terseliuh dan percikan mercun mengenai bahagian belakang saya,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.

    Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Sunjeet Kaur, 47, yang berada berhampiran dengan lokasi kejadian berkata dia dikejutkan dengan beberapa bunyi letupan kuat.

    “Sewaktu kejadian saya hendak membeli makanan di bazar berhampiran. Saya melihat asap tebal menjulang tinggi,” katanya.

    Hari ini, polis melupuskan 1,059 kotak dan 35 guni mercun dan bunga api pelbagai jenis di stor berkenaan. Mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM4.1 juta yang dirampas pada Mac lepas itu dipercayai untuk dipasarkan semasa Aidilfitri ini. – BERNAMA

  • Polis tahan suami isteri seludup mercun di Pasir Mas

    Polis tahan suami isteri seludup mercun di Pasir Mas

    POLIS menahan sepasang suami isteri selepas disyaki menyeludup mercun dan bunga api bernilai RM17,660 menggunakan kereta jenis Proton Saga di Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang, Kelantan, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, polis peronda mengesan pasangan berumur 38 dan 42 tahun itu berdekatan lampu isyarat di Kampung Lati-Lubuk Jong kira-kira 10 malam sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

    Beliau berkata, ketika pemeriksaan di dalam kereta didapati ada puluhan bungkusan dan kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api di tempat duduk penumpang belakang dan but kereta.

    “Kita dapati terdapat pelbagai jenis mercun dan bunga api di dalam kereta tersebut termasuk mercun bola, Sky Thunder, Cracker Ball, mercun mancis dan mercun papan.

    “Kesemua mercun itu disyaki diperoleh dengan cara menyeludup masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram di Sungai Golok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd Nasaruddin berkata, siasatan juga mendapati nombor plat kenderaan yang digunakan oleh suspek tidak didaftarkan.

    “Kedua-dua suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. Keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan jenis Proton Saga itu dianggarkan bernilai RM72,660,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua mercun tersebut kemungkinan untuk pasaran di sekitar Kota Bharu kerana terdapat permintaan yang tinggi menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. – BERNAMA

  • MPV bawa mercun bola terbalik dalam parit, pemandu lari

    MPV bawa mercun bola terbalik dalam parit, pemandu lari

    SEBUAH kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membawa enam guni berisi mercun bola ditemukan terbabas di dalam parit berdekatan Taman Prima dekat Lubok Jong, Pasir Mas, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kejadian dimaklumkan orang awam yang melaporkan sebuah Toyota Wish telah terbabas dalam keadaan terbalik ke dalam parit air pada pukul 3.15 petang.

    Beliau berkata, dua anggota dari unit kereta peronda polis (MPV) telah pergi ke lokasi kejadian dan mendapati pemandu kenderaan terbabit sudah tiada.

    “Pemeriksaan lanjut di dalam kereta terbabit menemukan enam guni plastik bercorak jalur-jalur berada di tempat duduk penumpang belakang yang berisi sejumlah mercun bola.

    “Anggota yang membuat semakan ke atas nombor pendaftaran kenderaan tersebut mendapati, tiada rekod kesalahan dan ia telah didaftarkan atas nama seorang individu yang beralamat di Kluang, Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, anggotanya telah menunggu selama sejam di lokasi tersebut sekiranya terdapat mana-mana individu yang menuntut barangan terbabit.

    Mohd Nasaruddin berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan sebanyak RM45,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – BERNAMA

  • Lelaki kantoi sorok 48 bungkusan, 273 kotak mercun dalam rumah

    Lelaki kantoi sorok 48 bungkusan, 273 kotak mercun dalam rumah

    SEORANG lelaki ditahan susulan penemuan sebanyak 48 bungkusan dan 273 kotak mercun bernilai RM20,745 di dalam rumahnya di Kampung Bunut Payung di Kota Bharu, malam tadi.

    Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata, serbuan pada kira-kira pukul 8 malam itu, dilakukan pihaknya selepas menerima maklumat berkaitan penyeludupan mercun di kawasan berkenaan.

    Beliau berkata, lelaki berusia 34 tahun itu, yang mengaku pemilik rumah tersebut, ditahan untuk siasatan dan hasil pemeriksaan menemukan bungkusan dan kotak yang mengandungi mercun.

    “Mercun yang dirampas dipercayai diseludup masuk melalui pangkalan haram sempadan Malaysia-Thailand dan dipasarkan di sekitar Kota Bharu termasuk di pasar malam Wakaf Che Yeh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Azhari berkata, penjualan mercun dalam bulan puasa adalah atas faktor permintaan tinggi, walaupun pihak berkuasa sudah banyak kali mengeluarkan larangan.

