PELBAGAI jenis mercun dan dadah bernilai RM408,943 berjaya dirampas polis Pulau Pinang dalam dua serbuan di Batu Maung, bermula pukul 11 malam, Khamis lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam serbuan itu, dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 45 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah dan penjualan mercun turut ditahan.

Menurut beliau, dalam serbuan pertama, polis menahan tiga lelaki di dalam sebuah kereta selepas didapati membawa dadah jenis ketamin seberat 6.40 gram bernilai RM960 dan 18 biji eramin 5 bernilai RM2,700.

Pemeriksaan lanjut, tambah beliau, turut menjumpai sebanyak 81 kotak serta 527 pek pelbagai jenis mercun dipercayai untuk dijual sempena Tahun Baharu Cina.

”Susulan tangkapan suspek, polis kemudian menyerbu sebuah premis di kawasan Batu Maung dan merampas 44 guni dan 333 kotak pelbagai jenis mercun di premis itu” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Tambah beliau, ujian saringan air kencing ke atas dua tangkapan mendapati positif dadah jenis methamphetamine manakala seorang lagi tangkapan negatif dadah, namun kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Tambahnya, kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here