    Katanya, harga mercun didapati meningkat sehingga dua kali ganda kerana kesukaran untuk dibawa masuk ke negara ini ekoran kawalan ketat oleh agensi penguat kuasa di sempadan Malaysia-Thailand.

    “Kesemua rampasan dibawa ke Balai Polis Kota Bharu bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

    Beliau berkata PGA7 akan terus menggandakan usaha dan mengetatkan kawalan sempadan negara, terutama menjelang musim perayaan, kerana permintaan kepada barang-barang seludup (kontraban) dijangka meningkat.

    “Masyarakat juga diingatkan agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya. – BERNAMA

  • PGA7 rampas mercun, bunga api bernilai lebih RM30,000

    PGA7 rampas mercun, bunga api bernilai lebih RM30,000

    SEBANYAK 40 bungkusan mercun pelbagai jenis dan 1,208 kotak bunga api bernilai RM35,692 dirampas Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di Jalan Tunjong-Pasir Mas, Kelantan malam tadi.

    Menurut Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, rampasan dibuat ketika anggota bertugas mengadakan rondaan sebelum terserempak sebuah kereta Perodua Kelisa dalam keadaan mencurigakan.

    Ekoran itu katanya, anggota bertindak menahan kereta berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa sebelum meminta dokumen pengenalan diri pemandu, seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun.

    Ujarnya, hasil siasatan di dalam kenderaan, menemui beberapa karung guni dan juga kotak berisi mercun serta bunga api yang diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang dan but kereta terbabit, lapor Harian Metro.

    “Susulan penahanan itu, pada pukul 11 malam, anggota kemudian membuat pemeriksaan di kediaman suspek di Kampung Kenjing, Repek, lalu turut menemui lebihan mercun serta bunga api di dalam stor rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Azhari, suspek tersebut ditahan manakala kereta serta mercun dan bunga api dirampas untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan lanjut.

    Azhari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

    Katanya, kesemua mercun dan bunga api yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari negara jiran, Thailand, untuk dipasarkan di sekitar Pasir Mas atas faktor permintaan yang tinggi menjelang musim perayaan.

    Menurut beliau, peningkatan kes penyeludupan berkaitan mercun dan bunga api sudah dijangka sepanjang Ramadan memandangkan ia mendapat banyak permintaan.

    Justeru, pihaknya mengambil langkah mempergiatkan lagi kawalan agar kegiatan berkenaan dapat dibanteras.

    “Penyeludup biasanya membawa masuk barangan ini menggunakan jalan sungai melalui pangkalan haram yang ada di sepanjang Sungai Golok, pada waktu tengah malam bagi memastikan aktiviti mereka tidak dikesan pihak berkuasa,” jelasnya.

  • Rokok, mercun seludup nilai lebih RM150,000 dirampas

    Rokok, mercun seludup nilai lebih RM150,000 dirampas

    SEORANG pekedai runcit warga tempatan berusia 50 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai dan mercun di sekitar kawasan Batu Kurau, Kerian, Perak, Rabu lalu.

    Suspek ditahan menerusi operasi Op Kontraband yang digerakkan Unit Risikan Marin (URM) Pulau Pinang yang turut merampas rokok dan mercun tidak bercukai bernilai RM151,345.

    Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komissioner Shamsol Kassim berkata, pihaknya menyerbu dua buah rumah meneruis operasi itu di Kampung Pantai Besar, Batu Kurau, Perak antara pukul 6 petang hingga 7 malam.

    Katanya, dalam serbuan pertama di rumah suspek pihaknya berjaya merampas sebanyak 77,450 batang rokok tidak bercukai.

    “Hasil soal siasat membawa kepada serbuan di lokasi kedua yang mana sebanyak 24,650 batang rokok tidak bercukai dan mercun dijumpai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, secara keseluruhan pihaknya merampas sebanyak 102,100 batang rokok tidak bercukai dengan nilai rampasan sebanyak RM 145,479 berserta 180 kotak mercun pelbagai jenis dengan nilai rampasan sebanyak RM 5,866.

    Tambahnya, suspek dipercayai mulai aktif mengedar rokok tidak bercukai dan mercun itu sejak enam bulan lalu untuk kedai-kedai runcit di kawasan berdekatan.

    “Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah(IPD) Kerian untuk tindakan lanjut.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.